Wednesday, November 6, 2019

Orang Bermaqam Tinggi Tidak Boleh Meminta kepada Allah?


Meminta kepada Allah bukanlah satu kesalahan dalam ajaran agama Islam, bahkan kita memang digalakkan agar selalu meminta/memohon kepada Allah. Hal ini kerana dalam meminta itu ada banyak rahsia agung seperti :

1.       Kita mengakui kelemahan kita sebagai hamba yang pada hakikatnya tidak punya apa-apa daya dan kuasa.
2.       Kita mengiktiraf Allah sebagai As-Somad, yang mana seluruh makhluk bergantung dan berharap kepada-Nya. Kita mengakui bahawa kita sangat bergantung kepada Dia dalam segala hal. Alah sangat suka jika kita mengiktiraf-Nya.
3.       Ada pengiktirafan bahawa Allah itu Tuhan (Rabb). Allah sangat suka yang ini.
4.       Jika tidak meminta, dikhuatiri kita akan berasa tiada keperluan kepada Allah, walaupun hal ini jarang berlaku. Sekiranya berlaku, ia sangat berbahaya kepada aqidah dan tauhid kita.


Antara bukti-bukti yang mengatakan Allah suka jika kita MEMINTA kepada Dia :

1.       Al-Fatihah dan bacaan2 lain (seperti ketika duduk antara dua sujud dan pada tahiyyat) dalam solat kan banyak berisi permintaan? Jika kita buang permintaan2 ini, bagaimana kita hendak menunaikan solat fardhu?
2.       Allah SWT berfirman : “BERDOALAH KEPADA AKU, akan Aku perkenankan (permintaan-permintaan yang terdapat dalam doa itu).” (Al-Mu’min : 60)
Dalam ilmu usul fiqh, kalimah “berdoalah” itu merupakan PERINTAH daripada Allah!
3.       Nabi saw bersabda : “Hamba yang paling dekat (dari segi hubungan, bukan dari segi jarak dan tempat) dengan Rabbnya ialah orang yang sujud. Oleh itu, PERBANYAKKANLAH DOA ketika sujud.” : (Muslim)
Hadith ini pula merupakan suruhan daripada Nabi saw.
4.       Sahabat Nabi saw yang bernama Ibnu Mas’ud berkata : “Adalah Nabi saw apabila berdoa, ia BERDOA (akan sesuatu hajat) TIGA KALI, dan apabila ia meminta, IA MEMINTA TIGA KALI.” (Muslim)
Jelas, Nabi Muhammad saw sendiri meminta kepada Allah, malah bersungguh-sungguh dan berulang-ulang. (Mustahil maqamnya tercemar apabila dia banyak meminta).

Oktober 2019

No comments: