Subhanallah... cantiknya... Macam tak percaya pemandangan ini di Kamunting, Taiping yang terkenal dengan kesibukannya.
Sunday, November 28, 2010
Taman Tasik Kamunting Oktober 2010
Subhanallah... cantiknya... Macam tak percaya pemandangan ini di Kamunting, Taiping yang terkenal dengan kesibukannya.
Bandar Baharu November 2010
Tepi Sungai Kerian. Di sebelah sana sungai ialah negeri Perak. Nama sungai ini dikatakan berasal dari sebutan seorang pegawai Inggeris iaitu "kirian" (untuk menunjukkan sebelah kiri sungai).
Laluan tepi sungai ini panjang juga. Sesuai untuk bersiar-siar. Macam biasa... tempat-tempat begini ada beberapa pasangan sedang bercengkerama. Tengok ana berserban, mereka nampak agak takut-takut : )
Dalam proses memusatkan tenaga untuk menyeberangi sungai di belakang tu dengan berjalan di atas air : )
Friday, November 26, 2010
Nota Kuliah Kitab Kifaayatul Muhtaaj 68-73
Sejurus Sebelum ke Sidratul Muntaha
“Kemudian aku melihat umatku dalam dua bahagian. Satu bahagian memakai pakaian putih seolah-olah kertas, dan satu bahagian lagi memakai pakaian yang kotor. Lalu aku masuk ke Baitul Makmur dan diikuti oleh umatku yang berpakaian putih. Sementara umatku yang berpakaian kotor disingkirkan tidak boleh masuk. Kemudian aku bersolat bersama-sama orang-orang yang ikut ke Baitul Makmur. Setelah itu kami semua keluar.” (Baihaqi 1)
“Baginda pun masuk (ke Langit Ketujuh) dan tiba-tiba baginda bertemu dengan seorang lelaki yang sudah beruban sedang duduk di atas kerusi dekat pintu syurga. Di sampingnya satu kaum sedang duduk dengan muka yang putih seperti kertas, lalu ada satu kaum dengan warna hitam di kulit mereka. Kemudian mereka masuk ke dalam satu sungai lalu mandi. Ketika mereka keluar dari sungai itu, warna hitam yang terdapat pada diri mereka telah hilang. Kemudian mereka memasuki sungai yang lain dan mandi. Ketika mereka keluar dari sungai itu, tiba-tiba mereka sudah sama seperti warna sahabat mereka yang lain.” (Jawab Jibrail lepada Nabi...)
“Lelaki tua itu ialah bapamu Nabi Ibrahim – orang yang mula-mula beruban di bumi. Adapun mereka yang mukanya putih ialah orang-orang yang keimanan mereka tidak dihiasi dengan kezaliman. Manakala orang yang hitam mukanya ialah orang yang mencampuradukkan amal soleh dengan amal yang buruk, lalu mereka bertaubat, dan Allah pun menerima taubat mereka.”
“Adapun sungai-sungai itu – sungai pertama ialah rahmat Allah, sungai kedua ialah nikmat Allah dan sungai ketiga ialah Allah memberi mereka minuman kepada mereka dengan minuman yang suci.” (Baihaqi 2)
Pengalaman Rasulullah di Sidratul Muntaha
“Setelah itu Buraq itu membawa kami naik ke Sidratul Muntaha yang daun-daunnya seperti telinga gajah dan buah-buahnya seperti bejana (tempayan) besar. Tatkala perintah Allah memenuhi Sidratul Muntaha, maka Sidratul Muntaha berubah dan tidak ada seorang makhluk pun yang dapat menjelaskan sifat-sifat Sidratul Muntaha kerana sangat indahnya.” (Muslim)
“Kemudian kami melanjutkan perjalanan sehingga sampai ke Sidratul Muntaha, lalu ditutupi oleh pelbagai macam warna, dan aku tidak tahu apakah itu. Kemudian aku dimasukkan ke dalam syurga, dan di dalamnya terdapat kubah permata dan tanahnya adalah misk (kasturi).” (Bukhari)
“Kemudian aku diangkat ke Sidratul Muntaha. Setiap daun di sana hampir menutupi umat ini. Di dalamnya terdapat mata air yang mengalir, namanya Salsabil. Dari Salsabil itu dibahagi menjadi dua sungai. Pertama al-Kautsar dan yang kedua dinamakan sungai ar-Rahmah. Lalu aku mandi di sungai itu, maka Allah mengampuni dosaku yang akan datang dan yang telah lalu.”
“Kemudian aku diangkat ke syurga dan aku pun disambut oleh seorang bidadari. Lalu aku tanyakan: “Milik siapakah engaku wahai bidadari cantik?” Bidadari itu menjawab: “Aku milik Zaid bin Harithah.”
“Kemudian aku berada di sungai-sungai dari air yang tidak berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai dari khamar yang lazat rasanya bagi peminumnya, dan sungai-sungai dari madu yang ditapis.”
“Kemudian diperlihatkan kepadaku neraka. Di dalamnya terdapat kemarahan, murka dan seksa Allah. Seandainya dijatuhkan batu dan besi di dalamnya, nescaya ia akan lebur.” (Baihaqi 1)
“Kemudian sampai ke Sidratul Muntaha, lalu dikataakan kepada baginda : “Inilah Sidrah, tempat terakhir setiap umatmu yang mengamalkan sunnahmu. Di Sidrah itu terdapat sepohon kayu, dari akarnya keluar sungai-sungai dari air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari khamar yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai dari madu yang ditapis. Iaitu pohon kayu yang naungannya sahaja tidak dapat ditempuhi oleh seorang penunggang kuda selama tujuh puluh tahun. Sehelai daunnya dapat menaungi seluruh umat.” (Baihaqi 2)
Thursday, November 25, 2010
Persoalan Wanita dan Minyak Wangi
Bagaimanakah cara pemakaian minyak wangi yang diharuskan untuk wanita.. Adakah seseorang wanita itu tidak dibenarkan terus memakai minyak wangi apabila keluar dari rumah...
Sekian Terima kasih di atas penjelasannya..
JAWAPAN:
Saya sekadar beri pandangan.
Wanita boleh memakai wangi-wangian (apa saja jenisnya termasuklah jenis minyak) sekadar untuk menutup bau badan (kerana bau badan yang tidak enak akan mengganggu orang lain dan membuatkan kita jadi bahan bualan orang, serta menjatuhkan imej wanita Islam pada pandangan orang-orang bukan Islam). Cuma bau wangi-wangian itu hendaklah jangan sampai terhidu kepada orang yang MELINTASI kita ataupun jika kita MELINTASI orang.
Seandainya BERSELISIH (maksudnya dalam jarak yang rapat/ bersebelahan) dan terbau wangi-wangian kita, hal itu tidak mengapa kerana ia sangat sukar dielakkan dalam situasi-situasi tertentu seperti di sekolah, dalam kenderaan awam, di pasar dan seumpamanya.
Secara peribadi, saya sarankan wanita-wanita Islam selalu memakai doedoran (untuk ketiak), selalu bersugi, mensyampu rambut, memakai minyak/ krim rambut dan memakai pakaian yang baru dibasuh. Kita sedia maklum benda-benda yang disebutkan ini memang sudah berbau wangi. Saya kira bau wangi benda-benda ini sudah cukup sebagai wangian untuk wanita Islam di dalam ataupun di luar rumah untuk menutup bau tidak enak daripada tubuh.
Yang jadi kesalahan ialah apabila wanita-wanita Islam masa kini memakai wangian yang memang dia mahu tercium oleh orang lain, bukan sekadar untuk menutup bau badannya.
Jika di rumah, bersama suami... lumurlah satu badan dengan wangian pun tidak mengapa, malah dapat pahala. Jangan di luar rumah wangi semerbak, di dalam rumah (bersama suami) berbau masam.
WaAllahua'lam.
Abu Zulfiqar
25 November 2010
Wednesday, November 24, 2010
E-mail untuk Minta Pandangan
AL-AINA MENULIS:
Kiranya Tuan Abu Zulfiqar boleh kasi email, supaya saya dapat terangkan secara detail masalah saya, at least serba sedikit dapat membantu saya. Terima kasih.
Syabas dan bagus web ni ( http://ikhtiarmuslim.blogspot.com ), saya terjumpa web ni pagi ni ketika tercari-cari penawar/tips untuk musibah/ujian Allah swt, kiranya Tuan Abu Zulfiqar dapat membantu saya?" title=":">">
ABU ZULFIQAR MENULIS:
Al-Aina... email saya abuzulfiqar@yahoo.com
Kuliah-kuliah Di"CD'kan
tima kasih byk2 ustaz...
mmg sangat2 bermanfaat...
ambe nk mintak kebenaran ustaz sebab ambe dh cd kan kuliah2 ustaz pastu bagi2 pada kwn2..
haarap ustaz bg kebenaran...
Posted: Tue Nov 23, 2010 12:03 pm
ABU ZULFIQAR MENULIS:
Terima kasih Pemuda Gong Pauh atas usaha dakwah yang begitu gigih. Semoga Allah gandakan ganjarannya untuk anda dan kita semua.
Silalah sebarkan apa-apa yang bermanfaat dari kuliah yang tak seberapanya ini. Cuma jangan 'buat duit' je. Dapat edar percuma lagi bagus. Tapi kalau dah banyak sangat, tak salah kalau tuan ambil duit kos usaha tuan seperti modal beli cd, elektrik, kos perjalanan (kereta/ motor/ lain2), sampul surat, setem, minum air dan lain-lain kos modal yang munasabah. Dengan adanya sedikit wang, gerak kerja tuan akan lebih lancar.
Sekali lagi terima kasih. Semoga berjaya dalam semua lapangan yang diceburi.
Posted: Wed Nov 24, 2010 12:09 pm
Nak Ikuti Kuliah Abu Zulfiqar
ust dok mana. jika ust beri kuliah saya nak mengaji kat kelas ust boleh tak.
semuga saya beroleh rahmat dan keberkahan Allah swt hendaknya.
Amin
Wed Nov 24, 2010 12:31 pm
JAWAPAN:
Saya tinggal di Trong, Perak bersebelahan bandar Taiping, jauh dari bandar-bandar besar. Mungkin sukar untuk tuan datang ke kuliah saya. Tak dapat hadir pun tak mengapa, tuan boleh terus mengikutinya melalui Youtube. Mana tahu mungkin suatu hari nanti Tuhan temukan juga kita dalam satu majlis.
Semoga kita terus beroleh rahmat dan keberkatan.
Abu Zulfiqar
24 November 2010
Sunday, November 21, 2010
Nota Kuliah Kitab Kifaayatul Muhtaaj 62-67
Pengalaman Nabi di Langit Ketiga
“Maka kami dibukakan pintu, lalu aku bertemu Nabi Yusuf yang telah diberi separuh dari ketampanan orang sedunia. Maka Yusuf menyambutku dan mendoakan kebaikan untukku. (Muslim)
“Baginda pun masuk dan tiba-tiba bertemu baginda bertemu dengan Nabi Yusuf.” (Baihaqi 2)
Pengalaman Nabi di Langit Keempat
“Maka kami dibukakan pintu, lalu aku bertemu dengan Nabi Idris. Dia menyambutku dan mendoakan kebaikan untukku. Allah SWT berfirman : “Dan kami mengangkatnya ke tempat yang tinggi (Maryam : 57).” (Muslim)
Anas berkata : “Ketika Jibrail dan Nabi saw melewati Nabi Idris, Nabi Idris berkata : “Selamat datang nabi yang soleh dan anak yang soleh.” Aku bertanya kepada Jibrail: “Siapa orang ini?” Jibrail menjawab : “Dia ialah Nabi Idris.” (Bukhari)
“Kemudian kami naik ke langit keempat. Maka aku bertemu dengan Idris as, lalu aku member salam kepadanya, dan dia pun memberi salam kepadaku.” (Baihaqi 1)
Pengalaman Nabi di Langit Kelima
“Maka kami dibukakan pintu, lalu aku bertemu dengan Nabi Harun as. Dia menyambutku dan mendoakan kebaikan untukku.” (Muslim)
“Kemudian kami naik ke langit kelima. Maka aku bertemu dengan seorang yang separuh janggutnya berwarna putih dan separuh lagi berwarna hitam, panjang janggutnya sampai ke pusat. Aku tanyakan: “Siapakah dia wahai Jibrail?” Jibrail menjawab : “ Dia ialah orang yang dicintai oleh kaumnya, dia ialah Nabi Harun bin Imran, dan bersamanya ada beberapa orang kaumnya.” Lalu aku memberi salam kepadanya, dan dia pun memberi salam kepadaku.” (Baihaqi 1)
“Baginda pun masuk dan tiba-tiba baginda bertemu dengan Nabi Harun as.” (Baihaqi 2)
Pengalaman Nabi di Langit Keenam
“Maka kami dibukakan pintu, lalu aku bertemu dengan Nabi Musa as, dia menyambutku dan mendoakan kebaikan untukku.” (Muslim)
“Kemudian kami naik ke langit keenam. Maka aku bertemu dengan Nabi Musa bin Imran, dan bersamanya beberapa orang kaumnya.” (Baihaqi 1)
“Baginda pun masuk dan tiba-tiba baginda bertemu dengan Nabi Musa as.” (Baihaqi 2)
Pengalam Nabi di Langit Ketujuh
“Maka kami dibukakan pintu, lalu aku bertemu dengan Nabi Ibrahim yang sedang menyandarkan belakangnya ke Baitul Makmur, yang setiap harinya dimaski oleh 70,000 malaikat. Malaikat itu tidak masuk kembali sesusahnya.” (Muslim)
“Kemudian kami naik ke langit ketujuh. Maka aku bertemu dengan seorang lelaki yang menyandarkan belakangnya ke Baitul Makmur. Aku tanyakan : “Siapakah lelaki ini wahai Jibrail? Jibrail menjawab: “Dia ialah bapamu Ibrahim dan bersamanya beberapa orang umatnya.” (Baihaqi 1)
Baginda pun masuk dan tiba-tiba baginda bertemu dengan seorang lelaki yang sudah beruban sedang duduk di atas kerusi dekat pintu syurga....... Jibrail menjawab : “ Lelaki tua itu ialah bapamu Nabi Ibrahim as, orang yang mula-mula beruban di bumi.” (Baihaqi 2)
Langit 1 – Nabi Adam
Langit 2 – Nabi Isa dan Nabi Yahya
Langit 3 – Nabi Yusuf
Langit 4 – Nabi Idris
Langit 5 – Nabi Harun
Langit 6 – Nabi Musa
Langit 7 – Nabi Ibrahim
Thursday, November 18, 2010
Situasi yang Mencuit
Lelaki A kelihatan berusia sekitar awal 40-an (dengan tubuh badannya yang 'steady', kacak, rambut masih banyak, tidak beruban, penampilannya nampak muda, nada percakapannya kuat dan lancar) manakala teman bicaranya lelaki B kelihatan berusia sekitar 65 tahun (pada pandangan mata saya... berdasarkan kepalanya sudah botak sebahagian besar, janggut tebalnya penuh beruban, badan kecil dan nampak melengkung, nada percakapannya seperti orang yang sudah lemah tenaga).
Hakikat sebenarnya, lelaki A berusia 60 tahun manakala lelaki B baru berusia sekitar 48 tahun.
Anda tidak percaya?
Lebih baik percaya : )
Saturday, November 13, 2010
Istiqamahlah Wahai Para Perisik Islam
ISTIQAMAHLAH WAHAI PARA PERISIK ISLAM
Kami tahu...
Engkau memang merindukan kehidupan seperti umat Islam biasa.
Tetapi... bersabarlah.
Bersabarlah SEMENTERA TUGASANMU SELESAI.
Ada yang tugasannya sehari dua. Ada sebulan dua. Ada setahun dua. Ada sedekad dua. Ada yang seumur hidup...
Semuanya bergantung kepada jenis tugasan yang terpikul atas bahumu.
Kami tahu engkau sangat merindukan solat berjemaah, melaungkan azan dan mengimamkan solat fardhu.
Tapi engkau TERPAKSA BERSOLAT SENDIRIAN di ruangmu
Agar dirimu tidak tertonjol
Yang mungkin akan menyebabkan musuh-musuh mengesyaki dirimu.
Yang akan menyebabkan engkau ditangkap dan RAHSIA PERJUANGAN UMAT TERBONGKAR.
Biarkan mereka yang jahil mengecop dirimu sebagai anti masyarakat, anti masjid, tak mengikut ajaran Islam yang sebenar, “sembahyang tak dapat apa”...
dan sebagainya.
Mereka tidak sedar...
Dari segi SYARIATNYA...
SALAH SATU FAKTOR yang membuatkan mereka dapat selesa ke masjid surau setiap hari...
Adalah hasil SUMBANGAN KERJA-KERJAMU dan para sahabatmu di serata dunia.
Istiqamahlah wahai para perisik Islam
Sekalipun engkau merindui untuk memanjangkan janggut, menyarungkan jubah dan melilitkan serban.
ALLAH TAHU APA YANG ENGKAU CINTAI.
Dan Allah sedia maklum apa tanggungjawab pekerjaan yang sedang engkau laksanakan.
Pasti Dia akan memberikan ganjaran yang tidak kurang daripada ganjaran untuk mereka yang mempraktikkannya.
Biarkan saja mereka yang tidak mengetahui mengatakan dirimu anti sunnah Rasul.
Padahal... kemudahan untuk mereka mengamalkan sunnah...
salah satunya disebabkan oleh kerja-kerja golonganmu yang berkorban demi keselesaan mereka.
Jangan bersedih wahai pejuang.
Bukan kami tidak tahu yang kamu sangat merindui untuk bersolat sebagaimana orang lain.
Mengerjakan ibadah penuh keceriaan, kebersihan, keselesaan, ketenangan...
Tapi adakalanya peluang untuk engkau bersolat hanyalah DI DALAM TANDAS.
Ada kawanmu yang sudah sekian lama hanya dapat bersolat di dalam pejabat...
Dengan hanya MENGGUNAKAN ISYARAT MATA.
Pernah juga otai-otai sebelummu...
Yang bersembahyang di meja makan yang penuh dengan orang...
Menggunakan ISYARAT HATI sahaja.
Itu sahaja peluang yang dia ada untuk bersolat
Kerana keseluruhan kehidupannya hatta di dalam tandas sekalipun...
dipantau dengan peralatan yang cangih-canggih.
JIKA MUSUH-MUSUH DAPAT MENGESAN yang engkau mengerjakan sembahyang...
Dari segi sunnah alam... habislah engkau.
Habislah JARINGAN-JARINGAN pejuang Islam yang lain.
Sekejap sahaja boleh runtuh, tapi untuk membinanya semula memerlukan masa puluhan tahun.
Biarlah orang lain yang tidak ada ilmu mengutuk engkau dengan apa jua gelaran
Kerana mereka menyangkakan engkau tidak pernah mengerjakan solat.
Padahal... salah satu daripada faKtor yang membolehkan mereka bersolat secara sempurna pada hari ini, tidak lain ialah hasil kerja para perisik Islam.
Lantaklah jika mereka tidak menghargaimu
Penghargaan Tuhan adalah sebaik-baik penghargaan
Ejen-ejen rahsia Islam
Apabila engkau sudah BERJAYA MENYUSUP ke dalam kumpulan musuh-musuh Islam
Di dalam majlis-majlis mereka adakalanya engkau terpaksa berpegang tangan dengan wanita-wanita mereka.
Bahkan engkau menari dengan mereka.
Asalkan di hatimu tidak ada perasaan suka dan rela, engkau tetap di landasan yang benar.
Tuhan Maha Tahu APA TUGASAN yang terpikul di bahumu, APA DARURATmu, APA NIATmu.
Biiiiiarlah tokoh-tokoh jahil itu mengatakan engkau ahli maksiat ataupun ejen syaitan.
Para pejuang di belakang tabir...
Kami tahu betapa engkau merindukan isteri-isteri dan anak-anak keturunan sebagaimana insan lain.
Kami faham betapa sukarnya engkau untuk hidup berumahtangga.
Alangkah peritnya untuk engkau menemukan seorang isteri.
Kerana pejuang belakang tabir YANG MUSLIMATNYA sangat sangat kurang.
Sebab itu ada pekerja pada jalan Allah sepertimu yang tidak berumahtangga
Bahkan tidak mahu berumahtangga.
Mereka tahu apa risikonya pekerjaan dan perjuangan mereka kepada keluarga.
Silap satu langkah, nyawa mereka jadi taruhan.
GAGAL BEKERJA MENGIKUT PROSEDUR, keseluruhan jaringan akan dibongkar oleh pihak musuh.
Bahkan akan berkait-kait sehingga menyusahkan keseluruhan keluarga mertuamu.
Buat tidak dengar sahaja jika manusia mengatakan engkau TIADA KELELAKIAN.
Mereka jahil.
Sudahlah jahil, tidak tahu mencari ilmu dan membuat pertimbangan pula.
Padahal salah satu penyebab mereka dapat menikmati kehidupan berumahtangga...
Ialah hasil kerja-kerja insan sepertimu wahai pejuang.
Pejuang sebenar pejuang.
Kami sedia maklum...
Jika mahu berumahtangga juga, engkau TERPAKSA MENCARI CALON isterimu.
Calon isteri yang BERSESUAIAN DENGAN TUGASAN KAMU.
Lain ejen lain tugasannya.
Ada jenis isteri yang langsung tidak boleh tahu akan kerjamu.
Ada jenis isteri yang tidak perlu tahu kerjamu.
Ada jenis yang boleh diberitahu.
Ada jenis yang perlu diberitahu.
Ada jenis yang mesti diberitahu.
Ada tugasan sebahagian pejuang yang membuatkan dia TERPAKSA mencari calon isteri jenis “perlu diberitahu” atau jenis “mesti diberitahu”.
Jenis “perlu diberitahu” bermaksud engkau perlukan isteri yang boleh membantu kerja-kerja kerahsiaanmu.
Jenis “mesti diberitahu” bermaksud engkau perlukan seorang isteri yang bertaraf pejuang sepertimu.
Kedua-dua jenis ini PALING SUKAR DICARI.
Sesama kamu memang sangat kurang – 50 lelaki 1 wanita.
Maka hanya seorang sahaja dalam kalangan kamu yang boleh menikahi seorang ejen wanita itu.
Ini membuatkan pejuang-pejuang lain yang masih mahu berumahtangga terpaksa mencari.
Mencari wanita lain DALAM KALANGAN ORANG AWAM.
1001 perkara PERLU ENGKAU NILAI apabila engkau temui seseorang calon.
Keupayaan sedia adanya, keadaan keluarganya, potensinya, pekerjaannya, lokasi tempat tinggal dan kerjanya dalam 5 tahun lagi, 10 tahun lagi, 30 tahun lagi, ketaatannya, kesediaannya berkhidmat, peluangnya menyusup ke mana-mana...
Terlalu banyak perhitungan dalam usahamu untuk memilih isteri jenis ini.
Engkau tidak boleh sekadar menyerahkan kepada takdir dan jodoh, kerana itu bukan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah.
Dan yang paling penting...
Kerana tugasanmu.
Apabila sudah ketemu seseorang yang markahnya melewati batas lulus...
Engkau TERPAKSA MENTARBIYYAH pula secara beransur-ansur.
Mana boleh kerahsiaan sejagat dipecahkan dalam masa sehari dua!
Kemudian MENGUJINYA pula.
Sekurang-kurangnya 3 tahun.
Pemerhatian ialah selama 7 tahun.
Jenis yang bercakap dan berjalan di dalam tidur...
awal-awal sudah “reject”.
Hal ini terpaksa engkau lakukan...
Supaya terbukti bahawa pilihanmu itu BENAR-BENAR LAYAK UNTUK MEMIKUL TUGAS penting umat Islam ini.
Supaya mereka tidak melakukan TINDAKAN BODOH di kemudian hari
Supaya mereka tidak MENGABAIKAN PROSEDUR dalam kerja-kerja belakang tabir
Yang sekiranya mereka lakukan...
akan menghancurkan perjuangan dan jaringan pasukanmu di serata negeri.
Orang yang bercakap dalam tidurnya saja pun jemaah akan tolak
Apatah lagi yang melakukan kesalahan dan kecuaian yang tidak sepatutnya.
Nasib engkaulah pejuang... nikmat berumahtanggamu insyaallah menanti di syurga sana.
... artikel ini umumnya ini ditujukan kepada semua... dan khususnya kepada semua petugas-petugas Islam di seluruh dunia... yang terlibat dengan tugas-tugas kerahsiaan seumur hidup... tidak kira dengan KUMPULAN MUKMIN (kumpulan-kumpulan yang menyeleweng tidaklah termasuk) mana yang kalian sedang bekerja untuk mereka... yang sedang pening kepala untuk mencari calon-calon isteri... : )
Fitrah manusia ialah inginkan perkahwinan dan keluarga bahagia. Mencari calon isteri bagi SEORANG MUSLIM BIASA umumnya tidaklah sukar walau sebesar mana kerja, pangkat dan peranannya dalam perjuangan umat ini . Cukup dengan istikharah, berikhtiar menilai sedikit-sebanyak latar belakang keluarga dan latar belakang calon pinangan, jika berpuas hati terus saja masuk meminang. Lihatlah wajah dan tapak tangannya. Puas hati? Berkahwinlah. Mudah! Tidak perlu berkenalan terlebih dahulu. Haram pula ber’couple’. Begitulah umumnya.
Namun begitu, kerja mencari calon isteri dan menguruskan rumahtangga bagi seorang PETUGAS KERAHSIAAN ISLAM jauh berbeza dan sukar pula urusannya. Al maklumlah, tanggungjawab dan kerahsiaan yang dipikul oleh para petugas kerahsiaan sangat besar. Dengan SEDIKIT KESILAPAN sahaja pun kadang kala boleh merosakkan sesuatu kerja besar umat yang sudah dibina berpuluh-puluh tahun oleh sekian banyak tenaga kerja. Malahan mungkin akan membuka ruang besar kepada musuh-musuh Islam untuk menghentam agama dan umat ini.
Atas dasar itulah sebahagian pejuang terpaksa TIDAK BERKAHWIN ataupun secara sukarela tidak berkahwin. Mereka meyakini dan menanti ‘perkahwinan’ di syurga dengan para bidadari - perjuangan umat lebih utama. Tapi bukan bermkana mereka tidak merindui perkahiwnan di dunia ini. Kan perkahwinan itu sunnah yang sangat disenangi oleh Rasulullah? Tabik sama golongan ini.
Disebabkan perkara ini maka proses pencarian calon-calon isteri bagi golongan ini memang unik. Pencarian calon-calon isteri oleh para petugas rahsia sebenarnya banyak BERGANTUNG PADA JENIS TUGAS KERAHSIAAN yang dipikul oleh calon suami, dan bergantung juga kepada JENIS MAKLUMAT dan NILAI MAKLUMAT yang ada pada calon suami itu. Bukan boleh main tengok dari jauh, masuk meminang lalu berkahwin, dengan alasan dangkal kononnya mahu mencontohi sunnah, mengikut syariat, haram ber’couple’ dan sebagainya – SANGAT BAHAYA kepada perjuangan umat khususnya dan kepada agama Islam umumnya. Jangan buat main-main!
Berikut ialah beberapa jenis calon isteri yang sempat dikelaskan SECARA RINGKASNYA (pengkelasan di bawah hanyalah ‘BASIC’yang punya beberapa pecahan dan huraian lagi... yang tidak akan dihuraikan kepada kita pun):
PERTAMA
Isteri jenis ini LANGSUNG TIDAK TAHU akan tugas-tugas kerahsiaan suaminya, bahkan tidak tahu yang suaminya seorang petugas rahsia. Dia tidak boleh tahu dan tidak boleh diberitahu sampai bila-bila pun, walau apa pun yang terjadi. Isteri sebegini MUDAH DIPEROLEHI di mana-mana. Bakal suami boleh terus menyuntingnya sebagaimana orang-orang awam tanpa perlu mengenali atau membuat hubungan terlebih dahulu. Ringkas cakap, tidak boleh ber’couple’. Cukup dengan melihat wajah dan tapak tangannya ketika hendak meminang. Jika berpuas hati, bolehlah terus mendirikan rumahtangga.
KEDUA
Sama dengan jenis pertama, tapi dalam keadaan tertentu dia BOLEH DIBERITAHU sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Wanita sebegini agak mudah juga dicari tetapi keamanahannya perlulah diambil berat. Maksudnya pilihlah wanita yang solehah. Untuk mencarinya, cukup dengan memerhati dari jauh dan mendapatkan maklumat daripada orang-orang yang hampir/ mengenalinya. Boleh dibuat sedikit hubungan biasa (bukan hubungan percintaan, bukan ber’couple’) sekadar untuk berkenalan dan memerhatikan kesolehan/ keamanahannya jika dirasakan perlu. Sangat penting untuk dicari yang sefikrah dan/ atau sekumpulan dengan bakal suaminya. Jika tidak di kemudian hari akan menyukarkan kerja-kerja perjuangan dan boleh mendatangkan bahaya.
KETIGA
Jenis isteri yang diberitahu sedikit-sebanyak tentang hal ehwal kerja-kerja kerahsiaan, tetapi tidak tahu yang SUAMINYA salah seorang daripada petugas rahsia itu. Cara mencarinya sama dengan jenis yang kedua. Seboleh-bolehnya biarlah sefikrah dan/atau sekumpulan/ sejemaah dengan calon suami. Hal ini sangat penting untuk kebahagiaan rumahtangga dan kelancaran kerja-kerja agama.
KEEMPAT
Isteri yang tahu suaminya seorang petugas rahsia, tetapi tidak dibenarkan tahu hal ehwal tugas si suami kecuali dalam hal-hal yang sangat sedikit. Cara mencarinya sama dengan jenis yang ketiga. Isteri jenis ini sesuai sebagai pembantu tidak langsung kepada tugas-tugas kerahsiaan si suami. HENDAKLAH dicari yang sefikrah dan/ atau sejemaah.
KELIMA
Isteri yang tahu suaminya seorang petugas rahsia dan tahu banyak hal ehwal kerahsiaan. Isteri jenis ini biasanya seorang petugas rahsia juga. Ada dua kategori.
Kategori pertama- calon isteri yang hanya boleh diperolehi dari kumpulan kerahsiaan, yang sudah lama ditarbiyyah oleh kumpulan si suami. Si suami boleh TERUS MENYUNTING si wanita tanpa perlu mengenali atau membuat hubungan terlebih dahulu. Malangnya jenis ini SANGATLAH SEDIKIT kerana sangat kurangnya wanita yang bekerja sebagai seorang petugas rahsia. Keadaan ini mewujudkan kategori kedua.
Kategori kedua – Calon isteri diambil dari kalangan bukan petugas rahsia tetapi sudah ditabiyyah dan diuji oleh bakal suami ataupun oleh kumpulan yang ‘memiliki’ bakal suaminya. Tempoh ujian dan tarbiyyah yang sesuai biasanya memakan masa bertahun-tahun, tapi ia bergantung kepada keadaan. Ada yang dua tiga tahun dan ada yang puluhan tahun.
Pada awal ujian dan tarbiyyah, bakal isteri tidak didedahkan dengan apa yang sedang berlaku. Sedikit demi sedikit barulah sebahagian kerahsiaan dibuka, bergantung kepada kesediaan calon isteri menurut penilaian calon suami ataupun menurut kumpulan yang suaminya berkhidmat. Dalam situasi ini, petugas rahsia dan calon isterinya TERPAKSA ber’couple’ terlebih dahulu. Jika tidak, bila masanya hendak mentarbiyyah dan menguji si isteri? Lepas berkahwin baru hendak ditarbiyyah dan dinilai? Jangan buat pasal! Silap haribulan habis ruyup semua kerahsiaan dan terbongkar semua jaringan! Tarbiyyah dan ujian MESTI DILAKUKAN walaupun calon isteri itu memang sedia sefikrah dan/ atau sekumpulan.
Oleh kerana banyak fitnah dalam ber’couple’, petugas jenis ini memang jenis yang terpilih dan terpercaya, bukan petugas rahsia biasa.
KEENAM
Isteri yang tahu suaminya seorang petugas rahsia dan tahu sedikit-sebanyak akan kerja-kerja kerahsiaan. Isteri jenis ini merupakan PEMBANTU SECARA LANGSUNG kepada tugas-tugas kerahsiaan si suami. Jenis ini pun sukar dicari. Mestilah yang sefikrah dan/atau sekumpulan. Jenis ini pun mesti melalui proses tarbiyyah dan ujian terlebih dahulu untuk menyediakan dirinya dengan suaminya seorang petugas dan pemegang kerahsiaan perjuangan umat.
KETUJUH
Isteri jenis ini langsung tidak tahu akan tugas-tugas kerahsiaan suaminya, bahkan tidak tahu yang suaminya seorang petugas rahsia. Dia tidak boleh tahu dan tidak boleh diberitahu sampai bila-bila pun, walau apa pun yang terjadi, kecuali dalam keadaan-keadaan yang istimewa (tidaklah dihuraikan di sini).
Sekali imbas nampak seperti isteri jenis pertama. Bezanya, wanita ini DIKAHWINI KERANA tugas-tugas kerahsiaan, bukan kerana memang si lelaki mahu berkahwin dengan si wanita. Ada kepentingan-kepentingan dari perkahwinan ini yang sangat diperlukan oleh para pejuang umat Islam menyebabkan si petugas terpaksa berusaha dan mengahwini wanita sebegini. Dalam kes ini, ber’couple’ boleh dilakukan (jika si wanita bukan jenis yang menunggu pinangan). Jiak tidak ber’couple’, bagaimana mahu mendekati dan mengajaknya berkahwin?
Kesolehannya bukan keutamaan, cukup jika dia seorang muslim.
Begitulah serba ringkasnya seidkit maklumat dan panduan untuk para pejuang yang kadang kala ‘tension’ mahu beristeri : )
Ingin tahu lebih lanjut?
Tidak ada maklumat lanjut untuk kita.
Cukuplah dengan kita menyedari bahawa ‘di belakang sana’ wujudnya golongan pejuang umat Islam yang sudah bergenerasi terlalu susah payah untuk memudahkan perjuangan terang-terangan kita selama ini. Tanpa mereka, dakwah terang-terangan kita tidak akan semudah ini. Kita berterima aksihlah kepada mereka walaupun kita tidak mengenali mereka.
Ada kalanya seorang petugas rahsia adalah lebih penting, lebih bernilai dan lebih berperanan daripada satu ketumbukan tentera.
Akhirnya... kepada para pejuang umat di seluruh alam... berikhtiarlah mencari calon isteri yang sesuai dengan tugasan anda, jenis maklumat dan nilai maklumat yang ada pada diri anda. Selamat mendirikan rumahtangga dan memperolehi keluarga yang bahagia dunia dan akhirat : )
Contoh:
Ali seorang pejuang terlatih dalam Hamas dan punya peranan penting di Palestin, tapi dia tidak pernah menonjolkan dirinya sebagai pejuang Hamas, hatta kepada ahli keluarganya sendiri pun.
Ali tinggal dalam kawasan yang dirampas Israel, dan bekerja sebagai tukang gunting rambut. Sudah 5 tahun dia menjalani hidup seperti itu dan sudah banyak maklumat yang disampaikannya kepada Hamas.
Suatu ketika Hamas dapat tahu (daripada sumber risikan lain) bahawa tentera Israel akan mengadakan serangan besar ke atas sasaran tertentu di Gaza. Bagaimana cara Hamas hendak dapatkan maklumat?
Di sebelah tanah yang dirampas Israel, ada kumpulan2 Badwi Muslim yang sejak zaman-berzaman tinggal di padang pasir Israel. Dalam Perang Gaza lalu mereka turut menyerang umat Islam Gaza kerana kebanyakan mereka bekerja sebagai askar dalam tentera Israel. (Ini memang fakta).
Di sinilah Ali akan memainkan peranannya. Dia ditugaskan untuk menikahi mana-mana wanita dalam kumpulan Badwi ini. Tujuannya ialah untuk mendapatkan maklumat daripada saudara-saudara lelaki kepada wanita itu yang kebanyakannya bekerja sebagai tentera Israel.
Untuk itu dia terpaksa bercouple terlebih dahulu.
Mengapa? Kerana kumpulan2 badwi ini tidak menerima pinangan orang luar yang tidak mereka kenali., apatah lagi yang ada bau-bau Hamas. Badwi2 ini sangat setia kepada Israel. Jadi tidak ada ruang untuk para pejuang masuk ke dalam masyarakat mereka.
Kebetulan ada seorang gadis badwi yang bekerja sebagai tukang sapu sampah di Hospital Israel. Bapa dan 2 saudara lelakinya bekerja sebagai askar Israel. Datuknya dulu pun begitu. Wanita ini pula sudah ada boyfriend.
Jadi, macama mana Ali hendak jadikan wanita ini sebagai isterinya?
Ali terpaksa menunggu di jalan wanita ini pulang ke rumah pada setiap petang, memandang wanita tadi sambil tersenyum, cuba berbual-bual sambil tunggu bas, ada respon...selang dua tiga hari tunggu lagi, tunjukkan sikap ambil berat dan gentle... beri hadiah... selang 2 bulan cinta si wanita mula berputik, secara psikologi Ali tunjukkan yang dia lebih baik dijadikan suami berbanding teman lelaki si gadis... akhirnya si gadis benar2 jatuh cinta.
Ali menyatakan hasrat untuk menikahi si wanita. Dah tentu keluarganya agak menentang kerana Ali bukan dari puak2 badwi. Tapi kerana cinta, akhirnya mereka beralah. Ali dan si wanita pun berkahwin. Kemudian Ali tunjukkan seolah-olah dia berminat untuk menyertai tentera Israel, dan sedang menimbang2 keputusannya.
Ahli keluarga wanita itu semakin yakin yang Ali tidak anti-Isarel dan btidak terlibat dengan mana-mana kumpulan pejuang. Tambahan pula Ali seorang kaki snooker, suka menonton rancangan hiburan, sekadaar solat 5 waktu tapi tak pernah buka Quran... yang semua sikap ini bertentangan dengan sikap para pejuang Hamas. Maka Ali sudahpun dapat kepercayan mereka.
Akhirnya Ali berjaya juga mengumpul maklumat daripada saudara2 lelaki isterinya lalu disalurkannya kepada Hamas.
2 bulan selepas itu, ternyata Israel melakukan serangan besar dan hampir2 membunuh 5 orang tokoh Hamas serta sejumlah pejuang. Mereka terselamat kerana persediaan sudah dibuat hasil maklumat yang diperolehi oleh Ali.
OK. Ali berkahwin dengan wanita itu bukan kerana dia memang mengahwininya, tetapi kerana arahan komandan Hamas, kerana maslahat perjuangan.
Untuk dapatkan wnaita itu, dia terpaksa menjerat di wanita ke alam couple.
Ini contoh untuk JENIS ISTERI KE-7.
Alam perisikan tak sama dengan alam kita. jadi kita tak boleh hukum mereka dengan sekali pandang. Contoh di atas bukan untuk menghalalkan couple.
Samalah dengan sebahagian perisik yang terpaksa berpakaian kusut-masai dan menyamar sebagai orang gila selama berbulan2. Apakah Islam menghalalkan umatnya memakai pakaian koyak dan busuk berbulan-bulan?
Ada yang dapat menunaikan ibadah solat hanya di blik mandi selama berminggu-minggu (Kalau musuh2 tahu dia mengerjakan solat, bercerai nyawa dari tubuh kerana dia berada bersama-sama musuh sepanjang misinya itu. Dia pula sentiasa dipantau dengan CCTV dan perisik2 musuh yang jauh lebih canggih). Apakah para pejuang itu mahu menghalalkan solat di dalam tandas?
Banyak yang kita tidak tahu...
Jangan menentang melulu...
Kelak di akhirat diminta pertanggungjawabannya...