Sunday, November 8, 2015

Batiniyyah, Syiah, Falsafah Berbeza dengan Tasawuf, Sufi



Golongan batiniyyah, syi’ah dan falsafah membuatkan golongan tasawuf/sufi dipandang negatif oleh sebahagian masyarakat. Hal ini kerana seringkali puak-puak batiniyyah, syi’ah dan falsafah ini turut mendakwa bahawa mereka juga kaum tasawuf/sufi.

Keadaan ini diburukkan lagi apabila rata-rata ahli masyarakat kita memang tidak ada ilmu untuk membezakan antara kaum batiniyyah/syi’ah/falsafah dengan kaum tasawuf sufi, termasuklah sebahagian lulusan agama sendiri. Maka golongan tasawuf dan sufi yang benar pun dianggap sebagai golongan berfahaman batiniyyah/syi’ah/falsafah, dan golongan batiniyah/syi’ah/falsafah pula dianggap sebagai aliran tasawuf/sufi. Semua dianggap sama, padahal jauh berbeza.

 Namun yang paling malang sekali apabila ada lulusan agama yang jahil dalam hal ini ataupun yang memang berniat jahat, cuba mempengaruhi masyarakat agar menolak dan memusuhi kaum tasawuf dan sufi dengan cara menyamakan atau mengaitkan tasawuf sufi dengan puak batiniyyah/syi’ah/falsafah.

Oleh itu orang ramai mestilah sangat berhati-hati. Jika sedar yang diri belum ada ilmu dan kemahiran untuk membezakan yang mana batiniyyah/syi’ah/falsafah dan yang mana tasawuf/sufi, janganlah menulis, memperkatakan, mengisyaratkan, atau mengkongsikan sesuatu yang kita tidak ada pengetahuan tentangnya. Orang yang bijaksana tentunya tidak akan mudah-mudah mempercayai segala dakwaan yang dibuat walau oleh sesiapa sahaja.

Alam tasawuf alam yang bersih. Bukan sekadar bersih luaran, tetapi yang lebih diutamakan ialah bersih yang dalaman. Selagi dalaman tidak banyak yang bersih, selagi itulah sebenarnya kita masih memerhati tasawuf dari jauh, walaupun kita sangkakan kita sudah banyak belajar/ambil tahu tentang tasawuf. Ringkas kata, sesuatu yang tidak bersih tidak akan dapat bertempat pada yang bersih.

Abu Zulfiqar
8 November 2015


No comments: