Saturday, March 28, 2015

Mimpi Kalimah Allah dan Istana di Langit



Sabtu 28 Mac 2015. Sejak petang semalam badan rasa tak sihat. Malamnya makin menjadi, sampailah ke hari ini. Pagi ni sepatutnya nak ke Mesyuarat PIBG di sekolah anak, lebih kurang 40 kilometer dari rumah, terpaksalah dibatalkan. Malam ni pula ada perkhemahan di sekolah, dekat dengan rumah je pun, nampak gayanya tak dapat pergi juga. Rajin nak menulis ni bukannya apa, nak berkongsi satu mimpi yang... tak tahulah apa istilah yang sesuai. Saya cerita sahajalah.

Pagi tadi, oleh kerana badan tak sihat, saya banyak berbaring lalu tertidur. Dalam tidur tu saya bermimpi melihat ke langi, langit malam yang dilindungi awan tebal dan besar, berwarna hitam dan kemerah-merahan. Lama langit berkeadaan begitu.

Kemudian tiba-tiba langit cerah dan bersih, sebersih-bersihnya hinggakan mata terpesona melihat jutaan bintang memenuhi langit, lebih daripada yang biasa kita lihat, berkerdipan memancar-mancar di seluruh pelusuk langit.

Kemudian, banyak kalimah “Ali lam lam ha” yang kemas tulisannya tertera di langit. Saya berasa takjub lalu mengambil gambar langit yang sangat indah itu menggunakan kamera telefon bimbit. Dapatlah ambil gambar dua kali lalu…

Bertukar lagi. Semua kalimah Allah tadi hilang dan digantikan dengan satu kalimah Allah yang sangat besar lagi cantik. Terasa macam betul-betul, bukan di dalam mimpi.

Seterusnya kalimah Allah tadi hilang dan digantikan dengan gambar istana yang sangat besar lagi cantik. Subhanallah…. alangkah indahnya langit dan gambaran-gambaran yang tertera padanya.

Tamatlah mimpi indah tersebut.
Wallahua’alam.

Dalam setahun dua yang lepas saya ada juga bermimpi kalimah Allah di langit ni. Sampai ke hari ini saya masih terkenang-kenang mimpi tersebut. Perkongsiannya ada saya selitkan dalam kuliah saya di sini https://www.youtube.com/watch?v=M0bxOoLn4Hg .





Wednesday, March 18, 2015

Mengapa Suka Berjanggut?



Lanjutan daripada pertanyaan sebab-musabab suka mengenakan serban hitam ialah persolan mengapa suka berjanggut?

Saya tidaklah menjawab panjang lebar, sekadar menyatakan hal-hal di bawah sebagai penyebabnya, memandangkan mudah sahaja untuk difahami.


“Cukurlah (potonglah) misai dan peliharalah janggut.” (Bukhari, Muslim)

“Berbezalah kamu daripada orang-orang musyrik, peliharalah janggut dan cukurlah misai.” (Bukhari, Muslim)

 “Berbezalah kamu dengan orang-orang musyrik, kerana mereka (orang-orang musyrik) mencukur janggut dan memanjangkan misai.” (Muslim)

“Kami diperintahkan supaya mencukur misai dan memanjangkan janggut.” (Muslim)

“Sepuluh perkara termasuk fitrah – memotong misai, memelihara janggut….” (Muslim)

“Kamu peliharalah janggut dan potonglah misai, dan janganlah kamu mencontohi Yahudi dan Nasrani.” (Ahmad)

“Sesiapa yang tidak memotong misainya, dia bukanlah daripada golongan kami.” (Turmizi)


Sebagai tambahan, riwayat-riwayat di bawah mungkin juga boleh diberi perhatian.

“Janganlah kamu mencontohi orang-orang asing, biarkanlah janggut kamu panjang.” (Al-Bazzar)

“Sesunggguhnya orang-orang musyrik itu memelihara misai mereka dan mencukur janggut mereka. Oleh sebab itu berbezalah kamu daripada mereka, dengan memelihara janggut dan memotong misai.” (Al-Bazzar)

Wallahua’lam.


Abu Zulfiqar
18 Mac 2015

*Riwayat-riwayat di atas saya petik kembali daripada tulisan panjang saya tentang Tariqat Ghazaliyyah pada tahun 2014 yang lalu.

Sunday, March 15, 2015

Musim Bunga di Kedah

Musim bunga Tecoma? Pink Trumpet Roses? Tabebuia Rosea? Yang pastinya bukan sakura. Jom kita pakat pi Kedah!

Subhanallah...! Errr... ada rasa nak berguling-guling bermandi bunga?

Siapa lagi yang menganugerahkan nikmat memandang dan nikmat warna pink untuk dipandang, kalau bukan Allah SWT? Adakah kita termasuk dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang menyatakan kesyukuran?

Eh, adik nak kira ke semua bunga ni? Tak yah lah kot. Sampai tahun depan belum tentu habis dik.

Banyak gandingan putih dan pink di Kedah ni. Memang kena. Sangat cantik!

Pokok putih kalau semuanya berbunga penuh, macam salju rupanya. Yang ni belum penuh lagi ni.

Tengok bunga-bunga yang berguguran dan terapung di atas air tu, memang cantik!

 Pokok pink yang tengah tu sedang berbunga penuh. Ya Allah, cantiknya makhluk ciptaan-Mu.

 Sekiranya lebih banyak ditanam di kiri kanan sungai ni, boleh buat aktiviti naik bot berbayar menyusur sungai. Cadangan untuk Majlis Perbandaran Alor Setar. Mesti ramai yang nak "shoot" gambar kiri kanan tebing sungai :) 

Sesiapa yang nak cuba mempraktikkan ilmu berjalan di atas air mungkin boleh "cuba try test tengok" (4 kali tu) berpijak di atas guguran bunga tu.  Kot-kot tak tenggelam :)

"Saya belum dapat jodoh. Nak mandi bunga kat situ boleh tak?"
"Tak payahlah, banyakkkan doa, mohon pada Dia, banyakkan istighfar, boleh jugak minta orang-orang soleh tolong carikan... dan pelbagai cara lagi."

Pokok ni berbunga lebih kurang dua minggu je setahun. Oleh kerana mekarnya tu tak sekata, ada yang awal dan ada yang lewat sikit, dapat le kot 3 minggu lebih. Hari ni 15 Mac 2015, rasa-rasanya ada lebih seminggu lagi ni. Mai cepat!

Untung pasangan pengantin pabila kena dengan musim bunga ni (baik pengantin baru atau pengantin lama... hehe). Bergambar di sana... bergambar di sini... Yang paling penting, jangan bertabarruj sudahlah. Tutup aurat dengan sempurna, bukannya sekadar membalut aurat, apatah lagi mendedahkan aurat. Nikmat Allah yang indah-indah ni kita nak kecap, hukum-hakam Dia kita sepak ke tepi. Ada ka patut?

Bayangkan anda sedang berjalan perlahan-lahan di bawah deretan pokok dalam gambar di atas ni, sambil melayangkan pandangan ke arah tebing sebelah sini sungai yang tak kurang juga pokok-pokok seperti itu.... sambil angin lalu bertiup lembut menyapa pipi..... fuhhh.... ucapkanlah : "Alhamdulillah".

"Sakura Malaysia" putih. Nak petik? Tak payah petik, kat bawah berlambak.

Memang manggamit perasaan. Tinggi ni! Tak tau la pulak kot-kot ada yang teringin nak panjat.

Kalau ditanam di tepi rumah, mungkin macam ni lah kot rupa bumbung rumah anda.

Pakai kamera telefon je ni, sebab tu tak "terlajak cantik" gambar-gambarnya. Tuan-tuan yang ada kamera canggih, dah tentu "terlanjur-lanjur" cantiknya :)

Bukan Korea, bukan Jepun, memang betoi Aloq Setaq :)

 Bukan pokok tecoma ni sahaja yang berbunga, ada beberapa spesis lagi yang turut sama mendendangkan lagu ria taat dan patuh kepada kehendak Penciptanya. Salah satunya yang bunga kuning ni. Cantik. Ada juga yang jenis bunga kuning kecil-kecil. Ringkas cakap... aneka warna, macam kuih-muih di pasar malam le jugak "musim bunga" di Kedah ni.

Tahun ni kena pulak dengan cuti sekolah seminggu, lagilah merentap-rentap hati untuk memburu "berkuntum-kuntum bunga sakura Malaysia di Gurun, Kedah". Boleh la berkawan dengan "Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara".

Jom kita melangkah bersama-sama.

Akhir kata, ini hanyalah sebahagian kecil daripada nikmat dunia, yang keseluruhan nikmat di dunia ini berbanding nikmat-nikmat di akhirat tidak sampai pun sebelah sayap nyamuk. Sama-sama ambil pengajaran. Wallahua'alam.

"Kalaulah dunia ini sama (nilainya) di sisi Allah dengan sehelai sayap nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi minum orang-orang kafir walaupun seteguk air." (Turmizi, Ibnu Majah, Al-Hakim)


Thursday, March 12, 2015

Zikir Harian - Apa Lebihnya Beristighfar?



Apalah lebihnya beristighfar ini sehinggakan sangat digalakkan dalam Tariqat Ghazaliyyah untuk dilakukan pada bila-bila masa, bahkan dimasukkan ke dalam sukatan pelajarannya sebagai Zikir Harian untuk hari Rabu?


Kelebihan-kelebihan Beristighfar Menurut Al-Quran

“Maka aku katakan kepada mereka : “Beristighfar-lah kamu kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan lebat kepadamu, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan sungai-sungai.” (Nuh: 10-12).
“Dan (dia berkata): “Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat lebat atasmu, dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan melakukan dosa”. (Hud : 52).

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya, nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik kepadamu sampailah kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan keutamaannya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa seksa hari kiamat.” (Hud : 3).

“Hendaklah kamu meminta ampun kepada Allah, agar kamu mendapat rahmat”. (An-Naml : 46).

“Dan tidaklah Allah akan mengazab mereka, sedangkan mereka meminta ampun”. (Al-Anfal : 33)

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan mencintai orang-orang yang mensucikan diri.” (Al-Baqarah: 222).


Fadhilat-fadhilat Beristighfar Menurut As-Sunnah

“Sungguh Allah lebih suka akan taubat hamba-Nya daripada kesukaan salah seorang dari kalian yang menjumpai semula untanya yang hilang di padang pasir.” (Bukhari & Muslim).

“Demi Allah, Sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah (beristighfar) dan bertaubat kepada-Nya dalam sehari lebih daripada tujuh puluh kali.” (Bukhari).

“Barangsiapa yang duduk dalam satu majlis lalu di dalamnya banyak salah dan silap, kemudian sebelum ia bangkit dari majlis ia membaca : “Subhaanakallahumma wa bihamdika asyhadu allaa ilaaha illaanta astaghfiruka wa atuubu ilaik”, (Maha suci Engkau ya Allah dan aku memuji-Mu dan aku bersaksi bahwa tiada Allah melainkan Engkau, aku meminta ampun dan bertaubat kepada-Mu), maka akan diampuni kesalahan-kesalahan yang dilakukannya selama berada di majlis itu.” (Turmidzi, Nasa’i, Ibnu Hibban, Abu Daud dan Al Hakim).

“Apabila seorang mukmin melakukan suatu dosa, maka tercoretlah noda hitam di hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkannya dan beristighfar, maka bersihlah hatinya.”(Nasa’i, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Turmidzi).

"Barangsiapa yang selalu beristighfar, maka Allah akan memberikan kegembiraan dari setiap kesedihannya, dan kelapangan bagi setiap kesempitannya, dan memberinya rezeki dari sudut yang tiada disangka-sangka.”(Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad).

“Sesungguhnya seorang hamba boleh tertahan rezekinya kerana dosa yang dilakukannya.” (Ahmad, Ibnu Hibban, Ibnu Majah).

“Allah telah berfirman :"Wahai hamba-hamba-Ku, setiap kalian pasti berdosa kecuali yang Aku pelihara. Maka beristighfarlah kalian kepada-Ku, nescaya kalian Aku ampuni. Dan barangsiapa yang meyakini bahawa Aku punya kemampuan untuk mengampuni dosa-dosanya, maka Aku akan mengampuninya dan Aku tidak peduli.” (Ibnu Majah, Turmizi)

“Sesungguhnya syaitan telah berkata,”Demi kemuliaan-Mu ya Allah, aku terus-menerus akan menggoda hamba-hamba-Mu selagi roh mereka ada dalam badan mereka. Maka Allah membalas : ”Dan demi kemuliaan dan keagungan-Ku, Aku senantiasa mengampuni mereka selama mereka memohon ampunan kepada-Ku.”(Ahmad, Al-Hakim).

“Barangsiapa menjadikan istighfar sebagai kebiasaan, pasti Allah memberi kepadanya jalan keluar daripada kesempitan dan memberi rezeki yang tidak terhingga.” (Abu Daud).

“Orang yang bertaubat adalah kekasih Allah. Orang yang bertaubat atas dosanya, bagaikan orang yang tidak berdosa.” (Ibnu Majah)


Fadhilat Beristighfar Menurut Ulama

                Ibnu Shabih berkata : “Hasan al-Basri pernah didatangi seseorang dan mengadu bahwa ladangnya tandus, dia berkata, “Perbanyaklah istighfar”. Lalu ada orang lain yang mengadu bahawa kebunnya kering, dia berkata, “Perbanyaklah istighfar”. Lalu ada orang lain lagi yang mengadu bahwa dia belum punya anak, dia berkata,”Perbanyaklah istighfar”. (Kitab Fathul Bari: 11/98)


Himpunan Fadhilat/Kelebihan Beristighfar 

1.       Diampunkan segala dosa.
2.       Diturunkan hujan lebat.
3.       Menghilangkan kemarau.
4.       Ditambah harta.
5.       Dikurniakan anak-anak.
6.       Dikurnikan tanah pertanian yang subur.
7.       Ditambahkan “kekuatan”.
8.       Dikurniakan nikmat berterusan.
9.       Terhindar daripada azab.
10.   Terlepas daripada seksaan pada Hari Qiamat.
11.   Dikurniakan rezeki.
12.   Dicintai Allah.
13.   Mendapat pahala Sunnah kerana mencontohi Nabi saw.
14.   Menghapuskan kesalahan2 dalam sesuatu majlis.
15.   Membersihkan hati.
16.   Dihapuskan kesedihan dan diberikan kegembiraan.
17.   Dihilangkan kesempitan dan diberi kelapangan.
18.   Dikurniakan rezeki melalui jalan yang tidak disangka-sangka.
19.   Rezeki2 yang masih tertahan dilepaskan.
20.   Ada harapan terpilih sebagai kekasih Allah.


Alangkah banyaknya keuntungan beristighfar? Oleh itu, hendaklah kita meringankan diri untuk beristighfar dan menghayatinya. Semoga kita termasuk dalam kalangan hamba-hamba Allah yang mencintai-Nya dan dicintai-Nya.

Abu Zulfiqar
12 Mac 2015