Thursday, August 29, 2019

Keutamaan Harap Akan Allah

Keutamaan Harap akan Allah

Allah SWT memerintahkan : “Janganlah kamu berputus harap daripada rahmat Allah.” (Az-Zumar : 53)
Maksudnya kita tidak boleh berputus asa, bahkan yakin dengan rahmat-Nya.

Allah berfirman : “Sesungguhnya orang-orang yang membaca Kitabullah, mendirikan solat dan membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada mereka (untuk jalan Allah), sama ada secara diam-diam atau secara terang-terangan, mereka mengharapkan perniagaan yang tidak pernah rugi.” (Fathir : 29)
Perniagaan yang tidak pernah rugi ialah kita membeli jannah dan redha Allah dengan mata wang amal-amal soleh. Kita mengharapkan agar Allah menerima pembelian kita itu.

Firman-Nya : “Katakanlah: Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas mencelakakan dirinya sendiri. Jangan kamu putus harapan daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni segala dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (Az-Zumar : 53)
Walaupun kita pernah melakukan pelbagai kesalahan, tetapi kita mestilah yakin bahawa Allah Maha Pengampun dan menaruh harapan tinggi bahawa Dia akan mengampunkan kesalahan-kesalahan kita.

Sabda Nabi saw : “Apabila hamba itu berdosa dengan sesuatu dosa lalu ia meminta ampunan Allah, maka Allah ‘Azza wa Jalla berfirman kepada para mlaikat-Nya : “Lihatlah kepada hamba-Ku yang telah berdosa dengan suatu dosa. Maka ia tahu yang ia ada Rabb yang mengampunkan segala dosa dan yang menyiksakan dengan dosa itu. Aku persaksikan kepada kamu bahawa Aku telah mengampunkan dosanya.” (Bukhari, Muslim)
Maksudnya Allah suka jika kita bertaubat dan memohon keampunan, kerana dalam perlakuan itu ada pengiktirafan terhadap-Nya sebagai Tuhan, ada pengakuan bahawa kita hamba kepada Dia, dan ada pengakuan bahawa kiat yakin Dialah yang berkuasa untuk mengampunkan dosa-dosa.

Sabda Rasulullah saw : “Sesungguhnya Allah Taala menuliskan atas diriNya rahmat sebelum Dia menjadikan makhluk : “Sesungguhnya rahmatKu mengalahkan murkaKu.” (Bukhari, Muslim)
Oleh itu kita mestilah sentiasa bersangka baik kepada Allah dan berterusan mengharap kepada-Nya.

Sabda baginda saw : “Sesiapa yang pada akhir perkataannya ialah La Ilahaillallah, nescaya ia tidak akan disentuh oleh naar.” (Abu Dawud, Al-Hakim dan dipandangnya sahih)
Kita berharap agar ahkir perkataan kita nanti ialah Laa Ilahaillallah.

Nabi saw bersabda : “Demi Allah yang jiwaku di tanganNya, sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih kepada hamba-Nya yang beriman, lebih daripada (kasih) ibu kepada anaknya.” (Bukhari, Muslim)
Alangkah kasihnya seorang ibu kepada anaknya, tetapi kasih Allah kepada orang-orang beriman adalah jauh lebih kasih lagi. Anak-anak kecil begitu berharap akan ibunya, dan ibunya pula akan berusaha untuk sentiasa memenuhi harapan si anak. Dengan sedemikian besar kasih Allah kepada kita, insya-Allah Dialah sebaik-baik tempat pengharapan, dan dari segi hakikatnya pula, Dialah satu-satunya tempat berharap.

Rasulullah saw bersabda : ”Apabila kamu meminta kepada Allah, maka besarkanlah keinginanmu dan mintalah jannah Firdaus yang tertinggi. Sesungguhnya Allah Taala, tiadalah sesuatu yang besar pada-Nya.” (Muslim)
Berdasarkan hadis ini, jelaslah bahawa Allah memang suka jika kita membesarkan harapan kita kepada-Nya.

No comments: