Thursday, March 19, 2009

Ilmu Penahan Api Neraka

Malam itu kemuncak Juara Lagu. Saya beranggapan 1/3 daripada pendengar tidak akan menghadiri kuliah Maghrib. Ditambah dengan mereka yang mungkin ada urusan lebih penting pada malam itu, boleh jadi hanya separuh saja pengikut kuliah saya akan menghadirkan diri.


Memang ada benarnya agakan saya, pengunjung biasa surau itu berkurangan lebih kurang 1/3. Namun Allah menghantar pula sekumpulan penggerak jemaah Tabligh menjadikan pendengar pada malam itu lebih daripada kebiasaan. Begitulah perancangan dan pekerjaan Allah. Kita yang mengajar pun naik kembali semangat di jiwa.

Kebetulan salah seorang daripada karkun (penggerak dakwah Tabligh) itu ialah ‘boss’ nombor dua saya di tempat kerja. Kebetulan juga pada malam itu seorang sahabat lama datang dari jauh semata-mata untuk mendengar temannya ini memberikan kuliah. Mungkin mereka berasa agak pelik kerana para pendengar dibekalkan dengan helaian nota-nota kuliah, tidak seperti kebiasaannya iaitu tok guru bersyarah, pendengar hanya berbekalkan mata dan telinga. Itu memang cara saya, setiap kali mengajar memang saya suka membekalkan nota, dan para pendengar pun nampaknya suka diberikan nota.


Usai kuliah malam itu, sementara menunggu jemaah bersiap untuk solat Isya’ saya pergi duduk di belakang di antara ‘boss’ dengan sahabat lama. Tiba-tiba anak lelaki saya datang meluru dari arah belakang iaitu tempat kaum wanita lalu terus memeluk ‘boss’ saya. Kemudian tanpa segan-silu anak saya duduk pula di pangkuan si ‘boss’. Makcik-makcik di belakang punyalah ketawa geli hati.


Rupa-rupanya anak lelaki kami ini tersangka si ‘boss’ ialah saya. Memang dari belakang kami dilihat seakaan-akan sama. Kedua-dua kami berserban, dengan ekor serban yang panjang, berjubah, memakai cermin mata, berjanggut tidak lebat dan berbadan ‘slim’. : )


Anak kami terkejut melihat saya di sebelahnya lalu mendongak melihat orang yang memangkunya. Apa lagi, malulah kawan! Terus lari ke pangkuan abinya. : )


‘Boss’ yang juga sahabat saya itu memang aktif dengan jemaah Tabligh. Namanya Tuan Haji Rafie Haji Hasnam. Beberapa kali dia ‘keluar’ ke luar negara. Terakhir pada penghujung tahun lalu dia berdakwah ke Pakistan.


Sementara teman lama saya itu namanya Badrul Hisham tapi saya memanggilnya Barougue bersempena nama sejenis muzik (ada kisahnya tapi tidaklah saya muatkan di sini). Semasa sama-sama di kolej dulu, kami berdualah yang paling ‘metal’ dengan menggilai pelbagai genre muzik rock, rambut panjang, jeans lusuh, pakaian serba hitam dengan gambar berjenis-jenis hantu, kadang-kadang berantai leher dan macam-macam lagi benda pelik-pelik.


Memang aneh! Keluar-keluar saja ke alam pekerjaan, kami mengalami perubahan yang drastik. Kami tidak bertemu selama 4-5 tahun. Apabila bertemu, kami masing-masing tergelak besar kerana seakan-akan tidak percaya diri kami ketika itu. Mana tidaknya, saya melihat imej rocknya langsung hilang, malah bertukar jadi kemas. Dia juga berminat betul dengan nasyid-nasyid, ceramah-ceramah, hal ehwal dunia Islam dan... berkahwin dengan seorang ustazah! Peliknya dunia! Kuasa Tuhan...


Dia juga begitu pelik melihat saya yang selalu berjubah dan berserban, aktif dengan badan-badan dakwah, mengendalikan usrah, berceramah, banyak menulis tentang agama.... dan berkahwin dengan wanita yang berjubah dan bertudung labuh. Kalau diingat-ingat balik, pasangan yang bakal kami perolehi tentulah jenis yang tidak bertudung. Jika menutup aurat pun hanya di majlis-majlis keagamaan. Syukurlah kerana Tuhan memilih kami untuk berubah. Kami 13 tahun dulu memang jauh beza dengan kami hari ini.


Dalam kuliah saya pada malam itu, ada satu perkara yang benar-benar mencuit hati saya. Hal ini yang ingin saya kongsikan di sini.


Para karkun biasanya begitu menghayati apa yang disampaikan, menundukkan wajah dan mudah menyahut dengan ucapan “Insyaallah”, “Allahu Akbar”, “Astaghfirullah...”, “Masyaallah”, “Subhanallah” dan lain-lain zikir mengikut situasi. Satu ketika saya bercerita:


“Saya pernah berjumpa dan berbual dengan seorang guru silat. Guru silat ini mendakwa dia ada ILMU PENAHAN API NERAKA!”


Dengar-dengar saja kata-kata saya ini, sebahagian daripada para karkun itu berzikir dengan agak kuat sambil menggeleng-gelengkan kepala, menunjukkan tanda kesal dan terkejut mereka akan sikap guru silat itu. Sudah tentulah si guru silat mengamalkan ilmu yang karut-karut. Dengan pantas saya memotong sambil tertawa kecil:


“Ehhh, nanti dulu! Jangan (dengan gaya) geleng kepala lagi! Tak habis cerita lagi ni!” Mereka pun mengangkat muka menantikan maklumat seterusnya. Lebih kurang kata saya:


“Sebenarnya apa yang hendak disampaikan oleh guru silat itu memang betul. Ilmu Penahan Api Neraka ini memang ilmu yang benar dan tak ada ulama yang tolak. Sebenarnya Ilmu Penahan Api Neraka itu ialah ‘buat apa yang Allah suruh, tinggal apa yang Allah larang’. Itulah dia Ilmu Penahan Api Neraka.”


Kami semua sama-sama tertawa. Begitulah jadinya kalau cerita baru sekerat jalan. : )


‘PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT’


Abu Zulfiqar ‘Alexanderwathern’

26 JANUARI 2009



2 comments:

Hamba Miskin said...

Salam ziarah akhi..

Best cerita ni..Pinjam boleh?? Sekadar war-war di blog saya? Boleh ke?

ABU ZULFIQAR AMSYARI said...

Selamat bertandang Tuan Ihya,

Ambil terus pun takpe... ilmu Allah belaka tu. : )