Wednesday, September 16, 2015

Nota Kuliah Kitab Cinta 2






IMBASAN PERKONGSIAN SEBELUM INI

Mengapa kita pilih Kitab Cinta?
1.       Kerana kita sudah khatam dua kitab utama iaitu Kitab Ilmu dan Kitab Tauhid, maka selepas itu kita bolehlah melalui mana-mana kitab seterusnya.
2.       Kerana umumnya cinta merupakan kemuncak dalam tasawuf.
3.       Kerana sebahagian kitab-kitab itu seperti kitab tentang taharah (bersuci), solat, zakat, puasa, ibadah haji, doa, zikir, wirid, adab makan, dan adab berkahwin banyak diajarkan, mudah diperolehi dan pernah kita lalui di mana-mana.
4.       Kerana itulah laluan guru.
Apa maksud cinta?
Suka. Sangat suka. Jika sangat kuat sukanya, disebut asyik atau berahi.

Jika kita suka akan sesuatu, maksudnya cintalah tu.
Jika kita terlalu suka akan sesuatu sehingga sangat mempengaruhi kita, itu namanya asyik.

Tapi dalam bahasa Melayu Malaysia, ada perbezaan antara suka dengan cinta.
Jika suka biasa-biasa, namanya suka.
Jika suka sampai mempengaruhi diri (selalu teringat, suka untuk disebut, asyik, berahi), itu namanya cinta.

Apa yang selalu kita teringat, dalam keadaan kita suka, itulah CINTA.
Apa yang selalu kita teringat tapi dalam keadaan kita tak suka, itu adalah MASALAH.

Ringkasanya, cinta yang dimaksudkan oleh Kitab Cinta ini ialah cinta yang peringkat asyik.
(*Hal ini akan terbuka sedikit demi sedikit di sepanjang kita melayari Kitab Cinta ini).


Pengenalan Kepada Maqam Cinta

Adapun kemudian, maka sesungguhnya kasih sayang (mencintai) akan Allah adalah tujuan paling jauh dari maqam-maqam yang ingin dicapai dan ketinggian yang tertinggi daripada darjat-darjat.





Siapakah Wali Allah?

Dalam pengertian masyarakat awam, wali Allah mempunyai ciri-ciri berikut :
v  Wali Allah itu biasanya berpakaian seperti para ulama. Berjubah, berserban, berselendang, biasanya bertongkat, selalu memegang tasbih dan seumpamanya.
v  Ada juga wali Allah kelihatan macam orang gila. Tidak terurus, rambut kusut-masai, pakaian lusuh, kadang-kadang berkaki ayam dan sebagainya.
v  Wali Allah itu cakap-cakapnya menarik hati.
v  Diyakini ada ilmu agama yang tinggi.
v  Diyakini mampu melakukan hal-hal yang luar biasa. Disebut kesaktian atau keramat (karamah). Contohnya boleh terbang di udara, berjalan di atas air, boleh ghaib, boleh muncul di banyak tempat pada satu-satu masa, boleh tahu isi hati orang, menguasai jin-jin, ada yang boleh memerintah malaikat, menghidupkan haiwan yang mati, meniti di atas pelepah-pelepah pisang, semua haiwan tunduk kepadanya, dan sebagainya.
v  Jika di alam Melayu, wali Allah itu antaranya suka bertapa di gua-gua dan handal dalam persilatan.

Menurut Al-Quran, siapakah para wali?
“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali (auliya’) Allah itu, tidak ada kekhuatiran (kebimbangan) ke atas mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Iaitu) orang-orang yang beriman dan sentiasa bertaqwa. Bagi mereka berita gembira dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Tidak ada perubahan kalimah-kalimah (janji-janji) Allah. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar. Janganlah kamu sedih kerana perkataan mereka. Sesungguhnya kekuasaan itu seluruhnya adalah kepunyaan Allah. Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah Yunus : 62-65)

Menurut hadith?
“Sesungguhnya Allah telah berfirman : “Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, Aku isytiharkan perang ke atasnya. “
“Tidak ada seorang pun yang menghampiri-Ku dengan amalan wajib yang Aku senangi, dan yang mendekati Aku dengan amalan sunat, sehingga Aku mencintainya.”
“Apabila Aku mencintainya, Aku menjadi pendengarannya untuk mendengar, dan Aku menjadi penglihatannya untuk melihat, dan Aku menjadi tangannya untuk melakukan, dan Aku menjadi kakinya untuk berjalan.”
“ Jika dia meminta kepada Aku akan Kuberi, dan jika dia meminta perlindunganKu nescaya akan Kuberi perlindungan kepadanya.” (Bukhari)

Kesimpulannya, wali-wali Allah mempunyai ciri-ciri berikut :
i.                     Mereka orang beriman.
ii.                   Mereka kuat taqwanya.
iii.                  Bersifat menyampaikan ajaran agama.
iv.                 Tidak bersedih diri dengan penolakan orang.
v.                   Umumnya mereka tidak terpengaruh dengan kebimbangan dan kesedihan.
vi.                 Menyelesaikan semua amalan yang diwajibkan, bahkan berkualiti.
vii.                Berusaha gigih menambah amalan-amalan sunat, dan berkualiti.
viii.              Doa mereka dimakbulkan (khususnya dalam hal memohon sesuatu dan memohon perlindungan).
ix.                 Perlakuannya adalah yang baik-baik belaka.
x.                   Umumnya ada mendapat mimpi-mimpi yang baik.

*Apabila Allah mencintai mereka dan bantuan Allah sangat hampir kepada mereka, maka ada kalanya berlaku perkara-perkara yang luar biasa atau mencarik adat kepada mereka. Hal ini disebut karamah.
DALIL2 SYARA’ TENTANG KECINTAAN HAMBA KEPADA ALLAH TA’ALA

(ms 409) Ketahuilah bahawa umat itu sepakat bahawa mencintai Allah Ta’ala dan RasulNya itu wajib.
Bagaimana diwajibkan apa yang tidak ada wujudnya?
Bagaimana ditafsirkan kecintaaan dengan taat dan taat itu mengikuti kecintaan dan buahnya?

Maka tidak boleh tidak, didahulukan penjelasan tentang kecintaan itu.
Kemudian sesudah itu manusia akan mentaati siapa yang dicintainya.

Ditunjukkan kepada adanya kecintaan kepada Allah Ta’ala oleh firmanNya ‘Azza wa Jalla : “Dia (Allah) mencintai mereka, dan mereka pun mencintai-Nya.” (Al-Maidah : 54)

(ms 410) Dan firman Allah Ta’ala : “Orang-orang yang beriman itu sangat cinta kepada Allah.” (Al-Baqarah : 165)

Ini menunjukkan (dalil) atas adanya kecintaan dan adanya berlebih kurang pada kecintaan itu.

Rasulullah saw menjadikan kecintaan kepada Allah termasuk sebahagian dari syarat iman, pada banyak hadis.

(Antara hadisnya …..) Kerana Abu Razin Al-‘Uqaili bertanya : “Ya Rasulullah, apakah iman itu?”
Rasulullah saw menjawab : “Bahawa adalah Allah dan Rasu-Nya lebih kamu cintai dari yang lain.” (Ahmad)

Terdapat pada hadis yang lain : “Tidak beriman seorang kamu sebelum adanya Allah dan Rasul-Nya itu lebih dicintainya dari yang lain.” (Bukhari, Muslim)

Tersebut pada hadis yang lain : “Tidak beriman seorang hamba sebelum adalah aku lebih dicintainya dari isterinya, hartanya dan manusia semuanya.” (Bukhari, Muslim)

Pada satu riwayat : “Dan dari dirinya sendiri.”

Bagaimana?

(ms 411) Dan Allah Ta’ala berfirman : “Katakanlah : Kalau bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, kekayaan yang kamu peroleh, perniagaan yang kamu khuatiri menanggung rugi, dan tempat tinggal yang kamu sukai; kalau semua itu kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjuang di jalan Allah, tunggulah sampai Allah mendatangkan perintahNya. Dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.” (At-Taubah : 24)

Sesungguhnya Allah memperlakukan yang demikian, dalam pembentangan memberi takut dan penentangan.

Diriwayatkan bahawa seorang lelaki berkata : “Ya Rasulullah, bahawa aku mencintaimu.”
Beliau lalu menjawab : “Bersedialah untuk miskin.”
Orang itu lalu mengatakan : “Bahawa aku mencintai Allah Ta’ala.”
Maka Nabi saw menjawab : “Bersedialah untuk menghadapi percubaan.” (Turmizi)

(ms 413)  Seorang Arab desa datang kepada Nabi saw seraya bertanya : “Ya Rasulullah, bilakah Kiamat?”
Nabi saw menjawab : “Apa yang telah engkau sediakan bagi Kiamat itu?”
Arab desa itu menjawab : “Tiada aku sediakan untuk Kiamat itu banyaknya solat dan puasa. Hanya aku mencintai Allah dan RasulNya.”
Lalu Rasulullah saw bersabda : “Manusia itu bersama orang yang dicintainya.” (Bukhari, Muslim dari Anas)

Anas berkata : “Tidaklah aku melihat kaum muslimin yang bergembira dengan sesuatu sesudah Islam sebagaimana gembiranya mereka dengan hadis di atas ini.”

Abu Bakar Siddiq ra berkata : “Barangsiapa merasa dari murninya kecintaan kepada Allah Taala, nescaya yang demikian itu menyibukkannya daripada mencari dunia dan meliarkan hatinya dari semua manusia.”

Al-Hasan Al-Basri berkata : “Barangsiapa mengenal Tuhannya nescaya ia mencintaiNya, dan barangsiapa  mengenal dunia nescaya ia zuhud pada dunia. Orang mukmin itu tidak bermain-main sehingga ia lalai. Maka apabila ia bertafakur, nescaya ia gundah hati.”

Abu Sulaiman ad-Darani berkata : “Sesungguhnya dari makhluk Allah itu ada makhluk yang tidak disibukkan mereka oleh syurga dana pa yang ada di dalam syurga dari bermacam nikmat. Maka bagaimana mereka menjadi sibuk dengan dunia?”

Abdul Wahid bin Zaid berkata : “Aku lalu dekat orang yang berdiri pada salju, lalu aku bertanya : “Apakah engkau tidak merasa dingin?”
Orang itu menjawab : “Siapa yang disibukkan oleh kecintaan kepada Allah, nescaya ia tidak merasa dingin.”

Harram bin  Hayyan berkata : “Orang mukmin apabila menegnal Tuhannya ‘Azza wa Jalla, nescaya mencintaiNya. Apabila mencintai-Nya, nescaya menghadap kepadaNya. Apabila mendapat kemanisan menghadap kepadaNya, nescaya ia tidak memandang kepada dunia dengan mata nafsu syahwat. Dan ia tidak memandang kepada akhirat dengan mata lesu. Kemanisan menghadap itu menyusahkannya di dunia dan menyenangkannya di akhirat.”

(ms 415) Yahya bin Maaz berkata : “Seberat biji sawi dari kecintaan itu lebih aku sukai daripada ibadah 70 tahun tanpa kecintaan.”


Pelajaran Akan Datang, Insya-Allah

HAKIKAT CINTA & SEBAB-SEBABNYA

No comments: