Thursday, April 28, 2016

Kenikmatan Sebenar Hanya di Sana



Dengan kehendak dan izin Allah SWT, pada suatu hari saya berhadapan dengan satu white-board besar, sebagaimana yang terdapat di sekolah-sekolah. Saya pun melukis (sebenarnya menconteng-conteng sahaja) satu gambar menggunakan pena white-board, penuh dari atas ke bawahnya. Kiranya lukisan ini agak besar jugalah. Begitulah hasilnya sebagaimana yang para pembaca dapat lihat di atas.


ZAHIR GAMBAR

Sekarang saya cuba kongsikan terlebih dahulu tentang hal-hal yang zahir yakni yang tersurat pada gambar tersebut.

Ø Terdapat sebuah lukisan yang bergambarkan buah-buahan, yang didirikan di atas sebuah meja.

Ø Meja itu berada di suatu tempat di tepi jalan dan di tepi sawah padi.

Ø Gambar dalam lukisan itu sebenarnya sama dengan gambar di belakangnya. Maksudnya memang terdapat buah-buahannya, sawah padi, sebatang jalan raya, sebuah gerai kecil, pokok kelapa, sebuah rumah nun di kejauhan, belukar dan langit.

Itu cerita tersuratnya. Sekarang kita hendak pergi kepada cerita tersiratnya pula.


CUBA-CUBA MENGEMBARA

“Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya tanpa hikmah.” (Sad : 27)

Sebelum saya ceritakan pemahaman saya, anda pun bolehlah menjelajah sendiri lukisan itu sambil cuba-cuba menghadamkan apa-apa yang mungkin bermanfaat, menurut pemahaman sendiri.

(*Sambil-sambil itu, anda bolehlah menikmati secawan kopi yang disediakan di atas meja itu).


MAKSUD GAMBAR (PERINGKAT AWAL)

Sebenarnya yang saya cuba kongsikan di sini ialah tentang sedikit petikan daripada kitab Ihya’ ‘Ulumuddin pada Kitab Mahabbah (Kitab Cinta), dengan tariq yang tersendiri.

Ø Di dalam lukisan itu terakam gambar hidup di belakangnya.

Ø Gambar pada lukisan hanyalah gambaran, sedangkan pemandangan yang sebenar adalah yang di belakang sana.

Ø Gambar lukisan dan pemandangan sebenar secara umumnya adalah sama. Umumnya, apa yang ada pada pemandangan itu, ada juga pada gambar lukisan.

Ø Sesiapa yang melihat lukisan itu walau di mana pun dia berada, sebenarnya dia telah melihat pemandangan di belakang.

Ø Walaupun kelihatan sama, tetapi sebenarnya gambar lukisan tidak setepat, tidak sejelas, tidak seterang, tidak sebetul, dan tidak senikmat pemandangan dan suasana aslinya.

Ø Pemandangan asal adalah yang sebenar, sedangkan gambar lukisan hanyalah gambaran yang masih punya ketidakjelasan, ketidaksamaan dan ketidaknikmatan setara dengan yang asal.


MAKSUD GAMBAR (PERINGKAT PERTENGAHAN)

Stevenson ialah seorang hamba Allah yang dilahirkan dan dibesarkan di negara Denmark. Sepanjang hidupnya, Stevenson belum pernah melihat pemandangan suasana kampung dan sawah padi. Pada suatu hari, seorang guru di sekolahnya bercerita tentang suasana dan pemandangan sebuah kampung di Malaysia. Stevenson sangat tertarik hati.

Sejak itu, Stevenson sering membayangkan, menggambarkan, dan mengagak-agak wajah sebenar pemandangan dan suasana desa di Malaysia. Dia tidak berpuas hati lalu pergi ‘bertemu lutut’ dengan gurunya untuk mendapatlkan lebih maklumat tentang suasana tersebut. Akhirnya Stenvenson berjaya membina satu gambaran suasana desa bersawah padi di Malaysia dengan mata hatinya. Semua yang digambarkan oleh Stevenson memang sesuai dengan suasana dan pemandangan sebenar tetapi tidaklah setepat, senikmat, secerah, seterang, sejelas suasana dan pemandangan sebenar. Berbekalkan kuasa hatinya, Stevenson dapat merasai sedikit-sebanyak nikmatnya pemandangan dan suasana sebuah kampung bersawah padi di Malaysia, sekalipun dia belum pernah melihat dan merasainya secara langsung. Berbanding rakan-rakannya, Stevensonlah yang paling ‘alim (tahu/ berilmu) dan paling ma’rifah (mengenal) akan pemandangan yang dimaksudkan.

Yang terdapat dalam minda Stevenson diumpamakan dengan lukisan berbingkai di atas meja itulah. Selalulah Stevenson terindu-rindu akan suasana dan pemandangan tersebut.

Kata Imam Al-Ghazali : “Setiap yang kita cintai sudah pasti dirindui ketika yang kita cintai itu tidak ada di depan mata kita. Apabila sudah ada dan sudah hadir di depan kita, maka tidak tidaklah dirindui lagi (hilanglah kerinduannya kerana sudah bertemu).”

Kata Imam Al-Ghazali : “Sesungguhnya setiap apa yang terang bagi orang yang berma’rifah akan urusan-urusan keTuhanan, walaupun ada pada penghabisan terang (walaupun sudah maksima), hal itu (masih) seakan-akan dari balik tirai yang tipis. Maka tidaklah ia terang dengan penghabisan terang (belum maksima lagi kejelasannya). Akan tetapi, masih lagi bercampur dengan campuran-campuran kekhayalan.”

Suatu ketika, Stevenson berpeluang datang ke Malaysia. Sudah tentu ada jalannya, ada tariqnya dna ada tuntutan-tuntutan yang pelru dipenuhi untuk dia sampai ke Malaysia. Bukan boleh tiba-tiba sahaja sampai. Dia pun pergi ke desa bersawah padi yang diceritakan oleh gurunya di Denmark dulu. Ternyata gambaran yang bermain-main di fikirannya memang sama dengan suasana dan pemandangan yang sebenar, tetapi jauh lebih indah, terang, jelas, tepat, dan nikmat berbanding berbanding ketika dia di Denmark dulu. Stevenson merasai sendiri embun sejuk dan terik mentarinya, aroma tumbuhan dan tanah kampung bersawah padi, bunyi-bunyian unggasnya, udara dan angin berhembus di kampung itu, dan pelbagai lagi termasuklah hal-hal yang belum pernah terlintas di mata hatinya. Alangkah jauh lebih nikmatnya berbanding ketika dia sekadar menyaksikan dengan mata hatinya ketika di Denmark dulu...

Kata Imam Al-Ghazali : “Ia (orang yang berma’rifah itu) tahu bahwa apa yang ghaib dari pengetahuannya (yang tidak dan yang belum tercapai oleh mata hatinya) dari yang dimaklumi itu lebih banyak daripada apa yang hadir.”

Pemandangan dan suasana sebenar itu kita umpamakan dengan latar belakang lukisan di atas. Apabila sudah melihat, merasai dan melalui sendiri, hilanglah kerinduan dan datanglah kepuasan hati. Hal ini kerana rupa-rupanya banyak lagi yang tidak ada dalam bayangan mata hati Stevenson ketika di Denmark dulu, kini dia dapat menikmatinya secara langsung.

Kata Imam Al-Ghazali : “Sesungguhnya kesempurnaan terang itu adalah dengan penyaksian (al-musyahadah) dan sempurnanya kecemerlangan at-tajalli (nyata dan terangnya sesuatu). Dan tidak adalah yang demikian (tidak akan dapat dicapai seperti) itu selain di akhirat.”

Stevenson sering merindui pemandangan dan suasana desa itu ketika dia di Denmark, walau sebanyak mana maklumat yang dia ada dan sekuat mana mata hatinya. Apabila dia sudah sampai ke kampung itu di Malaysia, maka ketika itu barulah hilang rindunya dan puaslah zahir dan batinnya. Hal ini kerana kerinduan itu hanya akan selesai apabila sudah ‘berhadap-hadapan’.


MAKSUD GAMBAR (PERINGKAT LANJUTAN)

Kita. Kitalah. Selama ini kita dapat tahu tentang Allah, lalu kita berusaha mencari maklumat tentang-Nya. Kita pun berusaha berfikir, kita berguru, kita membaca, kita mendengar, kita menonton, kita mengkaji dan sebagainya. Semakin lama semakin bertambah maklumat kita tentang Dia. Dari sehari ke sehari kita semakin ‘alim dan ma’rifah akan Allah. Lalu kita pun jatuh cinta. Sudah mencinta, merindulah pula. Mengapa datangnya rindu?

Kata Imam Al-Ghazali : “Setiap yang kita cintai sudah pasti dirindui ketika yang kita cintai itu tidak ada di depan mata kita. Apabila sudah ada dan sudah hadir di depan kita, maka tidak tidaklah dirindui lagi (hilanglah kerinduannya kerana sudah bertemu).”

Rindu itu wujud kerana kita masih belum bertemu dengan Allah dalam sebenar-benar pertemuan. Selagi belum bertemu, selagi itulah akan adanya rindu. Apabila sudah bertemu, barulah hilang rindu.

Kata Imam Al-Ghazali : “Sesungguhnya setiap apa yang terang bagi orang yang berma’rifah akan urusan-urusan keTuhanan, walaupun ada pada penghabisan terang (walaupun sudah maksima pencapaian ma’rifahnya), hal itu (masih) seakan-akan dari balik tirai yang tipis. Maka tidaklah ia terang dengan penghabisan terang (yakni belum maksima lagi kejelasannya). Akan tetapi, masih lagi bercampur dengan campuran-campuran kekhayalan.”

Sehebat mana ke’aliman, kema’rifatan dan kemahabbahan kita di dunia ini akan Allah, masih tetap ada hijab atau tirai antara kita dengan Allah. Kita belum dapat ‘memandang’ Dia sepenuhnya. Mengapa?

Kata Imam Al-Ghazali : “Sesungguhnya kesempurnaan terang itu adalah dengan penyaksian (al-musyahadah) dan sempurnanya kecemerlangan at-tajalli (nyata dan terangnya sesuatu). Dan tidak adalah yang demikian (tidak akan dapat dicapai seperti) itu selain di akhirat.”

Kerana kenikmatan ‘memandang’ Allah dengan sebenar-benar pandangan hanyalah di akhirat nanti. Itulah satu nikmat yang tidak terhingga lazatnya sampaikan segala nikmat di dalam syurga pun tidak akan kita hiraukan lagi apabila mengecap nikmat yang ini.

“Adakah kamu puas dengan kehidupan dunia sebagai ganti kehidupan akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (jika dibandingkan dengan kenikmatan) akhirat, hanyalah sedikit.” (At-Taubah : 38)

Inilah matlamat para sufi.

Ahli-ahli tasawuf merindui Allah semasa masih di dunia lagi walau sebanyak mana maklumat yang mereka ada dan sekuat mana mata hati mereka. Apabila mereka sudah sampai ke jannah dan bertemu dengan Allah, maka ketika itu barulah hilang rindunya dan puaslah zahir dan batinnya. Hal ini kerana kerinduan itu hanya akan selesai apabila sudah ‘berhadap-hadapan’.

“Sesiapa yang yakin akan pertemuannya dengan Allah, maka sesungguhnya masa yang telah ditetapkan oleh Allah itu akan tiba, dan Allah jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Al-Ankabut : 5)


PENUTUP

Semoga kita faham tamsilan yang dibuat. Yang lebih penting, kita mestilah sedar bahawa jalan, tariq dan tuntutan-tuntutan ke arah mencapai semua ini hanya ada dalam sukatan pelajaran tasawuf.

Wallahua’alam.



Abu Zulfiqar

24 April 2016

No comments: