Biasanya saya terjaga untuk bersahur sekitar pukul 4.45 pagi. Selepas mandi, saya lakukan solat tahajjud. Tiba di surau dalam pukul 5.30 pagi lalu terus membaca al-Quran sehinggalah masuk waktu Subuh. Kemudian mengerjakan solat sunat fajar dan fardhu Subuh.
Pulang dari surau, saya bertahlil bersendirian. Seterusnya mengulangkaji hafazan. Hafazan pun tidak sebanyak mana, jadi yang sedikit itu kenalah jaga sungguh-sunggguh agar tidak terlupa. Selesai hafazan, saya pun bersiap-siap untuk menghantar anak ke sekolah dan pergi kerja.
Pada hari cuti, saya akan mengemaskini laman-laman web selepas mengulangkaji hafazan. Dalam pukul 8.00 pagi, dengan relanya saya menyambung sesi tidur. : ) Al-maklumlah, sepanjang Ramadhan ni boleh dikatakan pada setiap malam tidur sekitar pukul 1.30 ke pukul 2.00 pagi. Pada waktu siang memang mengantuk. Pada hari bekerja, jika ada waktu terluang biasanya saya isi dengan aktiviti tidur. : )
Seandainya ada lebihan masa, sesekali saya membaca al-Ma’thurat ataupun zikir persediaan Naqsyabandiah.
Pulang dari kerja, saya cari bahan untuk tazkirah tarawih. Jika tidak ke mana-mana, saya tidur lagi. Apa nak buat, mata ini tak tahan godaan. : ) Jika tidak tidur, saya berinteraksi dengan komputer ataupun buku-buku agama. Petangnya ke pasar Ramadhan. Kemudian ulangkaji hafazan ataupun menghafaz benda baru, ataupun memurnikan lagi tazkirah untuk malam nanti. Seandainya tidak sempat menyediakan tazkirah, saya bawa buku hadis saja ke surau.
Malamnya solat fardhu Isya’ berjemaah dan solat terawih. Lepas terawih ada moreh/ morey. Kesempatan ini digunakan untuk bermesra-mesraan dengan masyarakat.
Sampai di rumah antara pukul 10.00 lebih ke pukul 11.00. Kalau anak-anak belum tidur, bermesra-mesra dengan mereka sekejap. Masa seterusnya ialah dengan komputer sama ada untuk mencari maklumat, menulis, menjawab soalan-soalan, berforum dan lain-lain sehinggalah hampir pukul 2.00 pagi. Sebelum tidur, bacakan doa untuk anak-anak dan isteri. Saya pun zzzzzzzzzzzzzzzzz .....
Sudah di penghujung Ramadhan ini barulah saya tersedar yang saya langsung tidak peruntukkan waktu untuk beriadah. Oleh itu saya saya mula mengambil masa-masa tertentu untuk melakukan sedikit senaman pada setiap hari. Lagi pun solat tarawih dan witir pun boleh dikira mini riadah juga.
Ada satu slot lagi tapi setakat ini nampaknya tak begitu istiqamah, iaitu membaca tafsir/ terjemahan al-Quran. Al-maklumlah, dengan pengetahuan bahasa Arab yang sangat terbatas, jika tidak buka tafsir/ terjemahan terasa juga seperti burung kakak tua yang tidak faham apa yang disebutnya. Jadi salah satu matlamat yang hendak dicapai pada Ramadhan kali ini ialah khatam 30 juzuk bacaan al-Quran secara menatap mushaf dan sikit-sikit hafazan, serta khatam 30 juzuk terjemahan al-Quran.
Begitulah lebih kurang rutin harian saya pada Ramadhan kali ini.
No comments:
Post a Comment