Thursday, August 29, 2019

Keutamaan Takut akan Allah

Keutamaan Takut akan Allah

Sabda Nabi saw : “Aku yang lebih takut kepada Allah berbanding kamu.” (Bukhari)
Hal ini menunjukkan takut akan Allah itu adalah maqam yang terpuji, kerana baginda Rasulullah saw sendiri ada takut akan Allah. Bahkan dialah yang paling takut akan Allah. Bagaimana dengan kita yang mengaku sebagai pecinta baginda?

Allah SWT berfirman : “Sesungguhnya yang takut kepada Allah dalam kalangan hamba-hamba-Nya ialah orang-orang yang berilmu (para ulama).” (Fathir : 28)
Untuk mendapatkan maqma takut akan Allah ini, tidak lain adalah dengan kita mempelajari dan mengetahui ilmu agama. Melalui ilmu dan pemahaman agamalah maka maqam takut akan Allah itu akan dapat dicapai.

Allah SWT berfirman : “Petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang takut akan Rabbnya.” (Al-A;raaf : 154)
Begitu terpujinya maqam takut akan Allah ini sehinggakan Allah mengaitkannya dengan petunjuk dan rahmat-Nya.

Allah SWT berfirman : “Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah. Ini adalah bagi orang yang takut kepada Rabbnya.” (Al-Bayyinah : 8)
Sebagaimana yang kita sedia maklum, keredhaan Alah adalah lebih besar daripada jannah. Di sini Allah mengaitkan pula keredhaan-Nya dengan maqam takut akan Dia.

Abdul Qasim Al-Hakim berkata : “Sesiapa yang takut kepada sesuatu, nescaya ia lari daripadanya. Tetapi sesiapa yang takut akan Allah, nescaya ia lari kepada Allah (lebih mendekatkan diri kepada Allah).”
Takut akan harimau, kita lari daripada harimau. Takut akan virus, kita menjauh daripada tempat merebaknya virus. Takut akan pemiutang (orang yang memberi kita hutang), kita mengelak daripada bertemu dengannya. Tetapi takut akan Allah, membuatkan kita lebih mendekat kepada-Nya.

Imam Al-Ghazali berkata : “Yang membuahkan (menghasilkan) takut itu ialah ilmu. Dan takut pula membuahkan (menghasilkan) wara’ dan taqwa.”
Fahamlah kita, bahawa sifat berilmu mendatangkan maqam takut akan Allah. takut akan Allah pula mendatangkan kewarakan dan ketaqwaan.

Allah berfirman : “Tidak akan sampai daging dan darah (haiwan qurban) itu kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah taqwa kamu.” (Al-Hajj : 37)
Kita boleh lihat di sini kaitan antara ibadah qurban dan taqwa.

Firman-Nya : “Sesungguhnya yang paling mulia dalam kalangan kamu di sisi Allah ialah yang lebih bertaqwa dalam kalangan kamu.” (Al-Hujurat : 13)

Firman-Nya : “Dan sesungguhnya Kami telah mewasiatkan kepada orang-orang yang telah diberi Kitab sebelum kamu dan kepada kamu juga, supaya kamu bertaqwa kepada Allah.” (An-Nisa’ : 131)

Firman-Nya : “Dan takutlah akan Aku jika benar kamu orang-orang yang beriman.” (Ali “imran : 175)
Jelas di situ bahawa Allah memerintahkan agar kita ada takut kepada-Nya dan dikaitkan-Nya pula dengan iman.

Firman-Nya ‘Azza wa Jalla : “Dan sesiapa yang takut akan waktu berdiri di hadapan Rabb-nya, mendapat dua jannah.” (Ar-Rahman : 46)

Firman-Nya : “Dan mereka berdoa kepada Kami dengan pengharapan dan takut.” (Al-Anbiya’ : 90)
Firman-Nya : “Mereka berdoa kepada Rabb mereka dengan penuh rasa takut dan harap.” (As-Sajjadah : 16)

Dua ayat ini menunjukkan bahawa kita dianjurkan untuk berdoa kepada Allah dengan adanya perasaan harap dan takut.

No comments: