Tuesday, May 12, 2015

Mencari Risalah Qudsiyyah Imam Al-Ghazali?



Sejak mensyarahkan Risalah Qudsiyyah karya Imam Al-Ghazali, ramai yang bertanya tentangnya dan mahu mendapatkan Risalah Qudsiyyah ini. Kepada yang berhajat, begini ceritanya…….

Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin terdiri daripada 40 buah kitab di dalamnya.
Kitab yang ke-2 ialah Kitab ‘Aqidah (Qawa’idul ‘Aqaid).
Kitab ‘Aqidah terdiri daripada 4 bahagian.
Bahagian yang ke-3… itulah Ar-Risalah Al-Qudsiyyah.

Setakat ini, saya belum terjumpa Risalah Qudsiyyah yang dicetak dan dijual berasingan dalam pasaran negara kita ini. Tak tahulah ada atau tidak. Dengar khabarnya, di Indonesia, Kitab ‘Aqidah (yang di dalamnya termasuklah Risalah Qudsiyyah) itu ada diterbitkan berasingan.
(*Sekiranya ada lebihan masa, mungkin saya boleh menyalin Risalah Qudsiyyah ini dan kongsikannya di internet. Tengoklah dulu macam mana)

Kata Imam pada penghujung Bahagian Ke-2 Kitab ‘Aqidah : “Dari itu, hendaklah kami bentangkan di dalam kitab (Ihya’ ‘Ulumuddin) ini dalil-dalil yang cemerlang itu. Dan hendaklah kami ringkaskan sekadar yang telah kami huraikan untuk ahli qudus (golongan yang mengquduskan Allah). Dan kami namakan “Risalah Qudsiyyah Tentang Qa’idah-qa’idah I’tiqad” (Ar-Risalah al-Qudsiyyah fi Qawa’id al-‘Aqaid) Dan semua itu tersimpan dalam bahagian ketiga kitab (Kitab ‘Aqidah) ini.”

Apakah kepentingan Risalah Qudsiyyah ini? Sebenarnya Risalah Qudsiyyah ialah sukatan pelajaran usuluddin Imam Al-Ghazali sendiri dan seterusnya ikhwan Tariqat Al-Ghazaliyyah. Imam Al-Ghazali dan ikhwan Tariqat Ghazaliyyah umumnya tidak menggunakan sukatan pelajaran usuluddin Sifat 20. Namun isi kandungannya lebih kurang sama sahaja dengan Sifat 20. Umumnya juga, jarang sangat ada orang selain ikhwan Tariqat Ghazaliyyah yang mengetahui hal ini.

Hasrat Imam Al-Ghazali untuk mengarang Risalah Qudsiyyah ini dinyatakannya dalam kitabnya At-Tahafut Al-Falasifah, ketika beliau menyanggah apa yang salah dan apa yang lemah dalam ajaran falsafah Plato, Aristotle, Al-Farabi, Ibnu Sina dan yang sewaktu dengan mereka. Dikhabarkan bahawa imam menyiapkan Risalah Qudsiyyah sebelum beliau mengarang kitab Ihya’. Apabila beliau mengarang kitab Ihya’, kitab Risalah Qudsiyyah pun dimasukkan sekali. Wallahua’alam.

Abu Zulfiqar
6 Mei 2015

No comments: