Encik X mendirikan rumahtangga pada tahun 1995. Ketika
itu pendapatannya RM 2,000. Pendapatan isterinya pula RM 1,200. Dengan jumlah
pendapatan keluarga RM 3,200 pada tahun 1995 (dan tentunya akan meningkat dari
tahun ke tahun), Encik X yakin dia mampu mempunyai anak seramai 12 orang dengan
selesa. Encik X pun berusahalah dengan sebaik-baiknya membuat perancangan dan
menjalankan perancangannya.
Sehingga tahun 2010, Encik X sudah dianugerahkan Tuhan 10
orang anak. Ketika itu pendapatannya sudah RM 6,000 manakala isterinya RM
4,000. Dengan RM 10,000 sebulan dan tinggal di bandar kecil, kehidupan Encik X
boleh dikatakan begitu selesa.
Tiba-tiba, Encik X mendapat musibah. Dia teraniaya. Hasil
kesalahan orang lain yang bekerja di bawahnya, dia dan isterinya turut
menanggung beban. Encik X dan isterinya dibuang kerja. Maksudnya mereka
kehilangan RM 10,000 sebulan. Untuk menyambung kehidupan, mereka pulang ke kampung
dan membuka sebuah kedai makan. Hasilnya, dapatlah sekitar RM 1,500 sebulan. Dengan
pendapatan baru yang jauh lebih kecil, dan bilangan anak-anak seramai 10 orang
yang berusia di bawah 15 tahun, tentulah kehidupan Encik X sangat terhimpit.
Persoalannya, adakah kerana pendapatan barunya hanya
sesuai untuk membesarkan 3 orang anak dengan selesa, maka Encik X hendaklah
membesarkan 3 orang anak sahaja manakala anak-anak yang lain terpaksa diabaikan,
dilupakan ataupun diserahkan kepada orang begitu sahaja?
Tentunya tidak. Encik X mestilah bertanggungjawab
memperjuangkan kesemua anak-anaknya sekalipun dalam keadaan yang kurang sempurna.
Tamsilan ini dibawa untuk dikaitkan dengan sebahagian
pekerja pada jalan Allah. Dahulunya mereka mempunyai kemampuan semasa dan
potensi hari muka yang cerah. Oleh itu mereka mengusahakan tarbiyyah dan dakwah
yang hebat. Suatu ketika, usaha mereka diruntuhkan orang sehingga ruang tugas
mereka menjadi kecil. Namun ini tidak bermakna mereka boleh dengan senang hati
melepaskan ruang-ruang lain yang sudah mereka usahakan dengan berkata : “Jadilah,
syukurlah, ada jugak sisa-sisa tarbiyyah dan dakwah yang masih kita boleh buat.
Yang lain-lain tu lupakan sahajalah”. Lari dari tanggungjawab namanya.
Apabila kita sudah menghasilkan ‘anak-anak’ dalam kerja
keagamaan kita, selamanya kita bertanggungjawab kepada mereka, sekadar
kemampuan yang kita ada. Mana boleh membuang dan melupakan begitu sahaja ‘anak-anak’
yang sudah kita lahirkan. (‘Anak-anak’
di sini tidak terhad kepada manusia, tetapi lebih kepada medan-medan tarbiyyah
dan dakwah yang sudah kita jalankan).
WaAllahua’lam.
Abu Zulfiqar
31 JULAI 2012