Thursday, June 6, 2013

Tentang Syeikh Abdullah Al-Majzub Petai Bubus

PENDAHULUAN

Seorang sahabat bertanya akan pandangan saya tentang komen-komen negatif sebahagian orang terhadap satu individu yang dikenali sebagai Syeikh Abdullah Al-Majzub, yang dikatakan mengasaskan Thariqat Abdullahiyyah yang berada di Kampung Petai Bubus, Kuala Terengganu. Maka saya cuba mencari maklumat berkenaan, kerana pastinya ada aspek-aspek tertentu yang membuatkan mereka menyatakan ketidaksetujuan dengannya.

Hal ini membuatkan saya meneroka ke sebuah blog yang berkait rapat dengan ustaz/syeikh di Kampung Petai Bubus itu iaitu http://sufimas.blogspot.com/. Dengan izin Allah, di salah satu laman tertera kalam ustaz itu yang menceritakan hal ehwal dirinya sendiri http://sufimas.blogspot.com/2009/08/mukaddimah.html .

Setelah saya meneliti beberapa bahagian kalamnya, maka saya dapati mungkinlah bahagian-bahagian di bawah ini yang membuatkan orang mempertikaikan dakwaan-dakwaan ustaz di Petai Bubus tu. Wallahua’lam.

TIADA SEORANG PUN YANG BENAR-BENAR LAYAK

Ustaz PB berkata : “Setelah hampir 30 tahun aku pendam dan tutup rahsia ini, dan sekian lama juga aku melihat perkembangan dan perjalanan ilmu tasawuf dan perjalanan thariqat di alam tanah melayu khususnya maka aku dapati terlalu banyak dakwaan dan perkataan yang kebanyakan lari dan menyimpang jauh daripada perjalanan asal serta maksud dan hakikat sebenar ilmu dan perjalanan ini. TIADA SEORANG PUN yang aku dapati yang benar-benar berkelayakan dan benar–benar sampai apatah lagi yang beroleh anugerah dan tauliah untuk memperkatakan dan membicarakan ilmu-ilmu ini. Kalaupun ada hanya setakat bicara dan perkataan yang diceduk dan diambil daripada kitab-kitab dan pengalaman orang-orang yang terdahulu yang terkenal hebat dan luar biasa.ilmu, amalan, iman, taqwa dan akhlak mereka.”

ULASAN : Bagi sebahagian orang, perkataan “TIADA SEORANG PUN” mungkin kelihatan sudah melampaui batasan sifat-sifat mahmudah dan bernada mengangkat diri, kerana setahu kita pun… ramai lagi ulama-ulama yang berkelayakan dalam bahagian yang diperkatakan oleh ustaz PB (Petai Bubus) tu. Sebab itulah agaknya dia dipertikaikan. Wallahua’lam.

WAKIL TUHAN KURUN KE-15

Ustaz PB berkata lagi : “Adapun suatu masa yang ditaqdirkan ALLAH yakni pada hari khamis selepas asar pada tahun 1400 hijrah bersamaan pada tahun 1980 Masihi ketika aku sedang asyik dan mabuk berzikir dengan zikir la ila ha ilallah datanglah padaku suatu ilham daripada ALLAH Tuhan Sekalian Alam, Raja Yang Maha Agung atas segala Raja-Raja dengan mengurniakan akan diriku dengan kurniaan yang besar iaitu melantik akan DIRIKU SEBAGAI WAKIL TUHAN pada zaman ini yakni bagi kurun ke15 ini.”

ULASAN : Bahagian ini tidak jelas pada saya kerana kalimah-kalimah yang digunakan agak umum. Sekiranya ustaz PB mengatakan dia dilantik sebagai wakil Tuhan kurun ke-15 dengan maksud dia ialah salah seorang wakil Tuhan yang dilantik dan ada wakil-wakil Tuhan yang lain lagi, mungkin kurang menimbulkan kontroversi. Tapi kalau dia memaksudkan HANYA DIA yang dilantik sebagai wakil Tuhan kurun ke-15, memang patutlah dipertikaikan.

Kalau boleh, cuba dapatkan maklumat daripada ustaz PB tu, yang mana satu yang dia maksudkan.

Dan saya juga kurang pasti (kerana tidak pernah mengkaji bahagian ini) benarkah pernah ada peristiwa Tuhan memaklumkan melantik sesiapa sebagai wakilnya untuk sesuatu kurun itu ataupun tidak. Pernahkah kita mendapat sandaran-sandaran kukuh yang mengatakan Saiyidina Abu Bakar, Khalifah Umar Abdul Aziz, Imam Asy-Syafi’I, Imam Abu Hasan Asy’ari, Imam Al-Ghazali, Sultan Muhammad Al-Fateh atau lain-lain tokoh yang melalui peristiwa mereka dilantik sebagai wakil Tuhan untuk satu-satu zaman?

Sekiranya kita dapat mencari sandaran-sandaran yang kukuh ataupun agak kukuh, maka hal ini akan membantu menaikkan kredibiliti dakwaan ustaz PB itu. Tapi jika sebaliknya, tentulah sukar untuk orang menerima kewujudan situasi di mana seseorang itu dilantik oleh Tuhan sebagai wakil-Nya untuk sesuatu kurun. Secara tidak langsung, ia akan menjatuhkan kredibilit dakwaan ustaz PB itu.

KALIMAH YANG TIDAK DAPAT DIPASTIKAN MAKSUD SEBENARNYA

Kata Ustaz PB seterusnya : “Dalam beberapa tahun aku bezikir, pada suatu malam aku bermimpi datang beberapa orang pada ku yang menyumbat sesuatu pada ubun-ubunku membuatkan aku menjerit dan terkejut. Pada saat itulah zikir yang aku amalkan mula berpindah kepada zikir akal. Aku teruskan amalan berzikir yang aku amalkan beberapa tahun. Maka pada saat aku tenggelam, karam dan mabuk dalam berzikir datanglah zikir Tuhan padaku dengan perkataan dan akuan bahawa AKULAH ALLAH TUHAN.”

ULASAN : Kalimah “AKULAH TUHAN ALLAH” ini tidak semestinya membuatkan seseorang itu sesat kerana dalam bahasa sesama ahli sufi memang ada kalimah-kalimah yang menggunakan bahasa dalam yang hanya dapat difahami sesama ahlinya. Kalau sekadar maklumat ini untuk mengatakan dia sesat, pada saya belum cukup lagi. Kena ada soal jawab tertentu untuk memastikan kalimah itu difahaminya secara benar ataupun secara salah. Untuk itu kena ada interaksi ataupun pertemuan. Di situ baru boleh dilontarkan soalan-soalan perangkap dan penilaian. (*Definisi ‘zikir Tuhan” menurut ustaz itu pun tidaklah kita ketahui melainkan kena bertanya betul-betul dengannnya)

WAKIL TUHAN YANG HAQ

Kata Ustaz PB selanjutnya : “Maka pada tahun 1980 yakni bersamaan dengan pada tahun 1400 hijrah aku telah dikurniakan ALLAH dengan anugerah yang amat besar. Setelah aku tamat zikir dan ketika datang zikir sir itulah datang beberapa perkataan kepada aku. Dalam aku sedang mabuk dan asyik dengan zikir Allah tersebut datang padaku beberapa perkataan dari Tuhanku…. Wahai hambaKU Engkaulah adalah WakilKu Yang Haq………. Wahai hambaKu… Janganlah engkau ragu dan syak apa yang datang daripadaku. Jarang AKU anugerah pangkat seperti ini pada zaman ini.”

ULASAN : Kalimah WAKILKU YANG HAQ itu perlu diperincikan sebelum kita boleh menghukumnya benar ataupun tidak.  Sekiranya kalimah itu memaksudkan hanya dia seorang sahaja wakil Tuhan yang haq, memang dia akan dipertikaikan oleh banyak pihak. Tapi jika maksudnya dia wakil Tuhan yang haq dan ada juga orang lain lagi wakil Tuhan yang haq, kuranglah pertikaiannya.

Namun begitu, berdasarkan kalimah “JARANG AKU ANUGERAH PANGKAT SEPERTI INI PADA ZAMAN INI”, dapatlah kita simpulkan bahawa ada lagi wakil-wakil Tuhan yang haq pada zaman ini. Hal ini kerana perkataan “JARANG” membawa maksud lebih daripada dua orang sekurang-kurangnya. Jika Ustaz PB meyakini bahawa “MEMANG AKU TAK ADA ANUGERAH KEPADA SESIAPA MELAINKAN ENGKAU SEORANG”, barulah  boleh kita cenderungkan ke arah fahaman yang salah.

AKU WAKIL TUHAN

Lagi kata Ustaz PB : “Aku terus ke masjid Buluh Gading kampungku dan meminta kebenaran dari pada imam untuk aku berkata-kata atas mimbar masjid. Maka dibenarkan untuk berkata-kata maka aku terus berkata-kata sebagaimana yang telah diperintahkan dengan kata-kata yang diizinkan oleh Tuhanku. Selepas aku memberi salam aku terus berkata dengan beberapa perkataan:
“Aku adalah wakil Tuhan zaman ini samada Tuan-tuan nak percaya atau tidak terpulanglah pada tuan-tuan.”

ULASAN : Perkataan WAKIL TUHAN ni luas maksudnya. Selagi tidak bercanggah dengan lunas-lunas agama, tidaklah menjadi kesalahan. Dan sama seperti penjelasan sebelum ini juga, jika dia maksudkan hanya dirinya seorang sahaja wakil Tuhan zaman ini, barulah sangat sesuai untuk kita pertikaikan. Dan jika dia maksudkan dia salah seorang wakil Tuhan, kita kena menyoal lebih lanjut untuk memahami maksud istilah “WAKIL TUHAN” menurut pemahaman ustaz PB itu. Dari situlah baru kita boleh buat peneguhan sama ada fahamannya benar ataupun salah. Wallahualam.

PENUTUP

Begitulah penelitian ringkas saya. Pada pandangan saya, dakwaan-dakwaan Syeikh Abdullah Al-Majzub (ustaz di Kampung Petai Bubus) sebagaimana di ataslah ANTARA PENYEBAB dia dipertikaikan oleh pihak-pihak yang mempertikai. Mungkin ada antara pembaca yang lebih tahu sebab-sebab lain. Wallahua’lam.

Abu Zulfiqar
6 Jun 2013

Monday, May 27, 2013

Dalil-dalil Jumlah Zikir

PERSOALAN :
Salam. Ustaz, nak tanya. Mengenai anjuran zikir-zikir dalam bilangan tertentu itu, bolehkah saya tahu adakah terdapat apa-apa dalil mengenainya?

PENJELASAN :
Wlksm Mxxxxx Ixxx. Zikir yang mana yang dimaksudkan tu? Ada pelbagai versi zikir yang ada bilangan ni. Contohnya yang lepas solat Subahanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, Allahu Akbar 33 kali... dan lain-lain.

PERSOALAN :
Oh. Kalau yang macam sampai bilangan 1000 dan segala bagai yang saya fikir agak sukar orang biasa amalkan itu, adakah dalil zikir dengan bilangan yang sebegitu?

PENJELASAN :
Jumlah zikir-zikir ini tidak ada had. Ada ahli-ahli sufi yang sentiasa dalam keadaan berzikir.

Dalilnya : “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang SEBANYAK-BANYAKNYA; Dan bertasbihlah kamu KepadaNya pada waktu pagi dan petang.”[Surah Al-‘Ahzab: 41-42].

Maksudnya tidak ada had, tetapi mestilah bersesuaian dengan taraf kita. Orang awam memang nampak macam zikir para ulama itu agak sukar, tapi kalau kita sudah mencapai maqam mereka, terasa senang pula.

Oleh kerana tidak ada had, masing-masing guru menyusun bilangan zikir yang sesuai untuk dirinya dan anak-anak muridnya. Dari situlah timbulnya perbezaan jumlah zikir.

Dalilnya lagi : “Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” [Surah An-Nisa’: 103]

Maksudnya kita dalam keadaan yang bagaimana pun memang dianjurkan untuk berzikir. Sudah tentulah jumlahnya sangat banyak dalam tempoh kita berjaga iaitu dari awal pagi sampailah masuk tidur malam.

Antara zikir yang saya amalkan ialah zikir harian Tariqat Ghazaliyyah yang dinisabhkan kpd Imam Ghazali. Setiap hari diletakkan 1,000 sahaja kerana :
1. 1,000 itu sudah memadai bagi orang-orang yang baru hendak bermula ataupun untuk orang lama istiqamah.
2. 1,000 itu sedikit dan sekejap, supaya tidak mengganggu amalan-amalan lain seseorang tidak kira ia dari aliran/jemaah apa pun (yang biasanya Jemaah-jemaah itu sudah punya zikir/wirid tersendiri). Maksudnya sesiapapun boleh amalkan zikir Al-Ghazali ini.
3. 1,000 itu sebenarnya untuk menunjukkan banyak. Contoh : Walau 1,000 orang datang menyerang, aku takkan lari!" Istilah 1,000 itu untuk menunjukkan jumlah yang banyak dan tidak terhad. Maksudnya sesiapa yang mahu buat lebih walau 24 jam pun, tidak ada salahnya. Tapi jika sampai terganggu lain-lain urusan penting, paling kurang buatlah 1,000 kali.

Kesimpulannya, dalil kepada jumlah-jumlah zikir yang tuan sebutkan itu ialah antaranya dua ayat Quran tadi yang menggalakkan jumlah zikir tanpa had (sebanyak-banyaknya). Jika sebanyak-banyaknya boleh, maka jika kita letakkan jumlah tertentu sebagai had tentulah tidak ada masalah dari sudut agama. Wallahualam.

Abu Zulfiqar
28 April 2013