Sunday, September 29, 2013

Menjelang Khatam Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin (Bab Ilmu)

Insya-Allah majlis khatam kitab Kitab Ilmu daripada kitab Ihya’ ‘Ulumuddin akan diadakan pada hari Isnin malam Selasa 7 Oktober 2013, iaitu pada kuliah kitab Ihya’ ‘Ulumuddin bagi kali ke-82.

Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini terdiri daripada 40 tajuk besar yang setiap satunya disebut “kitab”. Kitab Ilmu ialah yang pertama daripada 40 kitab tersebut. Masih ada 39 kitab lagi untuk kita sama-sama terokai.

Syarahan Kitab Ilmu ini diadakan hampir setiap minggu bermula pada bulan Mac 2011 dan dijangka berakhir pada awal Oktober 2013 ini. Maksudnya kesemua 82 kali kuliah Kitab Ilmu mengambil masa lebih kurang dua setengah tahun untuk ditamatkan. Dijangkakan keseluruhan kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini akan selesai disyarahkan dalam tempoh 20 ke 23 tahun.

Tempoh pengajian yang panjang ini adalah kerana kitab Ihya’ ‘Ulumuddin di Surau An-Nur, Trong, Perak disyarahkan dengan terperinci. Syarahan ringkasnya diadakan di Masjid PGA (Komando 69), Ipoh yang dijalankan sebulan sekali.

Alhamdulillah, syukur! Dengan izin-Nya, setakat ini kesemua 80 kuliah kitab Ihya’ sejak kelas pertama berjaya dirakam dan dimuatnaik ke Youtube. Sudah ada 537 fail dan masih berbaki sekitar 8-10 fail lagi untuk tamat. Setiap satu fail berdurasi antara 7 ke 12 minit.

Fail 1-99 adalah dalam bentuk audio.
Fail 100 dan seterusnya dalam bentuk video.
Tuliskan “syarah ihya” di Youtube untuk bertemu.

Majlis di Masjid PGA Ipoh juga ada dimuatnaik. Tuliskan “ihya masjid pga”. Cuma kelas di Masjid PGA hanya dirakam bermula kelas yang ke-5.

Kitab Ilmu dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini sangat penting. Sebab itulah Imam Al-Ghazali meletakkannya di awal-awal kitab, bahkan mendahului Kitab Tauhid! Kitab Tauhid pun diletakkan pada urutan ke-2! Maksudnya tentu ada sesuatu (sebenarnya banyak) perkara penting yang Imam mahu kita hadamkan terlebih dahulu sebelum diri kita sesuai untuk mendalami kitab-kitab seterusnya.

Selepas ini kita akan masuk Kitab Tauhid, satu bab yang sangat ditunggu-tunggu daripada kitab Ihya’ ini. Oleh itu, kita sangat-sangat berpesan… agar sesiapa yang mahu mengikuti kupasan Kitab Tauhid nanti, hendaklah menyelesaikan pengajian Kitab Ilmu terlebih dahulu. Bukan saja-saja Imam menulis Kitab Ilmu panjang lebar dan diletakkannya di awal kitab Ihya’ ‘Ulumuddin. Untuk memahami dan menghayati bab-bab seterusnya dalam Ihya’ mungkin kita boleh, tetapi untuk sampai ke tahap menghayati, kuncinya ada dalam Bab Ilmu. Di situ antara rahsianya.

Kitab Ilmu ialah manual kepada pembinaan bahtera Ihya’ ‘Ulumuddin. Jika kita mengabaikan manualnya lalu terus sahaja mahu menggunakan alat-alatnya lalu membina bahtera yang seperti bahtera Ihya’ ‘Ulumuddin, bahtera itu mungkin boleh siap dan seiras rupa, tetapi akan jauh berbeza dari sudut-sudut yang lain.

Bahtera Ihya’ ‘Ulumuddin meluncur laju, bahtera kita perlahan.
Bahtera Ihya’ tiba awal, kita masih di tengah lautan.
Bahtera Ihya’ tahan lama, bahtera kita baru dipakai pun sudah longgar skru dan paku, berbunyi apabila dipijak atau disandar, asyik kena tukar kena perbaik.
Bahtera Ihya’ tetap cantik, bahtera kita walaupun belum lama tapi sudah kelihatan lusuh dan buruk.
Bahtera Ihya’ bersih dan kemas, bahtera kita kotor dan berselerak.
Bahtera Ihya’ tepat binaannya, bahtera kita kiat sana senget sini.
Bahtera Ihya’ selesa dalamannya, bahtera kita sempit luas tidak menentu.
Kerana apa?
Kerana mengabaikan manualnya… iaitu Kitab Ilmu.

Selesaikan Kitab Ilmu terlebih dahulu, lebih-lebih lagi kepada mereka yang mengikuti pengajian kitab Ihya’ ini melalui internet. Biar diulang-ulang, lagi bagus.

Majlis khatam Bab Ilmu itu nanti akan dibuat ala kadar sahaja, sekadar ada. Insya-Allah akan dibuat kenduri kesyukuran dan para hadirin akan dihadiahkan senaskah lembaran yang memuatkan isi-isi penting pelajaran kitab Ihya’ ‘Ulumuddin dari  kelas pertama sampailah kelas terakhir Kitab Ilmu (masih belum siap, dianggarkan sekitar 40 mukasurat). Kemudian kita akan mengimbas kembali isi-isi penting seluruh Kitab Ilmu. Diakhiri dengan sedikit doa Imam Al-Ghazali yang terdapat di akhir kitab Ihya’ ‘Ulumuddin.

Semoga segala usaha kita untuk dunai dan akhirat dimudahkan Allah.

Abu Zulfiqar
29 September 2013

(*Sebarang perubahan akan dimaklumkan kelak)


Tazkirah Facebook ke-16 (Mac 7, 2012)

Rajin mendengar ceramah popular memang bagus, tapi... rajin mendengar ceramah popular DAN rajin juga mendengar kuliah bersiri (berkitab), adalah lebih bagus.

Ceramah popular dapat mencetuskan rasa suka kepada agama dan ilmu-ilmunya. Ceramah popular juga dapat mengekal malah menambahkan rasa itu bagi mereka yang sudah sedia suka akan agama dan ilmu-ilmunya.

Namun dengan hanya rajin mengikuti ceramah-ceramah popular, tidak dapat menjadikan seseorang itu banyak ilmu agamanya walaupun memang ada pertambahan. Tidak ada orang yang hanya menghabiskan usahanya mengejar ceramah-ceramah popular bertahun-tahun, kemudiannya kita dapat tahu dia berjaya menjadi seorang ilmuwan agama. Tidak ada.

Untuk mendapatkan pemantapan, pelambakan dan pendalaman ilmu-ilmu agama, kita hendaklah rajin pula mengikuti kuliah-kuliah bersiri. Terbukti, ramai juga mereka yang rajin mengejar kuliah-kuliah bersiri, bertahun-tahun selepas itu akhirnya berjaya pula menjadi seorang pengajar (atau sekurang-kurangnya ada ilmu sebagaimana pengajar sekalipun dia tidak mengajar).

Teruskanlah mendengar/mengikuti ceramah-ceramah popular, tapi luangkanlah juga masa untuk mendengar/mengikuti kuliah-kuliah bersiri (sama ada secara langsung ataupun melalui media seperti internet), sekalipun kita tidak bercita-cita untuk menjadi seorang pengajar suatu hari nanti. Tapi... takkanlah kita tak mahu mentarbiyyah isteri dan anak-anak? Cukupkah ilmu dan motivasi dari ceramah-ceramah popular sahaja untuk mengajar agama kepada mereka?

Ceramah popular isinya bersifat umum. Huraian dan bahasannya terdapat dalam pengajian berkitab. Oleh itu, jangan berpuas hati sekadar dengan menjadi seorang peminat ceramah popular. Jadilah juga peminat tegar kuliah bersiri (berkitab). Jumpa lagi : )


Abu Zulfiqar

Thursday, September 5, 2013

Seni Beladiri yang Sesuai

PERSOALAN : Assalamualaikum warahmatullah 
Anak bujang ambe (12 tahun) dok bising nak masuk tae kwon do... ambe pulak lebih suka dia belajar silat Melayu... tapi dengar kata silat Melayu ni campur dengan mantera2 sekali... silap gaya berlaku 'penurunan'.. betui ka? 
Macamana pula martial art yang lain2? Ada cadangan? 

Bila kita tengok senario sekarang ni macam2 benda berlaku, kadang2 depan mata kita.. perlu ada ilmu pertahanan diri ni... ilmu kebal tu tak mau laa.. ilmu keras pun kalau boleh jangan bincang di sini...!! 

So martial arts yang mana yang paling bestt?


PANDANGAN : Pilih yang sesuai dengan keadaan diri, persekitaran dan masa depan orang yang bakal belajar. 

Contoh : 
- Jenis duduk dalam hutan rimba yang sempit dan berduri, jarang jumpa kawasan lapang, kurang sesuailah belajar taekwondo, takyeon atau capoeira. 
- Jenis nak jadi askar/mujahiddin yang bakal ke medan perang, kurang sesuailah belajar Sila Cekak. Tentulah nak asah kemahiran bergumpal di tanah, berguling sambil menyerang atau diserang, lari susup-sasap mengelak peluru dan bom, berlawan dalam lumpur, minyak, atas sampan kecil dsb. Lebih baik belajar silat harimau, Penjurit Kepetangan Melayu, ninjutsu, Silat Gayong dsb. 
- Jenis nak buat kerjaya, perlu pengiktirafan (master, grandmaster, dan-dan, talipinggang dsb), tentulah tak sesuai belajar Jeet Kune Do. Elok belajar taekwondo, karate, judo dsb. 
- Jenis nak jadi pemimpin, ulama atau apa-apa kerjaya yang perlukan penampilan sopan, eloklah belajar Silat Kalimah, Aikido, Wing Chun atau seumpamanya. 
- Jenis yang lebih kepada kesihatan dan kerehatan, eloklah belajar taichi, aikido, shaolin. 

Kata orang... sesuaian pesilat dengan silatnya. Wallahualam.

Ada seni beladiri yang sangat bagus dalam jarak pertempuran tertentu. Sekadar contoh umum : 

1. Jarak tendangan - taekwondo, capoeira, kick boxing, muay thai, savate, karate, taekyon, silat olahraga 

2. Jarak tumbukan - silat cekak, silat kalimah, silat lian, wing chun, muay thai, hung gar, tai-chi, karate, silat olahraga 

3. Jarak pergelutan - wing chun, silat sendeng, aikido, silat lintau 

4. Jarak gumpalan (di bumi) - judo, jujitsu, gusti, silat lintau, harimau minangkabau 

5. Jarak di luar tendangan - ninja dan seumpamanya, monkey fist, silambam 

Dalam Jeet Kune Do, semua jarak pertempuran dilatih hampir2 sama berat.



Abu Zulfiqar

Tazkirah Facebook 50 (November 7, 2012)

Gaji tahunan tidak naik, kita bising. Bonus tahunan tidak diberi, jiwa kita memberontak.
Tetapi apabila ilmu agama kita tidak bertambah berbanding tahun lepas, kita tidak pula rasa apa-apa. Amalan agama kita tidak meningkat, tidak pula timbul rasa tidak puas hati. Betul kan?

Mula-mula bekerja 10 tahun dulu gaji kita RM 900. Sekarang sudah RM 3,000. Katakanlah majikan hendak batalkan gaji sekarang lalu beri gaji seperti 10 tahun dahulu sahaja. Mengamok tak? Tapi ilmu agama dan amal-amal kita hari ini lebih kurang sama sahaja dengan 10 tahun yang lalu, kalau bertambah pun sikit sahaja, tidak pula kita berasa apa-apa. Betul kan?

Itulah kita. Kalau keduniaan kita tidak bertambah baik berbanding hari-hari semalam, kita sangat tidak berpuas hati. Tapi kalau keakhiratan kita tidak bertambah baik berbanding hari-hari semalam, kita tidak berasa apa-apa pun. Astaghfirullah…….

Ingatan untuk diri…….




Abu Zulfiqar

Tazkirah Facebook 49 (November 7, 2012)

Ada orang baru hendak belajar cara memanjat dan menuruni pokok kelapa. Kita gunakan jentera dan terus  letakkan dia di pucuk pokok kelapa setinggi 30 kaki. Memanglah dia hebat dipandang orang kerana kedudukannya yang tinggi, tapi… bolehkah dia turun? Bolehkah dia memanjat? Hampir-hampir pasti tidak boleh, kerana dia tidak tahu cara memanjat atau menuruni pokok kelapa.

Orang kedua kita letakkan di tengah-tengah batang pokok kelapa. Memanglah hebat dipandang orang. Bolehkah dia naik ataupun turun? Hampir-hampir pasti tidak boleh kerana dia tidak tahu pun cara memanjat atau menuruni pokok kelapa. Terpaksa kita panggil bomba untuk menyelamatkannya.

Orang ketiga kita letakkan di perdu pokok kelapa. Dari situ dia belajar memanjat dan menuruni pokok kelapa sedikit demi sedikit. Bolehkah dia panjat dan turun? Insya-Allah boleh, kerana dia belajar dari bawah cara-cara untuk panjat dan turun.


Pengajarannya, apabila kita baru-baru hendak mendalami ilmu-ilmu agama, jangan terlalu ghairah untuk terus belajar bahagian yang tinggi-tinggi, yang rahsia-rahsia. Kelak diri sendiri yang rosak binasa. Belajarlah beransur-ansur, mengikut sukatan pelajarannya dan mengikut keupayaan diri kita, dan mengikut panduan orang-orang lama. Guru-guru juga janganlah terlalu ghairah hendak meletakkan anak-anak murid mereka di maqam yang tinggi-tinggi. Kaji terlebih dahulu keupayaan si murid. Wallahua’lam.


Abu Zulfiqar

Tazkirah Facebook 48 (November 6 2012)

Belajar ilmu-ilmu agama seumpama menyelam ke dalam lautan. Lagi diselam, lagi seronok. Lagi diselam, lagi banyak benda-benda hebat yang kita temui. Lagi diselam lagi berasa banyaknya kekurangan pengetahuan kita tentang isi lautan, membuatkan kita ingin lebih tahu dan lebih tahu lagi.

Mula-mula terjun ke dalam laut, kita dikelilingi air. Kita seolah-olah sedang terapung-apung atau terbang dalam lautan air. Alangkah seronoknya. Kemudian kita nampak ikan-ikan. Pelbagai jenis, beribu-ribu jumlahnya. Alangkah seronoknya. Selam lagi, terjumpa pula haiwan-haiwan selain ikan. Selam dalam lagi, ternampak pula karang-karang laut yang berwarna-warni. Bertambah seronok, selam lagi. Ketemu pula haiwan-haiwan lautan yang aneh. Lebih dalam lagi, kelihatan pula haiwan-haiwan berlampu. Makin diselam makin seronok. Makin diselam makin mahu mengetahui ilmu atau rahsia seterusnya.

Kalau kita tidak menyelam, kita rasa diri kita sudah cukup pengetahuan tentang lautan. Apabila menyelam, barulah terasa diri kita banyak yang tidak tahu.


Begitulah halnya dengan mempelajari agama. Marilah kita sama-sama menyelam ke dalam lautan agama tanpa jemu. Insya-Allah kita akan bertemu dengan pelbagai keindahan di dalamnya.


Abu Zulfiqar

Tazkirah Facebook 47 (Oktober 28, 2012)

Gitar…….
Jika talinya terlebih tegang, bunyinya lari dan kemungkinan putus.
Jika talinya kendur, bunyinya sumbang dan rupanya juga jadi tidak menarik.
Tali yang tidak terlebih tegang dan tidak kendur, akan menghasilkan bunyi yang sedap dan irama yang menawan.

Begitulah halnya kita bermujahadah dalam hal ehwal keagamaan.
Jangan terlebih ghairah untuk melakukan itu ini dalam agama.
Dan jangan pula sampai tidak ada keghairahan untuk melakukan itu ini dalam agama.
Teruskanlah keghairahan dalam hal ehwal agama tetapi dengan jalan yang sederhana.

Masalahnya, ramai yang menyangkakan mereka sedang berada pada jalan yang sederhana, padahal sebenarnya mereka sedang berada dalam kekenduran. Mereka tidak punya keghairahan pun untuk mengusahakan itu ini dalam agama.

Muhasabah diri. Adakah kita ghairah untuk agama dalam kehidupan kita sehari-hari?




Abu Zulfiqar

Tazkirah Facebook 46 (Oktober 25, 2012)

Ada orang bekerja, pendapatannya untuk diri sendiri pun tidak cukup.
Ada orang bekerja, pendapatannya cukup-cukup sahaja untuk dirinya sendiri.
Ada orang bekerja, pendapatannya lebih, sehingga dia boleh buat simpanan.
Ada orang bekerja, pendapatannya lebih banyak, sehinggakan dia dapat berkongsi dengan orang lain melalui sedekahnya, hadiahnya, zakatnya, kendurinya, qurbannya…….
Jenis yang terakhir inilah yang terbaik.

Samalah halnya dalam menuntut ilmu agama.
Ada orang belajar, untuk dirinya sendiri pun tidak cukup.
Ada orang belajar, cukup-cukup untuk dirinya.
Ada orang belajar, lebih, tetapi belum cukup untuk dikongsikan dengan orang lain.
Ada orang belajar, lebih banyak, sehingga dia dapat berkongsi dengan orang lain, iaitu mengajarkannya.
Jenis yang terakhir inilah yang terbaik.
Begitulah kata Imam Al-Ghazali.


Di manakah kita?


Abu Zulfiqar

Tazkirah Facebook 45 (Oktober 25, 2012)

Beri sehelai kertas kosong dan sebatang pen kepada anak atau adik kita. Beri dia masa dua minit, minta dia tuliskan nama-nama artis atau ahli sukan yang dia ingat. Cukup dua minit, semak senarai yang dia buat. Biasanya penuh muka surat dan tak cukup waktu menulis. Begitulah keupayaan generasi muda hari ini.

Beri sehelai kertas kosong dan sebatang pen kepada anak atau adik kita. Beri dia masa dua minit, minta dia tuliskan nama-nama ulama yang dia ingat. Cukup dua minit, semak senarai yang dia buat. Biasanya banyak ruang kosong dan senarainya pendek. Tidak sampai setengah minit, dia sudah tidak tahu apa yang hendak ditulis. Kadang-kadang nama ustaz ustazah yang bukan ulama pun ditulisnya juga. Begitulah keupayaan generasi muda hari ini.

Ambil sehelai kertas kosong dan sebatang pen. Dalam masa dua minit, KITA PULA cuba senaraikan nama-nama artis atau ahli sukan. Dapatkah kita memenuhkan helaian kosong itu? Insya-Allah mudah sahaja. Begitulah keupayaan generasi tua hari ini.

Kemudian… ambil sehelai kertas kosong dan sebatang pen. Dalam masa dua minit, KITA PULA cuba senaraikan nama-nama ulama. Dapatkah kita memenuhkan helaian kosong itu? Begitulah keupayaan generasi tua hari ini.

Dengan generasi tua dan generasi muda yang rata-ratanya sebegini, kita sudah boleh mengagak keupayaan generasi umat Islam yang akan datang. Adakah kita hendak membiarkan sahaja keadaan sebegini berterusan?


Perubahan bermula pada diri sendiri. Jangan hanya berharap orang lain untuk berubah, melainkan kita sendirilah yang mesti berubah terlebih dahulu. Dan … perubahan itu mestilah bermula dari sekarang!


Abu Zulfiqar

Tazkirah Facebook 44 (Oktober 19. 2012)

“Abu, kebun aku kena serang dengan kera le.”
“Ye ke?”
“Iye. Habis buah-buah dan pokok-pokok aku dijahanamkan. Ni aku nak upah engkau pergi tembak kera-kera di kebun aku tu. Boleh ke?”
“Eh, insya-Allah beres! Nanti petang aku pergi.”
“Ok, nanti aku bayar upahnya.”
“Baik.”

Petang itu Abu pun pergi ke kebun Ali dengan senapang kampungnya, tapi… Abu gagal menembak seekor kera pun. Mengapa ya? Kerana Abu tidak kenal pun yang mana satu haiwan yang dinamakan kera itu!

Untuk menghapuskan kera di kebun, kenalah kenal yang mana satu kera terlebih dahulu. Jika tidak kenal, apa yang hendak ditembak? Apa yang hendak ditangani?

Begitu jugalah halnya dengan sifat-sifat mazmumah. Hendak mengekang, menghilang atau menghapuskan sifat-sifat mazmumah dalam diri kita, hendaklah kita mengenal sifat-sifat mazmumah itu dari segi punca-puncanya, tanda-tandanya dan cara-cara mengubatinya. Mana mungkin memburu sesuatu yang tidak kita kenal. Begitulah antara maksud Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumiddin.

Sudahkah kita mengetahuinya? Ada guru kita mengajarkannya? Ada jemaah kita menerapkannya?



Abu Zulfiqar