Friday, April 29, 2016

Mimpi Ulama Dibuai Air

Bercakap tentang mimpi, sudah banyak kali orang memberitahu yang mereka mimpikan saya. Bermacam-macamlah cerita mimpi mereka itu yang mereka kongsikan dengan saya. Kali ini, saya hendak kongsi cerita saya mimpikan orang pula.

Malam Khamis lalu, saya bermimpi berada di suatu kawasan yang ada baaanyak air. Banyak rumah dimasuki air, seimbas pandang seperti banjir lagaknya. Airnya cantik, bersih, beralun-alun damai macam air laut, sedap mata memandang, sedap hati mengenang, luas sungguh kawasan yang dipenuhi air itu, seluas mata memandang, dalamnya antara paras paha ke pinggang mengikut tinggi rendah alun airnya.

Ketika itu saya berada di dalam sebuah bangunan (mungkin sebuah rumah) yang tinggi lantainya dan tidak dimasuki air. Sedang saya menikmati pemandangan yang indah itu, saya ternampak ada seorang hamba Allah di tengah-tengah air itu. Berjubah putih dan berserban putih dengan gaya serbannya yang memang kita kenal. Saya tahu siapa hamba Allah ini tetapi belum pernah bertemu bertentang mata selama ini. Dia seperti sedang duduk di atas sebuah kerusi, tidak tenggelam tetapi terapung-apung dibuai air yang banyak itu, cuma bahagian pinggang dan ke bawah sahaja yang basah. Wajahnya cerah dan ceria, asyik tersenyum. Macam sedang sangat berpuas hati dan sangat gembira.

Di hadapannya ada pula sebuah meja empat segi yang turut diapungkan alun air tetapi bahagian muka mejanya tidak terkena air, tidak basah. Di atas meja itu ada dua bungkus tapai, yang berbungkus seperti nasi lemak.

Orang itu mempelawa saya untuk mengambil tapai. Kebetulan saya memang tidak minat makan tapai. Saya menolak sahaja sambil mengucapkan terima kasih. Dengan senyum yang tidak putus-putus di atas alunan air, dia berulang-ulang kali mempelawa saya ambil. Bersungguh-sungguh dia mempelawa.

Akhirnya saya pun turun ke dalam air. Basahlah separas paha ke pinggang. Oleh kerana meja itu teralun-alun ke sana ke mari, kedua-dua bungkus tapai itu pun sekejap ke tepi sekejap ke tengah, tetapi tidak jatuh. Ketika saya hendak mengambil bungkusan tapai, ketika itulah saya pun terjaga.

Oh ya, orang yang di tengah air itu ialah Syeikh Zainul Asri. Entahlah apa maksud mimpi ini, cuma berkongsi cerita.



Abu Zulfiqar

29 April 2016

No comments: