Monday, October 5, 2015

Nota Kuliah Kitab Cinta 5





SEIMBAS LALU PELAJARAN TERDAHULU

Apakah sebab-sebab (punca) wujudnya cinta?
i)                    Kerana kita memang mencintai diri sendiri. Ini memang fitrah manusia dan jin.
ii)                   Kerana kita terdorong untuk menyukai pihak yang berjasa kepada kita.
iii)                 Kerana fitrah kita untuk menyukai kecantikan, keelokan, kebagusan dan seumpamanya.
iv)                 Kerana mata batin (mata hati) kita dapat mencintai yang batin.
v)                  Kerana keserasian.


SEBAB 1 – Kerana kita memang mencintai diri sendiri.

Setiap manusia (dan jin) mencintai dirinya sendiri, iaitu nyawa dan tubuh badannya. Manusia mahu dirinya ada, hidup, sihat, selamat, sempurna, selesa. Manusia tidak mahu kalau dirinya tidak ada, mati, tidak sihat, tak sempurna, tak selesa.
Maka manusia mencintai kekekalan (walaupun dia tahu pasti akan mati).

Sekiranya mati itu tidak berasa sakit, manusia tetap tidak mahu mati.
Sekiranya mati itu mudah, manusia tetap akan memilih hidup.
Sekiranya selepas mati tidak ada alam barzakh, mahsyar, neraka dan sebagainya, manusia tetap akan pilih untuk hidup berbanding mati.
Maksudnya manusia memang mencintai dirinya agar hidup.

Sekalipun hidupnya di dunia ini penuh dengan kepayahan, jika diberi pilihan, manusia mahu agar kepayahan itu dihilangkan dan dia terus kekal hidup, tak mahu mati.

Manusia mencintai apa-apa pun selain dirinya, adalah kerana semua itu ada kepentingan dalam memelihara dirinya.

Kesimpulannya, cinta itu lahir kerana manusia menyayangi dirinya sendiri. Maka manusia pun mencintai yang lain-lain, kerana ada kepentingan untuk dirinya sendiri yang dicintai itu.

Pada hakikatnya, semua kecintaan kita itu tertuju kepada Allah SWT, kerana semuanya daripada Allah, semuanya kerja Allah.
Manusia dan jin yang tidak ada ilmu tentang hakikat, kecintaannya akan tersangkut pada makhluk, tidak tembus kecintaannya kepada Allah SWT.

SEBAB 2 – Kerana kita terdorong untuk mencintai pihak yang berjasa kepada kita.

Ihsan itu kebaikan atau jasa.
Al-muhsin ialah orang yang berbuat kebaikan/jasa kepada kita.
Secara semulajadinya, manusia adalah hamba kepada al-ihsan.

Maksudnya, hati manusia jadi lembut dan ceria apabila menerima al-ihsan (kebaikan/jasa orang). Oleh itu manusia akan mula menyukai dna menyayangi pihak yang memberikan al-ihsan kepada dirinya.
Sebab itu ada kalanya manusia lebih mencintai orang lain selain orang-orang yang dekat kepadanya.

Manusia mencari kesenangan dan keselesaan. Kesenangan dan keselesaanlah yg sebenar-benarnya dicari oleh manusia, yg dicintai oleh manusia. Kesenangan dan keselesaan disukai manusia secara langsung.

Oleh kerana kesenangan dan keselesaan itu datang kepada kita melalui pihak tertentu (orang lain), maka secara tidak langsung kita juga akan menyukai dan mencintai pihak tersebut.

Contohnya kesihatan. Semua manusia suka akan kesihatan itu sendiri. Tapi oleh kerana kesihatan kita itu datangnya melalui tabib yang merawat dan memberi ubat, maka secara automatik kita pun akan menyukai dan mencintai tabib tersebut.

SEBAB 3 – Kerana fitrah manusia yang suka akan keelokan itu sendiri.

Secara semulajadi, kita menyukai sesuatu yang bagus, sekalipun umumnya kita tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada sesuatu itu.

Contohnya kita menyukai pemandangan gunung-ganang, lautan, aliran air sungai, bunga-bungaan, lading sayur dan sebagainya. Kita suka semua itu walaupun kita tidak dapat memilikinya, hanya sekadar suka tengok sahaja. Maksudnya, kita memang menyukai sesuatu yang bagus (keindahan, kecantikan, kehebatan dsb).

Dalam banyak-banyak kecintaan di dunia ini, Rasulullah saw paling mencintai ibadah solat. Padahal ibadah solat itu umumnya tidak melazatkan mana-mana 5 pancaindera. Lazatnya terletak pada hati. Oleh itu, kenikmatan yang tertinggi ialah yang diperolehi oleh mata hati.

Kenikmatan mencintai Allah umumnya tidak dapat dikecapi oleh 5 pancaindera, tetapi oleh mata hati.

PERKONGSIAN UNTUK MALAM INI

SEBAB 4 – Tentang penjelasan makna bagus dan elok.

(Ms 422) Bahawa kebagusan yang mengerasi atas makhluk itu ialah kebagusan penglihatan dan kebanyakan penolehan mereka kepada bentuk orang-orang. Lalu disangka bahwa apa yang tidak dilihat, tidak dikhayalkan, tidak berbentuk dan tidak berwarna itu suatu yang ditakdirkan (diumpamakan).  Maka tidak tergambarlah kebagusannya. Dan apabila tiada tergambar kebagusannya, nescaya tidaklah pada idraknya itu kelazatan. Lalu tidaklah ia dicintai.

Ini suatu kesalahan yang terang. Bahawa kebagusan itu tidaklah terbatas kepada yang diidrakkan oleh penglihatan dan oleh kesesuaian kejadian dan kecampuran putih dengan kemerahan.

Bahkan kita mengatakan ini tulisan bagus, ini suara bagus dan ini kuda bagus. Bahkan kita mengatakan ini kain bagus, ini bejana bagus.
Maka manakah makna bagi kebagusan suara, tulisan dan yang lain-lain, jikalau tidaklah kebagusan itu selain pada rupa?

Dan seperti dimaklumi bahawa mata itu merasa lazat dengan memandang kepada tulisan yang bagus. Dan telinga merasa enak mendengar bunyi-bunyian yang bagus, lagi merdu.

Tiada suatu pun hal-hal yang diidrakkan selain dia itu terbahagi kepada bagus dan buruk. Maka apakah erti bagus yang berkongsi pada hal-hal tersebut? Maka tidak boleh tidak daripada dibahas.

Dan pembahasan itu akan panjang dan tidak layak dengan ilmu mu’amalah itu berpanjang-panjangan padanya. Maka kami tegaskan dengan sebenarnya dan kami mengatakan bahawa setiap sesuatu, keelokan dan kebagusannya itu pd adanya kesempurnaan yg layak, yg mungkin baginya.

Apabila adalah semua kesempurnaannya yang mungkin itu terwujud, maka dia itu pada penghabisan keelokan. Dan kalau yang terwujud itu sebahagian, maka baginya dari kebagusan dan keelokan itu menurut kadar yang terwujud sahaja.

Kuda yang bagus ialah yang mengumpulkan setiap yang layak dengan kuda, dari keaadan dan bentuk, warna, kebagusan berlari, mudah menyerbu dan berlarian padanya.
Tulisan yang bagus ialah setiap apa yang mengumpulkan apa yang layak dengan tulisan, dari kesesuaian bentuk huruf, seimbang dan lurus susunannya dan bagus keteraturannya.

Maka bagusnya setiap sesuatu itu itu pada kesempurnaannya, yang layak dengan dia.  Maka tidak baguslah insan, dengan apa yang bagus dengan dia itu kuda. Tidak baguslah tulisan dengan apa yang bagus dengan dia itu suara. Tidak baguslah bejana-bejana dengan apa yang bagus dengan dia itu kain-kain. Begitu juga barang-barang yang lain.

Jikalau anda mengatakan bahawa barang-barang tersebut, walaupun tidak diidrakkan semuanya dengan kebagusan melihat seperti suara dan rasa makanan, maka sesungguhnya ia tidak terlepas dari idraknya pancaindera kepadanya. Dia itu dirasakan dengan pancaindera. Dan tidaklah dimungkiri kebagusan dan keelokan bagi yang dirasakan dengan pancaindera. Dan tidak dimungkiri hasilnya kelazatan dengan idrak (mengetahuai) kebagusannya. Hanya dimungkiri yang demikian pada yang tidak diidrakkan dengan pancaindera. (ms 423)

Ketahuilah, bahawa kebagusan dan keelokan itu terdapat pada yang tidak dirasakan dengan pancaindera. Kerana dikatakan ini tingkahlaku yang bagus, ini ilmu yg bagus, ini perjalanan hidup yg bagus, ini akhlak yang elok.
Bahawa akhlak yang elok itu, yang dikehendaki oleh ilmu, akal, penjagaan diri (al-‘iffah), berani, taqwa, kemurahan hati, keperibadian dan sifat-sifat kebajikan yang lain. Sesuatu dari sifat-sifat ini tidak dapat diidrakkan dengan pancaindera yang lima. Akan tetapi, diidrakkan dengan nur penglihatan mata hati yang batiniyyah. Semua sifat-sifat tersebut dicintai secara tabiat, pada orang yang mengenal sifat-sifatnya.

Tanda yang demikian dan bahawa keadaan memang seperti yang demikian, bahawa tabiat-tabiat itu dijadikan kepada mencintai nabi-nabi as dan kepada mencintai para sahabat ra, sedang mereka itu tidak pernah disaksikan. Bahkan juga mencintai orang-orang yang mempunyai mazhab seperti Asy-Syafi’i, Abu Hanifah, Malik, dan lain-lain.

Sehingga seseorang kadang-kadang kecintaannya kepada pendiri mazhabnya melampaui batas cinta. Lalu yang demikian, membawanya kepada membelanjakan semua hartanya pada menolong mazhabnya dan mempertahankannya. Dan ia menghadang bahaya dengan nyawanya pada orang yang mencaci imamnya dan orang yang ditakutinya.  Berapa banyak  darah yang ditumpahkan pada menolong orang-orang pendiri mazhab-mazhab. Moga-moga kiranya aku ketahui, akan orang yang mencintai Asy-Syafi’I umpamanya maka mengapa dicintainya, padahal tidak pernah sekali-kali ia menyaksikan bentuknya. Dan jikalau disaksikannya, mungkin ia tidak akan memandang bagus rupanya.

Maka pandangannya yang bagus itu, yang membawanya kepada bersangatan cinta, adalah kerana bentuknya yang batiniyah. Tidak kerana bentuknya yang zahiriah. Bahawa bentuknya yang zahiriah itu telah bertukar menjadi tanah bersama tanah.

Sesungguhnya ia mencintainya, kerana sifat-sifatnya yang batiniyah, dari agama, taqwa, banyak ilmu, meliputi pengetahuan agama, bangunnya untuk memfaedahkan ilmu syara’ dan bagi menyiarkan kebajikan-kebajikan ini dalam alam dunia.
Inilah hal-hal yang elok, yang tidak diketahui keelokannya, selain dengan nur penglihatan mata hati. Adapun pancaindera maka singkatlah pandangannya daripadanya.

(ms 424) Maka sebagai dimaklumi, bahawa orang yang mencintai Abu Bakar as-Siddiq ra itu umpamanya, tidaklah ia mencintai tulangnya, dagingnya, kulitnya, sendi-sendinya dan bentuknya. Kerana semua itu telah hilang, berganti dan menjadi tiada. Akan tetapi tinggallah apa yang ada Abu Bakar as-Siddiq itu menjadi siddiq kerananya. Iaitu sifat-sifat yang terpuji, yang menjadi sumber perjalanan hidup yang elok.

Maka kecintaan itu kekal dengan kekalnya sifat-sifat itu, serta hilangnya semua bentuk. Sifat-sifat itu kembali keseluruhannya kepada ilmu dan kesanggupan, apabila ia telah mengetahui hakikat segala urusan dan sanggup membawa dirinya kepadanya, dgn memaksa nafsu syahwatnya.

Maka semua sifat-sifat kebajikan itu bercabang di atas dua sifat tadi. Keduanya tidak diidrakkan dengan pancaindera. Dan tempat keduanya dari jumlah badan itu suatu bahagian yang tidak terbahagikan.

Dia itu dicintai dengan sebenarnya. Dan tidaklah bagi bahagian yang tidak terbahagikan itu rupa, bentuk dan warna, yang tampak bagi penglihatan. Sehingga ia dicintai kerannya.

Jadi keelokan itu terdapat pada perjalanan hidup, walaupun perjalanan hidup itu muncul, tanpa ilmu dan penglihatan mata hati, yang tidak mengharuskan yang demikian akan cinta. Maka yang dicintai itu sumber perjalanan hidup yang elok. Iaitu budi pekerti yang terpuji dan sifat-sift ilmu dan kemampuan. Dan itu dicintai dengan tabiat manusia dan tidak diidrakkan dengan pancaindera.

Maka adakah kerasnya kecintaan kepada para sahabat ra, kemarahan kepada Abu Jahal dan kemarahan kepada Iblis yang telah kena kutukan Allah, selain disebabkan dengan berpanjang-panjangnya pada menyifatkan kebaikan & kekejian yg tidak diidrakkan dgn pancaindera?
Bahkan tatkala manusia menyifatkan Hatim dengan kemurahan hati dan mereka menyifatkan Khalid dengan keberanian, nescaya mereka itu dicintai oleh semua hati dengan kecintaan yang demikian mudah.

(ms 425) Bentuk itu zahiriah dan batiniah. Bagus dan elok itu melengkapi kepada keduanya. Bentuk zahiriah diperolehi dengan penglihatan zahir dan bentuk batiniah diperolehi dengan penglihatan mata hati.

Sesiapa yang tidak punya mata hati, nescaya ia tiada memperoleh bentuk batiniah. Ia tidak merasa lazat, tiada mencintai dan tidak cenderung kepada bentuk batiniah tersebut.

Maka jauhlah perbezaannya antara orang yang menyukai ukiran yang tergambar pada dinding tembok, kerana keelokan bentuknya yang zahiriah, dan orang yang mencintai salah seornag nabi, kerana keelokan bentuknya yang batiniah.

SEBAB 5 – Kesesuaian tersembunyi antara pencinta yang yang dicinta.

Kerana banyaklah terjadi di antara dua orang yang teguh kasih sayang antara keduanya, tidak disebabkan keelokan atau keuntungan, akan tetapi kerana semata-mata kesesuaian jiwa, sebagaimana sabda Nabi saw : “Maka yang berkenal-kenalan dari jiwa itu, nescaya berjinakan hati, dan yang bertentangan daripadanya, nescaya timbul perselisihan.” (Muslim)

Maka marilah kami terangkan sekarang, bahawa sebab-sebab itu semua, tiada akan tergambar kesempurnaan dan berkumpulnya selain pada Allah Taala. Maka tiada yg mustahak dgn kecintaan pd hakikatnya, selain Allah.


*Semua 147 kali syarahan kitab Ihya’ ‘Ulumuddin di surau ini boleh diulang-ulang dengar/tonton di Youtube. Tuliskan “syarah ihya” atau “kitab cinta ihya” pad acarian Youtube. Selamat mengulangkaji.

No comments: