Wednesday, March 2, 2016

Usaha Atas Makrifah dan Cinta



“Dia (Allah) mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya.” (Al-Ma’idah : 54)

Usaha atas ma’rifah dan cinta

Ma’rifah dan cinta ini Allah yang punya. Dia beri kepada sesiapa sahaja yang Dia mahu dan Dia tidak beri kepada sesiapa yang Dia tidak mahu. Dari segi hakikatnya, semuanya ikut kehendak Dia. Semuanya sudah Dia rancang dan Dia tetapkan sejak/pada azali. Segala rancangan dan ketetapan Dia, tidak akan pernah berubah sama sekali, kerana Allah tidak pernah tersilap. Perancangan Dia sempurna 100%. Pelaksanaan perancangan Dia pun sempurna 100%.

Tetapi, sebagai seorang yang berlandaskan fahaman ASWJ, dari segi syariatnya kita mestilah :
i.                     berterusan berdoa agar Dia memilih kita dan terus memilih kita.
ii.                   berterusan berusaha mencari dan menambah cinta Allah.

“Dan mereka yang bermujahadah kepada Kami, sesungguhnya Kami tunjukkan jalan Kami kepada mereka. Bahawasanya Allah beserta orang-orang yang muhsin (baik).” (Al-Ankabut : 69)

“Berdoalah, nescaya akan Aku perkenankan bagimu.” (Al-Mu’min : 60)

Ma’rifah dan cinta Allah ini bukan kita seorang yang punya, tapi semua orang punya. Sebenarnya kita berkongsi ma’rifah dan cinta Allah.  Oleh sebab itu, janganlah kita usaha untuk diri kita seorang sahaja. Sudah semestinyalah kita hendak juga orang lain lebih-lebih lagi orang-orang yang kita sayang dapat sama cinta Allah ini.

Takkanlah kita hendak biarkan sahaja orang-orang yang kita sayang seperti ibu bapa kita, adik-beradik kita, anak cucu kita, saudara-mara kita, kaum kerabat kita, sahabat-sahabat kita, jiran-jiran kita, kenalan-kenalan kita, orang-orang yang pernah berjasa kepada kita tidak mendapat nikmat ma’rifah dan cinta?

Nikmat ma’rifah dan cinta ini lautan yang tidak bertepi, sangat banyak, sangat luas. Tak mahukah kita berkongsi dengan orang-orang yang kita sayang? Tak mahukah kita ajak mereka mengecap nikmat yang luas tidak berhabis ini bersama-sama?  Takkanlah kita hanya mementingkan kebahagian dan kenikmatan diri sendiri sahaja?

Rasulullah saw ialah orang yang paling berma’rifah dan paling mencintai Allah, malah dia sudah dijanjikan syurga. Tetapi dia masih sangat gigih bersusah-payah menyebarkan ma’rifah dan cinta Allah. Padahal kalau dia duduk seorang diri melayan ma’rifah dan cintanya itu pun sudah sangat selesa. Oleh itu, kita mestilah mencontohi baginda dengan menyebarkan ma’rifah dan cinta Allah ini.

“Serulah (semua manusia) kepada jalan Rabb kamu dengan hikmah dan pengajaran yang baik.” (An-Nahl : 125)

Ikhlas kenderaan kita

“Berkata (Iblis) : “Demi kekuasaanMu, aku akan menyesatkan mereka semua. Kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas dalam kalangan mereka.” (Sad : 82-83)

Kita dakwah, kita sebar, paling kurang pun kita contohkan atau isyaratkan kepada orang lain tentang ma’rifah dan cinta Allah ini. Kita usaha agar lebih ramai orang ‘masuk’ pada jalan Allah.

Umumnya nikmat Islam dan iman semua orang Islam sudah dapat. Tetapi nikmat ma’rifah dan cinta, sangat ramai yang belum dapat. Sebab itulah kita mesti menyampaikan nikmat ma’rifah dan cinta ini kepada saudara-saudara kita yang lain.

Jalan Allah ini hak semua orang. Jadi kita ajak semua orang masuk pada jalan Allah. Marilah masuk pada jalan Allah dan kekal di atasnya.

Namun kita tetap beringat! Kita mendakwahkan orang agar masuk pada jalan Allah supaya kita dan mereka dapat tahu Allah, dapat kenal Allah (ma’rifatullah) dan dapat cinta Allah. Kita membawa atau memandu diri sendiri dan orang lain kepada Allah semata-mata, bukan mengajak mereka kepada diri kita, bukan mengajak mereka kepada perkumpulan/jemaah/gerakan kita, bukan mengajak mereka mengikut  gerak kerja geng kita, tidak mengajak mereka menjadi anggota kita, walau apa perkumpulan yang kita masing-masing sertai.

Mereka yang tidak menyertai mana-mana perkumpulan, silalah dengan keselesaannya. Mereka yang dengan perkumpulan-perkumpulan, silalah dengan keselesaannya.

Kita berniat mengajak diri dan orang lain kepada mengenal dan mencintai Allah. Itulah kerja kita. Itulah perjuangan kita. Satu kerja yang menyeluruh kepada seluruh umat. Kita berdakwah bukan untuk mengumpulkan pengikut. Kita menyampaikan bukan untuk memperbesarkan jemaah. Kita mempromosi bukan untuk berlumba-lumba dengan mana-mana individu atau perkumpulan. Kita mentarbiyyah bukan untuk meramaikan ahli. Kita tidak terlibat dengan persaingan, perlumbaan dan perbezaan antara perkumpulan/jemaah. Dalam dakwah atas ma’rifah dan cinta Allah ini, jangan sesekali kita tarik-menarik dan saling berebut pengikut dan penyokong.

Inilah dakwah atas ma’rifah dan cinta Allah. Inilah dakwah kita. Dakwah kita adalah untuk semua. Dakwah yang tidak punya sebarang kepentingan peribadi atau kepentingan perkumpulan. Namun, janganlah pula dihalang atau dilarang sekiranya terdapat mana-mana individu yang selesa dan suka untuk bersama-sama dengan kita.

Yakinlah! Allah mencintai orang-orang yang berusaha membawa dirinya dan orang lain untuk mengenal dan mencintai-Nya.

Kehebatan ma’rifah dan cinta

Hebatnya ma’rifah dan cinta Allah ini, untuk mendapatkannya kita tidak berebut-rebut sesama sendiri, berdengki-dengkian, jatuh-menjatuh, cantas-mencantas, bermusuhan dan sebagainya sebagaimana kita mahu mendapatkan keduniaan (seperti wang, kedudukan, pangkat, kemewahan, nama, pengikut, nama, projek-projek dan sebagainya).

Mengapa? Kerana ringkas cakap, ma’rifatullah dan cinta Allah ini luas tidak bertepi, tidak berhingga. Kautlah sebanyak mana yang dimahukan.

Tetapi kalau dalam hal keduniaan? Umumnya semua sikap mazmumah yang disebut di atas tadi ada. Mengapa? Kerana dunia ini sangat sempit dan sedikit manakala akhirat itu sangat luas dan banyak. Syurga itu sendiri seluas langit dan bumi.

“Berlumba-lumbalah kepada keampunan Rabb kamu dan (berlumba-lumbalah kepada) Jannah yang seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, itulah adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah mempunyai limpahan kurnia yang besar.” (Al-Hadid : 21)

Duit di dunia ini sangat sedikit, sebab itu orang berebut-rebut dan sanggup jatuh-menjatuh. Kedudukan, nama dan pangkat di dunia ini sangat sempit, sebab itu manusia sanggup berdengki-dengkian dan fitnah-memfitnah. Semua yang ada di dunia ini sangat kecil, tidak sampai sebelah sayap nyamuk di sisi Allah, sebab itulah orang-orang bertarik-tarikan dan bertolak-tolakan untuk mendapatkannya.

“Kalaulah dunia ini sama (nilai dan kehebatannya) di sisi Allah dengan sehelai sayap nyamuk, nescaya Allah tidak memberi minum kepada orang kafir walau seteguk air.” (Turmizi, Ibnu Majah, Al-Hakim)

Benarkah engkau berma’rifah dan mencinta?

Sebagai seorang pelajar kesufian, salik, orang yang masuk ke jalan Allah atau sebagainya, tentunya perlakuan rohani dan perlakuan jasmani kita lebih baik atau sekurang-kurangnya tidaklah lebih buruk berbanding orang-orang lain. Kalau tidak, seakan-akan tak bermanfaatlah ilmu-ilmu yang kita pelajari ini kepada diri kita sendiri. Kita sudah ada serba-sedikit ilmu dan amal tasawuf, tetapi kelakuan rohani dan jasmani lebih kurang sama sahaja dengan orang-orang biasa. Patutkah?

