Sunday, August 11, 2019

Tentang Silibus Halaqah Usrah Al-Mahabbah (Tajdid Segar)

Modul pengisian halaqah usrah Al-Mahabbah (Dakwah Tajdid Segar) ini terdiri daripada 40 bab. Setiap satu bab terdiri daripada 3 bahagian. Jadi, keseluruhannya ada 120 bahagian.


120 bahagian ini punya kegunaan lain, iaitu sebagai bahan pengisian majlis taklim harian keluarga masing2. Sehari satu bahagian, antara 3-5 minit sahaja sehari.


Maksudnya, bahan taklim keluarga sudah tersedia untuk 120 hari (4 bulan). Maka setahun akan khatam 3 kali.


*Tak ada alasan lagi untuk tidak dapat melaksanakan taklim harian keluarga.




BAGAIMANA CARA BUAT MAJLIS TA’LIM HARIAN DI RUMAH MENGGUNAKAN BUKU
ANUGERAH BERWANGIAN CINTA UNTUK TETAMU TAMAN CAHAYA”?


LANGKAH-LANGKAHNYA :


1. Setiap hari mohonlah kepada Allah agar majlis ta’lim harian (taman cahaya) ini berjaya diadakan dan berterusan diadakan di rumah kita. Jika nanti tidak dapat setiap hari , dapat dua tiga hari sekali pun jadilah.


2. Rancang dan pilih satu waktu yang sesuai. Tempoh masa taman cahaya ini hanya 1 ke 3 minit sahaja. Insya-Allah tidak membebankan dan tidak membosankan. Contohnya selepas solat ‘Asar, atau selepas Maghrib, atau selepas Isya’, dan sebagainya. Tetapkan satu waktu sahaja agar mudah untuk diistiqamahkan. Contohnya, setiap kali selepas Isya’.


3. Tiba waktu yang dipilih itu, panggillah seluruh isi rumah (pasangan, anak cucu, adik-beradik, saudara-mara, ibu bapa dan sebagainya yang berada di rumah itu) untuk berkumpul sebentar. 1-3 minit sahaja. Boleh duduk dalam bulatan di lantai, duduk di meja, di sofa, di katil, di ruang solat, atau sebagainya yang bersesuaian.


4. Salah seorang ahli keluarga itu akan membuka buku “Anugerah Berwangian Cinta untuk Tetamu Taman Cahaya” dan bacakan satu bahagian sahaja (ada 120 bahagian kesemuanya). Ahli keluarga yang lain hanya dengar sahaja.


5. Habis dibacakan satu bahagian, majlis pun bersurai. Jangan berpanjang-panjang. Jangan dicampur dengan hal-hal lain. Tidak perlu bersoal jawab kecuali dalam hal yang ringan-ringan dan yang tidak memakan masa yang lama.


6. Jika mahu, boleh sahaja menutup majlis dengan Tasbih Kifarah/ Kaffarah atau dengan Surah Al-’Asr, atau dengan kedua-duanya sekali.


Ringan-ringankan, insya-Allah berpanjangan.


FAHAMKAN BAHAWA :


1. Majlis ta’lim harian (taman cahaya harian) ini bukanlah majlis pengajian atau majlis syarahan.


2. Jangan dipanjang-panjangkan masanya kerana taman ini didakan pada setiap hari. Biasanya akan ada ahli keluarga yang cepat bosan, terdorong untuk mengelak, tawar hati, lemah untuk beri komitmen dan sebagainya. Jadikan taman ini satu majlis yang seisi keluarga tidak berasa keberatan untuk menyertainya pada setiap hari.


3. Jangan dijadikan taman cahaya harian ini ruang untuk meluahkan ketidakpuasan hati, menyindir, dan menghentam mana-mana ahlinya. Biar hati mereka sentiasa berasa sedap sahaja untuk duduk-duduk dalam taman ini pada setiap hari. Sekali mereka sudah tawar hati, memang susah untuk mereka beri komitmen lagi. Keluarga kitalah yang rugi.


4. Sangat digalakkan agar ketua keluarga (biasanya suami) yang berperanan membacakan buku ini. Dari satu sudut, ketua keluarga akan ada berusaha untuk menyelesaikan tanggungjawabnya mendidik ahli keluarganya dengan agama, sekalipun ilmu agamanya tidak setinggi mana. Usaha kerdilnya ini akan Allah bentangkan di akhirat kelak dan diberi-Nya ganjaran yang besar, insya-Allah.


Sesekali, berikan pula kepada isteri/ ibu untuk membacakannya. Selain daripada berpahala, si ibu juga akan dipandang lebih mulia dan lebih dihormati oleh anak-anak kerana si ibu mentarbiahkan agama kepada mereka.


Tidaklah nanti anak-anak lebih memandang guru-guru mereka sahaja kerana mereka beranggapan guru-guru itulah yang mentarbiah mereka sedangkan ibu bapa tidak. Ibu bapa dianggap sebagai tidak/ kurang berilmu dan tidak/ kurang mendidik. Insya-Allah taman cahaya ini dapat menaikkan nilai ibu bapa di hadapan anak-anak.


Bagus juga jika dibuat penggiliran. Biasakan agar setiap ahli keluarga merasa (mendapat pengalaman) membacakannya. Dengan cara ini mereka akan berasa lebih seronok dan lebih dihargai.


5. Sekiranya sesekali ada sesuatu hal keluarga yang hendak dibincangkan, biarlah selepas taman majlis ta’lim ini. Jangan diselitkan dalam majlis.


6. Indahnya jika setiap hari dapat berkumpul kesemua isi rumah, dapat bertatap muka walaupun sebentar. Kadang-kadang memang kita duduk serumah, tetapi sangat susah untuk mendapatkan satu kesempatan yang semua isi rumah berkumpul serentak. Tambahan pula dalam majlis yang semulia ini. Inilah kesempatannya.


Kemanisan taman cahaya ini akan lebih terasa apabila pada waktu tertentu setiap hari, kita perhatikan seluruh isi rumah dengan sendirinya datang berkumpul beramai-ramai, kerana sudah terbiasa.


7. Pembahagian yang dibuat dalam buku ini memang sudah mengambil kira masa antara 1 ke 3 minit, tahap ilmu, dan tahap penerimaan. Ikut sahaja pembahagiannya. Insya-Allah dimudahkan Allah.


8. Sekiranya kita mempunyai lebih daripada satu buku, orang lain bolehlah menyemak bacaan tersebut. Jika setiap ahli keluarga ada sebuah buku, hal itu sangatlah bagus.


9. Sekiranya ada perkara berbangkit tentang isi kandungan buku ta’lim yang kita tidak punya cukup ilmu untuk menjelaskannya, kita tangguhkan dahulu perkara itu untuk ditanya kemudian kepada orang-orang yang tahu.


10. Isi kandungan buku ini bersifat universal (daripada kitab soal hati terbesar iaitu Ihya’ ‘Ulumuddin karya Imam Al-Ghazali). Ia tidak daripada jemaah, pihak atau perkumpulan tertentu , dan tidak juga untuk jemaah, pihak atau perkumpulan tertentu. Maksudnya, ahli keluarga kita daripada jemaah, pihak atau perkumpulan mana pun, tidak akan terasa tidak sedap hati untuk duduk di taman cahaya ini.


Berdasarkan pengalaman kita, jika sesuatu buku ta’lim daripada jemaah, pihak atau perkumpulan tertentu digunakan, akan wujud perasaan kurang enak daripada isi rumah yang bukan daripada jemah atau perkumpulan berkenaan. Tetapi buku ini agak berlainan, kerana induknya iaitu kitab Ihya’ ‘Ulumuddin memang bersifat untuk semua sejak zaman-berzaman. Pakailah selagi mahu.


Abu Zulfiqar Al-Amsyari

OGOS 2019


No comments: