Wednesday, March 5, 2014

Terjemahan Misykatul Anwar 2 - Cahaya sebagai Cahaya Biasa, Mata dan Akal

BAHAGIAN 1 – Cahaya dan Berbagai-bagai Cahaya : Kajian Awal

1.1     Cahaya sebagai Cahaya Biasa, Cahaya sebagai Mata, dan Cahaya sebagai Akal

Cahaya/nur hakiki (sebenar) ialah Allah. Selain daripada itu, nama “cahaya” (nur) hanyalah perumpamaan belaka dan tidak membawa maksud hakiki.

Untuk menerangkan hal ini, hendaklah engkau tahu bahawa perkataan “cahaya” itu digunakan pada 3 tempat pengertian :
i.                    (pengertian yang) digunakan oleh kebanyakan orang.
ii.                  (pengertian) yang digunakan oleh sedikit orang.
iii.                (pengertian yang) digunakan oleh beberapa orang sahaja.

Kemudian hendaklah engkau tahu bermacam-macam peringkat cahaya yang berkaitan dengan yang kedua dan ketiga, dan darjah-darjah (tingkatan-tingkatan) hakikat yang ada bersangkutan dengan peringkat-peringkat tersebut, agar dengan itu engkau dapatlah mengetahui setelah peringkat-peringkat ini menjadi bertambah terang kepada engkau bahawa Allahlah cahaya paling tinggi dan terakhir.

Selanjutnya apabila hakikat yang berkaitan dengan setiap peringkat itu sudah ternampak, maka sedarilah bahawa Allah sahajalah yang hakiki, (iaitu Dialah) cahaya sebenarnya, dan yang lain (daripada-Nya) tidak mempunyai cahaya apa pun.


i.                    Pengertian Pertama (pengertian cahaya yang digunakan oleh kebanyakan orang).

Sekarang mari kita bincangkan pengertian yang pertama.

Di sini perkataan “cahaya” menunjukkan kejadian (fenomena). Fenomena atau apa yang nampak ialah istilah relatif, kerana sesuatu itu ternampak kepada sesuatu yang lain dari dirinya, atau tersembunyi dari sesuatu yang lain dari dirinya. Oleh itu, nampak atau tidka nampak hanyalah relatif.

Selanjutnya, nampak dan tidak nampak itu adalah relatif kepada kebolehan memandang. Pada kebanyakan orang, kebolehan memandang yang paling kuat dan terang ialah deria-deria. Salah satu daripada deria-deria itu ialah deria melihat atau penglihatan mata.

Benda-benda ini pula dari segi deria penglihatan terbahagi kepada jenis-jenis berikut :
a)      Tanda-tanda yang dengan (kekuasaan) dirinya sendiri tidak boleh kelihatan. (Benda itu tidak mampu menampakkan/menyuluh dirinya sendiri). Contohnya benda-benda atau badan yang gelap (seperti batu, rumput, kuda dan sebagainya).
b)      Tanda-tanda yang dengan (kekuasaan) dirinya  sendiri boleh kelihatan, tetapi tidak mampu membuatkan benda-benda lain kelihatan. (Benda itu mampu menampakkan/menyuluh dirinya sendiri tetapi tidak dapat menampakkan/menyuluh benda lain). Contohnya bintang-bintang dan api yang  belum menyala.
c)       Tanda-tanda yang dengan (kekuasaan) dirinya sendiri mampu kelihatan dan (mampu juga) membuatkan benda-benda lain kelihatan. (Benda itu mampu menampakkan/menyuluh dirinya sendiri, malah mampu pula menampakkan/menyuluh benda lain). Contohnya matahari, lampu dan api yang menyala).

Nama “cahaya” (nur) ini diberi kepada jenis yang ketiga itu (yang bahagian c). Kadang-kadang kepada apa yang terpancar dari benda-benda yang bersinar ini dan pancaran itu terjatuh atau tertumpu (terkena) kepada bahagian luar benda-benda kelam (seperti cahaya tersuluh ke arah batu, rumput, kuda) iaitu apabila kita katakan “bumi diterangi” ke dinding atau ke pakaian, dna kadang-kadang kepada benda-benda yang bersinar itu sendiri, kerana benda-benda itu bersinar dengan sendirinya.

Kesimpulannya, nur/cahaya ialah perkataan yang digunakan kepada yang dengan dirinya sendiri boleh kelihatan (boleh menampakkan/menyuluh dirinya sendiri) dan dapat membuatkan yang lain juga kelihatan (mampu juga menampakkan/menyuluh) yang lain. Contohnya matahari.

Inilah definisi nur/cahaya dan hakikat tentang nur/cahaya menurut pengertian yang pertama itu.


ii.                  Pengertian Kedua (pengertian “cahaya” yang digunakan oleh sedikit orang)

Kita sudah melihat sekarang bahawa hakikat cahaya itu ialah apa nampak/kelihatan bagi orang yang melihat/memandang. Dan penglihatan itu kadang-kadang kepada wujudnya dua perkara iaitu :
a)      Cahaya
b)      Mata yang melihat.
(Hal ini) kerana cahaya itu adalah apa yang nampak dan disebabkan supaya nampak, namun cahay itu tidak nampak atau disebabkan tidka nampak kepada orang-orang buta.

Oleh itu ruh si pelihat adalah sama penting dengan cahaya yang boleh dilihat itu. Ruh itu memainkan peranan penting dalam penglihatan, bahkan ruh lebih penting kerana ruh si pelihat itulah yang mengerti dan melalui ruh itulah pemahaman atau pengertian muncul. Cahaya (itu sendiri) tidak ada (sebarang) pengertian, dan tidak ada pengertian atau pemahaman berlaku melalui cahaya itu, tetapi hanya semata-mata apabila ia ada hadir sahaja.

Sebenarnya perkataan “cahaya’ itu ialah cahaya yang melihat, yang kita namakan “mata”. Oleh itu manusia menggunakan perkataan “cahaya” itu untuk “cahaya kepada mata”.

Orang yang kabur matanya dikatakan : “Cahaya penglihatannya kabur.”
Orang yang lemah penglihatan matanya dikatakan : “Cahaya pandangan matanya lemah.”
Orang yang buta matanya dikatakan : “Cahanya habis gelap.”

Dikatakan bahawa anak mata itu memusatkan cahaya pandangan/penglihatan dan memperkuatkannya.
Bulu mata pula dijadikan Allah berwarna hitam dan dijadikan untuk memandu dua biji mata itu bergerak-gerak supaya memusatkan cahayanya.
Dikatakan juga putih mata itu menyelerakkan cahaya mata itu dan melimpahkannya, dan memandang lama kepada permukaan putih berkilau, atau lebih lagi memandang cahaya matahari akan menyilaukan cahaya mata itu dan mencacatkannya seperti mana permukaan yang lemah dicacatkan oleh permukaan yang kasar dan kuat.

Sekarang tahulah engkau bahawa ruh si pelihat itu disebut “nur/cahaya”, mengapa disebut sebegitu dan mengapa sewajarnya disebut sebegitu. Inilah pengertian kedua yang hanya diketahui oleh sedikit orang.


iii.                Pengertian Ketiga (pengertian “cahaya’ yang digunakan oleh beberapa orang sahaja)

Hendaklah engkau tahu selanjutnya bahawa cahaya penglihatan (jenis pengertian kedua di atas tadi) mempunyai beberapa kekurangan atau kecacatan :
a)      Ia (mata itu) melihat benda lain tetapi tidak melihat dirinya sendiri.
b)      Ia tidak dapat melihat perkara yang sangat jauh atau yang sangat dekat.
c)       Ia tidak dapat melihat perkara yang di sebalik dinding.
d)      Ia melihat yang di luar sahaja dan tidak nampak yang di dalam.
e)      Ia melihat bahagian-bahagian tertentu sahaja, bukannya melihat keseluruhan.
f)       Ia melihat perkara yang terbatas/terhad tapi tidak nampak perkara yang tidak terbatas.
g)      Dalam melihat, ia banyak membuat kesalahan kerana apa (benda) yang sebenarnya besar dinampaknya kecil, apa yang jauh dinampaknya dekat, apa yang diam dinampaknya bergerak, apa yang bergerak dinampaknya diam.

Inilah 7 kelemahan yang terdapat pada mata itu.

Sekiranya ada mata lain yang tidak mempunyai kecacatan/kekurangan/kelemahan di atas, bukankah sepatutnya mata lain itu juga disebut “cahaya”?

Ketahuilah bahawa ada sejenis mata di alam akal atau jiwa manusia, (iaitu mata) yang bebas daripada kekurangan/kecacatan/kelemahan yang ada pada mata biasa (mata zahir) ini. (Mata batin) itulah yang disebut akal, ruh, jiwa.

Namun di sini eloklah kita tinggalkan sahaja beberapa istilah itu kerana istilah-istilah yang banyak itu menyebabkan orang yang kurang pintar fikirannya menyangkakan ada banyak pula idea  atau tanggapan yang dimaksudkan oleh istilah-istilah itu.

Apa yang kita maksudkan di sini ialah (akal iaitu) sesuatu yang membezakan antara orang yang berfikiran dengan bayi, (sesuatu yang membezakan antara manusia) dengan binatang dan dengan orang gila. (Untuk mengelakkan penggunaan banyak istilah maka) “sesuatu” itu kita katakanlah sebagai “akal”. Tidak usahlah kita gunakan istilah-istilah seperti ruh dna jiwa, supaya tidak mendatangkan kekeliruan dalam perbincangan kita. Kita pakailah perkataan “akal” sahaja untuk kesemuanya.


Oleh itu, akal adalah lebih baik kita sebut sebagai “nur/cahaya”, dan tidak disebut “mata” kerana akal itu tidak mempunyai 7 macam kecacatan/kekutangan/kelemahan yang disebutkan tadi.

bersambung...

Terjemahan Misykatul Anwar 1 - Pendahuluan

PENDAHULUAN

Puji-pujian bagi Allah yang melimpahkan nur (cahaya) yang memberikan penglihatan, dan dari rahsia yang tertinggi menyingkap hijab (tabir) malam.

Selawat dan salam kepada Muhammad saw : cahaya segala cahaya, penghulu orang-orang soleh, kekasih Allah, guru kepada mereka yang diberi keampunan, kepadanya (Nabi Muhammad saw) diberi kesejahteraan, tangan yang melawan dan memukul orang-orang yang berdosa dan orang-orang kafir.

Saudaraku,

Semoga Allah mengurniakan kepadamu kebahagian tertinggi yang ingin dicari oleh manusia, menjadikan engkau orang yang dipilih-Nya untuk naik ke tingkatan yang paling tinggi, dan memenuhi pandanganmu dengan cahaya hakikat, dan membuang dari batimu apa yang bukan hakiki.

Engkau meminta aku menyampaikan rahsia-rahsia cahaya keTuhanan beserta qias-qias atau perumpamaan yang ada di sebalik maksud-maksud zahir ayat-ayat Al-Quran dan hadith tertentu terutamanya :

“Allah cahaya langit dan bumi. Perumpamaan cahayaNya itu laksana sebuah misykat (lubang di dinding tempat meletakkan lampu, lubang yang tidak tembus ke sebelah sana), (yang) di dalamnya ada lampu. Lampu itu di dalam sebuah bekas kaca. Kaca itu laksana bintang yang bergemerlapan/berkilauan. (Lampu itu) dinyalakan daripada (minyak) sebatang pohon kayu yang diberkati iaitu pohon zaitun, tidak timur, tidak barat. Hampir sahaja minyak itu bernyala-nyala walaupun (minyak itu) belum disentuh oleh api. Cahaya atas cahaya.” (Surah An-Nur : 35)

“Atau (bagi orang-orang kafir, perbuatan mereka itu) ibarat kegelapan yang berlapis-lapis, di laut yang sangat dalam, yang dilapisi oleh ombak’gelombang demi ombak/gelombang, di atasnya awan gelap. Kegelapan atas kegelapan. Sehinggakan (jika ada seseorang) menghulurkan tangannya, tidaklah kelihatan tangan itu. Sesungguhnya sesiapa yang tidak diberi cahaya oleh Allah, maka tidaklah ada cahaya baginya.” (Surah An-Nur : 40)

Apakah yang dimaksudkan oleh Allah dengan perbandingan atau qias antara cahaya dan misykat, kaca, lampu, minyak dan pokok itu?

Dan perhatikan hadith ini :
“Allah mempunyai 70,000 hijab (tabir) cahaya dan gelap. Sekiranya Dia membuka hijab itu, maka keagunganNya pasti akan menghancurkan sesiapa yang mengenalinya dengan pandangan.”

Demikianlah permintaanmu. Tetapi, dengan permintan itu anda telah bercita-cita untuk memanjat ke tempat yang tinggi lagi sukar didaki. Tinggi sekali hinggakan tidak tercapai oleh manusia biasa. Engkau sudah mengetuk pintu yang terkunci, yang hanya akan dibuka kepada mereka yang mengetahui dan mengenal dnegan sebenar-benarnya dan tetap keyakinannya. Tambahan pula, bukanlah semua (setiap) rahsia itu akan  dibentang dan dipamerkan kerana : “Hati-hati yang mulia itu menutup rahsia-rahsia seperti liang lahat.”

Atau sebagaimana kata orang arif :  “Membuka rahsia keTuhanan itu seperti menafikan Tuhan.”

Atau sebagaimana sabda Nabi Muhammad saw :
“Ada satu ilmu yang seperti keadaan benda tersembunyi, tiada siapa yang tahu kecuali mereka yang tahu dan kenal akan Allah.”

Jika rahsia itu dikeluarkan, hanya orang-orang jahil sahaja yang akan menafikannya. Walau seramai mana pun orang-orang jahil itu, rahsia-rahsia itu mestilah dipelihara dan jangan dibiarkan dicemari/dinodai oleh orang-orang yang berdusta.

Namun aku yakin hatimu telah dibuka oleh cahaya itu dan kesedaranmu telah bersih daripada kegelapan kejahilan. Oleh itu aku tidak teragak-agak untuk membawamu menuju hakikat yang mulia dan suci itu kerana kesalahan menyembunyikan ilmu daripada orang-orang yang berkehendakkannya adalah sama dengan kesalahan memberikan ilmu kepada orang-orang yang mensia-siakannya.

Seperti kata penyair : “Orang yang memberi ilmu kepada si bodoh, akan hilanglah ilmu itu. Orang yang menahan ilmu daripada orang yang memerlukannya, adalah melakukan dosa.”

Engkau hendaklah berpuas hati dengan penerangan yang ringkas tentang hal ini. Jika hendak diceritakan sepenuhnya, terpaksalah dihuraikan pula pokok-pokok (asas-asas) dan cabang-cabangnya. Buat masa ini aku tidak mempunyai cukup masa, fikiran dan keupayaan untuk itu.

Kunci kepada semua hati adalah di tangan Allah. Dia membuka hati itu apabila dikehendakiNya menurut kehendakNya dan dengan apa sahaja yang dikehendakiNya.

Buat masa ini, cukuplah dibukakan kepadamu 3 bahagian :

1.       Cahaya dan Berbagai-bagai Cahaya : Kajian Awal
2.       Pengetahuan Tentang Perumpamaan Misykat, Lampu, Kaca, Pokok, Minyak dan Api.
3.       Pemakaian Ayat An-Nur dan Hadith Tentang Hijab