“Adakah kamu menyeru manusia akan kebaikan sedangkan kamu lupa akan diri kamu sendiri? Padahal kamu membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?” (Al-Baqarah : 44)

         i.            Jika benar kita mengenal dan mencintai Allah, sudah pastilah kita akan banyak mengingat akan Dia (berzikir).
       ii.            Jika benar kita mencintai Allah, sudah pastilah kita akan banyak berinteraksi dengan kitab-Nya yakni Al-Quran.
      iii.            Jika benar kita mencintai Allah, sudah pastilah kita mencintai Nabi Muhammad saw, mencintai serta meniru sunnah-sunnahnya.
     iv.            Jika benar kita mencintai Allah, sudah pastilah kita akan menambah amalan-amalan sunat kita sehari-hari.
       v.            Jika benar kita mencintai Allah, sudah pasti kita akan berakhlak dengan akhlak yang disukai-Nya.
     vi.            Jika benar kita mencintai Allah, sudah pasti kita akan menyukai rumah-rumah-Nya (masjid dan seumpamanya) dan majlis-majlis di dalamnya (solat berjemaah, majlis-majlis ilmu dan sebagainya).
    vii.            Jika benar kita mengenal dan  mencintai Allah, sudah tentu kita akan berusaha untuk berfikir yang baik-baik, berkata yang baik-baik dan berbuat yang baik-baik sahaja.
  viii.            Jika benar kita mencintai Allah, sudah pasti kita mencintai hamba-hamba yang dikasihi-Nya (para ulama).
     ix.            Jika benar kita menegnal dan mencintai Allah, nescaya kita akan berusaha untuk mempamerkan akhlak yang baik kepada seluruh alam (tembus kepada Dia kerana sebenarnya kita sedang mempamerkan akhlak yang baik kepada Dia).
       x.            Jika benar kita mencintai Allah, sudah tentulah kita akan menyeru atau mengajak manusia lain kepada Yang Kita Cintai Itu.
     xi.            Jika betullah kita mencintai Allah, sudah tentulah kita akan berusaha untuk mengamalkan apa yang kita tahu dalam pelajaran agama ini (mengikut kemampuan kita).

Inilah antara tanda-tanda seseorang itu sudah melangkah ke alam sufi walaupun sekadar baru beberapa langkah. Benarkah kita ini sufi?

Luaskanlah dan seimbangkanlah

Pelajaran tasawuf ini hanyalah salah satu juzuk daripada ilmu-ilmu agama Islam. Janganlah tumpu kepada pelajaran kesufian sahaja sedangkan pelajaran-pelajaran agama yang lain kita abaikan.

Mengenal dan mencinta Allah bukan bermaksud boleh duduk diam-diam seorang diri melayan cinta, kerana kenal dan cinta itu ada tuntutan-tuntutannya sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Rasulullah saw sendiri,  para Khulafa’ Ar-Rasyidin dan para penerus mereka.

Imam Al-Ghazali berpesan dalam Ihya’ ‘Ulumuddin pada Kitab Ilmu : “Ilmu pengetahuan itu bantu-membantu. Sebahagiannya terikat dengan sebahagian yang lain.”

Tingkatkan kemahiran membaca dan memahami Al-Quran, pelajarilah ilmu-ilmu hadis, tambah hafazan, kayakan dengan ilmu perbandingan agama, perkemaskan ilmu dan amal ibadah-ibadah fardhu ‘ain, tambah pengetahuan ilmu-ilmu yang fardhu kifayah, ilmu-ilmu dakwah dan sebagainya. Luaskanlah dan seimbangkanlah.

Penutup

Kesimpulannya, usaha atas ma’rifah dan cinta ini adalah suatu pekerjaan yang sangat mulia lagi bersih suci. Sudah sewajarnyalah ada sekurang-kurangnya satu golongan yang mengusahakannya pada sesuatu tempat, agar kerja Rasulullah saw ini terus hidup dalam masyarakat umat Islam khususnya dan ke serata alam amnya. Marilah kita bermohon bersungguh-sungguh agar Allah memilih dan menetapkan kita atas usaha dan jalan ini buat selama-lamanya.

Abu Zulfiqar
2 Mac 2016

No comments: