Tuesday, March 29, 2016

Mengapa Dia Bukan Wahhabi Juga?

PERSOALAN :
Ada pandangan ustaz yang berfahaman Salafi Wahhabi (kita sebut sebagai Ustaz W sahaja selepas ini) yang sama dengan pandangan Ustaz S, tetapi mengapa Ustaz S tidak dikategorikan sebagai berfahaman Salafi Wahhabi juga? Sepatutnya Ustaz S pun Wahhabi jugalah.

PENJELASAN :
Ada pandangan agama Hindu yang sama dengan pandangan agama Islam. Mengapa kita tidak kata agama Islam itu juga agama Hindu?
Kerana punya pandangan tertentu yang sama bukan sandaran untuk mengatakan kedua-dua agama adalah sama.

Ada pandangan YB Lim Guan Eng (dari DAP) yang sama dengan pandangan DS Najib Tun Razak (UMNO), tapi mengapa Najib Tun Razak tidak dilabelkan sebagai DAP juga?
Kerana punya persamaan pandangan dalam isu tertentu bukan bukti kedua-dua mereka adalah dari parti yang sama.

Ada pandangan Dr Asri yang sama dengan pandangan Syeikh Nuruddin Al-Banjari, tapi mengapa Syeikh Nuruddin tidak dicop sebagai Wahhabi?
Kerana beberapa persamaan pandangan bukan bukti kedua-dua mereka adalah dari fahaman/aliran yang sama.

Pandangan Imam Asy-Syafi’i banyak yang sama dengan pandangan Imam Malik, tetapi Mazhab Asy-Syafi’I tetap tidak sama dengan Mazhab Maliki.

Maka dalam hal wujudnya pandangan-pandangan tertentu yang sama antara Ustaz dengan Ustaz S, perkara itu tidak boleh sama sekali dijadikan sandaran untuk mengatakan mereka mempunyai fahaman/aliran yang sama. Sebab itulah kita tidak mengatakan Ustaz S berfahaman Salafi Wahhabi sekalipun ada pandangan dia yang sama dengan pandangan Ustaz W.

Seseorang itu dikenalpasti sebagai berfaham Salafi Wahhabi melalui ciri-cirinya. Ada berpuluh-puluh ciri seorang Salafi Wahabi. Macam mana hendak tahu seseorang itu betul Salafi Wahhabi atau bukan melalui ciri-ciri tersebut?

a)      Seandainya orang itu mempunyai banyak daripada ciri-ciri Salafi Wahhabi itu, maka jelaslah dia seorang Salafi Wahhabi sekalipun pun dia bermati-matian tidak mengaku yang dia berfahaman Salafi Wahhabi.
b)      Seandainya orang itu mempunyai hanya sedikit sahaja daripada ciri-ciri Salafi Wahhabi itu, maka dia bukanlah seorang Salafi Wahhabi sekalipun dia bermati-matian mendakwa dirinya seorang Salafi Wahhabi.
c)       Seandainya orang itu mempunya beberapa ciri Salafi Wahhabi tetapi tidak mencapai tahap banyak, maka kita tidak dapat pastikan sama ada dia berfaham Salafi Wahhabi atau tidak. Dalam hal sebegini, kita mendahulukan sangka baik bahawa dia bukanlah berfaham Salafi Wahhabi. Sekiranya pada masa-masa akan datang berlaku perubahan dari segi ciri-cirinya (sama ada bertambah atau berkurang), barulah kita nyatakan secara jelas yang dia berada dalam kategori yang mana.

(*Yang berminat untuk mengetahui antara ciri-ciri orang yang berfahaman Salafi Wahhabi, boleh rujuk dan meneliti tulisan saya di sini http://alexanderwathern.blogspot.my/2016/03/ciri-ciri-salafi-wahabi.html . Baru 40 ciri, ada banyak lagi. Tapi yang 40 ciri ini pun sudah cukup untuk dijadikan senarai semak apabila kita mahu mengenal pasti sama ada seseorang itu berfahaman Salafi Wahhabi ataupun bukan. Pengenalpastian dibuat melalui pengesanan ciri-ciri, bukannya melalui pengakuan atau ketidakmengakuan seseorang)

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan.

Ustaz W sudah kita kenal pasti berfaham Salafi Wahhabi kerana banyak ciri-ciri Salafi Wahhabi padanya. Manakala Ustaz S, hanya ada beberapa ciri Salafi Wahhabi padanya. Maka kita mendahulukan sangka baik bahawa dia tidak berfahaman Wahhabi.

Oleh itu, kita tidak boleh mengatakan Ustaz S seorang Wahhabi juga sekalipun ada pandangan dia yang sama dengan pandangan Ustaz W.

FAHAMI PERMAINAN MEREKA

Apakah strategi para penganut fahaman Wahhabi, mereka yang cenderung kepada fahaman Wahhabi dan mereka yang sudah terkena virus Wahhabi (sama ada sudah disedari atau tidak) dalam permainan ini?

Antaranya, ada orang yang berfahaman Wahhabi tetapi dia mahu mengelak daripada terkena label Wahhabi. Dia mahu menunjukkan bahawa label Wahhabi yang ditujukan kepadanya itu adalah satu kesilapan dan tidak benar.

Oleh itu, dia cuba mencari-cari ustaz-ustaz lain yang tidak diakui sebagai Wahhabi oleh masyarakat dan ustaz itu pernah mengatakan sesuatu yang sama dengan yang dia pegang.

Apabila sudah ditemuinya (dalam perbicaraan kita ini kita contohkan sebagai Ustaz S sahaja), maka dia akan buat kenyataan : “Ada pandangan saya yang sama dengan pandangan Ustaz S. Tapi mengapa Ustaz S tidak diakui sebagai Wahhabi juga?”

Maka sebahagian orang awam akan mudah terjerat dalam permainan ini. Kata sebahagian orang awam : “Betul jugak ye? Ustaz S tak pula masyarakat kata dia Salafi Wahhabi! Yang Ustaz W, orang kata Wahhabi. Padahal ada pandangan mereka yang sama je.”

Hasilnya, orang awam yang jahil dalam hal ini akan membentuk keputusan dalam jiwa mereka, contohnya :
a)      Label Wahhabi ke atas Ustaz W adalah fitnah semata-mata, atau
b)      Ustaz W terbukti bukan Wahabi, atau
c)       Orang yang mengakui Ustaz W sebagai Wahhabi tu tak tahu apa itu Wahabi, atau
d)      Kalau macam tu, Wahhabi ni baguslah sebab Ustaz S kan ustaz yang bagus?
Dan sebagainya.

Begitulah taktik yang mereka gunakan. Taktik ini sudah dibongkar sejak tahun 1999 dan ditulis sudah banyak kali. Namun sampai ke hari ini, masih ada sahaja orang-orang yang terpedaya dengan mudah. Harap-harap inilah kali terakhir saya menulis tentang bahagian ini.

Wallahu’alam.

Abu Zulfiqar

29 Mac 2016

Saturday, March 26, 2016

Suami Kaki Order

Alhamdulillah, syukur……setakat hari ini Allah mudahkan urusan makan dan minum saya. Satu nikmat yang sangat besar dan mesti banyak disyukuri.

Di rumah, hidangan makan berat saya cukup mudah untuk disediakan. Hanya nasi putih dan sayur kobis goreng, ini sudah cukup untuk membuka selera dan mengeyangkan. Lagi pun saya memang jenis yang tidak makan banyak.

Kobis gorengnya pun sangat ringkas. Hanya memerlukan sedikit minyak masak, sedikit bawang, sedikit garam, mungkin sedikit air, dan sayur kobis. Tidak perlu perasa tambahan, kicap, potongan cabai, serbuk kunyit dan lain-lain. Mudah kan? Cuma jika isteri saya memasak, dia akan buat lauk-lauk lain untuk dirinya dan anak-anak. Takkanlah mereka nak makan macam hidangan saya. Jadi, saya pun tumpang-tumpang jugalah lauk-lauk yang ada. Kebetulan isteri saya ni pandia juga memasak. Jika tidak ada pun, saya tidak berasa kurang, kerana sayur kobis goreng sudah cukup. Mudah dan cepat untuk disediakan. Harap-harap Allah terus berikan kemudahan ini kepada saya.

Tadi cerita makan berat, ini cerita makan ringan pula. Maksud makan ringan ni ialah sarapan, minum pagi, minum petang, atau pada bila-bila yang hidangannya tidak seberat makan tengah hari atau makan malam.

Setakat hari ini (untuk masa akan datang wallahua’lam lah), saya tidak main order dengan isteri, apatah lagi dengan anak-anak. Makan minum ringan untuk diri sendiri ni (untuk tetamu/orang lain, lain kiralah), semua saya buat sendiri, kecuali pada waktu tidak sihat. Setahun sekali pun rasanya susah nak dapat keadaan yang saya order : “kopi satu”, “tolong buatkan teh”, “tak buat apa-apa kuih ke?”, “abang berasa nak makan sekian-sekian le”, “tak dak ka cucoq2 ka apa ka?”, “buatkan mi goreng”, atau sebagainya. Apa yang saya nak minum, saya buat sendiri. Apa yang saya nak makan, saya ambil sendiri atau buat sendiri. Lagi pun biasanya saya hanya makan dan minum apa yang tercapai tangan dalam masa yang cepat seperti roti, biskut, air kosong, kopi segera, koko dan sebagainya.

Pernah beberapa kali isteri saya bertanya, yang saya ni tak mahu ke minta dia buatkan apa-apa hidangan ringan atau minuman? Selagi saya boleh bangun buat, tidak terlantar sakit, insya-Allah semua saya buat sendiri. Nak seronokkan isteri, mungkin setahun sekali saya order le jugak. Makanan yang ringkas-ringkas sahaja pun macam cucur tepung manis. Ye lah, sifat rata-rata isteri, sesekali mereka berasa rindu untuk menyediakan sesuatu hidangan kepada suami mereka.

Makan malam dan tengah hari memang kena minta jasa baik orang rumah memasaklah, kerana saya tidak punya kesempatan. Pada zaman-zaman punya kesempatan dulu, selalu jugak saya buat walaupun sekadar lauk yang mudah-mudah. Lagi pun kami jarang makan tengah hari bersama kerana masing-masing bekerja. Malam pula kadang-kadang sahaja makan berat. Biasanya sama ada beli makanan di kedai ataupun makan di kedai. Hari cuti pula memang biasanya keluar dan akan singgah makan di mana-mana.

Beberapa tahun lepas, pernah seorang hamba Allah bertanya, mengapa saya suka sediakan sendiri, tidak order-order? Bagi dirinya, biasa sahaja dia minta kopi, kuih, goreng-goreng dan lain-lain kepada isterinya. Hal itu bukanlah suatu kesalahan malah perkara biasa sahaja dalam masyarakat kita.

Saya mengiyakan kata-katanya. Hal itu bukan satu kesalahan pun. Tapi sebenarnya, saya membiasakan diri berbuat demikian kerana saya lebih suka jika masa yang digunakan oleh isteri saya untuk menyelesaikan order-order saya itu digunakannya untuk :

a)       urusan-urusan agama untuk dirinya (seperti membaca dan membuat nota buku-buku agama, menyelesaikan zikir-zikir harian, menonton kuliah-kuliah agama, membaca Al-Quran dan membaca maksudnya, menambah hafazan, menambah amal-amal sunat, berlatih perubatan nabawi dsb), dan
b)      urusan-urusan agama untuk umat Islam (seperti menyebarkan dakwah melalui media-media, merancang pengisian program usrah, menguruskan dokumen-dokueman gerak kerja, menguruskan akaun gerak kerja, mentarbiyyah anak-anak dsb).

Makan minum saya, usah khuatir. Saya boleh cari sendiri. Lebih baiklah masa itu digunakannya untuk hal-hal yang lebih berfaedah di atas. Saya tidak ada berasa kecil hati, bahkan sangat gembira.

Hamba Allah itu tidak memberi sebarang respon setelah mendengar jawapan saya. Nak kata ya pun tidak, tidak pun tidak. Angguk pun tidak, geleng pun tidak. Tak tahulah bagaimana penerimaan dia. Selepas terdiam beberapa lama, perbualan kami pun berpindah ke topik lain.

Saya bercerita ini bukannya apa, sejak kecil dah banyak pengalaman tengok suami yang jenis order-order ni. Sampaikan kita lihat isterinya dah macam tukang masak atau tukang bancuh air kedai kopi. Kita pulak yang kesian. Yang si isteri pun, menurut sahajalah walaupun kadang-kadang tu tengah dalam kepayahan.  Tak dilayan, suara di suami mula nak meninggi pulak.

Sudah lama tak jumpa situasi ini, tapi baru-baru ini ada terjumpa, suami yang asyik oooorder pagi petang malam. Dari situlah timbul ilham hendak menulis ni. Order-order tak salah, cuma kena berpatut-patutlah. Kan gitu?

Abu Zulfiqar
24 Mac 2016