Pengorbanan pada jalan Allah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan keluarganya menjadi bualan umat manusia zaman berzaman. Nabi Ibrahim berkorban meninggalkan tanah airnya di Babylon, pasangannya Siti Sarah dirampas penguasa Mesir, pasangannya Siti Hajar sanggup diasingkan ke lembah Bakkah (Mekah) di tengah padang pasir, anaknya Nabi Ismail a.s. sanggup disembelih, Nabi Ibrahim berulang-alik antara Palestin dan Mekah menziarahi anak-anaknya, dan sebagainya. Semua pekerjaan itu memerlukan jiwa yang kuat iaitu yang berisi keberanian untuk berkorban pada jalan Allah.
Untuk siapakah kita berkorban? Tidak lain ialah untuk Allah dan Rasul-Nya. Bagaimana dengan diri, keluarga, masyarakat dan umat? Sebenarnya apabila kita berkorban demi Allah dan Rasul-Nya, secara automatik kita sebenarnya sedang berkorban untuk diri, keluarga, masyarakat, dan umat keseluruhannya.
Tamsilannya, apabila kita berjuang untuk menguatkan badan melalui jalan makan dan minum, secara automatik kita sebenarnya sedang berjuang untuk menguatkan pertuturan, pendengar, penglihatan dan anggota tubuh yang lain kerana semua itu menjadi kuat hasil daripada kuatnya badan. Badan yang kuat pula datangnya daripada makan dan minum yang secukupnya. Lemah tubuh badan mengakibatkan lemahlah kemampuan bertutur, mendengar, melihat dan lain-lain. Jadi, pengorbanan kita untuk Allah dan Rasul-Nya secara tidak langsung berupa pengorbanan kepada diri, keluarga, masyarakat dan umat.
Tuhan berfirman : “Katakanlah, sekiranya bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarga kamu, kekayaan yang kamu perolehi, perniagaan yang kamu khuatiri kerugian, dan tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjuang pada jalan Allah, tunggulah sampai Allah mendatangkan perintah-Nya.” (At-Taubah : 24)
Siapakah yang mesti berkorban pada jalan Allah? Para ulama? Para mujahid? Para pendakwah? Jika kita saling mengharapkan orang lain untuk berkorban, akhirnya tidak ada sesiapa pun yang berani melakukannya. Diteladankan sebuah kisah tentang seorang raja yang meminta para pembesar dan rakyatnya menyumbangkan wang untuk membiayai peperangan yang bakal melanda negeri. Sebuah tong diedarkan kepada rakyat yang berhimpun. Seorang demi seorang menyeluk uncang wang masing-masing lalu menghulurkan tangan ke dalam tong tersebut dengan gaya memasukkan wang. Apabila tong itu kembali kepada raja, ternyata tong itu masih kosong. Tidak ada sesiapa yang menyumbang wang kerana masing-masing beranggapan : “Kalau aku seorang tidak menyumbang pun tidak mengapa, ribuan orang lagi pasti akan menyumbang.” Pendek kata, berkorban pada jalan Allah ini jatuh pada semua orang.
Pengorbanan pada jalan Allah hendaklah bermula dengan diri sendiri. Ramai orang berfikir mahu merubah dunia, tetapi tidak terfikir pun untuk merubah dirinya sendiri. Apabila diri sudah punya semangat pengorbanan, kita suntikkan kepada keluarga dan rakan-rakan kita. Keluarga-keluarga dan perkumpulan-perkumpulan yang punya semangat untuk berkorban ini secara tidak langsung akan membentuk pula masyarakat yang sanggup berkorban. Apabila masyarakat Islam sudah memiliki semangat dan gerak kerja pengorbanan, mudahlah perjalanan kita untuk membina semula daulah Islam dan seterusnya menerajui dunia seperti pada zaman kegemilangan Islam kali pertama dahulu. Beginilah marhalah dalam membina semangat sanggup berkorban pada jalan Allah dalam kalangan umat Islam.
Bila masanya untuk kita berkorban dan di mana? Jawapannya ialah sekarang iaitu di dunia ini. Mengapa? Kerana nikmat berkorban dan berjuang pada jalan Allah itu hanya boleh dinikmati di dunia ini, ketika kita masih hidup ini. Di syurga umumnya ada nikmat berpasang-pasangan, istana, taman-taman, kerehatan, kelazatan makan minum, buah-buahan, sungai-sungai, perhiasan dan sebagainya yang umumnya terdapat juga di dunia ini walaupun sangat jauhlah berbeza antara nikmat akhirat dengan nikmat dunia itu. Tapi kita mesti ingat bahawa kenikmatan berkorban, berjuang dan bersusah-payah pada jalan Allah hanya ada di dunia ini, bukan di syurga. Oleh itu, janganlah kita kesampingkan kenikmatan yang menjadi makanan harian para rasul dan nabi ini.
Alangkah beruntungnya orang-orang yang sudah merasai kemanisan dan kelazatan berkorban pada jalan Allah ini, sehinggakan mereka akan berasa tidak puas jika tidak melakukannya. Kita contohkan dengan orang yang membuat latihan angkat berat. Memang banyak masa dan tenaga yang perlu dikeluarkan tetapi semua itu berubah menjadi ketagihannya pula apabila melihat otot-ototnya bertambah tegap dan tenaganya dirasakan meningkat dari semasa ke semasa. Perkara yang dipandang berat oleh orang lain kini menjadi kegemarannya pula kerana dia sudah sampai ke peringkat merasai manis dan lazatnya berkorban masa dan tenaga dalam proses membina tubuh badan.
Mengapa kita mesti berkorban pada jalan Allah ketika di dunia ini? Tidakkah perlakuan itu akan mengurangkan kesempatan dan masa kita untuk menikmati nikmat-nikmat Allah yang lain di sekeliling kita? Benar, tetapi kita mesti faham bahawa rata-rata jangka hayat manusia di dunia pada zaman ini sekitar 70 ke 80 tahun sahaja, padahal jangka hayat kita di akhirat nanti adalah sangat lama, selama-lamanya. Bandingkanlah jangka hayat kita di dunia dengan hayat kita di akhirat kelak.
“Dan kehidupan dunia ini hanyalah senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui.” (Al-‘Ankabut : 64)
Apalah sangat nilainya kenikmatan hidup selama 70 ke 80 tahun itu berbanding kenikmatan hidup di akhirat yang selama-lamanya itu? Sebab itulah orang-orang yang bijak akan berusaha untuk menyediakan bekalan hidup di dunia sepadan dengan usianya di dunia, dan menyediakan bekalan untuk hidup di akhirat sepadan dengan kekalnya dia di sana. Bagi orang-orang jenis ini, tidak ada kesulitan buat mereka untuk berkorban pada jalan Allah.
“Adakah kamu puas dengan kehidupan dunia sebagai ganti kehidupan akhirat, padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kenikmatan hidup) di akhirat hanyalah sedikit.” (At-Taubah : 38)
Berkorban juga merupakan sunnah para rasul dan nabi. Tidakkah kita ingin mengamalkannya? Tambahan lagi pengorbanan kita pada jalan Allah dijanjikan balasan yang sangat hebat oleh Allah sendiri, bukannya percuma di sisi-Nya.
Firman Allah : “Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri ataupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.” (At-Taubah : 111)
Apakah yang sepatutnya kita korbankan pada jalan Allah? Antaranya ialah masa, tenaga, wang, harta-benda, kerehatan, keselesaan dan sebagainya, bahkan nyawa sekalipun jika kena pada tempatnya. Dunia ialah tempat untuk berkorban dan berjuang, segala kenikmatan dunia hanyalah sebagai penawar atau pelega sementara kepada kelesuan berjuang. Pengecapan nikmat yang sebenar ialah di syurga nanti. Berehatlah, makanlah, berhiburlah sepuas-puasnya di sana nanti. Bagi orang-orang yang yakin, mereka akan bersabar untuk mengecap kerehatan selama-lamanya di sana.
Takut atau ragu-ragu untuk berkorban pada jalan Allah? Umat bukan Islam pun sanggup berkorban demi kepercayaan mereka yang hampa itu, adakah kita umat Islam sebagai umat pilihan ini tidak sanggup? Malulah kita! Khuatir akan gagal dan modal pengorbanan yang dikeluarkan akan sia-sia? Sebenarnya Allah lebih menilai usaha berbanding hasil.
Kita mengharapkan agar dipilih oleh Allah dan diberikan-Nya kemanisan, kelazatan serta keberanian berkorban pada jalan-Nya.
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian.
Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.
Abu Zulfiqar
Oktober 2011
No comments:
Post a Comment