Thursday, January 21, 2016

Saudagar Abdullah, Isteri-isteri dan Anak-anaknya



Pada zaman kemuncak kejayaan perniagaan Saudagar Abdullah, dia gigih berusaha dan berjaya memperolehi 20 orang anak, daripada 4 orang isterinya. Dia pun menjaga, membesarkan dan memperjuangkan anak-anaknya dengan segala yang dia ada. Mana-mana anaknya yang sudah agak dewasa pun turut membantu kemajuan perniagaan Saudagar Abdullah. Perjalanan hidup keluarga besar ini sangat baik dan bahagia.

Tiba suatu masa, perniagaan Saudagar Abdullah ditakdirkan Allah merudum teruk dan hampir-hampir jatuh miskin.
Bagaimana dengan nasib 20 orang anak-anaknya itu?

Ada beberapa pandangan yang diusulkan oleh isteri-isterinya kepada Saudagar Abdullah :

Isteri A : Kita tumpu dan usaha pada 2-3 anak sahajalah bang, tak kiralah anak isteri yang mana pun. Saya tak kisah. Yang lain-lain tu abaikan je. Dah setakat itu sahaja kemampuan kita. Nak buat macam mana kan? Kenapa kita nak bersusah payah berkorban habis-habisan? Diri kita sendiri pun belum tentu cukup makan. Macam mana nak usaha atas semua. Ye tak bang?

Isteri B : Kita tumpu pada saya dan anak-anak saya yang 5 orang tu je lah, bang. Rasanya saya dan anak-anak kita yang lebih penting dan utama untuk diselamatkan dan diusahakan. Kami tonggak keluarga besar kita ni. Rezeki mereka tu adalah nanti. Kan rezeki tu di tangan Tuhan? Betul tak bang? Jangan risaulah! Yang paling penting… ialah kepentingan diri saya ni.

Isteri C : Saya tak mahu berat-beratkan kepala bang. Saya tak mahu ambil tahu pun. Ikut abanglah nak tumpu dan usahakan mana-mana anak. Kita dah cukup miskin dah ni. Lebih baik saya fikirkan macam mana nak tingkatkan semula ekonomi kita dan perniagaan kita, nak cari duit. Abang tak perlulah bicarakan soal memperjuangkan anak-anak ni dengan saya. Saya tak minat pun nak dengar. Abang usahalah sendiri, jangan libatkan saya, jangan cerita pada saya, jangan ajak saya berbincang pasal tu. Harap abang faham.

Isteri D : Kita tetap tumpu pada semua bang. Teruslah gigih berusaha membesar dan memperjuangkan semua mereka dengan apa sahaja yang kita ada sekalipun yang kita ada itu sedikit. Berkorban dan bertawakkallah kepada Allah. Tak mustahil untuk Allah kayakan kita sebagaimana sebelum ini, bahkan tak mustahil juga lebih lagi. Yang paling penting, terus berusaha dan bergantung kepada Allah. Allah yang menentukan berjaya atau tidak, tugas kita hanya berusaha sepenuh daya.

Pada mulanya Saudagar Abdullah kepeningan, tetapi dengan gerak daripada Allah, kemudiannya dia pun terus berusaha dan bertawakkal sepenuhnya kepada Allah. Dia bertekad tidak akan mengabaikan apatah lagi membuang walau satu pun daripada anak-anaknya selagi masih bernyawa. Apabila sudah melahirkan anak-anak, dia akan terus bertanggungjawab sampai bila-bila, tidak kira sama ada dia berjaya ataupun tidak dalam melaksanakan tanggungjawabnya itu. Dia bukanlah jenis yang hanya seronok melahirkan dan hanya mahu bertanggungjawab ketika senang sahaja. Susah sama susah, senang sama senang.

@@@@@@@@@@

Begitulah halnya dengan Ustaz Abdullah, seorang da’i.

Pada zaman kemuncak kejayaan gerak kerja agama Ustaz Abdullah, dia gigih berusaha dan berjaya mewujudkan pelbagai saluran gerak kerja. Dia pun menjaga, membesarkan dan memperjuangkan kumpulan-kumpulan gerak kerja agama di bawahnya dengan segala yang dia ada. Semua individu dan kumpulan di bawahnya seumpama satu keluarga, saling berkait dan aktif bekerjasama dalam membantu kemajuan dakwah yang dipimpin oleh Ustaz Abdullah. Perjalanan gerak kerja agama keluarga besar ini sangat baik dan bahagia.

Tiba suatu masa, dakwah Ustaz Abdullah ditakdirkan Allah merudum teruk dan hampir-hampir jatuh miskin.
Bagaimana dengan nasib keluarga besarnya (individu dan kumpulan-kumpulan di bawahnya)?

Ada beberapa pandangan yang diusulkan oleh isteri-isteri Ustaz Abdullah kepadanya :

Isteri A : Kita tumpu dan usaha pada 2-3 individu sudahlah bang, tak kiralah yang mana pun. Saya tak kisah. Yang lain-lain tu abaikan je. Dah setakat itu sahaja kemampuan kita. Nak buat macam mana kan? Kenapa kita nak bersusah payah berkorban habis-habisan? Diri kita sendiri pun belum tentu cukup makan. Macam mana nak usaha atas semua. Ye tak bang?

Isteri B : Kita tumpu pada saya, gerak kerja dna kumpulan di bawah saya je lah, bang. Rasanya bahagian saya yang lebih penting dan utama untuk diselamatkan dan diusahakan. Kami tonggak gerak kerja agama keluarga besar kita ni. Rezeki yang lain-lain tu adalah nanti. Kan rezeki tu di tangan Tuhan? Betul tak bang? Jangan risaulah! Yang paling penting… ialah kepentingan diri saya ni.

Isteri C : Saya tak mahu berat-beratkan kepala bang. Saya tak mahu ambil tahu pun. Ikut abanglah nak tumpu dan usahakan yang mana. Kita dah cukup susah dah ni. Lebih baik saya fikirkan macam mana nak tingkatkan semula ekonomi kita dan perniagaan kita, nak cari duit. Abang tak perlulah bicarakan soal memperjuangkan agama dan umat ni dengan saya. Saya tak minat pun nak dengar. Abang usahalah sendiri, jangan libatkan saya, jangan cerita pada saya, jangan ajak saya berbincang pasal tu. Harap abang faham.

Isteri D : Kita tetap tumpu pada semua bang. Jangan ditinggalkan atau dilepaskan walau satu cabang pun daripada seluruh gerak kerja kita, kecualilah jika benar-benar di luar kemampuan kita. Teruslah gigih berusaha membesar dan memperjuangkan semua mereka dengan apa sahaja yang kita ada sekalipun yang kita ada itu sedikit. Berkorban dan bertawakkallah kepada Allah. Tak mustahil untuk Allah jayakan kita sebagaimana sebelum ini, bahkan tak mustahil juga lebih lagi. Yang paling penting, terus berusaha dan bergantung kepada Allah. Allah yang menentukan berjaya atau tidak, tugas kita hanya berusaha sepenuh daya.

Pada mulanya Ustaz Abdullah kepeningan, tetapi dengan gerak daripada Allah, kemudiannya dia pun terus berusaha dan bertawakkal sepenuhnya kepada Allah. Dia bertekad tidak akan membuang walau satu pun daripada “anak-anaknya” selagi masih bernyawa. Apabila sudah melahirkan anak-anak, dia akan terus bertanggungjawab sampai bila-bila, tidak kira sama ada dia berjaya ataupun tidak dalam melaksanakan tanggungjawabnya itu. Dia bukanlah jenis yang hanya seronok melahirkan dan hanya mahu bertanggungjawab ketika senang sahaja. Susah sama susah, senang sama senang.


No comments: