Friday, March 27, 2009

Selamat Pengantin Baru kepada Almukminun : )

Saya dan keluarga mengucapkan Selamat Pengantin Baru (5 April 2009/ 9 Rabiul Akhir 1430) kepada Akh Mohd Noor Ikhram Husin (almukminun) dan pasangannya Ukht Dr. Nor Madiha Mohd Zawawi. Semoga rumahtangga yang dibina berkekalan hingga ke hadapan Allah SWT, dan melahirkan generasi daie-daie baru untuk agamaNya.

Ribuan terima kasih atas undangan. : )

Thursday, March 19, 2009

Ilmu Penahan Api Neraka

Malam itu kemuncak Juara Lagu. Saya beranggapan 1/3 daripada pendengar tidak akan menghadiri kuliah Maghrib. Ditambah dengan mereka yang mungkin ada urusan lebih penting pada malam itu, boleh jadi hanya separuh saja pengikut kuliah saya akan menghadirkan diri.


Memang ada benarnya agakan saya, pengunjung biasa surau itu berkurangan lebih kurang 1/3. Namun Allah menghantar pula sekumpulan penggerak jemaah Tabligh menjadikan pendengar pada malam itu lebih daripada kebiasaan. Begitulah perancangan dan pekerjaan Allah. Kita yang mengajar pun naik kembali semangat di jiwa.

Kebetulan salah seorang daripada karkun (penggerak dakwah Tabligh) itu ialah ‘boss’ nombor dua saya di tempat kerja. Kebetulan juga pada malam itu seorang sahabat lama datang dari jauh semata-mata untuk mendengar temannya ini memberikan kuliah. Mungkin mereka berasa agak pelik kerana para pendengar dibekalkan dengan helaian nota-nota kuliah, tidak seperti kebiasaannya iaitu tok guru bersyarah, pendengar hanya berbekalkan mata dan telinga. Itu memang cara saya, setiap kali mengajar memang saya suka membekalkan nota, dan para pendengar pun nampaknya suka diberikan nota.


Usai kuliah malam itu, sementara menunggu jemaah bersiap untuk solat Isya’ saya pergi duduk di belakang di antara ‘boss’ dengan sahabat lama. Tiba-tiba anak lelaki saya datang meluru dari arah belakang iaitu tempat kaum wanita lalu terus memeluk ‘boss’ saya. Kemudian tanpa segan-silu anak saya duduk pula di pangkuan si ‘boss’. Makcik-makcik di belakang punyalah ketawa geli hati.


Rupa-rupanya anak lelaki kami ini tersangka si ‘boss’ ialah saya. Memang dari belakang kami dilihat seakaan-akan sama. Kedua-dua kami berserban, dengan ekor serban yang panjang, berjubah, memakai cermin mata, berjanggut tidak lebat dan berbadan ‘slim’. : )


Anak kami terkejut melihat saya di sebelahnya lalu mendongak melihat orang yang memangkunya. Apa lagi, malulah kawan! Terus lari ke pangkuan abinya. : )


‘Boss’ yang juga sahabat saya itu memang aktif dengan jemaah Tabligh. Namanya Tuan Haji Rafie Haji Hasnam. Beberapa kali dia ‘keluar’ ke luar negara. Terakhir pada penghujung tahun lalu dia berdakwah ke Pakistan.


Sementara teman lama saya itu namanya Badrul Hisham tapi saya memanggilnya Barougue bersempena nama sejenis muzik (ada kisahnya tapi tidaklah saya muatkan di sini). Semasa sama-sama di kolej dulu, kami berdualah yang paling ‘metal’ dengan menggilai pelbagai genre muzik rock, rambut panjang, jeans lusuh, pakaian serba hitam dengan gambar berjenis-jenis hantu, kadang-kadang berantai leher dan macam-macam lagi benda pelik-pelik.


Memang aneh! Keluar-keluar saja ke alam pekerjaan, kami mengalami perubahan yang drastik. Kami tidak bertemu selama 4-5 tahun. Apabila bertemu, kami masing-masing tergelak besar kerana seakan-akan tidak percaya diri kami ketika itu. Mana tidaknya, saya melihat imej rocknya langsung hilang, malah bertukar jadi kemas. Dia juga berminat betul dengan nasyid-nasyid, ceramah-ceramah, hal ehwal dunia Islam dan... berkahwin dengan seorang ustazah! Peliknya dunia! Kuasa Tuhan...


Dia juga begitu pelik melihat saya yang selalu berjubah dan berserban, aktif dengan badan-badan dakwah, mengendalikan usrah, berceramah, banyak menulis tentang agama.... dan berkahwin dengan wanita yang berjubah dan bertudung labuh. Kalau diingat-ingat balik, pasangan yang bakal kami perolehi tentulah jenis yang tidak bertudung. Jika menutup aurat pun hanya di majlis-majlis keagamaan. Syukurlah kerana Tuhan memilih kami untuk berubah. Kami 13 tahun dulu memang jauh beza dengan kami hari ini.


Dalam kuliah saya pada malam itu, ada satu perkara yang benar-benar mencuit hati saya. Hal ini yang ingin saya kongsikan di sini.


Para karkun biasanya begitu menghayati apa yang disampaikan, menundukkan wajah dan mudah menyahut dengan ucapan “Insyaallah”, “Allahu Akbar”, “Astaghfirullah...”, “Masyaallah”, “Subhanallah” dan lain-lain zikir mengikut situasi. Satu ketika saya bercerita:


“Saya pernah berjumpa dan berbual dengan seorang guru silat. Guru silat ini mendakwa dia ada ILMU PENAHAN API NERAKA!”


Dengar-dengar saja kata-kata saya ini, sebahagian daripada para karkun itu berzikir dengan agak kuat sambil menggeleng-gelengkan kepala, menunjukkan tanda kesal dan terkejut mereka akan sikap guru silat itu. Sudah tentulah si guru silat mengamalkan ilmu yang karut-karut. Dengan pantas saya memotong sambil tertawa kecil:


“Ehhh, nanti dulu! Jangan (dengan gaya) geleng kepala lagi! Tak habis cerita lagi ni!” Mereka pun mengangkat muka menantikan maklumat seterusnya. Lebih kurang kata saya:


“Sebenarnya apa yang hendak disampaikan oleh guru silat itu memang betul. Ilmu Penahan Api Neraka ini memang ilmu yang benar dan tak ada ulama yang tolak. Sebenarnya Ilmu Penahan Api Neraka itu ialah ‘buat apa yang Allah suruh, tinggal apa yang Allah larang’. Itulah dia Ilmu Penahan Api Neraka.”


Kami semua sama-sama tertawa. Begitulah jadinya kalau cerita baru sekerat jalan. : )


‘PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT’


Abu Zulfiqar ‘Alexanderwathern’

26 JANUARI 2009



'Hadis Palsu' Zaman Moden (lanjutan)

Jangan baca jika tidak ikhlas...

Doa:
Bismillah.
Ya Allah lindungilah masyarakat Palestin dari ancaman bahaya dari kafir Israel. Demi Allah saya akan kirim doa ini kepada 10 orang teman saya.
TAMAT

Begitulah lebih kurang bicara satu mesej yang dimajukan kepada saya. Sejak tulisan saya ‘Hadis Palsu Zaman Moden’ disiarkan, saya menerima beberapa lagi ‘hadis palsu moden’ untuk diminta penjelasan. Terima kasih banyak kepada pengirim atas kepekaannya.

Sangat penting untuk kita sama-sama maklumi di sini, antara cara untuk mengenal hadis palsu moden ialah mesej itu :

1. Mengandungi GESAAN supaya menyebarkannya kepada orang lain, lebih-lebih lagi jika dinyatakan jumlah orang yang perlu kita majukan mesej. Contohnya 7 orang, 10 orang dan sebagainya.

2. Mengandungi ANCAMAN khabar buruk jika kita enggan menyebarkannya. Contohnya akan mengalami malapetaka, gagal mendapatkan sesuatu, terlepas daripada memperolehi sesuatu dan sebagainya

Apabila kita menerima mesej seperti ini, tolonglah jangan dilayan. Kemudaratan hanya datang daripada Allah, tukang pencipta mesej itu tidak ada apa-apa kuasa. Mereka mungkin:

1. Orang yang mahu mencetuskan kebimbangan tak berasas dalam kalangan umat, ataupun
2. Orang yang mahu mengaut keuntungan-keuntungan tertentu terutamanya dari segi kewangan, ataupun
3. Orang yang mahu bergurau-senda tapi tak kena tempat

Kita lihat satu lagi mesej. Kali ini sasarannya ialah para pelajar yang sedang menunggu keputusan peperiksaan.

MULA
Ya Allah... kauberilah kami keputusan yang terbaik ya Allah
Ya Allah sesunguhnya Engkau Maha Pemurah ya Allah
Setidak-tidaknya Kauberilah kami lulus ya Allah
Dan janganlah Kauberi kami kegagalan ya Allah
SEBARKAN MESEJ INI KEPADA 10 ORANG RAKAN ANDA

JANGAN MENYESAL SEKIRANYA ANDA GAGAL DALAM PEPERIKSAAN KERANA TAK FORWARD MESEJ INI KEPADA ORANG LAIN SUPAYA ANDA DIDOAKAN MEREKA!

SEMOGA KEJAYAAN MENANTI ANDA. INSYAALLAH... AMIN!
TAMAT.

Tanpa segan silu menggunakan agama, doa dan nama Allah untuk membuatkan ribuan mesej berpindah dari satu telefon ke telefon yang lain. Lawak betul ancaman yang disertakan. Jika kita tidak menyebarkan satu doa saja, kita akan gagal dalam peperiksaan. Sungguhpun lawak, tapi niat dan cara pencetusnya memang jahat. Pada bahagian doa ditulisnya huruf kecil, pada ancaman dan gesaan penyebaran ditulisnya huruf besar untuk menunjukkan betapa pentingnya hal ini. Psikologi murahan!

Bayangkanlah remaja kita hari ini yang lemah pengetahuan dan amalan agama mereka. Apabila menerima mesej seperti ini banyak yang berasa risau. Mahu tak mahu mereka akan majukan mesej ini kepada 10 orang rakan mereka.

Di bawah ini ada satu lagi mesej yang memang elok jika kita doakan supaya bala menimpa pencetusnya.

MULA
Kementerian Pelajaran Malaysia telah menetapkan result SPM akan keluar pada xx/xx/xx.
Untuk maklumat lanjut sila layari XXXXXXXXXX.com.my
SEBARKAN KEPADA CALON SPM LAIN
TAMAT

Amboiiii, bahagian “sebarkan” ditulisnya huruf besar. Atas aduan mereka yang prihatin, saya pun pergilah ke laman yang dimaksudkan. Jika benarlah sangkaan saya, memang celaka pencetus mesej ini. Dibinanya satu laman ‘mengaut duit’. Satu klik katakanlah 1 sen. 6-7 kali saya klik kerana berpindah muka surat. Saya pun tidak ada pengetahuan tentang laman-laman ‘kaut duit’ sebegini. Jika berpindah muka surat pun dikira 1 sen, maksudnya sudah 7 sen wang terkumpulnya. Wallahualam.

1 orang 1 sen. Kalau 1,000 orang? 10,000 orang? 1,000,000 orang?

Saya yakin mereka ini ada yang punya beberapa laman. 1 laman dapat 1,000,000 klik. Kalau 10 laman?

Mengapa saya klik ke muka surat lain? Pengendali laman itu pun bijak juga orangnya. Diletakkannya tajuk-tajuk lain yang memang menarik minat kita untuk berpindah muka surat. Sasarannya bukan pelajar saja, guru pun sama. Diletakknya tajuk/ link tentang ‘pertukaran guru’ dan lain-lain. Pastinya pihak guru yang membaca akan klik. Yang selain guru pun ada. Antaranya link ‘berita semasa terkini’. Lagi banyak muka surat kita buka, lagi si celaka itu suka.

Kesimpulan besarnya, saya menyeru kepada semua... JANGAN ‘FORWARD’ lagi apa-apa mesej ‘hadis palsu zaman moden’. Ada saja ANCAMAN pada mesej itu, terus ‘delete’. Ada saja GESAAN supaya disebarkan kepada orang lain, terus ‘delete’. Tak perlulah bertanya lagi tentang kesahihannya kerana hal itu pun membawa kepada perpindahan banyak mesej antara penanya dengan penjelas. Puak-puak jahat itu memang suka jika jutaan mesej berpindah.

Wallahualam.


Abu Zulfiqar ‘Alexanderwathern’
14 SAFAR 1430

10 FEBRUARI 2009

Tuesday, March 17, 2009

'Hadis Palsu' Zaman Moden

“Slm,kpd smua yg brglr mslim,hri ni pkr meteorologi bhgn bunyi dr Rusia mndpti ssuatu bnyi gnjil sprti ngauman rksasa dr bwh mantel bumi.Menurut para ulama kmungkinan bsr itu suara Dajal y brusaha utk naik ke muka bumi.Oleh itu,kita d sruh sntiase x b’henti azan n solat,sbrkn kpd 10 umat ISLAM...amanat.”


Siapalah pencetus angkara ni ya? Jangan-jangan orang dari ‘line’ telefon tak? Maklumlah, satu orang kena sebar kepada sepuluh orang. Kalau ada sejuta orang pengguna, kan dah jadi 10,000,000 sms? Lagi cepat habis kredit pengguna, lagi untunglah pihak penjualnya. Ini sekadar agak-agak saja, belum ada bukti kukuh pun.


Dari semasa ke semasa pelbagai berita buruk yang boleh menggugat ketenteraman jiwa umat Islam disebarkan melalui cara di atas. Kena sebar kepada 10 oranglah, 7 oranglah. Antaranya berita Masjidil Aqsa dikepung, seolah-olah hendak diserang dan diruntuhkan oleh tentera Zionis sebentar saja lagi. Selang beberapa bulan, masuk lagi mesej yang sama. Entah berapa kalilah Masjidil Aqsa hendak dikepung dan diruntuhkan. : )


Kadang-kadang isinya dalam bentuk fadhilat. Contohnya (lebih kurang):


“Laailahaillallah, Muhammadurasulullah. Kalimah tauhid yang membawa berkat. Sabda Nabi, sampaikan walau satu ayat. Sebarkan kepada 10 orang Islam, insyaallah membawa kebaikan.”


‘Hadis-hadis palsu zaman moden’ ini hampir-hampir tidak ada manfaatnya. Jika ada perkataan “sampaikan kepada sejumlah orang” biasanya mengarut saja. Memang baik kita abaikan. Sekiranya anda menulis ataupun mendapat hadis umpamanya, dan mahu disampaikan kepada orang lain, itu memang bagus. Tapi yang berisi arahan supaya sebarkan kepada sejumlah orang, kadang-kadang berupa ugutan pula, jangan dilayan.


Ugutan yang dibuat pun memang melucukan (bagi yang tahu). Samalah halnya dengan surat berantai kisah Syeikh Ahmad yang ‘mengetop’ kisahnya sekitar 70-8-an dulu. Sesiapa yang sebarkan surat itu kepada sejumlah orang, pasti akan mendapat imbuhan keduniaan seperti kenaikan pangkat, mendapat anak dan macam-macam lagi. Siap diberikan contoh kejayaan orang-orang kenamaan yang pernah menyebarkan surat itu. Sesiapa yang tidak percaya dan tidak mahu menyebarkannya pula, akan ditimpa musibah yang besar, juga beserta contoh-contoh mereka yang pernah terkena musibahnya. ‘Hadis-hadis palsu zaman moden’ ini pun ada juga yang diselitkan ugutan seumpama ini. Orang awam yang kurang pengetahuan pun bersungguh-sungguhlah menyebarkannya kerana takut terkena musibah. Mana yang lebih bijak, mereka SMS ustaz-ustaz dulu minta penjelasan.


Antara bahaya besar yang kita nampak daripada aktiviti penyebaran ‘hadis-hadis palsu zaman moden’ ini boleh kita ambil daripada cerita ‘Penggembala dengan Harimau’. Penggembala berteriak kepada orang kampung kononnya kambing-kambingnya diserang harimau. Apabila orang kampong tiba, ternyata perkara itu hanyalah dustaan si penggembala. Kali pertama orang percaya, kali kedua orang percaya. Masuk kali ketiga orang buat tak tahu saja walaupun ketika itu memang betul ada harimau menyerang kambing-kambing.


Dalam hal ‘hadis palsu moden’ ini, dikhuatiri satu hari nanti umat Islam sudah hilang sensitif kerana muak ditipu berulang-kali dan akhirnya buat tak tahu saja mesej yang disebarkan sedangkan ketika itu umat Islam memang betul-betul berada dalam bahaya dan memerlukan gerak segera. Memang tidak bertanggungjawab para pencetus ‘hadis palsu moden’ ini.


Kita kembali kepada ‘hadis palsu moden’ yang saya terima di atas. Agak melucukan bunyinya “pakar meterologi BAHAGIAN BUNYI”. Adakah jawatan sebegitu? Jika ada, betullah tu, mungkin saya yang kurang ilmu.


Pakar bahagian bunyi itu kononnya mendakwa terdengar bunyi seperti NGAUMAN RAKSASA dari bawah mantel bumi. Terus PARA ULAMA menyatakan bunyi itu kemungkinan bunyi Dajal yang mahu naik ke atas muka bumi. Oang-orang di Rusia (banyak yang atehis) sana percaya kisah Dajjalkah?


Amboi, amboi, cepat betul pakar-pakar bunyi itu berhubung dengan PARA ulama sedangkan mereka baru mendengar bunyi itu HARI INI! Masa bila pula apabila ada sesuatu penemuan baru, pakar-pakar meteorology Rusia menajdikan ulama sebagai rujukan? Dan para ulama pun begitu pantas sekali memberikan ulasan. Yang mana satu Dajal ni, yang nak keluar dari bawah tanah tu ke... ataupun yang mula-mula menulis mesej di atas? Hebat betul Dajjal, keluar-keluar dari BAWAH MANTEL BUMI, terus capai telefon bimbit dan tulis mesej. : )


Kemudian, bila masa pula Dajjal tinggal di bawah bumi? Saya rajin juga membaca dan membuat nota tentang Dajjal tapi tak jumpa pula kisah Dajjal tinggal dalam tanah, dan mengaum pula bunyinya. Pencetus ini nyata jahil ehwal agama Islam.


Kejahilannya terserlah lagi apabila membuat seruan supaya umat Islam SENTIASA/ TIDAK BERHENTI mengerjakan solat dan berazan. Ajak orang supaya membanyakkan solat itu bagus, tapi olat dan azan ‘non-stop’ tu pernahkah dibuat para pendahulu kita? Boleh jadi si pencetus ini bukan orang Islam, tak mustahil. Lebih-lebih lagi apabila dia menulis “kpd 10 umat ISLAM” dengan perkataan ISLAM diserlahkan berhuruf besar. Cepatlah habis ‘kredit’ orang-orang Islam asyik menyambung rantai mesej palsu. : )


Zaman dahulu, hadis-hadis palsu yang menggesa umat Islam menambahkan amal memang banyak. Antara tujuannya supaya umat Islam leka dengan amal dan ketinggalan ehwal keduniaan menyebabkan musuh-musuh Islam mudah menjatuhkan Islam. Ada juga yang mahu mengukuhkan kedudukan politiknya lalu menyebarkan fadhilat amal yang luar biasa. Tujuannya supaya umat Islam kurang masa untuk meneliti ehwal politik, maka dia akan mengaut apa-apa keuntungan politik.


Contohnya hadis-hadis yang mengatakan jika melakukan satu amal tertentu berterusan ataupun pada masa tertentu, akan mendapat pahala 7 orang nabi. Sekali buat sudah dapat pahala 7 nabi, kalau dibuat setiap tahun, setiap minggu? Wahhh, kalah habis para nabi punya amal!


Begitulah, salah satu kaedah untuk mengenal hadis palsu ialah ganjaran yang dijanjikan itu terlalu berlebih-lebihan. Orang awam pun berlumba-lumbalah mengikut saranan hadis palsu itu sedangkan pada masa yang sama pencetusnya mengaut keuntungan.


Abu Zulfiqar 'Alexandewathern'

Monday, March 16, 2009

Mengapa Umat Islam Dibuli Musuh-musuhnya?







NOTA KULIAH:

Hadis 3- SELURUH DUNIA DATANG MENGERUMUNI DUNIA ISLAM

Daripada Thauban ra berkata:
Rasulullah saw bersabda, “Hampir tiba satu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.”
Maka salah seorang sahabat bertanya, “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?”
Nabi saw menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir. Dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit WAHN.”
Seorang sahabat bertanya, “Apakah WAHN itu hai Rasulullah?”
Nabi kita menjawab, “CINTA DUNIA dan TAKUT MATI.”
(Hadis riwayat Imam Abu Daud)

Satu masa- Sejak zaman kejatuhan Bani Abbasiah hinggalah sekarang. Kemuncaknya ialah pada zaman kuasa Barat menjajah dunia Islam (tahun-tahun 1500 hingga 1900).
Bangsa-bangsa seluruh dunia- Kaum Monggol, Khazar, Eropah (tentera Salib), Jepun, Rusia, Yahudi dll.
Mengerumuni kamu- Seluruh dunia berebut-rebut mengalahkan kerajaan-kerajaan Islam, menghambakan umat Islam, menguasai hasil bumi wilayah umat Islam.
Banyak sekali- Umat Islam pernah menguasai 2/3 dunia dan kini berjumlah 1,500 juta orang tetapi lemah.
Umpama buih di waktu banjir- Umat Islam hanyut ke sana ke mari tanpa mampu melawan, hanya menurut.
Mencabut rasa gerun- Umat Islam hilang kehebatan mereka.terutamanya dari segi ilmu.
Cinta dunia- Sibuk melayan kehendak diri sehingga mengabaikan bekalan-bekalan yang mesti disediakan untuk menghadapi kehidupan di alam akhirat yang jauh lebih lama daripada hidup di dunia ini.
Takut mati- Tidak mahu ambil pusing tentang kematian.

KETERANGAN HADIS
Memang benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw. Keadaan umat Islam pada hari ini, menggambarkan kebenaran apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw. Umat Islam walaupun mereka mempunyai bilangan yang banyak, iaitu 1,000 juta (1/5 penduduk dunia), tetapi mereka selalu dipersendakan dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa yang lain. Mereka ditindas, diinjak-injak, disakiti, dibunuh dan sebagainya. Bangsa dari seluruh dunia walaupun berbeza agama, mereka bersatu untuk melawan dan melumpuhkan kekuatannya.

Sebenarnya, segala kekalahan kaum muslimin adalah berpunca dari dalam kaum muslimin itu sendiri, iaitulah dari penyakit “wahn” yang merupakan penyakit campuran dari dua unsur yang selalu wujud dalam bentuk kembar dua, iaitu “cinta dunia” dan “takut mati”. Kedua-dua penyakit ini tidak dapat dipisahkan. “Cinta dunia” bermakna tamak, rakus, bakhil dan tidak mahu mendermakan harta di jalan Allah SWT. “Takut mati” pula bermakna leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi negeri akhirat dan tidak ada perasaan untuk berkorban dengan diri dan jiwa dalam memperjuangkan agama Allah SWT.

*Jumlah umat Islam sekarang = 1,500,000,000 orang (1,500 juta orang)

ALAM-ALAM YANG AKAN KITA LALUI (cinta dunia)
Hidup di dunia- 60-70 tahun
Ketika sakaratul maut
Alam kubur
Di padang masyhar
Ketika timbangan amal
Melintasi titian
Di depan syurga

*Pengajaran- Ambillah dunia tapi jangan sampai kita jatuh cinta dengan dunia. Dan selalulah ingat akan mati dan alam akhirat, tapi janganlah sampai kita membuang langsung dunia.

Carilah bekalan untuk hidup di dunia, sepadan dengan temph masa kita hidup di dunia.
Carilah bekalan untuk hidup di akhirat, sepadan dengan kekalnya kita di sana.

Tips/petua untuk mudah diambil nyawa oleh malaikat- jangan cinta akan dunia (apa yang akan kita tinggalkan)


"BERTUHANKAN ALLAH, BERSYARIATKAN SYARIAT MUHAMMAD SAW"

Abu Zulfiqar 'Alexanderwathern'

Thursday, March 12, 2009

Isu Penggunaan "Allah" oleh Bukan Islam

Pengumuman- Artikel ini akan ditambah isinya dari semasa ke semasa kerana begitu banyak persoalan yang saya jawab dalam isu ini, belum sempat disusun semua.



ISU PENGGUNAAN “ALLAH” OLEH BUKAN ISLAM


Perkara paling penting yang mesti difahami oleh mereka yang mengambil tahu dan berbicara tentang isu ini ialah “APA YANG DITOLAK oleh golongan yang tidak bersetuju perkataan “Allah” digunakan bukan Islam.” Kita jangan suka mengikut-ngikut ataupun bertaqlid tanpa sedikit usaha untuk membuat penelitian.


Kami tidak menentang sama-sekali jika bukan Islam mengatakan, “Tuhan semua orang ialah Allah.” Yang itu kami sangat-sangat setuju, tidak pernah tidak bersetuju.

Yang kami tentang ialah apabila perkataan “Allah” itu dinisbahkan kepada selain Allah. Contohnya “Allah” dinisbahkan kepada Roh Kudus, Jesus, Krishna, Maria, Vishnu, Siva, Subramaniam, God dan sebagainya.


Jika mereka dibenarkan menggunakan perkataan “Allah” lalu mereka nisbahkannya kepada tuhan-tuhan mereka, anda setuju?



SOALAN:

Mengapa sibuk-sibuk dengan isu perkataan “Allah” ini?


JAWAPAN:

Orang yang berpengetahuan tentangnya wajib menyibukkan diri kerana ia adalah persoalan akidah, bukan sekadar persoalan fiqh harian, politik, tajwid dan lain-lain. Sebagaimana yang kita sedia maklum, persoalan akidah ialah persoalan tertinggi dalam agama Islam.



SOALAN:

Bagaimana ia boleh dikatakan persoalan akidah?


JAWAPAN:

Bayangkan orang-orang Kristian yang biasa memakai baju bertulis “Jesus is Crazy” menukarkannya kepada “Allah is Crazy”. Bayangkan juga jika penganut agama Hindu menuliskan “Alif lam lam ha” di dahi patung-patung Tuhan mereka di kuil. Bagaimana pula jika orang-orang Yahudi membuat sebuah filem yang memaparkan Allah (dilakonkan oleh Arnorld tanpa berpakaian- contoh) teruk dibelasah oleh Yaakob (dilakonkan oleh Jim Carrey-contoh) dalam pergaduhan? Mengapa tidak, dalam Old Testament diceritakan Tuhan mereka (Allah) pernah bertumbuk dengan manusia bernama Yaakob dan Tuhan(Allah) kalah.


Anda bersetuju mereka menggunakan perkataan “Allah” untuk tuhan-tuhan mereka?

Rata-rata yang mahu menggunakan “Allah” untuk Tuhan mereka di negara kita ini ialah kaum Kristian Trinity (sila pelajari serba-edikit perbezaan anatara Kristian Unitary dengan Kristian Trinity untuk mendapatkan pemahaman sebenar penentangan kami). Bagi kaum ini, Jesus ialah Allah, Roh Kudus ialah Allah dan Tuhan Bapa juga ialah Allah. Ketiga-tiganya Allah dalam satu kesatuan. Jesus 100% Allah, Roh Kudus 100% Allah dan Tuhan Bapa 100% Allah. Semuanya setara dalam segala hal, tidak berkurang walaupun sedikit.


Sau hari mereka berkata kepada anak-anak muda Muslim, “Allah ialah Jesus, Jesus ialah Allah.” Jika anak-anak muda kita menyangkalnya, mereka akan katakan, “Lihat bukti-bukti ini. Pemerintah kita mengizinkan kami menggunakan Allah untuk Tuhan kami. Ulama-ulama kamu juga benarkannya. Jadi kami gunakan Allah untuk Tuhan kami iaitu Jesus, Roh Kudus, Maria dan lain-lain. Bagaimana kamu boleh menidakkannya pula?”


Di sini ada kemungkinan anak-anak muda kita akan terperangkap. Mereka akan meyakini bahawa Allah ialah Roh Kudus dan Roh Kudus ialah Allah.

Boleh nampak apa yang cuba saya sampaikan?


Bukankah ia persoalan akidah?

Bolehkah kita senang-senang mengatakan, “Biarlah, saya tak mahu panjang-panjangkan isu ini” tanpa mahu menarik balik kebenaran yang kita beri?

Bukankah kebenaran yang diberikan itu akan jadikan hujah oleh mereka yang bukan Islam sampai bila-bila hingga ke zaman anak cucu kita?



SOALAN:

Bukankah dalam al-Quran sendiri dibenarkan orang-orang bukan Islam menggunakan perkataan “Allah”?


JAWAPAN:

Setahu saya tidak pernah ada. Jika ada sesiapa terjumpa sila maklumkan, saya akan betulkan kenyataan saya. Yang menyebut perkataan “Allah” untuk dinisbahkan kepada Tuhan sebenar (ataupun Tuhan tertinggi menurut mereka) dalam al-Quran itu ialah kaum musyrikin Quraisy dan sekitarnya. Tidak ada bukti (saya belum menemui) dalam al-Quran menunjukkan penganut agama Zoroaster menyebut Tuhan mereka “Allah”, begitu juga dengan penganut ajaran Kung Fu Tze, Mesir purba, Buddha, Hindu, Shinto, Tao dan lain-lain. Jika benar ada tolong tunjukkan. Apatah lagi hendak dibenarkan penganut agama Kristian Trinitarian di Malaysia hari ini menggunakannya.



SOALAN:

Bukankah ayat-ayat Quran di bawah ini membenarkan orang bukan Islam (termasuklah Kristian Unitary) menggunakan “Allah”?


JAWAPAN:

Al-Ankabuut:
[29.61] Dan sesungguhnya jika engkau (wahai MUHAMMAD) bertanya kepada MEREKA (YANG MUSYRIK) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?

[29.63] Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik).


Surah Luqman:

[31.25] Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).



JAWAPAN:

“MEREKA” dalam ayat-ayat ini ialah kaum musyrikin Arab di sekeliling Rasulullah, bukan selainnya. Bila masanya Nabi Muhammad berdialog dengan kaum Kristian Unitary, Majusi, Shinto dan lain-lain?


Memang tidak salah jika kaum musyrik Arab menggunakan “Allah” kerana memang mereka nisbahkan kepada Allah sebenar. Mereka tahu Allahlah Tuhan sebenar tetapi mereka turut menyembah selain-Nya iaitu berhala-berhala. Bagi mereka, Allahlah sebenarnya yang berkuasa tetapi berhala-berhala juga turut mempunyai kuasa. Maksudnya mereka menyekutukan Allah, mensyirikkan Allah. Sebab itu dinamakan MUSYRIK/ MUSYRIKIN. Nabi Muhammad berdialog dengan mereka, bukan dengan orang-orang bukan Islam lain. Jauh sekali dengan penganut agama Kristian Unitary yang menganggap Jesus, Maria dan Roh Kudus sebagai Allah. Kita jangan terkeliru dalam memahami ayat-ayat ini.



Akan ditambah.......


ps: Perbahasan penuh saya dalam isu ini boleh dilihat di

http://forum.cari.com.my/viewthread.php?tid=406111&extra=page%3D1&page=1