PERSOALAN :
Mengapa orang-orang Tarekat Ghazaliyyah tidak mengajak orang lain mengambil Tarekat Ghazaliyyah? Sesekali terkeluar juga daripada mulut mereka serba-sedikit tentang tarekat ini tetapi mereka tidak pula mempelawa. Mengapa agaknya?
PENJELASAN :
Satu hal yang sangat penting untuk diluruskan, kita bukan tidak suka atau tidak mahu mengajak, sebaliknya kita sangat suka lagi mengalu-alukan, tetapi kerana :
1. Tarekat Ghazaliyyah tidak bermatlamat meramaikan ahli, apatah lagi untuk berebut ahli.
2. Kita tidak mahu orang mengambil tarekat ini kerana terkesan dengan ajakan kita dan bukannya atas kemahuan sendiri dan keikhlasan hati. Mereka mungkin menerima ajakan kita tetapi atas dasar segan akan kita, berasa serba-salah, khuatir kita akan terasa hati jika mereka menolak, berasa terpaksa, atau sebagainya.
3. Tarekat Ghazaliyyah umumnya masih kekal sebagaimana aslinya iaitu tarekat induk yang bersifat “jalan” dan bukannya organisasi. Maka isi kandungan pelajarannya menyebar kepada seluruh umat Islam secara begitu sahaja tanpa perlu orang ramai mengambil tarekat ini.
4. Oleh kerana ia umumnya tidak bersifat organisasi, maka bolehlah dikatakan bahawa sebenarnya tidak ada pun istilah ahli atau anggota. Bagaimana mahu jadi ahli atau anggota sedangkan tidak wujud pun kumpulan atau organisasinya? Yang ada hanyalah para pengamalnya yang tersebar ke serata dunia.
5. Majlis pengijazahan dan bai’ah tidak menjadi pemberatan dalam tarekat ini. Sesiapa yang tahu, silakan mengamalkannya. Begitulah turun-temurun sejak zaman pengasasnya - Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali.
Sebab itulah ikhwan Tarekat Ghazaliyyah tidak mempelawa. Tetapi bagi sesiapa yang mahu, tentunya boleh sahaja.
Abu Zulfiqar
5 Mei 2017
No comments:
Post a Comment