Wednesday, July 9, 2008

Hiburan: Qardhawi Jawab Albani

Al Abani telah mengkritik fatwa Qardhawi dalam masalah “Hukum Mendengar Muzik dan Nyanyian”. Qardhawi menjawab balik dengan hujah-hujah yang ringkas tetapi padat dan kukuh.


Fatwa Hiburan: QARDHAWI JAWAB ALBANI

Seorang alim dan ahli hadis yang terkenal iaitu Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani telah mentakhrijkan hadis dalam buku karanganku iaitu Al-Halal Wal Haram Fil Islam lalu mengeluarkan buku komentarnya yang bertajuk Ghayatul Muram. Dia telah menyelidiki sanad hadis nombor 399, iaitu berkenaan nyanyian dua orang jariah di rumah Rasulullah s.a.w. pada suatu hari raya.

Di akhir komentarnya dia (Albani) berkata:

“Alangkah baiknya jika penulis (Qardhawi) mengkaji semula secara ilmiah dan terperinci hujah-hujah yang diambil daripada Ibnu Hazm dan Ibnu Arabi. Pendapat sebenar dalam hal ini ialah haram secara sepakat antara kesemua empat mazhab fiqh yang muktabar. Tambahan pula sunnah juga datang selari dengan hukum ini. Tidak sepatutnya seorang alim yang berwibawa menidakkannya.
Ghayatul Muram ms 227 cetakan Maktab Al-Islami.

Oleh kerana itulah kini saya berada di sini untuk menyahut nasihat syeikh. Saya telah menganalisa kembali secara terperinci dan menyeluruh. Namun begitu hasil kajian dan usaha saya itu tidak sepertimana yang dikehendaki oleh syeikh.

Terdapat beberapa perkara yang ingin saya ulas berkenaan komentar syeikh tersebut iaitu:

Pertama:
Keempat-empat mazhab fiqh yang muktabar tidak pernah bersepakat mengharamkan seni nyanyian, khasnya mazhab Syafie, sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Al-Ghazali: “Ia adalah hiburan yang makruh yang menyerupai perkara yang batil”.

Begitu juga apa yang disebut oleh Al-Kamal al-Adfawi dalam bukunya Al-Imta yang mengutarakan pendapat keempat-empat mazhab fiqh dalam masalah ini.

(*Jelas… Albani melakukan kesilapan yang tak sepatutnya dibuat. Entah dari mana diperolehinya fakta kononnya keempat-empat mazhab bersepakat menghukumkan haram)

Kedua:
Perkara yang tidak boleh disangkal ialah apabila berlaku ijma fuqaha kerana umat ini tidak akan sekali-kali bersepakat atas perkara yang salah. Mazhab fiqh yang empat mahupun lapan tidak terjamin selamat dari kesilapan. Kita lihat bagaimana Ibnu Taimiyyah telah menidakkan pendapat keempat-empat mazhab dalam masalah perceraian dan selainnya, walaupun beliau terpaksa meringkuk dalam penjara dan disiksa.

Sebenarnya perkara sebegini telah terbukti merupakan perkara khilafiyah, dan mungkin ia adalah merupakan antara masalah khilafiah yang paling rumit, sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ibnu Jumaah.

Ketiga:
Syeikh Al-Albani sendiri merupakan seorang ulama yang bebas daripada ikatan mazhab, seorang yang amat lantang menentang konsep bermazhab dan orang yang berpegang kepada pendapat mazhab. Beliau banyak mengeluarkan pendapat yang berbeza daripada empat mazhab ini bahkan juga dalam masalah yang telah diijma’kan, sepertimana yang berlaku dalam masalah “haram wanita memakai emas” dan masalah-masalah lain. Oleh itu, adalah tidak munasabah jika di sini beliau lantang menentang siapa sahaja yang tidak mengikut pegangan mazhab.

(*Hairan… Albani sendiri tidak bermazhab malah menentang konsep bermazhab. Tetapi apabila Qardhawi (mengikut dakwaan Albani) tidak mengikut keempat-empat mazhab dikira tidak benar. Dia boleh, Qardhawi tak boleh!)

Justeru itu saya menulis lembaran-lembaran ini dengan harapan ia akan dapat menjelaskan kebenaran, berkhidmat untuk agama, mendekatkan agama kepada manusia dan merealisasikan keberlangsungan konsep universal, kekal, sederhana, mudah dan toleran dalam Islam. Insya Allah. Saya berdoa kepada Allah agar mengurniakan taufik dan ketetapan hati kepada saya dan menulis dua pahala kepada saya jika saya benar dan tidak menidakkan satu pahala jika saya salah dalam penulisan ini. Taufik hanyalah datang daripada Allah, kepada-Nyalah aku berserah dan kepada-Nya aku kembali.


Petikan daripada buku “Fiqhul Ghina wal Muziki fi Dhuil Quran wa Sunnah”.oleh Dr Yusuf Qardhawi.

* Perkara ini tidaklah menghairankan kita kerana bagi Albani, Ikhwanul Muslimin termasuklah Qardhawi bukan Ahli Sunnah lagi sebagaimana dakwanya:

“Tidak benar jika dikatakan bahwa Ikhwanul Muslimin termasuk Ahlus Sunnah kerana mereka memerangi As-Sunnah.”

(Sumber: Kaset Fatwa Para Ulama sekitar Jemaah Tabligh dan Ikhwanul Muslimin, studio Minhajus Sunnah, Riyadh)



NOV 2006

No comments: