Zaman dahulu…
Anak kita hendak pergi merantau jauh, entah kembali entah
tidak. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, kita bekalkan anak kita dengan
peta, kompas dan teropong. Sekalipun dia tidak mahu benda-benda itu, kita tetap
masukkan ke dalam begnya. Sekalipun dia keberatan, kita ajarkan juga cara-cara
menggunakan alat-alat itu.
Dalam perjalanan meredah hutan belantara dan lautan, anak
kita tersalah jalan. Sekali pun tersesat jalan, dia tetap meneruskan
perjalanannya. Hinggalah pada suatu hari, dia sedar yang dia perlu berpatah
balik ke pangkal jalan, iaitu ke negeri asalnya. Dapatkah dia berpatah balik?
Kemungkinan besar dia berjaya kembali ke pangkal jalan
kerana di dalam begnya ada peta untuk pulang ke negerinya, ada kompas sebagai
penunjuk arah dan ada teropong untuk melihat benda-benda yang jauh. Tapi
bagaimana kalau ibu bapanya tidak memasukkan peta, kompas dan teropong serta
tidak mengajarkannya cara-cara menggunakannya? Kemungkinan besar dia gagal
berpatah balik.
Begitulah halnya dengan ilmu dan pemahaman agama. Dari
anak-anak masih kecil, ibu bapa mestilah berusaha keras menerapkan ilmu-ilmu
dan pemahaman agama, sekalipun anak-anak tidak menggemarinya. Hal ini kerana,
sekiranya anak-anak tersalah haluan hidup apabila dewasa kelak, dan kemudiannya
dia terfikir untuk berubah ke arah kebaikan (hidup beragama), dengan mudah dia
dapat berpatah balik kerana dia sudah tahu membaca Al-Quran, ilmu bersuci, cara
solat, ilmu berpuasa, cara berinteraksi dengan hadis-hadis dan sebagainya.
Tapi kalau insaf ketika sudah berumur sudah 50 tahun
(sekadar contoh), ada jawatan dan kedudukan (dipandang tinggi oleh orang-orang),
kesihatan semakin menurun…… baru hendak belajar alif ba ta, cara mandi wajib, cara
mendirikan solat….. memang susah untuk dia hendak berpatah balik.
Orang yang sudah ada ‘alat’ untuk pulang dan tahu cara
menggunakannya, biasanya berjaya pulang dengan segera dan selamat.
Orang yang tidak ada ‘alat’ untuk pulang, biasanya sangat
sukar untuk pulang, ataupun mungkin tidak sempat pulang, ataupun dia berputus
asa lalu membatalkan hasratnya untuk pulang.
Kepada ibu bapa, sediakan ‘alat’ untuk anak-anak
sekalipun mereka tidak minat, sekalipun kita sendiri mungkin tidak minat.
Kepada individu, sediakan ‘alat’ yang sewajarnya untuk
diri masing-masing.