Tuesday, February 28, 2012

SJ - Enggan Nahi Munkar

PERSOALAN :

Assalamualaikum ustaz! Nak tanya pendapat ustaz, tentang umat Islam yang melaksanakan amar makruf tapi duk abai nahi mungkar, alasannya hikmah, tapi nampak macam dayus je rasanya. Bukan apa, di tempat hamba pak imam termasuk kariahnya macam ni la, terasa dah cukup dengan amar makruf, tapi anak muda termasuk tua yang duk karaoke, judi, rempit, tiap malam, depa buat dek je..

Macam mana ustaz? Rasanya yang mana patut kena tinju ni, pak imam engan kariahnya ke atau yang sebaliknya tu? Banyak persoalan dalam kepala ni. Termasuklah patutkah diangkat seorang imam yang penakut? Lebih takut pada makhluk daripada Allah swt. Duk buat kuliah bukan main, tapi perbuatan kariah tempat hamba lagi hina,.penntgkan diri laa..Dah dapat laksana solat, berjamaah di masjid pulak tu, tapi depa abaikan je saudara mereka..senang je jadi imam ye,! Masyuk...

Ustaz kena tegur la imam-imam macam ni,..masjid 2saf tak bertambh dah 30 tahun,.ada yang dah jadi stor...

Ustaz kena pedas,tajam pancung je la tak payah qias lagi dengan imam-imam bacul ni,. itu tanggungjawab mereka,..keluar bukan duk tunggu orang datang,.

Minta maaf ustaz, bahasa hamba kasar,..apapun hamba dah lama follow ustaz..ustaz harapan hamba..!

JAWAPAN :

Wlksm Tuan HXXXX HXXX. Pada pandangan saya... sebaik-baiknya kena seimbang antara amar ma'ruf dengan nahi munkar. Dan sama ada amar ma'ruf atau nahi munkar, kedua-duanya kena berhikmah, yakni dilakukan dengan bijaksana. Tapi memang betul le kata tuan tu, nak amar ma'ruf ni mudah sikit, tapi nak nahi mungkar tu berat. Bukan kata orang lain, saya sendiri pun agak lemah juga bahagian itu. Moga Tuhan kuatkan saya dan semua umat Islam. InsyaAllah saya akan usahakan apa yang termampu. Terima kasih tuan atas tulisannya.

Abu Zulfiqar

27 Februari 2012

Friday, February 17, 2012

SJ - Hendak Menyertai Jemaah Tabligh

HAMBA ALLAH :

Salam..nak tanya sikit...masuk Tabligh bagus tak?

ABU ZULFIQAR :

Wlksm. Menyertai aktiviti-aktiviti Jemaah Tabligh memang bagus. Tapi sebaik-baiknya jadikan ia SALAH SATU daripada pengisian tarbiyyah dan dakwah kita, bukannya SATU-SATUNYA medium tarbiyyah dan dakwah kita.

Islam itu syumul. Tarbiyyah dan dakwah Rasulullah dan para sahabat kauh lebih luas daripada yang dilakukan oleh Jemaah Tabligh. Sebab itu anak-anak buah saya dalam dakwah, saya CELUP mereka sekejap dalam jemaah Tabligh, selain daripada jemaah-jemaah lain. Dari situ pemikiran dan pandangan mereka lebih luas dan mantap. WaAllahua’lam.

HAMBA ALLAH :

Saya nak masuk Tabligh tapi kawan-kawan kata ianya tak bagus kerana meninggalkan anak dan isteri..tanpa meninggalkan sedikit wang kepada mereka.

ABU ZUFIQAR :

Meninggalkan anak isteri sesekali apalah salahnya. Ia satu tarbiyyah buat kita dan juga buat anak isteri. Kita lebih dekat dengan Allah, mereka pun lebih bergantung kepada Allah.

Orang pergi belajar hendak jadi doktor, peguam, jurutera dan lain-lain ke luar negara bertahun-tahun, tidak pula orang hebohkan. Kerana apa ye? Kerana mereka nampak, kalau pulang sudah tentu dengan gaji yang tinggi. Padahal hendak pulang setahun sekali pun beum tentu waktu belajar tu.

Tapi kalau dengan Tabligh, keluar 3, 40 hari atau 4 bulan... kecoh orang sekeliling, kan? Kerana apa ye? Kerana balik tidak bawa gaji/wang/pangkat. Beginilah pemikiran kebanyaan orang. Lebih nampak harta berbanding ilmu, iman dan amal.

Sungguhpun begitu, saya tak galakkan keluar 4 bulan lebih daripada sekali. Kalau mahu aktif dengan Tabligh SAHAJA, keluarlah sebulan 3 hari dan dalam setahun tu keluarlah 40 hari sekali (Ramadhan contohnya). 4 bulan? Cukuplah sekali. Banyak lagi perkara dalam agama Islam ini yang kita perlu lakukan. 4 bulan... cukup sekali seumur hidup.

Yang tak meninggalkan wang itu, bukan salah Jemaah Tabligh, tapi salah individu. Dah tahu nak pergi keluar, siapkanlah wangnya. Jika sengaja tak berusaha cari wang dan lain-lain keperluan lalu terus keluar 40 hari contohnya... memang berdosalah.

HAMBA ALLAH :

Terima kasih ustaz, penerangan ustaz betul-betul membuat saya terbuka hati untuk saya menyetai Jemaah Tabligh walaupun keluar hanya sekali seumur hidup..

Insyaallah saya akan sentiasa mendoakan ustaz di murahkan rezeki dan dikasihi oleh Allah..

Thursday, February 9, 2012

Kitab Ihya' 'Ulumiddin Terus Subur

Sepanjang pemerhatian saya, mereka yang memusuhi kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini umumnya terdiri daripada golongan-golongan berikut, iaitu yang :

1. Tidak pernah melihat pun kitab Ihya’ ‘Ulumiddin.

2. Tidak pernah menatapnya secara berdepan.

3. Pernah melihat tetapi tidak pernah membaca isi kandungannya.

4. Pernah membaca tetapi hanya sedikit, iaitu pada bahagian-bahagian tertentu sahaja. Dengan bacaan yang sedikit itulah mereka menjatuhkan hukuman begitu begitu terhadap kitab Ihya’ ‘Ulumiddin dan Imam Al-Ghazali. Padahal kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini termasuk jenis kitab yang isinya kerkesinambungan, ibarat sebuah novel. Ia tidak sama dengan kitab-kitab yang isinya terpisah-pisah sebagaimana sebuah antologi cerpen. Hal inilah yang selalu tidak diketahui oleh orang ramai. Dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ada banyak imbas muka dan imbas kembali. Pelajarannya berkait-kait. Adilkah di sisi Allah jika kita membaca sebuah novel hanya pada mukasurat 5, 7, 33,34 dan 112 daripada keseluruhan 1,200 mukasurat lalu kemudiannya kita menjatuhkan hukuman begitu begini terhadap isi dan nilai novel itu? Untuk kitab yang dihidangkan ala himpunan cerpen - ya, tapi untuk kitab yang dihidangkan ala novel sebagaimana kitab Ihya’ ‘Ulumiddin, mana mungkin orang yang waras mengatakan ya. Golongan 1 hingga 4 inilah yang paling melonjak-lonjak menghentam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin dan Imam Al-Ghazali, lebih-lebih lagi di internet.

5. Pernah membaca agak banyak, tetapi banyak yang tidak difahaminya, tetapi tidak pula mahu bertanya kepada orang yang ada pengetahuan tentang isi kandungannya.

6. Pernah membaca agak banyak, tetapi tidak pernah mengikuti kelas pengajiannya. Dia cuba membaca dan membuat pemahaman sendiri.

7. Pernah membacanya, tetapi tidak ada ‘pengetahuan sedia ada’ yang memadai untuk memahami isi kitab Ihya’ (akan dijelaskan di bawah nanti)

Jadi, sejurus sebelum menghentam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin dan Imam Al-Ghazali, marilah kita sama-sama mengambil sedikit masa... dan tanyakan kepada diri sendiri :

1. Pernahkah aku melihat kitab Ihya’ ‘Ulumiddin?

2. Pernahkah aku menatapnya secara berdepan?

3. Pernahkah aku membaca isi kandungannya?

4. Sebanyak manakah aku pernah membaca isi kandungannya? 100%? 50%? 10%? 2%? Dua tiga helai?

5. Adakah aku faham dan jelas kesemua yang aku baca itu? Ataupun banyak yang tidak difaham?

6. Pernahkah aku mengikuti kelas-kelas pengajian kitab Ihya’ ini?

7. Selama ini aku membaca isi kandungannya dengan panduan orang yang berpengetahuan tentang isi kandungannyakah? Ataupun aku membaca mengikut hati aku sendiri? Ataupun aku membaca dengan panduan mereka yang memusuhi kitab Ihya’ dan pengarangnya?

Berdasarkan jawapan-jawapan kita kepada semua persoalan di atas, dengan tanpa sebarang sifat mazmumah, dengan penuh ikhlas kerana Allah... nilailah diri kita sendiri, layakkah aku ini menyerang kitab Ihya’ ‘Ulumiddin dan pengarangnya...? Cukupkah pengetahuan dan pemahaman aku tentang isi kitab ini sehingga melayakkan aku untuk menghentamnya? Ataupun aku sekadar membaca tulisan orang atau mendengar cakap-cakap orang, kemudian dengan bertaqlid tanpa celik (tanpa penelitian dan kajian) lalu aku pun menyebarkan kenyataan-kenyataan buruk tentang kitab Ihya’ dan pengarangnya?

Muhasabah... muhasabah...

Muhasabah dengan hati yang jernih, dengan meminta petunjuk daripada Tuhan...

Segala sebaran kita itu akan diminta pertanggungjawabannya di akhirat kelak. Oleh itu, jika kita sedar yang diri kita tidak cukup pengetahuan tentang isi kandungan kitab ini, lebih baiklah kita berdiam diri. Jangan sebar apa-apa yang negatif. Kecualilah jika diri kita itu memang sudah mahir dan masak dengan manhaj Imam Al-Ghazali dan isi kandungan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin. Maka ketika itu silalah berikan pandangan begitu begini tentang isi kitab ini.

Berbalik kepada ‘pengetahuan sedia ada’. Perlu diingat wahai teman. Sesiapa yang cuba meneliti kitab Ihya’ ‘Ulumiddin tanpa memahami terlebih dahulu isi kitab Imam Al-Ghazali iaitu sekurang-kurangnya Al-Munqiz min Adh-Dhalal, dan lebih mantap lagi jika diperkuatkan dengan Misykatul Anwar dan Ar-Risalah Al-Laduniyyah, pemahamannya terhadap kitab Ihya’ akan menjadi sangat dhaif. Bacanya banyak, fahamnya sedikit. Bahkan boleh mengakibatkan tersalah faham. Inilah yang selalunya berlaku.

Tuan-tuan,

Kitab Ihya’ tidak bermula dari A, B, C..... tapi dari D,E,F lalu ke seterusnya. Orang yang tidak ada asas (pengetahuan sedia ada)terhadap ajaran-ajaran Imam Al-Ghazali, akan kepeningan sedari awal kitab Ihya’ lagi. Pada bab pertama iaitu Bab Ilmu lagi sudah terlalu banyak perkara yang gagal difahami atau disalahfahami oleh orang itu. Percayalah.

Oleh itu... nilailah keupayaan diri anda sendiri. Sudahkah ada serba-sedikit pemahaman tentang tiga buah kitab Imam Al-Ghazali di atas (daripada hampir 300 buah kitab karangannya) ketika anda membaca dan menghentam Ihya’ ‘Ulumiddin? Kalau tak ada, lebih baiklah kita jangan memanjangkan saham dosa kepada ribuan ‘downline’ kita di internet khususnya dengan menyebarkan fitnah yang kita sendiri tidak ada pengetahuan tentangnya. Begitulah langkah yang bijak untuk diambil, dan menempatkan diri kita di zon selamat, insyaAllah.

Berdasarkan pengalaman saya, kebanyakan individu yang giat menghentam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin dan Imam Al-Ghazali, tak pernah tahupun 3 kitab yang disebutkan di atas. Jadi, bagaimana mereka boleh memahami isi kandungan kitab Ihya’ bahkan menyerang itu dan ini tentangnya? Kan pelik?

Pada awal interaksi aktif saya dengan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin sekitar 16 tahun lalu, selama 5-6 tahun ringkas cakap saya bawa kitab ini ke mana-mana. Di mana saya duduk, di situlah salah satu jilid Ihya’ saya buka. Kadang-kadang 5-6 jam sehari saya membaca, membuat nota tentangnya dan bertanya kepada kepada orang-orang yang saya yakini pengetahuan mereka. Setelah 5-6 tahun itu, masih terlalu banyak perkara yang saya belum fahami tentang isi kandungan kitab Ihya’. Sepanjang 5-6 tahun itu juga, sekalipun saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan negatif tentang kitab ini kerana saya sedar pengetahuan saya tentangnya masih terlalu kecil.

Tetapi dalam kuliah-kuliah dan sebaran di internet, kita lihat begitu ramai manusia yang baru menyelak dua tiga helai isi kitab Ihya’, membaca baru dua tiga hari kitab Ihya’ dengan lantang, yakin dan bangganya menghentam kitab ini. Orang yang 5-6 tahun bergelumang dengan kitab Ihya’ ini pun masih akur akan kelemahannya daripada memahami isi kandungannya, tetapi yang menyelak dua tiga helai Ihya’ sudah berlagak ‘alim tentang isi kandungannya sehingga merasakan diri mereka layak menghentam. Begitulah dunia akhir zaman.

Jadi, jika para pembaca terjumpa pengkuliah, atau penulis, atau penyebar hentaman ke atas kitab Ihya’ ‘Ulumiddin dan Imam Al-Ghazali, dengan baik tanyakan kepada mereka :

1. “Pernah baca kitab Ihya’?”

2. “Banyak mana sudah dibaca?”

3. “Masa baca kitab Ihya’ itu, banyak faham ke banyak tak faham?”

4. “Dah pernah baca dan faham kitab Al-Munqiz min Adh-Dhalal, Misykatul Anwar dan Ar-Risalah Al-Laduniyyah?”

5. “Pernah belajar kitab Ihya’ ‘Ulumiddin?”

6. “(Sekiranya pernah, tanyakan) Berapa lama belajar, banyak mana belajar dan dari siapa belajar?”

Berdasarkan jawapan-jawapan yang diberi oleh penyebar itu, dapatlah kita menilai sejauhmana kredibilitinya, sejauhmana boleh dipakai cakap-cakap dan pandangannya...

Bersambung...

*Artikel ini akan disambung dan dimurnikan lagi sehingga menjadi panjang, kerana ia akan menjelaskan banyak perkara yang kononnya negatif pada kitab Ihya’. Bersabar menanti.

Pengalaman - Dari Tazkirah ke Kuliah dan Ceramah

Sekitar 16 tahun lalu ketika mula-mula diminta memberikan tazkirah, masa 5 minit dirasakan sangatlah lama. Walaupun persediaan tazkirah sudah dibuat, tapi selepas 3 minit, habis semua modal. Mulalah tercari-cari apa yang mahu diperkatakan. Hendak memenuhkan tempoh masa 5 minit itu bagaikan satu bebanan besar lagi berat rasanya. Bagaimanalah agaknya orang yang mampu berucap satu dua jam... fikir saya ketika itu.

Kemudian saya mula mengendalikan usrah-usrah. Dalam slot-slot tertentu, saya mulai mampu buat penyampaian selama lebih kurang 20 minit berterusan untuk satu slot. Pada saya, setakat itulah tempoh maksima penyampaian saya, lebih-lebih lagi kerana suara saya mudah hilang jika bercakap lama. Dalam beberapa majlis dan kuliah Maghrib, jika bercakap dengan nada berceramah, selepas 20 minit lebih baiklah berhenti. Modal habis, suara pun habis. Saya fikir, saya bukanlah orangnya untuk berkuliah apatah lagi berceramah.

Beberapa tahun kemudian, saya diminta membuat kuliah Maghrib secara tetap. Berpeluh juga memikirkannya kerana antara selepas solat Maghrib dengan azan solat Isya’, ada ruang berkuliah sekitar 50 minit. Keupayaan 20 minit hendak dipanjangkan ke 50 minit memang mencabar. Saya terima tawaran itu dan dengan izin Allah dapatlah sekitar 40 ke 45 minit setiap kali kuliah. Tapi suara kenalah dikawal, tidak boleh terlalu keras dan lantang macam ceramah orang-orang politik, nanti cepat habis stamina.

Lama-kelamaan saya semakin biasa, lalu diizinkan Tuhan membuat penyampaian untuk tempoh 1 jam dan lebih sedikit. Tapi kalau dengan nada ceramah bersemangat (macam ceramah-ceramah politik), 40 minit paling lama. Selepas itu suara terpaksalah direndahkan sedikit dengan nada kuliah, bukan nada ceramah.

Sekarang saya bermohon kepada Tuhan agar diberi keupayaan untuk membuat penyampaian berstamina sekurang-kurangnya 1 jam 15-20 minit. Semoga Tuhan kabulkan. Jika dapat 1 jam 30 minit lagi bagus : )

Abu Zulfiqar

9 Februari 2012

Tazkirah Facebook 15 (Rabu 8.2.12)

"Kenapalah hidup aku selalu tidak bahagia dan doa-doa aku tidak dimakbulkan Tuhan...?"

..... kerana amalan-amaln harian dan keadaan diri kita yang bertentangan dengan kehendak agama menjadi tembok penghalang kepada rahmat Tuhan dan kemakbulan-Nya. Buang tembok penghalang itu terlebih dahulu, insyaAllah datanglah bahagia dan kemakbulan doa.

Masalahnya... manusia sangat sukar untuk berubah, apatah lagi jika perubahan itu melibatkan zahir dan batinnya kepada patuh kepada kehendak-kehendak agama.

Marilah kita buat perubahan bermula sekarang. Rasailah nikmat taat dan patuh.