Friday, January 22, 2016

Perbezaan Maqam-maqam dalam BerTuhan



Untuk memahami hal ini, kita ambil tamsilan :

1.       Pada mulanya James dan Elizabeth yakin bahawa memang tempat yang mereka tinggal selama hari ini tidak ada raja.
2.       (Berdasarkan pengalaman sehari-hari) Kemudian keyakinan James dan Elizabeth mengalami perubahan, mereka jadi tidak tahu sama ada tempat itu ada raja atau pun tidak. Mereka mula RAGU-RAGU. Boleh jadi ada, boleh jadi tidak ada.
3.       Tidak lama kemudian, mereka mula YAKIN bahawa tempat itu memang ada rajanya.
4.       Setelah beberapa lama, mereka tidak setakat yakin adanya sang raja, tetapi mereka sudah TAHU yang raja itu ialah King Solomon.
5.       Kemudian mereka pun BERIMAN (mengaku menjadi rakyat, tunduk, menyembah dan patuh) dengan King Solomon, walaupun mereka tidak pernah melihat baginda. Mereka hanya melihat kerajaan dan tenteranya sahaja.
6.       Beberapa lama kemudian, mereka tidak setakat tahu dan tunduk patuh, malah mereka sudah MENGENAL pula King Solomon. Mereka sudah menyaksikan King Solomon itu sendiri.
7.       Akhirnya mereka berjaya mencapai CINTA King Solomon.

Berdasarkan pengkisahan di atas, terdapat beberapa maqam dari yang rendah menuju ke maqam yang tinggi iaitu :
1.       YAKIN tak ada raja.
2.       Mula RAGU-RAGU.
3.       YAKIN ada raja.
4.       TAHU siapa raja.
5.       TUNDUK PATUH (*beriman) kepada raja.
6.       KENAL (ma’rifah) raja.
7.       CINTA Raja.

Kita kaitkan tamsilan ini dengan kisah di bawah pula.

1.       Pada mulanya James dan Elizabeth yakin Tuhan memang tidak ada, tanpa sebarang keraguan. Mereka tidak berTuhan.
2.       (Berdasarkan pengalaman sehari-hari) Kemudian keyakinan James dan Elizabeth mengalami perubahan, mereka jadi tidak tahu sama ada Tuhan ada ataupun tidak. Mereka mula RAGU-RAGU. Boleh jadi ada, boleh jadi juga tidak ada.
3.       Tidak lama kemudian,  mereka mula YAKIN bahawa Tuhan memang ada.
4.       Setelah beberapa lama, mereka tidak setakat yakin Tuhan ada, tetapi mereka sudah TAHU yang Tuhan itu ialah Allah.
5.       Kemudian mereka pun BERIMAN dengan Allah, walaupun mereka tidak pernah melihat Allah melainkan kerajaan dan tenteraNya sahaja.
6.       Beberapa lama kemudian, mereka tidak setakat tahu dan percaya, malah sudah MENGENAL (ma’rifah) pula akan Allah. Hal ini kerana mereka sudah “menyaksikan” Allah.
7.       Akhirnya mereka mencapai CINTA Allah.

Tarbiyyah tasawuf sebenarnya bermatlamatkan maqam KENAL ALLAH dan CINTA ALLAH, tidak sekadar maqam YAKIN adanya Tuhan, ataupun di maqam TAHU siapa Tuhan, ataupun sekadar maqam BERIMAN kepada Allah.

Untuk mencapai maqam KENAL ALLAH dan CINTA ALLAH itulah yang saya maksudkan sebelum-sebelum ini dengan pentingnya pengetahuan tentang unsur-unsur sastera dan seni. Tanpa kebolehan dalam sastera dan seni, kita mungkin akan tersangkut setakat maqam 5 dan ke bawah.

*7 peringkat yang dijelaskan di atas hanyalah penggolongan SECARA RINGKAS sahaja (untuk memudahkan penyampaian) kerana banyak lagi pecahan-pecahan setiap satunya. Semoga dapat membantu pemahaman walaupun sedikit.

Wallahua’lam.

Abu Zulfiqar
22 Januari 2016

No comments: