Wednesday, January 25, 2012

Tazkirah Facebook 14 (23.1.2012)

Taat/patuh (kepada perintah Tuhan) itu satu nikmat yang sangat lazat, tetapi syaitan dan nafsu menyalutnya dengan pelbagai dongengan, sehinggakan kita berasa taat/patuh itu suatu bebanan.

Kita lebih yakin... bahawa ketaatan dan kepatuhan itu akan membuatkan kehidupan kita tidak selesa, dan terlepas begitu banyak kenikmatan dunia.

Kita juga awal2 lagi sudah tidak yakin, bahawa ketaatan/kepatuhan akan membuatkan hidup kita selesa, hati kita tenang dan hidup kita bahagia.

Sebab itu ramai manusia memilih untuk tidak taat/patuh. Mereka memilih-milih. Jika perkara yang disuruh ditaat/patuh itu 'menyedapkan' mereka, mereka akan taat dan patuh. Jika perkara yang disuruh taat/patuh itu tidak 'menyedapkan' mereka, mereka suka memilih untuk tidak taat/patuh.

Terimalah Islam secara keseluruhan, bukan secara memilih-milih.

Wednesday, January 18, 2012

Pabila Kuambil Sesuatu

Puisi lama saya ini (tahun 2007) termuat dalam blog lama saya yang sudah terhapus. Banyak juga artikel-artikel yang tidak sempat diselamatkan termasuklah puisi ini. Hari ini sahabat saya Ustaz Ikhram Almukminun menyiarkan semula puisi ini di Facebook. Alhamdulillah, syukur. Ribuan terima kasih kepada Al-Fadhil Ustaz Ikhram. Dapat semula puisi lama ini.


PABILA KUAMBIL SESUATU…


Pabila kupetik untaian puisi Ustaz Ashaari

Itu bukan bermaksud temanmu ini ahli Rufaqa’

Jika kunyatakan kebaikan poligami

Bukan hujahnya aku pengikut al-Arqam


Pabila kulilit serban hitam di kepala

Itu bukan bererti aku pengikut Syiah

Kalau kaulihat aku menyokong Saidina Ali

Tidak bermakna temanmu ini pendokong Syiah Imamiah


Pabila mataku dihiasi celak

Apa buktinya aku seorang karkun?

Kaulihat jubahku seperti jubah Maulana Mustaqim

Jangan kauhukum aku ahli jemaat Tabligh


Pabila kusering mencontohi al-Banna

Tidak semestinya aku banyak menyetujui Qardhawi

Memang buku-buku Ikhwan rujukanku

Mana kalian tahu aku salah seorang saudara mereka?


Pabila tazkirahku bernada tazkirah Dato’ Nik Aziz

Mestikah aku bertaqlid penuh Ustaz Hadi Awang?

Kelibat aku selalu ada di ceramah

Tidak semestinya PAS platform perjuangan utamaku


Pabila tasauf kesufian menjadi bualan harianku

Tidak semestinya aku orang tariqat

Penampilanku yang biasa berjubah dan berserban

Jangan anggap kumenolak tali leher dan t-shirt


Pabila aku mengendalikan usrah

Bukan ABIM dan JIM saja yang berusrah

Ma’thurat menjadi aurad harianku

Adakah ISMA naunganku?


Pabila anak-anakku berpakaian tentera

Takkanlah aku terus menjadi al-Qaeda?

Ketika kumenulis kebaikan Taliban

Mestikah aku pendokong gerakan mereka?


Pabila kusokong Lasykar Jihad

Tidak kusokong wadah Wahhabi

Kalau kusokong beberapa fatwa Saudi

Ketahuilah temanmu ini bukan Salafi Lapok


Pabila kukagumi Syeikh Bahauddin

Takkanlah itu menunjukkan aku pentaksub Syeikh Nazeem

Kaulihat hatiku berzikir khafi Allah Allah

Bukan maksudnya kudatang dari Naqsyabandiyyah


Pabila kuberbaik dengan pimpinan dan ahli UMNO

Janganlah anggap temanmu ini pengundi Barisan

Seandainya kusokong langkah-langkah baik pemerintah

Jauh sekali untuk aku berfaham sekular


Aku…

Mengambil apa yang baik dan relevan

Yang berkesan buat diriku dan umat Islam


“PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT”


Abu Zulfiqar

3 JUN 2007

Sunday, January 15, 2012

Tempoh Masa Belajar Kitab Ihya' 'Ulumiddin

Saya mencongak-congak sendirian...

Sudah 25 kali disyarahkan = baru 125 mukasurat terjemahan Ihya' 'Ulumiddin (daripada 4,800 mukasurat).

Maka purata untuk 1 kuliah = 5 mukasurat.

Untuk menghabiskan 4,800 mukasurat...
4,800 mukasurat bahagi 5 mukasurat = 960 kali kuliah. Baru habis seluruh kitab Ihya'.

960 kali kuliah bahagi 4 kali (sebulan) = 240 bulan.

240 bulan bahagi 12 bulan (setahun) = 20 tahun.

Maksudnya, jika saya mengajar 4 kali sebulan sebagaimana yang saya lakukan sekarang di tempat saya, 20 TAHUN BARU HABIS.
Jika saya mengajar 1 kali sebulan di tempat lain = 80 TAHUN BARU HABIS. Alamatnya... saya yang 'habis' dulu : )

Permintaan mengkuliahkan kitab Ihya' selalu datang, dan selalunya saya menepis, kerana saya kurang suka 'travel' dalam mengajar... rasa rugi masa perjalanan pergi dan pulang habis begitu sahaja. Sebab itu kesemua fail audio/video kuliah Syarah Ihya' dimuatnaik ke Youtube, agar orang jauh boleh mengikutinya Tapi suatu hari nanti... tentu tak tertepis jugak, lebih-lebih lagi yang mengajak itu sahabat-sahabat baik.

Oleh itu, di masjid/surau lain, saya mestilah membuat persediaan :
1. Panjangkan tempoh kuliah. Biasa sekitar 50 minit ke 1 jam. Jadi saya kena jadikan lebih daripada itu.
2. Nota/huraian bertulis yang diberi hendaklah lebih tebal dan terperinci.
3. Isi kuliah hendaklah dimudahkan dan dipadatkan, tapi jangan sampai tertinggal bahagian-bahagian yang penting.
4. Mula memesrakan kitab Ihya' dengan anak-anak sedari kecil (sekarang), supaya seandainya saya tidak sempat menghabiskan keseluruhan kitab, mereka atau salah seorang dari mereka dapat menyambung kerja-kerja saya menghabiskannya, mengikut acuan yang betul.

Tahun lepas ada tawaran untuk kuliahkan Ihya' secara marathon (3 hari, Jumaat sampai Ahad, lebih kurang 12 sesi pada Maghrib, lepas Isya', Subuh, pagi, tengah hari)), tapi saya tak mampu. Saya jenis yang mudah letih, kurang stamina. Rasanya sampai bila-bila pun tak akan mampu mengajar secara 'marathon'. WaAllahua'lam.

Tapi tak dinafikan, kitab Ihya' elok diajar secara marathon, barulah dapat kejar silibusnya.

Saturday, January 14, 2012

Harga Nikah Mut'ah?

Yayasan Astan Quds al-Ridhawy dikatakan sedang berusaha mencari wanita berusia antara 12 ke 35 tahun untuk berkerjaya sebagai wanita mut’ah di kota Masyhad.

BERIKUT TERJEMAHAN DOKUMEN PENGUMUMAN TERSEBUT:

Bismillahirrahmanirrahim

“Nikah itu adalah sunnahku.”

Yayasan Astan Quds Ridhawy (Wilayah Masyhad, Kota al-Ridha Iran) mengumumkan tentang maksudnya untuk mendirikan sebuah pusat tempat melangsungkan akad nikah untuk jangka waktu pendek berhampiran kuburan Imam al-Ridha alaihissalam, demi meningkatkan iklim spiritual dalam masyarakat dan demi menciptakan iklim rohani dan ketenangan bagi kawan-kawan penziarah yang mengunjungi kawasan makam Imam sementara mereka jauh dari keluarga mereka.

Untuk itu, maka pihak Yayasan meminta kepada seluruh akhawat mukminah yang masih perawan, yang usianya belum melampaui 12 sampai 35 tahun, pihak Yayasan mengajak mereka untuk memberikan bantuan dan terlibat dalam projek ini.

Masa kontrak bagi akhawat yang mahu terlibat dalam pekerjaan ini adalah 2 tahun, dan yang menjadi kewajiban bagi akhawat yang terikat kontrak dengan Yayasan al-Ridhawy adalah melakukan Nikah Mut’ah selama 25 hari setiap bulan selama masa kontrak kerja.

Dan masa kontrak akan dihitung dari bahagian masa kerja, dan masa kerja untuk setiap akad (Mut’ah) berkisar antara 5 jam hingga 10 hari dengan setiap lelaki.

Nilai bayaran yang ditetapkan untuk setiap akad Mut’ah dalam penjelasan berikut:

Mut’ah 5 jam : 50,000 Tuman (50 Dollar)

Mut’ah 1 hari: 75,000 Tuman (75 Dollar)

Mut’ah 2 hari: 100,000 Tuman (100 Dollar)

Mut’ah 3 hari: 150,000 Tuman (150 Dol;ar)

Mut’ah 4 s/d 10 hari: 300,000 Tuman (300 Dollar)

Sementara para wanita yang baru pertama kali melakukan nikah Mut’ah akan mendapatkan bayaran 150,000 Tuman (150 Dollar) sebagai pengganti hilangnya keperawanannya!

Diterjemahkan oleh:Muhammad Ihsan Zainuddin, sumber : http://www.aansar.com/news.php?action=show&id=1775

Abu Zulfiqar : Saya tidak pasti sejauh mana benarnya perkara ini, cuma saya mahu menyimpannya di blog saya.

Friday, January 13, 2012

Bekalan dan Jambatan

Yang fardhu 'ain kautinggalkan.
Yang fardhu kifayah kaukejar.
Nanti engkau kan kerugian.
Di akhirat kau kan tersedar.

Bekalan banyak kausiapkan.
Bertimbun-timbunnya amalan.
Tetapi pasti kausesalkan,
kerana tiada jambatan.

Tuesday, January 10, 2012

Pengurusan Keluarga - Masalah Gaji Isteri

Sepasang suami isteri beranak dua tinggal di bandar besar. Selama ini hanya suaminya yang bekerja dengan pendapatan sekitar RM 4,000 sebulan. Dengan nilai sebegitu, segala keperluan asas hidup di kota boleh dikatakan beres, tetapi tidak mewah. Suatu ketika si isteri yang punya kelulusan terasa ingin berkerjaya pula. Selepas berbincang dengan si suami, si isteri pun diizinkan bekerja. Pendapatannya bagus juga, mencecah RM 3,000.

Dari segi pendapatan keluarga, pasangan ini mendapat keuntungan besar. Kalau dulunya RM 4,000, kini sudah RM 7,000 sebulan. Masalah timbul... mereka berselisih faham tentang perjalanan pendapatan RM 7,000 sebulan itu. Si suami berasa si isteri patut juga mengeluarkan sebahagian gajinya untuk menguruskan keluarga. Si isteri pula berasa gajinya tidak boleh disentuh kerana harta isteri adalah milik isteri sepenuhnya. Jadi perjalanan hidup sehari-hari mereka ada sedikit ketidakselesaan hasil meningkatnya pendapatan bulanan keluarga mereka itu.

Saya berikan panduan lebih kurang begini...

1. Kedua-dua orang mesti faham dan akur... bahawa segala harta si isteri termasuklah pendapatannya adalah hak milik si isteri. Maka secara umumnya si suami tidak boleh menyentuh gaji si isteri. Selesai satu perkara.

2. Kedua-dua orang juga mesti faham dan akur... bahawa si isteri berjaya mendapat pekerjaan dan pendapatan sebegitu hanyalah dengan keizinan si suami. Atas keizinan si suami, si isteri dapat RM 3,000 sebulan. Jika si suami tidak mengizinkan, si isteri dapat gaji RM 0 sebulan. Maka, isteri yang solehah tentunya akan menghargai keizinan si suami dengan sepadannya, dan sanggup berkongsi perbelanjaan menguruskan keluarga dengan jumlah yang sepatutnya. Diizinkan memperoleh RM 3,000 berbanding RM 0, padankah si isteri mengeluarkan hanya RM 100 sebulan untuk perbelanjaan keluarga, dan menyimpan atau mengguna RM 2,900 untuk dirinya sendiri? Timbang-timbangkan.

3. Kedua-dua orang juga mesti faham dan akur... bahawa dengan keluar bekerjanya si isteri :

a. Perbelanjaan si suami bertambah untuk membeli susu anak. Sebelum ini percuma kerana si isteri menyusukan anak sendiri di rumah.

b. Perbelanjaan si suami bertambah untuk membayar gaji pengasuh anak-anak. Sebelum ini percuma kerana si isteri yang menjaga anak-anak.

c. Perbelanjaan si suami bertambah untuk makan minum. Apabila kedua-dua orang bekerja, makan malam biasanya di luar (restoran) kerana si isteri penat bekerja seharian. Silap-silap sarapan dan minum petang pun di kedai. Padahal sebelum ini belanjanya rendah kerana makan di rumah.

d. Perbelanjaan si suami bertambah untuk pengurusan dan kebersihan rumah. Terpaksa menggunakan khidmat pembantu rumah ataupun memanggil orang membersihkan rumah seminggu dua kali. Ataupun pakaian dihantar ke kedai dobi. Sebelum ini percuma.

Maka sifirnya begini... sebelum mengizinkan si isteri mendapat RM 3,000 sebulan, si suami tidak perlu mengeluarkan wang untuk susu, pengasuh, makan minum di luar hampir setiap hari, pembantu/pembersih rumah, dobi dan lain-lain. Selepas memberikan keseronokan kepada si isteri dengan pendapatan RM 3,000 sebulan, secara automatik si suami terpaksa pula mengeluarkan wang untuk menanggung itu semua. Maksudnya kegembiraan dan kekayaan isteri ditambah oleh suami, tetapi keserabutan dan kekurangan wang pula yang ditambah oleh si isteri buat suaminya. Yang si isteri tidak mengizinkan wangnya digunakan untuk perbelanjaan keluarga, semua RM 3,000 adalah hak mutlaknya, padahal semua perbelanjaan yang disebutkan di atas tadi berpunca daripada si isteri pergi bekerja. Kalau si isteri tidak pergi bekerja, semua perbelanjaan di atas boleh dikatakan tidak wujud.

Si suami mengeluh, kalau ditahunya dia akan menanggung beban perbelanjaan sebegitu, lebih baiklah dia tidak memberi izin kepada isterinya bekerja tempoh hari. Bukannya keluarga mereka bertambah mewah, tapi bertambah parah. Bukannya selama ini mereka tidak cukup makan minum dan tidak sempurna pengurusan keluarga, cuma mahu duit lebih kononnya untuk hidup yang lebih selesa. Ingatkan dengan bertambahnya duit, bertambah selesalah keluarga. Sebaliknya bertambah kusut dan kewangan suami bertambah sempit. Tak sampai pertengahan bulan, wang suami sudah kering. Apabila diminta dari isteri, isteri menganggapnya sebagai hutang. Aduh, malang nasib sahabatku.

Penyelesaiannya... tidak lain adalah kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan.

1. Si suami mesti faham dan akur bahawa harta isteri adalah milik isteri. Si suami tidak boleh pandai-pandai mengguna atau memaksa si isteri menggunakan wang itu untuk menguruskan perbelanjaan keluarga.

2. Si isteri pula mestilah menghargai keizinan si suami untuk dirinya mendapat pendapatan sebegitu, dan faham bahawa perbelanjaan si suami menguruskan rumahtangga bertambah dengan banyaknya apabila si isteri keluar bekerja.

Di sinilah perlunya kebijaksanaan masing-masing untuk saling menghargai hak masing-masing dan saling memberi untuk menguruskan keluarga.

Tidak dilupakan, satu masalah penting yang terpaksa ditanggung oleh sahabat saya ini apabila isterinya keluar bekerja ialah... dosa-dosa yang dilakukan oleh si siteri di luar rumah itu turut terbeban pada dirinya kerana isteri di bawah tanggungjawab suami. Mana-mana suami pun begitu. Sudahlah perbelanjaan menguruskan keluarga semakin bertambah, dosa pun bertambah kalau si isteri tidak memelihara dirinya dengan batas-batas agama di luar rumah.

Saya mengharapkan pasangan suami isteri ini, dan umumnya untuk pasangan-pasangan lain yang kesnya lebih kurang begini, dapat bersama-sama berjuang dan berkorban untuk keluarga masing-masing dengan lancarnya.

WaAllahua’lam.

Abu Zulfiqar

10 Januari 2012

Novel Islamik PANAH SIDI ARAB Bab 17

BAB 17 - Kematian

“Tu la Abang Man... Era dah cakap... tak mau ‘dating’ kat sini,” remaja wanita itu melepaskan perasaannya dengan suara terputus-putus, termengah-mengah. Dia masih berlari-lari anak di belakang temannya. Sesekali dia menoleh ke belakang. “Auww!” lagi pipinya tergores dek tumbuhan hutan. “Aduuhhh, sakitnya! Habis muka Era!”

“Lari terus Era! Yang penting... nyawa kita selamat!” balas temannya. Tangannya juga habis calar-balar menyelak tumbuhan untuk membuka laluan.

“Ni mesti... Tuhan marah kat kita ni bang!”

“Itu le... ‘dating’ tu kan maksiat?... Nasib baik tak mati!”

“Lepas ni tak mahu le ‘dating-dating’ dah bang... Era... takut le!”

“Ye lah... kalau Tuhan... selamatkan kita kali ni... lepas ni...tobat tak mahu ‘dating’ dah!”

Sudah sepuluh minit pemandu berbangsa Melayu itu meredah hutan kecil tetapi masih gagal mendapatkan orang-orang yang dicarinya. Nampaknya budak-budak itu sudah terlepas. Satu keadaan yang berbahaya, tapi apa boleh buat. Dia mengambil keputusan untuk berpatah balik, keluar ke padang peringatan.

Dari ekor matanya, si pemandu terperasan pepohon kecil di kanannya sejarak lebih kurang dua puluh meter bergoyang-goyang keras. Pasti budak-budak itu, fikirnya. Secepat kilat tubuh dan tangannya beralih ke arah rimbunan itu. Empat das tembakan dilepaskan ke arah itu. “Arghhhhh!” tembakan ke empat menemui sasarannya. “Yesss!” kata si pemandu agak kuat. Dia bergerak meredah hutan dengan pantas untuk melihat hasilnya.

“Oh, noo... Paul!” jerit si pemandu sebaik-baik sahaja tiba di rimbunan tempat dia melepaskan tembakan tadi. Tersandar di perdu pokok ialah rakannya si lelaki India. Bahu kiri lelaki India itu terkena tembakan. Pakaiannya di bahagian lengan dan dada dimerahi darah.

“Arghhhh!” Paul mengerang kesakitan. Peluru tidak bermata. Bahu kirinya dibaham keras sebutir peluru dari muncung pistol sahabatnya sendiri. “Deen, apa you sudah buat? You buta ka?”

“I’m very very sorry Paul. Memang aku tak nampak! Aku ingat diaorang tadi!” balas rakannya. Selepas meneliti luka Paul buat beberapa ketika, si pemandu mengangkat Paul lalu memapahnya keluar dari hutan kecil itu. Bersusah-payah mereka bergerak. Tiba di padang peringatan, Paul disandarkan ke salah sekeping batu peringatan itu, yang kebetulan tertera padanya nama ‘Paul’ juga. Ketika itu juga kenderaan mereka di tebing jalan menderum. Si pemandu mengangkat kepalanya melihat ke arah jalan. Kelihatan budak Cina yang mereka kejar tadi berada di tempat duduk pemandu. Kemudian kenderaan mereka meluncur laju lalu menghilang. Derumannya semakin sayup.

Marahnya si pemandu bukan kepalang. Habis segala sumpah seranah keluar dari mulutnya. Ditendangnya salah satu batu peringatan, terbelah dua dibuatnya.

@@@@@@@@@@

Sebaik-baik sahaja budak bertiga itu menghilang dalam hutan di kaki bukit, kenderaan besar pacuan empat roda tiba. Kenderaan itu berhenti di hadapan kereta Mitsubishi Galant berwarna putih. Dari kenderaan itu turun dua orang lelaki. Mereka kelihatan tergesa-gesa. Tanpa menoleh ke arah pasangan suami isteri di gigi air itu, mereka terus berlari-lari anak masuk ke jalan yang dilalui oleh budak-budak bertiga tadi. Di dalam kenderaan itu masih ada dua orang. Pedal minyak ditekan keras, berdesup kenderaan itu bergerak lalu membelok ke kanan, seolah-olah sedang mengejar sesuatu. Pasangan suami isteri di gigi air tadi berpandangan sesama sendiri. Mungkin mereka berasa bingung dengan keadaan kelam-kabut sebegitu.

@@@@@@@@@@

“Ni Piyan, aku nak pi bawah sat, nak kencing la pulak! Aku boh beg kat batu besaq ni ha,” kata Seman lalu meniti dari batu ke batu menghilir sungai. Lincah gerakannya.

“Ok,” jawab Piyan ringkas. Beg galasnya yang berisi peralatan memasak masih tergalas di belakangnya. Dalam beberapa saat bayang Seman pun hilang.

Air di lubuk membuak kecil. Terpacul kepala Khairi. Tercungap-cungap dia memenuhkan paru-parunya dengan udara segar. Dia cuba mencari Seman atau Piyan, tapi tidak kelihatan. Tiba-tiba matanya membulat. Tanpa berfikir panjang, cepat-cepat dia menarik nafas panjang lalu menenggelamkan tubuhnya ke dalam air kembali.

“Bamm! Bamm!” dua das tembakan menghentam Piyan yang sedang leka melihat aliran air dari arah belakang. Dengan sebutan “Allah!”, tubuh Piyan terdorong ke depan lalu jatuh tertiarap di atas batu-batu kecil di gigi air. Serta-merta air sungai bertukar menjadi warna merah. Tubuh Piyan diam tidak bergerak-gerak.

“Piyan! Ya Allah!” pekik Seman dari bawah. Sambil itu matanya mencari-cari arah punca tembakan. Ya, Seman sudah dapat. Dilihatnya dua orang lelaki bergerak pantas dari dalam hutan kecil menuju ke arahnya. Apa lagi, Seman berpaling lantas meluru turun ke arah hilir anak sungai. Begitu tangkas dia meloncat dari batu ke batu dan meredah anak-anak pokok.

Seman terdengar tiga das tembakan dari arah belakang, tapi tidak ada satu pun yang mengenainya. Zikir khafi Seman tidak terputus. Doa pun doa, usaha pun usaha. Ternyata dua orang lelaki itu bukan tandingan Seman yang penuh stamina. Semakin lama semakin jauh dia meninggalkan mereka.

Selepas meredah hutan, Seman tiba di jalan tar menuju ke empangan air besar di kaki Bukit Larut. Jalan rata menambahkan keyakinannya untuk selamat. Dia berlari sekuat-kuatnya agar dapat sampai ke jalan besar.

“Hangpa nak kejar aku kat sini ya? Sorry la brader! Jalan macam ni aku yang punya!” kata Seman dalam hatinya, berisi kegeraman. Tapi memang benar, kedua-dua orang pengejar berhenti termengah-mengah di jalan tar sebelum menyambung kejaran mereka, sedangkan larian Seman semakin kemas dan lancar.

“Allamak, apa pulak yang makcik dengan pakcik ni buat kat sini? Naya betoi la depa ni!” hati Seman bermonolog lagi ketika melihat pakcik berkopiah putih dan makcik berkain batik berdiri di jalan tar lebih kurang dua puluh meter di depannya. Pasangan suami isteri itu kelihatan tercangak-cangak menyaksikan Seman yang sedang berlari dengan bergayanya, seolah-olah sedang dalam satu pertandingan larian jarak sederhana.

“Pakcik, makcik, larghi!” pekik Seman. “Laghi pakcik, makcik, ada oghang jahat!” katanya lagi. Seman memperlahankan lariannya. Tiba sahaja di depan pasangan itu, Seman memegang tangan kedua-duanya lalu cuba menarik mereka untuk melarikan diri. Namun tangan Seman ditepis.

“Pakcik, makcik, bahaya! Baik laghi cepat!”

“ Dengar sini baik-baik!” kata si pakcik, tegas. Kedua-dua belah tangannya memegang bahu Seman. “Kamu boleh memandu kereta tak?” Seman terpinga-pinga, tapi dia mengangguk. “Baik. Sekarang pergi ke kereta saya, kunci kereta ada kat situ, ‘start’ kereta, dan tunggu kami datang.” Seman ternganga mendengar arahan si pakcik.

Sementara itu si makcik menyelak sedikit baju Kedahnya di bahagian belakang, memasukkan tangan kanannya, dan mengeluarkan sepucuk pistol. Nganga Seman bertambah luas, melebihi tahap maksima. “Pap!” muka Seman ditempeleng oleh si makcik. “Pergi sekarang kalau nak selamat!” Bagaikan terpukau Seman terus berlari menuju kereta putih milik pasangan itu.

Sebaik-baik sahaja Seman pergi, suami isteri itu mengambil tempat di kiri kanan jalan, dalam semak samun. Si pakcik turut mengeluarkan sepucuk pistol dari dalam bajunya. Mereka menanti penuh waspada.

Dua lelaki yang mengejar sudah datang. Ketibaan mereka disambut meriah oleh gerutu bunyi peluru dari kiri kanan jalan. Lelaki yang berada di hadapan terus rebah ke bumi. Rakannya di belakang membalas tembakan dengan dua pucuk pistol sekaligus. Pakcik makcik terpaksa merendahkan diri mencari perlindungan. Lelaki itu melihat temannya yang rebah berlumuran darah. Hendak dibawa lari memang mustahil. Kalau ditinggal dan tidak mati, tentu pecah rahsia. Mahu tak mahu dia terpaksa menamatkan riwayat temannya. Dengan satu tembakan di kepala, temannya terus diam bagaikan kayu. Kemudian dia terus menghujankan peluru ke arah pakcik makcik.

“Berundur!” arah si pakcik. Kedua-duanya bangun dan melepaskan beberapa das tembakan balas walaupun mereka tidak pasti kedudukan pihak musuh. Kemudian pakcik makcik berlari sekuat hati menuju ke kereta. Letupan pistol terus berbunyi di belakang mereka.

“Jalan terus!” arah si pakcik kepada Seman sebaik-baik sahaja masuk ke tempat duduk hadapan. Si makcik masuk melalui pintu belakang. Seman pun terus memecut walaupun dia kurang mahir memandu kereta.

@@@@@@@@@@

Perlahan-lahan muka Khairi muncul di permukaan air. Kali ini hanya bahagian mukanya sahaja yang bersentuhan dengan udara, kepala dan badannya masih berselimut air lubuk jernih kehitam-hitaman itu. Diperhatinya sekeliling dengan cermat. Lebih kurang dua minit juga dia mengapungkan dirinya begitu. Setelah tidak mengesan sebarang pergerakan ataupun bunyi yang mencurigakan, Khairi keluar dari lubuk. Berderai air berjatuhan dari badannya ke atas batu-batu sungai. Di tangannya ada busur sakti.

Tadi Khairi tidak jadi menimbulkan dirinya kerana dia ternampak dua orang lelaki berpistol susup-sasap di dalam hutan. Ketika dia menenggelamkan dirinya kembali, dia terdengar dua das tembakan. Entah siapa sasarannya.

Dengan terjengket-jengket Khairi menyusup masuk ke hutan kecil di hadapannya. Dia duduk bertinggung di sebalik rimbunan dedaun dan anak-anak pokok. Senyap. Matanya liar memerhati sekeliling. Tiada siapa. Sayup-sayup Khairi terdengar bunyi berbalas tembakan di kaki bukit. Perutnya yang sedia kecut bertambah kecut.

Lima minit berlalu. Khairi belum berani keluar. Badannya masih tergigil-gigil kesejukan dek air lubuk. Mulutnya kumat-kamit membaca ayat-ayat Al-Quran dan doa. Setelah berasa yakin, Khairi bangun dan memantau sekelilingnya. Dia berlari-lari anak lalu melompat ke atas sebiji batu besar. Dia ternampak sesuatu!

Khairi melompat turun ke tanah. Dia berlari ke satu arah. “Allahu Akbar! Piyan! Allahu Akbar!” Khairi segera mendapatkan tubuh Piyan yang tertiarap di atas batu-batu kecil. Sebahagian tubuh Piyan berada di dalam air yang kemerah-merahan. Khairi mengangkat badan Piyan lalu menyeretnya ke darat. Sahlah dua das tembakan yang didengarnya dari dalam air tadi mensasarkan Piyan.

“Innalillah.......”

@@@@@@@@@@