Alhamdulillah. Kesemua 100% puji-pujian yang ada pada hakikatnya hanyalah untuk Allah.
Dialah satu-satunya Yang Baik, Dialah satu-satunya Yang Pemurah.
Tidak ada yang baik dan tidak ada yang bersifat pemurah selain daripada Dia.
Hanya Dia sahaja Yang Ada Ilmu, Hanya Dia sahaja Yang Pandai.
Tidak ada yang berilmu dan tidak ada yang pandai selain daripada Allah.
Dia sahajalah Yang Ada Kekuatan, Dia sahajalah Yang Ada Keperkasaan.
Tidak ada selain Dia yang ada kuat, dan tidak ada selain Dia yang ada keperkasaan.
Hanya Allah sahaja Yang Cantik, hanya Allah sahaja Yang Indah.
Tidak ada yang cantik dan tidak ada yang indah selain daripada Dia.
Allah satu-satunya Yang Ada Keagungan, satu-satunya Yang Ada Kebesaran.
Selain Allah, langsung tidak ada yang punya keagungan atau kebesaran.
Selain daripada Dia, kosong belaka, hampa belaka, langsung tidak punya apa-apa yang hendak dipuji. Begitulah PADA HAKIKATNYA, bagi orang-orang yang bermata qalbu. Tidak syak lagi, Alhamdulillah, segala puji-pujian hanyalah untuk Allah SWT sahaja.
Pada hakikatnya juga, Dialah sebenarnya yang menjayakan majlis kita pada hari ini.
Dialah yang membuatkan pintu hati tergerak dan terbuka untuk hadir.
Dialah yang sebenarnya menggerakkan kaki, tangan, tubuh badan dan kenderaan kita untuk datang.
Dialah yang membuatkan mulut kita bercakap, mata kita melihat, telinga kita mendengar, akal kita berfikir dan qalbu kita berzikir sekarang ini.
Pada hakikatnya, semua yang berlaku adalah pekerjaan Allah semata-mata.
Esakanlah. Tauhidkanlah.
Nabi saw bersabda : “Sesungguhnya Allah Taala berfirman pada Hari Qiamat: “Di manakah mereka sekarang yang berkasih-kasihan atas sebab kebesaran-Ku? Pada hari ini, Aku naungi mereka dengan naungan-Ku, pada hari yang tidak ada naungan selain daripada naungan-Ku.” (Muslim)
Hadirin yang dirahamati Allah sekelian,
Selamat datang ke Himpunan Mahabbah Para Pelajar, Pengamal dan Peminat kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin, merangkap Ijtima’ Tahunan Tariqah Ghazaliyyah bagi kali yang ke-3, dan selamat mengambil manfaat.
Ribuan terima kasih diucapkan terutamanya kepada pihak pengurusan Surau An-Nur atau Surau Cahaya ini, atas keizinan dan sokongan yang diberi terhadap majlis cinta Allah ini. Sebagaimana yang kita sedia maklum, di sinilah tempat terzahirnya kembali kemeriahan kitab Ihya’ ‘Ulumuddin, yakni sejak 9 tahun yang lalu, dan di sini jugalah tempat asas terzahirnya kembali kemeriahan Tariqah Ghazaliyyah. Hal ini sebenarnya sesuatu yang tidak pernah kita terfikir atau kita termimpi pun sebelum itu, termasuklah diri sahaya sendiri. Entahlah apa tuahnya surau ini, desa ini, bumi ini, sehinggakan Allah melaksanakan perancangan-Nya itu di sini. Wallahua’alam.
Dalam ucaptama ijtima’ tahun lepas, antara isi kandungannya ialah seruan agar kita :
Cintailah Allah, cintailah Kitabullah.
Cintailah Rasulullah, cintailah As-Sunnah.
Cintailah diri, cintailah ummah.
Cintailah ibadah, cintailah dakwah.
Inilah 8 medan atau 8 bangsa kecintaan yang SELALU KITA TEGASKAN dalam tarbiyyah dan dakwah kita.
Selain itu, kita juga hendaklah selalu merenung-renung dan mengambil tindakan, sejauh manakah kita sudah menyahut dan menyambut seruan-seruan yang dikumandangkan dalam ijtima’ tahun yang lalu. Terdapat sekurang-kurangnya 80 seruan sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung, yang perlu direspon dalam ucaptama tersebut.
APA TINDAKAN KITA JIKA BERJAUHAN DARIPADA GURU DAN IKHWAN?
Kadang-kadang, kita berjauhan daripada majlis-majlis, guru, dan para sahabat jalan kerohanian kita dalam tempoh masa yang lama. Hal ini menyebabkan suhu diri kita atau suhu kerohanian kita mulai menurun dan menyejuk. Kadang-kdang kita tidak terperasan pun yang suhu sudahpun menurun dan menyejuk. Jadi, apakah usaha-usaha yang boleh kita lakukan untuk sekurang-kurangnya mengekalkan suhu atau momentum kerohanian kita itu?
Paling utama, kita mestilah selalu memohon yakni meminta kepada Tuan Punya Suhu (Allah). (Dari segi hakikatnya) hanya Dialah sahaja satu-satunya yang punya kuasa terhadap suhu kerohanian kita. Dia sahaja yang dapat menaikkan, mengekalkan atau menurunkan suhu kerohanian kita. Maka, jangan kita malu dan jangan kita malas untuk selalu meminta daripada Tuan Punya Suhu.
Allah SWT berfirman : “Berdoalah kepada Aku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu.” (Al-Mu’min : 60)
Sabda Nabi saw pula : “Tidak ada sesuatu yang lebih besar pengaruhnya di sisi Allah selain daripada doa.” (Turmizi, Ibnu Majah, Ahmad)
Oleh sebab itu, istiqamahlah berdoa. Jangan kita pandang remeh amalan berdoa.
Kita berterusanlah menyelesaikan amalan-amalan fardhu dan wajib, serta tambahlah dengan amalan-amalan sunat. Semua ini memang sudah mesti kita lakukan pun sepanjang hayat kita, bukannya ketika masalah datang, baru hendak dibuat. Jangan kita kejar yang fardhu kifayah tetapi terabai yang fardhu ‘ain. Jangan kita kejar yang sunat tetapi terabai yang fardhu dan wajib. Bagi lelaki, usahakan agar kita dapat mengerjakan solat fardhu berjemaah di masjid dan yang seumpama dengannya.
Dalam sebuah hadis qudsi, Allah berfirman : “Dan tidaklah hamba-Ku mendekatkan diri kepada Aku dengan suatu IBADAH yang lebih Aku cintai, daripada apa yang telah Aku WAJIBkan kepadanya. Dan sentiasalah seorang hamba-Ku mendekatkan diri kepada Aku dengan AMALAN-AMALAN SUNAT sehingga Aku mencintainya.” (Bukhari)
Jelaslah, bahawa ibadah yang paling Allah sukai ialah ibadah-ibadah yang wajib. Dan untuk menjadi orang yang dicintai oleh Allah pula, hendaklah ditambah dengan amalan-amalan sunat. Jangan berasa cukup dengan yang wajib-wajib sahaja. Kita tidak dapat meingkat jauh jika sekadar berpada dengan yang wajib-wajib sahaja.
Selalulah berzikrullah. Amalkan Zikir Harian dan 10 Bacaan Harian, serta penuhi Wirid Harian sekadar termampu (atau apa-apa amalan pilihan peribadi atau jemaah masing-masing) secara berterusan (istiqamah) pada setiap hari sekalipun dalam jumlah yang sedikit. Jangan ada hari yang kita terlepas.
Allah SWT berfirman : “Oleh tu ingatlah kamu kepada Aku (berzikirlah), nescaya Aku ingat kepada kamu.” (Al-Baqarah : 152)
Sabda Nabi saw : “Perbandingan antara orang yang berzikir (ingat akan Allah) dengan orang yang yang tidak berzikir (tidak ingat akan Allah) adalah seperti orang yang hidup dengan orang yang mati.” (Bukhari, Muslim)
Lakukanlah rabitah (dan yang seumpama dengannya) sekurang-kurangnya sekali sehari. Contohnya sebelum tidur, sepintas lalu kita lintaskan gambaran rupa guru dan beberapa orang ikhwan kita dalam jalan kerohanian ini. Lintaskan doa agar Allah satukan hati-hati kita semua dan doakanlah yang baik-baik. Secara lintasan sahaja. Sekadar beberapa saat sahaja.
Nabi saw bersabda : “Tidak ada seorang hamba yang muslim apabila berdoa kepada saudaranya yang berjauhan (tanpa pengetahuannya) melainkan malaikat berkata kepadanya: “Dan untuk kamu sepertinya juga (seperti yang didoakan)”. (Muslim)
Usahakan agar kita dapat selalu berhubungan dengan ikhwan yang berada berhampiran dengan kita (sama ada hampir dari segi jarak atau hampir dari segi kemudahan teknologi). Contohnya - berjumpa, bertegur sapa, buat aktiviti bersama-sama (bersukan, minum-minum, hadiri pengajian di tempat yang sama dsb), berziarah, melalui telefon, melalui internet dan sebagainya.
Nabi saw bersabda : “Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya pada hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu ……. (salah satunya ialah) dua orang yang saling mengasihi kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah kerana Allah.” (Bukhari)
Rajin-rajinlah kita mengambil tahu PERKEMBANGAN DAN AKTIVITI TERKINI guru, jemaah dan ikhwah kita. Gunakan kemudahan teknologi terkini. Jangan sampai kita terlepas pandang hal-hal yang penting.
Usahakanlah agar kita tidak meninggalkan amalan (bacaan-bacaan) untuk 3 waktu iaitu amalan selepas Subuh (atau pada waktu pagi), amalan selepas ‘Asar (atau petang), dan amalan sebelum tidur (atau malam). Pilihlah apa-apa amalan yang bagus lagi ma’tsur.
Allah
Taala berfirman : “Dan ingatlah akan Tuhanmu (berzikrullah))
dalam jiwamu dengan merendah diri serta dengan perasaan takut, dan
tidak dengan mengeraskan suara, pada waktu pagi dan petang. Dan
janganlah kamu termasuk dalam kalangan orang-orang yang lalai.”
(Al-‘Araf : 205)
Rajin-rajinlahlah kita berma’rifah (yakni memandang hakikat, tetapi jangan pula sampai kita terabai syariat). Perhatikan alam ciptaan Allah dan penghuni-penghuninya dengan indera dan hati DAN/UNTUK ingat akan Allah.
Allah SWT berfirman : “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang, terdapat TANDA-TANDA bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingati (BERZIKIR kepada) Allah dalam keadaan berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Wahai Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksaan neraka.” (Ali ‘Imran : 189-191)
Kita amalkan solat-solat sunat walau sekadar 2 rakaat sehari semalam (tetapi takkanlah orang sesufimu hanya berjaya buat 2 rakaat sahaja dalam sehari semalam). Tak perlu banyak (kerana banyak lagi urusan ibadah dan seharian yang mesti kita diselesaikan). Kita dapat lebih kurang 15 rakaat sehari semalam pun sudah cukup bagus.
"Solat dua rakaat (sebelum) Solat Subuh itu lebih baik daripada dunia dan segala isi buminya". (Muslim)
Istiqamah membaca Al-Quran (dan terjemahannya) pada setiap hari, walaupun sedikit.
Hendaklah engkau rajin membaca bahan-bahan agama pada keluangan masa yang ada.
Engkau berusaha untuk menyampaikan dakwah PADA SETIAP HARI walaupun sekadar sekali, sama ada melalui perkataan, tulisan, perbuatan, isyarat, contoh dan seumpamanya. Berusahalah untuk menjadikan dirimu contoh yang hasanah (baik) walau di mana pun engkau berada.
Orang-orang yang cinta Allah dan rasul-Nya
sudah melebihi cinta yang lain-lain,
Pasti dia akan berasa sangat lazat
dalam memperjuangkan agamanya,
akan berasa sangat manis
dalam berkorban untuk agamanya,
akan berasa ghairah dalam ibadahnya,
dan akan berasa berahi dalam pengabdiannya.
Rasa-rasa ini tidak dimiliki
oleh orang-orang yang ada mencintai sesuatu
lebih daripada cinta Allah dan Rasul-Nya
Tidak berasa nikmat, lazat, manis dan teruja
untuk memperjuangkan agama Allah
ketika engkau masih di dunia ini,
Sebenarnya hal itu
sudah “seksaan yang didahulukan” di dunia
tetapi tidak engkau sedari.
Awal-awal lagi Allah sudah tarik nikmat yang sangat besar ini.
Dia sudah dahulukan seksaan-Nya
tetapi mata qalbumu gagal menyedari.
(Sunnah-sunnah Nabi saw yang besar-besar, yang engkau mampu laksanakan, laksanakanlah. Dan…) Dalam situasi engkau yang berjauhan dan engkau mahu menjaga suhu kerohanianmu ini, engkau berusahalah untuk mengamalkan sunnah-sunnah Nabi saw yang sebahagian orang memandangnya sebagai biasa-biasa dan kecil-kecil. Apa yang Nabi saw suka buat dalam sehari-hari, engkau cubalah selalu buat mana yang engkau mampu. Apa yang Nabi saw suka pakai, engkau cubalah selalu pakai. Apa yang Nabi saw suka pandang, engkau cubalah selalu pandang , Apa yang Nabi saw suka dengar, engkau cubalah dengar. Apa yang Nabi saw suka sebut, engkau cubalah selalu sebut. BUATLAH DENGAN KECINTAAN.
Engkau carilah ruang masa untuk menghadiri, menonton atau mendengar kuliah-kuliah agama sama ada secara terus ataupun melalui media, lebih-lebih lagi yang datang daripada guru dan jalan kerohanianmu. Qalbumu ibarat perut. Ia juga lapar dan perlu diberi makan minum. Jika makanan dan minumannya tidak cukup engkau beri, ia akan tidak sihat. Qalbumu juga boleh mati. Pengisian-pengisian ilmu dan amal inilah yang menjadi makanan dan minumannya.
Apabila engkau berasa malas dan tidak selesa
Untuk hadir ke majlis-majlis pengajian agama (taman-taman syurga)
Itu tandanya kehendak hawa nafsumu sedang sihat wal afiat
Apabila engkau berasa malas dan bosan
Untuk berzikrullah (ingat akan Allah)
Itu tandanya kehendak hawa nafsumu sedang gagah perkasa.
Apabila engkau berasa malas dan berat hati
Untuk belajar ilmu-ilmu agama dan amalkan kehendak-kehendak agama
Itu tandanya kehendak hawa nafsumu sedang hidup selesa.
Apabila engkau berasa malas dan tidak lazat
Untuk memperjuangkan agama ini
Itu tandanya kehendak hawa nafsumu sedang menjadi raja.
Dalam perbicaraanmu sehari-hari, usahakanlah agar diselitkan bicara tentang agama. Jangan ada hari yang engkau langsung tidak berkata-kata tentang agama dalam pembicaraanmu.
Insya-Allah dengan langkah-langkah ini, suhu kerohanian kita akan terus stabil dan tetap cantik sekalipun kita berjauhan.
Suhu kerohanianmu AKAN MENURUN DENGAN LAJUNYA :
Apabila engkau kurang atau tidak memohon kepada Allah. Engkau semakin malas berdoa.
Apabila engkau mula mengabaikan amalan-amalan yang fardhu dan wajib, dan mula meninggalkan amalan-amalan sunat.
Apabila engkau mulai lemah dalam mengamalkan zikir-zikir harianmu.
Apabila engkau semakin melupakan guru dan rakan-rakanmu dalam jalan kerohanian ini.
Apabila engkau tidak atau semakin kurang berhubungan dengan guru dan rakan-rakanmu. Engkau malas dengan mereka, biasanya Allah akan menjauhkan mereka daripadamu.
Apabila engkau tidak mahu berusaha gigih untuk mengambil tahu tentang perkembangan dan aktiviti terkini perkumpulanmu.
Apabila engkau semakin mengabaikan amalan-amalan pagi, petang dan sebelum tidur.
Apabila engkau semakin malas untuk memandang hakikat.
Apabila engkau semakin melupakan solat-solat sunatmu.
Apabila engkau semakin malas membuka dan membaca Al-Quran (dan terjemahannya)
Apabila engkau semakin jauh daripada buku-buku agama.
Apabila engkau semakin tidak peduli dan semakin meninggalkan dakwah harianmu. Engkau semakin malas untuk menyampaikan dan mencontohkan.
Apabila engkau semakin malas hendak mengamalkan sunnah-sunnah yang dipandang kecil-kecil dan biasa-biasa itu.
Apabila engkau semakin malas untuk menambah inpu-input ilmu agama (malas untuk duduk-duduk dalam majlis-majlis pengajian agama, malas hendak menonton, malas hendak mendengar dan sebagainya).
Apabila engkau tidak berusaha untuk bercakap dan menyelitkan bicara tentang agama dalam kata-katamu sehari-hari.
Dari segi syariatnya, suhu kerohanianmu jadi semakin turun dan turun adalah kerana sikapmu sendiri. Maka, renung-renungkanlah dan ambillah iktibar serta tindakan.
BAGAIMANA MAHU CEPAT MAJU DALAM TARIQAH GHAZALIYAH?
Datang pula persoalan : Bagaimana mahu cepat maju dalam Tarekat Ghazaliyah ini?
Sebagai permulaan, kami senaraikan beberapa tips secara ringkas sebagaimana di bawah nanti. Huraiannya akan kami usahakan kemudian apabila berkelapangan, insya-Allah.
Untuk cepat maju dalam tariqah ini, kita hendaklah :
1. Ikhlas. Jangan ada niat-niat lain, baik bagi pihak penyampai mahu pun bagi pihak penerima.
2. Rendahkan diri
3. Jangan taksub dengan apa-apa atau dengan sesiapa
4. Istiqamah amalkan Zikir Harian dan Wirid Harian
5. Ikuti pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumuddin
6. Banyakkan berdoa
7. Jangan mudah terpesona dengan kepelikan- kepelikan
8 Jangan asyik nak cepat sangat dalam belajar
Belajar agama terlalu nak cepat,
Akhirnya terkena ajaran sesat.
Belajar agama tak suka lambat-lambat,
Nanti ilmu membawa mudarat.
Belajar agama terlalu nak mudah,
Tak sedar terikut ajaran salah.
Belajar agama tak mahu bersusah,
Silap-silap, amalan tak sah.
Belajar agama asyik nak senang,
Akhirnya kebatilan yang mendatang.
Bersabar-sabarlah terhadap rezeki Allah
Kerana rezeki-Nya untukmu
Tidak dapat engkau bayangkan
Betapa banyak dan luasnya.
Yang sudah dikurniakan-Nya kepada engkau selama ini pun
Sudah terlalu banyak dan luas.
Dialah yang menentukan
Bilakah masa yang paling tepat
Untuk segala rezeki itu tiba ke tanganmu.
Oleh itu, bersabar-sabarlah.
9. Gunakan sandaran-sandaran yang kukuh
10. Ikut panduan-panduan guru.
11. Selalu berhubung dengan guru, para muallim dan ikhwan.
12. Jangan terhijab dengan kehebatan-kehebatan.
Wallahua’lam
DOA
No comments:
Post a Comment