Tuesday, November 22, 2011

Mahu Tips Tenangkan Hati

PERSOALAN :

Assalamualaikum...

Nak minta tips ketenangan hati, mengawal perasaan dan emosi.

JAWAPAN :

Wlksm,


1. Jika ada orang bersalah dengan kita sikit-sikit tu, kita niat maafkan kesalahan mereka ketika ini juga. InsyaAllah hati dan minda akan berasa lapang.

2. Selalu-selalu ambil wudhuk, ataupun sekurang-kurangnya basuh muka dan tangan. Sekali sapu air ke muka, sebut "Allahu Akbar" (atau lain-lain) dalam hati. 3 kali sapu air ke muka, maksudnya 3 kali dah zikir. Selalunya kita ambil wudhuk ataupun basuh muka 'kosong' aje kan? Sekarang disertakan dengan zikir khafi (zikir dalam hati). InsyaAllah kita akan berasa wudhuk/ basuh muka kita lebih bermakna.

Pahala dapat, segarkan diri dapat, awet muda pun dapat : )

3. Buat senaman ringan, urut-utur an longgarkan badan, picit-picit kaki dan tapaknya, bernafas dengan tenang dan dalam-dalam... insyaAllah dapat membantu.

4. Cari teman berbual, bual kosong je, jangan bual hal yang berat-berat. Yang ni pun dapat tenangkan hati jugak.

5. Tengok langit (siang/malam), perhatiakn ke serata penjuru. Tengok air mengalir (sungai dan lain-lain) pun membantu jugak.

Abu Zulfiqar

Saturday, November 19, 2011

Kuliah2 yg Dimanfaatkan Sepanjang Awal November 2011

1. Sejarah Yahudi dan Bani Israil - 379 hits (keseluruhannya 18,436 hits)
2. Kisah Khidhir dengan Nabi Musa - 285 hits (keseluruhannya 11,852 hits)
3. Sejarah Nabi Yusuf - 279 hits (keseluruhannya 11,852 hits)
4. Nabi Khidhir Masih Hidup? - 247 hits (keseluruhannya 14,711 hits)
5. Syarah Kifayatul Muhtaj (bah. 1) - 229 hits (keseluruhannya 7,853 hits)

6. 1 Lelaki 50 Wanita - 190 hits (keseluruhannya 9,820 hits)
7. Korsh/Cyrus & Zulqarnain - 185 hits (keseluruhannya 10,290 hits)
8. Fitnah Dari Najd (Timur Madinah) - 135 hits (keseluruhannya 8,006 hits)
9. Ringkasan Ilmu Tauhid Sifat 20 - 160 hits (keseluruhannya 7,380 hits)
10. Perihal Yakjuj Makjuj - 144 hits (keseluruhannya 35,885 hits)


11. Mendidik Anak Jadi Soleh - 93 hits
12. Syarah Munyatul Musolli (bah. 50) - 88 hits
13. Sejarah Maryam Ibu Nabi Isa - 87 hits
14. Syarah Kifayatul Muhtaj (bah. 77) - 86 hits
15. Tanah Arab Kembali Subur - 86 hits

16. Hantu Memang Ada - 86 hits
17. Sejarah Nabi Isa @ Jesus - 85 hits
18. Syarah Ihya' 'Ulumiddin (bah. 1) - 79 hits
19. Perang, Perang, Perang - 77 hits
20. Syarah Kifayatul Muhtaj (bah. 2) -77 hits

21. 2 Golongan Penghuni Neraka 75 hits
22. Statistik Zina & Anak Luar Nikah - 73 hits
23. Wirid Pendinding Diri - 73 hits
24. Syarah Kifayatul Muhtaj (bah. 64) - 72 hits
25. Syarah Munyatul Musolli (bah. 1) - 71 hits



PENGUMUMAN


# Kuliah Syarah Kitab Ihya' 'Ulumiddin boleh ditonton dalam format video di Youtube mulai fail ke-100. Setakat ini sudah ada 123 fail.

# Semua fail kuliah di Youtube sudah dimanfaatkan sebanyak lebih 400,000 kali.

Pluralisme Aqidah Tertolak

ALLAH TUHAN KITA. KITA BERTUHANKAN ALLAH?

ANAK : Ayah, adakah Tuhan semua umat manusia itu sama?

BAPA : Benar anakku, Tuhan kepada semua umat manusia, jin, haiwan, malaikat dan seluruh alam makhluk ini sama, kerana hanya ada satu Tuhan, tidak ada Tuhan yang lain. Dia tidak dua, tidak tiga, banyak ataupun berbilang-bilang. Dialah yang menciptakan seluruh alam makhluk ini termasuklah seluruh umat manusia. Tuhan itu ialah Allah.

ANAK : Jadi... Tuhan kepada penganut agama Islam, Hindu, Kristian, Buddha, Tao, Yahudi, Zoroaster, Sikh, Jaina dan agama-agama lain itu sama?

BAPA : Sudah tentu!

ANAK : Adakah ini bermaksud kesemua agama itu sama dan setara?

AYAH : Tidak!

ANAK : Kenapa begitu pula ayah? Bukankah ayah katakan tadi yang Tuhan kepada seluruh makhluk itu sama?

BAPA : Benar! Tapi kita mesti faham, sungguhpun Tuhan kepada semua penganut agama-agama itu sama, hal ini tidak bermaksud mereka menyembah atau berTuhankan Tuhan yang sama. Tuhan kepada semua umat manusia ialah Allah, tetapi bukan semua umat manusia berTuhankan Allah.

ANAK : Bagaimana boleh jadi begitu? Boleh ayah jelaskan lebih lanjut?

BAPA : Tuhan kepada semua penganut agama Islam, Yahudi, Kristian dan lain-lain ialah Allah. Tetapi, bukan semua mereka menyembah Allah sebagai Tuhan. Ada yang menyembah selain Allah sebagai Tuhan. Maksudnya mereka berTuhankan selain Allah.

ANAK : Contohnya ayah?

BAPA : Contohnya, semua orang Tuhannya ialah Allah tetapi ada orang yang berTuhankan Jesus Christ, berTuhankan akal, berTuhankan alam, berTuhankan dewa-dewi, berTuhankan Lucifer, berTuhankan patung-patung dan sebagainya. Bagi kita orang Islam, Tuhan kita sama dengan Tuhan penganut agama lain iaitu Allah, dan kita menyembah Allah sebagai Tuhan. Ringkasnya, kita berTuhankan Allah, iaitu satu-satunya Tuhan.

ANAK : Barulah saya faham. Sebenarnya ada perbezaan antara “Tuhan kepada...” dengan “berTuhankan...”. Tuhan kepada kita semua ialah Allah, tetapi tidak semua orang berTuhankan Allah.

BAPA : Ya, betul! Bagus anakku!

ANAK : Ayah, ada orang mengatakan agama-agama itu berbeza tetapi semuanya benar, semuanya menuju Tuhan iaitu Allah juga, walaupun mereka menyebut-Nya dengan panggilan yang lain seperti God, Eloah, Yehovah, Brahman, Tao, Yang Mutlak, Adi Parasakti, Tua dan lain-lain. Ada banyak jalan tetapi destinasinya tetap sama. Semua jalan betul kerana menuju destinasi yang satu. Kita manusia boleh memilih mana-mana jalan kerana semua jalan menuju ke tempat yang sama.

BAPA : Anakku, Islam ibarat kemuncak Gunung Kinabalu. Ada banyak jalan menuju ke kemuncaknya. Terpulang kepada kita untuk mengikut jalan yang mana. Sesiapa mahu naik dari utara, silakan. Sesiapa mahu naik dari Selatan, tidak ada masalah. Sesiapa mahu naik dari Timur, jalannya tetap menuju ke kemuncak Kinabalu. Sesiapa yang mahu naik dari Barat pun, tetap kemuncaknyalah yang menjadi matlamat. Jalan mana pun yang umat Islam gunakan, tetap akan bertemu di kemuncak Gunung Kinabalu.

Inilah yang dikatakan “ada banyak jalan dan semuanya menuju destinasi yang satu”.

Katakanlah pada suatu hari, air batu di kutub mencair dan bumi akan tenggelam kecuali kemuncak Gunung Kinabalu (iaitu agama Islam). Sesiapa yang mahu selamat, hendaklah dia pergi ke kemuncak Gunung Kinabalu. Agama A umpama Gunung Tahan, agama B bagaikan Gunung Ledang, agama C umpama Gunung Korbu, agama D umpama Gunung Bubu dan begitulah seterusnya. Sesiapa yang mendaki gunung-gunung itu, walau menggunakan jalan mana dan dari arah mana sekalipun menuju ke kemuncaknya, mereka tetap tidak akan tiba ke kemuncak Gunung Kinabalu. Maksudnya, mereka tidak selamat dan akan tenggelam dalam banjir yang melanda dunia.

Oleh itu, kata-kata “ada banyak jalan dan semuanya menuju destinasi yang satu” hanya sesuai untuk ke kemuncak Gunung Kinabalu iaitu agama Islam, bukannya untuk keseluruhan agama-agama dunia.

TUHAN YANG DISEMBAH SAMA?

ANAK : Tapi kan ayah, ada orang kata Tuhan yang disembah oleh penganut agama lain sebenarnya sama dengan Tuhan yang disembah oleh penganut agama Islam iaitu Allah, cuma mereka tidak menyebut-Nya sebagai Allah tetapi dengan nama lain.

BAPA : Hendak tahu sama ataupun tidak, kita kenalah buat senarai semak. Kita senaraikan ciri-ciri Tuhan, iaitu yang disembah oleh umat Islam, dan bandingkan dengan ciri-ciri sembahan mereka. Jika sama ciri-cirinya, betullah kenyataan tersebut. Jika tidak sama, maka tidak betullah kenyataan itu.

ANAK : Kalau begitu, biar saya cuba senaraikan apa yang ayah dan guru-guru saya ajarkan selama ini.

BAPA : Bagus, teruskan anakku!

ANAK : Zat Allah tidak dapat digambarkan atau difahami oleh mana-mana makhluk, khususnya akal manusia dan jin. Makhluk khususnya akal hanya mampu memahami apa yang layak dan apa yang tidak layak bagi Zat Tuhan. Hal ini kerana akal fikiran manusia sangat lemah lagi terbatas kemampuannya.

BAPA : Betul! Jika ada mana-mana agama mengatakan Tuhan sembahan mereka itu begini begini rupanya, bentuknya, warnanya dan seumpamanya, maka jelaslah sembahan mereka tidak sama dengan Allah. Baiklah, tambahkan lagi anakku.

ANAK : Lagi ciri-ciri Tuhan sebenar iaitu Allah ialah :

1. Allah menciptakan segala sesuatu iaitu seluruh makhluk.

2. Sebelum Dia menciptakan makhluk, yang sudah sedia ada hanyalah Dia. Tidak ada suatu apa pun sebelum-Nya.

3. Allah Maha Mengetahui. Dia sudah sedia tahu segala perkara sejak azali lagi, sebelum makhluk pertama diciptakan lagi.

4. Allah Maha Sempurna. Dia tidak ada walau satu kelemahan. Apa sahaja yang ada walau satu kelemahan, bukanlah Allah melainkan makhluk.

5. Allah tidak berfikir, kerana sifat berfikir itu satu kelemahan. Berfikir itu sifat makhluk. Tanpa berfikir Allah sudah sedia tahu segala perkara.

6. Allah tidak boleh digambarkan kerana Dia tidak sama langsung dengan apa-apa gambaran. Jauh sekali untuk dilukis, dipatungkan ataupun diarcakan. Apa sahaja yang boleh digambarkan bukanlah Allah. Apa sahaja yang boleh digambarkan ialah makhluk dan bersifat ada kelemahan.

7. Allah tidak ada isteri, anak atau keluarga.

8. Allah tidak ada jantina.

9. Allah tidak terpengaruh dengan tempat, ruang, masa, posisi, sempadan, had, batas, tepi, warna, kecerahan, kegelapan, arah, langit, bumi dan lain-lain kerana Dia sudah sedia ada sebelum semua itu ada. Bahkan Dialah yang mengadakan/ menciptakan semua itu.

10. Allah tidak mengalami apa-apa perubahan buat selama-lamanya. Sebagaimana keadaan-Nya sebelum diciptakan makhluk, sebegitulah keadaanya selepas diciptakan-Nya makhluk. Begitulah selama-lamanya. Apa sahaja yang mengalami perubahan adalah bersifat lemah. Padahal Allah tidak pernah lemah dan tidak akan lemah walaupun sedetik.

11. Allah tidak pernah bersentuh dengan makhluk, tetapi Dia juga tidak pernah bercerai dengan makhluk. Dia meliputi segala sesuatu, tetapi segala sesuatu itu bukanlah Dia. Dia meliputi seluruh alam makhluk, tetapi seluruh atau mana-mana satu bahagian alam makhluk itu bukanlah Dia. Allah tetap Allah, cptaan tetap ciptaan.

12. Allah tidak boleh diperintah dan tidak menerima perintah. Kerana hanya Dia yang memerintah. Apa sahaja yang boleh diperintah dan disuruh-suruh, bukanlah Allah.

BAPA : SubhanAllah (Maha Suci Allah)...! Dalam usia semuda ini engkau sudah mampu memberi penjelasan yang sebegini baik anakku. Tahniah ayah ucapkan.

ANAK : Alhamdulillah, syukur! Allahummasolli ‘ala Muhammad, wa ‘ala ali Muhammad. Terima kasih juga kepada ayah, ibu dan guru-guruku.

Abu Zulfiqar

Oktober 2011

Thursday, November 17, 2011

Komen yang Menyentuh

Assalamualaikum ustaz.

Terima kasih atas segala perkongsian maklumat yang telah ustaz beri. Sebenarnya hari ni baru first time saya baca perkongsian di blog ustaz ini (Bermesra Dengan Kebenaran Mutlak http://myalexanderwathern.blogspot.com/ ). Syukur ia banyak menyedarkan saya tentang banyak perkara.

Semalaman saya membaca hingga ke subuh. Terasa diri ini terlalu kerdil dan jahil walaupun saya ini dibesarkan dalam keluarga yang memang terdedah dengan ajaran Islam sejak kecil. Malah ibu bapa saya juga pendidik dalam bidang agama. Tapi saya ni liat sikit... tapi sejak akhir-akhir ini saya mencari-cari jalan menuju fitrah sebagai hamba.

Saat ini baru rasa kesal sebab banyak masa saya bazirkan sedangkan saya punya kesempatan luas untuk dekat dengan agama sejak dulu.

Semoga lepas ini, saya dapat terus ikuti blog ustaz dan semakin dekat dengan Islam dan dekat dgn ALLAH S.W.T. Assalamualaikum... :)

Wednesday, November 16, 2011

Ilmu Sifat 20 Falsafah Yunani? (bahagian 2)

Bahagian 1 boleh dibaca di http://alexanderwathern.blogspot.com/2011/10/ilmu-sifat-20-falsafah-yunani.html

LANJUTAN :

Diharap ustaz tak keberatan mengulaskan isu ini dalam artikel ustaz, al-faqir menunggu membaca didalam blog ustaz. Minta maaf terus terang al-faqir masih kabur dengan penjelasan tersebut

PENJELASAN SAYA :

Pertanyaan anda tempoh hari berbunyi :

“Ada orang mengatakan sifat 20 adalah ajaran falsafah Yunani benarkah sedemikian? Dan bagaimana untuk menjawabnya ustaz.”

Jika ada orang mengatakan : “Sifat 20 adalah ajaran falsafah Yunani”, maka kita tidak perlu menjawab apa-apa. Hal ini kerana ia hanya satu pernyataan yang tidak punya punya apa-apa tanggapan. Kita senyum sahajalah kepada orang yang berkata dan tamatkan di situ sahaja.

Lainlah kalau selepas itu disambungnya seperti (sekadar contoh) : “Maka belajar Sifat 20 berdosa/ haram/rosak aqidah” atau lain-lain yang negatif. Ketika itu kita katakan : “Ohh begitu...? Ada apa-apa bukti kukuh tak mengatakan Sifat 20 adalah ajaran falsafah Yunani? Dan ada apa-apa bukti kukuh tak mengatakan belajar Sifat 20 itu berdosa/haram/rosak aqidah dan lain-lain?”

Kalau dijawabnya : “Syeikh A, Imam B, Maulana C dan sebagainya kata begitu”, kita katakan : “Itu pendapat orang. Kita bukan hendak pendapat orang, tapi bukti-bukti/sandaran/sandaran yang mereka gunakan. Dah ada bukti-bukti/sandaran-sandarannya barulah boleh kita nilai betul ke tidak.”

Sekiranya dia gagal memberikan apa-apa hujah, jelaslah dia hanya mengikut-ikut cakap-cakap orang sedangkan dia sendiri tidak ada apa-apa pengetahuan tentangnya. Orang seperti ini tidak perlulah kita layan sangat. Katakan saja : “Kita tak boleh main ikut-ikut cakap orang je, kita kena tahu terlebih dahulu kedudukan sebenarnya. Jadi sekarang lebih baik kita jangan letak apa-apa dakwaan terhadap Sifat 20, falsafah Yunani dan positif negatifnya sampailah kita betul-betul kaji dan tahu kedudukannya.”

Begitu juga apabila kita berinteraksi dengan tulisan ataupun mana-mana artikel tentangnya. Kalau sekadar ada dakwaan tanpa sebarang bukti, kita boleh abaikan. Itu semua cakap-cakap kosong. Jika ada bukti dan sandaran di dalamnya, barulah sesuai untuk kita menilai betul ke tidak.

Seandainya dia tidak menyambung apa-apa, sekadar memberikan pernyataan bahawa : “Sifat 20 ajaran falsafah Yunani”, boleh juga kita tanyakan : “Oh begitu... jadi... kenapa?” Berdasarkan jawapannya, gunakan langkah-langkah yang disebutkan di atas tadi.

Permintaan anda agar saya menyusun sebuah artikel khusus tentangnya memang agak berat buat masa ini kerana ia memerlukan masa dan rujukan yang banyak. Kebetulan saya sedang menyusun beberapa artikel yang memang memerlukan banyak masa dan tenaga untuk buat rujukan ketika ini. Kalau mampu saya siapakan pun, mungkin lewat. Dan dalam usaha menyiapkannya, saya memerlukan dua perkara di bawah :

Pertama, saya memerlukan artikel yang menghujahkan bahawa Sifat 20 itu ialah ajaran falsafah Yunani. Artikel tersebut hendaklah mengandungi sandaran-sandaran yang membuktikan Sifat 20 itu memang ajaran falsafah Yunani. Sekiranya artikel itu sekadar mendakwa : “Sifat 20 ialah ajaran falsafah Yunani” tapi tidak memberikan apa-apa bukti, maka saya tidak dapat banyak membantu kerana saya tidak tahu apa yang perlu dijawab atau diperjelaskan.

Contohnya orang mengatakan Hang Tuah masih hidup. Hanya itu dakwaannya dan tidak pula memberi apa-apa sandaran, maka tidak ada apa yang perlu kita jawab. Kita boleh abaikan sahaja dakwaan itu. Tapi sekiranya orang itu menyenaraikan 5 bukti masih hidupnya Hang Tuah, ketika itu barulah kita boleh menilai kelima-lima sandarannya itu. Begitu kisahnya.

Hujah atau sandaran yang kita minta itu bukanlah pernyataan orang, tapi bahan-bahan hujahnya. Kita tidak mahu sekadar dipaparkan tokoh A, B, C dan lain-lain kata “memang ya”. Bukan itu! Kita mahu hujah atau sandaran tokoh-tokoh itu dalam mencapai keputusan “ya” tersebut.

Contoh – apabila diminta hujah/sandaran masih hidupnya Hang Tuah, maka orang itu mengatakan : “Dr. A, Syeikh B, Imam C dan lain-lain kata Hang Tuah masih hidup.” Ini pernyataan. Kita tidak mahu yang ini. Yang kita mahu ialah sandaran para tokoh itu.

Dalam kes Sifat 20 ini, kita tidak mahu diberi hujah : “Syeikh A, Imam B, Maulana C dan lain-lain kata begitu.” Kita mahu sandaran yang mereka gunakan. Barulah boleh kita nilai.

Kedua, saya memerlukan hukum atau yang sewaktu dengannya apabila dikatakan : “Sifat 20 ialah ajaran falsafah Yunani.” Contohnya – berdosa jika dipelajari, terkeluar dari pada Islam jika meyakininya, harus mempelajarinya atau sebagainya. Jika sekadar dikatakan : “Sifat 20 ialah ajaran falsafah Yunani”, kemudian tidak ada apa-apa tanggapan, maka saya pun tidak tahu apa yang perlu diperjelaskan, dipertahankan, diperbetulkan atau sebagainya. Untuk mendapat tanggapan, kenyataan itu mestilah ada penerimaan atau penolakan. Jika tidak, ia sekadar pernyataan yang tidak perlu dihujah.

Contoh – Orang katakan : “Kucing berasal dari pada keluarga harimau.” Kemudian tidak ada apa-apa kenyataan tentangnya. Maka, apa yang perlu kita komen? Melainkan tidak komen apa-apalah. Perkataan itu menunjukkan penerimaankah? Ataupun penolakankah? Kita tak tahu. Kecualilah jika disambung selepas itu : “Sebenarnya kucing bukan daripada keluarga harimau.” Barulah kita boleh menanggapnya sama ada bersetuju, menolak, mahu mempertahan atau sebagainya.

Jadi tindakan yang sesuai anda lakukan sekarang ialah :

1. Cari satu artikel yang mengandungi hujah-hujah bahawa Sifat 20 ialah ajaran falsafah Yunani.

2. Hukum ke atas Sifat 20 itu dan hukum ke atas orang yang berpegang padanya.

Sekiranya tidak ada dua perkara ini, memang sukarlah untuk saya menulis tentangnya.

Kalau anda terdengar atau terbaca dakwaan mengatakan : “Sifat 20 adalah ajaran falsafah Yunani”, langkahnya :

1. Kata : “Ohh begitu. Kalau betul begitu... kenapa?” dan tunggu jawapannya.

2. Kemudian kata : “Ada bukti-bukti/sandaran-sandaran kukuh tak yang mengatakan begitu?” Minta hujah, bukan minta pendapat tokoh-tokoh.

Ps : Sebenarnya soalan anda pun kurang jelas juga sama ada Sifat 20 yang dimaksudkan ataupun pelajaran ilmu tauhid Sifat 20. Tapi saya beranggapan yang anda maksudkan ialah pelajaran ilmu tauhid Sifat 20 yang dipelajari oleh majoriti umat Islam sejak zaman Imam Abu Hasan Asy’ari dan Imam Abu Mansur Maturudi.


Abu Zulfiqar

Pengkelasan Ringkas Golongan Syiah

PERSOALAN :

Assalamu'alaikum para ilmuwan sekalian. Saya dengan rendah diri ingin tahu tentang fahaman Syiah yang berleluasa sekarang ini.

Boleh jelaskan lebih lanjut dan mendalam ? Almaklumlah kita kena 'counter' jugak masalah ini dari berkembang biak.


Read more:
http://ad-deen.proboards.com/index.cgi?board=aqidah&action=display&thread=180#ixzz1dOQuM27N


PENJELASAN :

Wlksm,

Sementara menunggu jawapan lanjut dan mendalam daripada teman-teman yang lain, saya dahulukan (sebagai selingan) maklumat ringkas tentang pengkelasan golongan-golongan Syiah yang saya gunakan selama ini.

Seperti juga fahaman Salafi Wahhabi, saya mengkategorikan Syiah kepada 3 golongan :


GOLONGAN 1 (SYIAH TAKSUB/PELAMPAU)

Biasanya (bukan semestinya) antara pegangan sebahagian besar mereka :

1. Saiyidina Abu Bakar dan Umar ialah dua berhala Quraisy. Sekiranya mereka mendapat kekuasaan ke atas Hijaz, pembongkaran ‘dua berhala’ ini dari sisi jasad Rasulullah merupakan perkara utama untuk dilaksanakan.

2. Menghukum majoriti sahabat sebagai terkeluar daripada Islam.

3. Meyakini Saiyidina Ali sebagai individu paling utama selepas Rasulullah saw.

4. Percaya hak kekhalifahan jatuh pada Saiyidina Ali dan orang lain telah merampasnya.

5. Mengiktiraf hanya keturunan Fatimah binti Muhammad Rasulullah sahaja sebagai Ahlul Bait.

6. Meyakini konsep Imam 12.

7. Meyakini imam terakhir mereka yang hilang sebagai Al-Mahdi.

8. Menghalalkan darah umat Islam yang tidak sealiran dengan mereka.

9. Percaya Jibril sepatutnya menurunkan wahyu kepada Saiyidina Ali, bukannya Rasulullah.

10. Menganggap mulia pekerjaan mencederakan diri pada peringatan Hari Karbala.

11. Taksub dengan taqiyyah.

12. Percaya Al-Quran yang beredar meluas pada hari ini sudah terseleweng.

13. Percaya semua imam Syiah bersifat maksum.

14. Percaya Fatimah binti Rasulullah telah dikasari oleh para sahabat sehingga menjadi penyebab kematiannya.

15. Pengamal dan penyebar amalan nikah mut’ah.

Golongan ini terkeluar daripada Ahli Sunnah wal Jamaah.


GOLONGAN 2 (SYIAH ARUS PERDANA)

Biasanya antara keyakinan mereka adalah :

1. Tidak mengecop ‘berhala’ kepada Saiyidina Abu Bakar dan Umar, tetapi memandang mereka sebagai pembuat dosa besar.

2. Menghukum kebanyakan sahabat sebagai pembuat dosa besar.

3. Meyakini Saiyidina Ali individu paling afdhal selepas Rasulullah.

4. Menghadkan Ahlul Bait kepada Saiyidina Ali, isterinya Fatimah binti Rasulullah dan keturunan mereka sahaja.

5. Mengamalkan taqiyyah.

6. Walaupun tidak berpegang dengan sebahagian fahaman GOLONGAN 1, tapi pada bila-bila masa yang diperlukan, mereka dengan segera akan bersekutu dengan GOLONGAN 1.

7. Percaya hak kekhalifahan jatuh pada Saiyidina Ali dan orang lain telah merampasnya.

8. Meyakini imam terakhir mereka yang hilang ialah Al-Mahdi.

9. Menganggap mulia pekerjaan mencederakan diri pada peringatan Hari Karbala.

10. Percaya semua imam Syiah bersifat maksum.

11. Pengamal dan penyebar amalan nikah mut’ah.

Sebahagian ilmuwan mengatakan mereka tergolong ke dalam Ahli Sunnah wal Jamaah manakala sebahagian lagi menolaknya.


GOLONGAN 3 (ADA SEDIKIT KECENDERUNGAN TAPI BUKAN SYIAH)

Biasanya antara pegangan majoriti individu dalam golongan ini adalah :

1. Tidak bersetuju dengan pegangan GOLONGAN 1.

2. Yakin Saiyidina Ali sebagai sahabat paling afdhal.

3. Mencintai Saiyidina Abu Bakar, Umar dan sahabat-sahabat lain.

4. Tidak menghadkan Ahlul Bait kepada keturunan Fatimah binti Rasulullah sahaja.

5. Tidak ambil hirau tentang taqiyyah.

6. Percaya Al-Quran sehingga ke hari ini tetap suci.

7. Mengiktiraf hak kekhalifahan turut jatuh kepada selain Saiyidina Ali, cuma sepatutnya Saiyidina Ali ditabalkan sebagai khalifah pertama.

8. Menolak keMahdian imam terakhir puak Syiah.

9. Mengenang Hari Karbala tetapi tidak mengamalkan acara sambutan yang bukan-bukan.

10. Tidak mengamalkan nikah mut’ah.

Golongan ini jelas termasuk ke dalam Ahli Sunnah wal Jamaah.

Pembahagian sebegini hanyalah pengkelasan peribadi saya, untuk memudahkan sebarang urusan saya yang melibatkan golongan Syiah. Ia tidak semestinya sama dengan pengkelasan mana-mana tokoh atau orang lain.

WaAllahua’lam.


Abu Zulfiqar

November 2011