Friday, September 4, 2015

Nota Majlis Khatam Kitab Tauhid Ihya' 'Ulumuddin




 

PENDAHULUAN

Imbasan sejarah pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumuddin di Surau An-Nur.

Pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumuddin di Surau An-Nur ini bermula pada bulan Mac 2011. Kini sudah tahun ke-5.
Kitab Ilmu khatam pada bulan Oktober 2013.
Kitab Tauhid (Aqidah) insya-Allah khatam pada malam ini.

Apakah kitab-kitab yang disyarahkan sebelum kitab Ihya’?
i.                    Kitab 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman (karya Syeikh Fahmi Zamzam).
ii.                  Kitab Munyatul Musolli (karya Syueikh Daud al-Fatani).
iii.                Kitab Kifayatul Muhtaj fil Isra’ wal Mi’raj (karya Syeikh daud Al-Fatani).
*Kesemua kitab ini disyarahkan sebanyak 84 kali kuliah.

Sudah berapa kalikah pengajian kitab Ihya’ di surau ini?
·         Kitab Ilmu disyarahkan sebanyak 82 kali kuliah (Kuliah no. 1 hingga kuliah no. 82).
·         Kitab Tauhid disyarahkan dalam 61 kali kuliah (kuliah no. 83 hingga kuliah no. 143).
*Keseluruhannya, sudah 227 kali kuliah Maghrib telah diadakan.

Di manakah lagi kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini dikuliahkan?
i.                    Di Masjid Saiyidina Abu Bakar (Masjid PGA/ Masjid Komando 69) di Ipoh.
ii.                  Di Surau Al-Akhbar, Sungai Kerang.
*Dikuliahkan sebulan sekali. Tidak terperinci sebagaimana di Surau An-Nur ini.

Apakah kitab-kitab yang umumnya bersumberkan kitab Ihya’ ini?
1. Bidayatul Hidayah (oleh Imam Al-Ghazali. Asas kepada penulisan kitab Ihya’).
2. Hidayatus Salikin (huraian kitab Bidayatul Hidayah oleh Syeikh Abdus Samad Al-Falimbani).
3. Minhajul 'Abidin (ringkasan Ihya' 'Ulumuddin oleh Imam Al-Ghazali).
4. Siyarus Salikin (ringkasan Ihya' 'Ulumuddin oleh Syeikh Abdus Samad al-Falimbani).
5. Mau'izatul Mu'minin (ringkasan Ihya' 'Ulumuddin oleh Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi ad-Dimasyqi)).
6. Bimbingan Mu'min (terjemahan Mau'izatul Mu'minin).
7. Mutiara Ihya' 'Ulumuddin (terjemahan Bimbingan Mu'min dalam bahasa Melayu).
8. Tazkiyyatun Nafs (intisari Ihya' 'Ulumuddin oleh Syeikh Sa'id Hawa).
9. Buku Putih Ihya' 'Ulumuddin (saringan kitab Ihya' 'Ulumuddin).
10. Minhaj al- Qasidin (saringan Ihya' 'Ulumuddin oleh Ibnu al-Jauzi).
11. Mukhtasar Minhaj al-Qasidin (ringkasan kepada Minhaj al-Qasidin).
12. Ringkasan Ihya' 'Ulumuddin (terbitan Darul Nu'man).
*Maksudnya, dengan mempelajari kitab Ihya' 'Ulumuddin, kita juga sebenarnya mempelajari kitab-kitab di atas.

Apakah antara kelebihan mendalami ilmu-ilmu agama menggunakan kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini?
Imam Al-Ghazali banyak belajar, berguru dan mengajar sehingga menjadi ulama utama dunia Islam pada zamannya. Namun beliau tidak berpuas hati bahkan jatuh sakit rohani dan jasmani lalu keluar beruzlah selama 10 tahun. Dalam uzlah itulah baru beliau mendapat kemuncaknya yang dihidangkannya dalam bentuk sebuah kita iaitu kitab Ihya’ ‘Ulumuddin. Segala ilmu, guru dan tarbiyyah yang dilaluinya sebelum itu baginya masih gagal. Jadi, formula kejayaan imam mencapai maqam yang sepatutnya berada dalam kitab Ihya’.

Bagaimanakah pembahagian isi kandungan Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin?
Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini terdiri daripada 40 kitab di dalamnya.
Kitab pertama ialah Kitab Ilmu.
Kitab kedua, itulah Kitab Tauhid atau Kitab Aqidah (yang dikenali sebagai Kitab Qawa’idul ‘Aqaid).

Apa untungnya mendalami Kitab Tauhid ini?
i.                    Dapat selesaikan tuntutan fardhu ‘ain diri sendiri.
ii.                  Dapat membetulkan sembahan (yang mungkin sebelum ni tersalah sembah).
iii.                Dapat menepatkan sembahan (yang mungkin sebelum ini sudah betul tetapi kurang tepat).
iv.                 Dapat mengelakkan diri daripada permainan ajaran-ajaran yang salah (khususnya dalam hal ehwal aqidah). Kita tidak mudah-mudah terpengaruh, malah boleh menyaring dan mengenalpasti ajaran-ajaran yang salah itu.
v.                   Disukai oleh Allah, para malaikat, para anbiya’ (nabi-nabi), para auliya’ (walai-wali), para ‘ulama dan hamba-hamba Allah yang lain.
vi.                 Dapat ganjaran pahala.
vii.               Dapat kepuasan. Rasa lebih seronok dan tenteram dalam berabdi kepada Allah berbanding sebelumnya.
viii.             Dapat meningkatkan maqam masing-masing.
ix.                 Dapat ilmu haqiqat dan ma’rifat.
x.                   Dapat belajar kitab Ihya’ ‘Ulumuddin, iaitu hasil tangan Imam Al-Ghazali yang sangat susah untuk mendapatkan majlis-majlisnya di negara kita ini. Malahan kita belajar secara terperinci, bukan secara petik-petik.
xi.                 Dapat meningkatkan rasa persaudaraan antara sesame ahli pengajian kitab Ihya’.
xii.               Dapat membuktikan kewujudan Tuhan dengan dalil naqli (terutamanya Al-Quran dan hadis) dan dalil aqli (dalil akal).
xiii.             Dapat menghayati dua kalimah syahadah dengan lebih lazat.

Apakah kitab-kitab Imam Al-Ghazali yang lain yang banyak kita sentuh sepanjang belajar Kitab Tauhid ini?
1.      Misykat al-Anwar.
2.      Kimiya’ as-Sa’adah.
3.      Ar-Risalah al-Laduniyyah.
4.      Tahafut al-Falasifah.
5.      Al-Munqiz min adh-Dhalal.

 Bagaimanakah pembahagian Kitab Tauhid (Kitab Qawa’idul ‘Aqaid) ini?
Kitab Tauhid ini terdiri daripada 4 bahagian iaitu :
i.                    Bahagian Pertama – Huraian Dua Kalimah Syahadah.
ii.                  Bahagian Kedua – Beransur-ansur Memberi Petunjuk dalam Tauhid & Tingkatan-tingkatan I’tiqad.
iii.                Bahagian Ketiga - Ar-Risalah Al-Qudsiyyah (Risalah Qudsiyyah).
iv.                 Bahagian Keempat – 3 Permasalahan berkaitan iman dan Islam.


BAHAGIAN PERTAMA KITAB TAUHID : Huraian Dua Kalimah Syahadah

Huraian Kalimah Pertama

·         Allah melakukan segala-galanya mengikut kehendakNya.
·         Pada hakikatnya, Allah yang memperkenalkan diriNya kepada hamba-hambaNya.
·         Zat Allah itu esa.
·         Tidak ada suatu apa pun yang sama dengan zat Allah.
·         Allah bersifat qadim, tiada permulaan.
·         ZatNya kekal. Sebagaimana dahulu, begitulah sekarang dan selama-lamanya.
·         Dialah yang awal dan akhir, yang zahir dan batin.
·         Zat Allah tidak berupa.
·         Zat Allah bukan jauhar dan tidak ditempati oleh jauhar.
·         Dia bukan ‘atadh dan tidak ditempati oleh ‘aradh.
·         Zat Allah tidak ada batas, sempadan, tepi.
·         Zat Allah tidak bertempat pada sesuatu dan tidaklah sesuatu bertempat pada zatNya.
·         Zat Allah tidak berubah dan tidak berpindah.
·         Zat Allah sudah sedia ada sebelum adanya zaman (masa) dan tempat.
·         Allah hidup.
·         Allah Maha Gagah Perkasa.
·         Allah tidak lupa, lalai atau tidur.
·         Allah tidak binasa dan tidak mati.
·         Pada hakikatnya, Dialah sahaja yang mempunyai kerajaan, kekuasaan, kemuliaaan dan kebesaran.
·         Allah sudah menentukan rezeki dan ajal kita sejak azali. Maksudnya Dia sudah sedia tahu segala yang akan berlaku, kerana sebenar-benarnya Dialah yang mengaturkan segala sesuatu lalu melaksanakannya.
·         Kalam Allah tidak bersuara, berbunyi dan berhuruf.
·         Pada hakikatnya, tidak ada yang maujud selain Dia.
·         Allah Maha Adil, langsung tidak zalim.

Huraian Kalimah Kedua

·         Segala syariat terdahulu mansuh apabila diutuskan Nabi Muhammad saw.
·         Percaya kepada Nabi bermaksud percaya seluruh ajaran yang dibawanya.
·         Percaya akan pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir.
·         Percaya azab kubur.
·         Percaya timbangan amal.
·         Percaya titian.
·         Percaya al-haudh al-maurud (kolam Nabi Muhammad saw).
·         Percaya bahawa orang beriman yang dimasukkan ke neraka akhirnya akan dimasukkan ke syurga juga.
·         Percaya syafaat nabi-nabi, para ulama, para syuhada’ dan orang mu’min lainnya.
·         Percaya kelebihan para sahabat terutamanya 4 sahabat utama mengikut urutannya.

BAHAGIAN KEDUA KITAB TAUHID : Benansur-ansur Memberi Petunjuk dalam Tauhid & Tingkatan2 I’tiqad

·         Pelajaran aqidah yang asas-asas hendaklah ditanam sejak kanak-kanak lagi.
·         Maksudnya pada peringkat awal mestilah bertaqlid.
·         Seterusnya, cara untuk mengukuhkan aqidah dari semasa ke semasa adalah dengan memperbanyakkan membaca Al-Quran, mengambil tahu tafsirnya, meneliti hadith-hadith, memperbanyakan serta mencantikkan amal ibadah, bergaul dengan alim ulama dan mencontohi mereka.
·         Elakkan kanak-kanak dan orang awam tadi daripada terlibat dengan ilmu kalam.
·         Sekiranya kanak-kanak dan orang awam itu mendapat keraguan dalam hal-hal tertentu, maka ketika itu barulah diselesaikan dengan ilmu kalam. Itupun sekadar untuk selesaikan keraguan itu tadi sahaja. Jangan berpanjang-panjang dengan ilmu kalam.
·         Hal ini kerana perbahasan ilmu kalam itu lebih banyak membawa mudarat daripada manfaat, kecuali jika menurut tatacara yang digariskan oleh Imam Al-Ghazali.

Bolehkah melibatkan diri dalam ilmu kalam?
Ada pandangan yang mengharamkannya.
Ada pandangan yang membolehkannya.
Bagi Imam Al-Ghazali, tidak haram secara mutlak dan tidak juga harus secara mutlak. Boleh berilmu kalam asalkan sesuai dengan keadaan.

Apakah hukum mempelajari ilmu kalam?
Fardhu kifayah. Maksudnya di sesebuah kawasan mestilah ada sekurang-kurangnya seorang yang ahli dalam ilmu ini, sekadar untuk menyelesaikan apa-apa permasalahan yang berkaitan. Tidak digalakkan untuk orang ramai menguasainya.
Sekiranya ilmu kalam sudah tersebar dalam masyarakat dan kita khuatir kalau-kalau anak-anak dan orang awam akan terpengaruh. Apakah yang perlu kita sebarkan?
Menurut Imam Al-Ghazali, memadai mengajarkan dengan Ar-Risalah al-Qudsiyyah (sebuah lagi karya Imam Al-Ghazali, dan ada dimuatkan beliau dalam kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini).

Bagaimana jika ada antara mereka yang sudah banyak terpengaruh?
Menurut Imam Al-Ghazali, ketika itu sesuailah untuk dibentangkan sebuah lagi kitab beliau iaitu Al-I’tisad fil I’tiqad.

Bagaimana jika seseornag itu sudah ekstrem dan taksub akan ilmu kalam hinggakan kitab Al-I’tisad fil I’tiqad pun tidak berkesan ke atasnya?
Orang itu hampir-hampir tidak dapat diubati lagi. Kita banyakkan berdoa dan berharap kepada takdir Allah.

Bagaimana jika ada orang yang mahu belajar dan menjadi ahli dalam ilmu kalam?
Ada beberapa syarat :
i.                    Orang itu mestilah memang berminat dan sanggup berkorban masa untuk mempelajarinya.
ii.                  Orang itu hendaklah jenis yang cerdik dan lancar berbicara (dan menulis).
iii.                Orang itu hendaklah jenis yang kuat beragama dan baik.

Benarkah ilmu agama itu ada yang untuk semua dan ada yang untuk orang tertentu sahaja? Ada yang zahir dan ada yang rahsia?
Ya. Sesuatu ilmu itu diperturunkan mengikut keadaan dan kadar kemampuan penerimanya.

 Apakah bukti-buktinya?
“Demikianlah contoh-contoh itu Kami jadikan bagi manusia, dan tidak ada yang memahaminya selain ornag-orang yang berilmu.” (Al-Ankabut : 43).

“Kalaulah kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu sedikit ketawa dan banyak menangis.” (Bukhari, Muslim)

Kata Abu Hurairah ra : “Aku menghafal daripada Nabi saw dua karung ilmu. Salah satunya sudah aku keluarkan. Adapun yang satu lagi jika aku keluarkannya, pasti leher aku akan dipotong.” (Bukhari)

Saiyidina Ali menunjukkan ke arah dadanya lalu berkata : “Sesungguhnya di sini ada banyak ilmu pengetahuan, kalaulah ada orang-orang yang dapat membawanya.”

Kata Sahl at-Tusturi : “Orang berilmu itu mempunyai tiga ilmu (iaitu) ilmu zahir yang diberikannya kepada ahli zahir, ilmu batin yang tidak sanggup dizahirkannya kecuali kepada ahlinya, dan ilmu antara dia dengan Allah Ta’ala yang tidak dizahirkannya kepada seorang jua pun.”

Mengapakah sesuatu itu menjadi tersembunyi, terselindung, rahsia?
i.                    Kerana hal itu menumpulkan faham orang ramai (tidak dapat dicapai oleh pemikiran orang awam). Jika disebarkan kepada orang awam, akan menjadi fitnah kepada orang awam itu, kerana pendeknya pemahaman mereka.
ii.                  Kerana hal itu sekalipun tidak menumpulkan faham orang ramai (maksudnya memang boleh dimengerti) tetapi jika disebarkan akan membawa mudarat kepada mereka.
iii.                Kerana hal itu disebut secara kinayah (sindiran). Cakapnya lain tetapi maksudnya makan dalam. Oleh itu maksud sebenar perkataan-perkataan itu adalah terselindung.
iv.                 Kerana hal itu belum dialami, belum dirasai, belum dilalui. Setelah dilalui, barulah jelas kepada kita.
v.                   Kerana hal itu dihidangkan dalam bentuk personifikasi dan ada yang perlu dita’wil.


BAHAGIAN KETIGA KITAB TAUHID – Ar-Risalah al-Qudsiyyah

Apakah itu Risalah Qudsiyyah?
Risalah Qudsiyyah ialah sukatan pelajaran usuluddin yang diasaskan oleh Imam Al-Ghazali. Ia menjadi sukatan pelajaran usuluddin ikhwan Tariqat Al-Ghazaliyyah. Dikenali juga sebagai Rukun 3.

*Biasanya sukatan pelajaran usuluddin yang digunakan oleh umat Islam ialah Sifat 20.

Bagaimanakah pembahagian Risalah Qudsiyyah?
Risalah Qudsiyyah terdiri daripada 4 Rukun iaitu :
i.                    Rukun Pertama – Mengenal zat Allah.
ii.                  Rukun Kedua – Mengenal sifat-sifat Allah.
iii.                Rukun Ketiga – Mengenal af’al Allah.
iv.                 Rukun Keempat – Beriman dengan perkara-perkara sam’iyyat.

*Setiap satu rukun mengandungi 10 perkara. Oleh itu kesemuanya ada 40 perkara.

Rukun Pertama – Mengenal dan Mengimani Zat Allah.
i.                    Faham dan yakin sepenuhnya bahawa Allah memang ada.
ii.                  Faham an yakinbahawa zat Allah itu qadim.
iii.                Faham dan yakin bahawa zat Allah itu baqa’.
iv.                 Faham dan yakin bahawa zat Alla tidak terpengaruh dengan tempat, gerak dan diam.
v.                   Faham dan yakin bahawa zat Allah bukan jisim dan bukan jauhar.
vi.                 Faham dan yakin bahawa zat Allah bukan ‘aradh.
vii.               Faham dan yakin bahawa zat Allah tidak terpengaruh dengan arah dan posisi.
viii.             Faham dan yakin bahawa zat Allah beristiwa atas ‘ArasyNya.
ix.                 Faham dan yakin bahawa zat Allah tidak terpengaruh dengan bentuk, rupa, batas, sempadan, had dan tepi (pinggir).
x.                   Faham dan yakin bahawa zat Allah esa.

Rukun Kedua – Mengenal dan Mengimani Sifat-sifat Allah
i.                    Kita mesti yakin sepenuh hati bahawa Allah bersifat Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu.
ii.                  Yakin bahawa Allah bersifat Maha Mengetahui segala-galanya.
iii.                Yakin bahawa Allah bersifat hidup.
iv.                 Yakin bahawa Allah berkehendak.
v.                   Yakin bahawa Allah bersifat Maha Mendengar dan Maha Mendengar segala sesuatu.
vi.                 Yakin bahawa Allah berkalam (berkata-kata) tanpa bersuara, berbunyi dan berhuruf.
vii.               Yakin bahawa kalam Allah itu bersifat qadim.
viii.             Yakin bahawa ilmu Allah itu juga qadim.
ix.                 Yakin bahawa iradah (kehendak) Allah itu pun qadim.
x.                   Yakin bahawa Allah tahu dengan ilmun, hidup dengan hayah, berkuasa dengan qudrah, berkehendka dnegan iradah, berkata-kata dengan kalam, mendengar dengan sama’ dan melihat dengan basar.

Rukun Ketiga – Mengenal dan Mengimani Af’al Allah.
i.                    Yakin sepenuhnya bahawa segala yang baharu adalah af’al (perbuatan/perlakuan) Allah.
ii.                  Yakin bahawa Allah yang menjadikan segala usaha dan ikhtiar makhluk.
iii.                Yakin bahawa segala yang berlaku adalah kehendak Allah sepenuhnya.
iv.                 Yakin bahawa menjadikan dan memberikan taklif itu tidak wajib atas Allah.
v.                   Yakin bahawa Allah boleh sahaja memikulkan sesuatu ke atas hamban-Nya sekalipun hamba itu tidak mampu.
vi.                 Yakin bahawa Allah berkuasa mutlak untuk memberi kesenangan atau kesusahan kepada hamba-hamba-Nya mengikut kemahuanNya.
vii.               Yakin bahawa mengenal akan Allah (ma’rifatullah) dan berbuat taat kepadaNya adalah wajib.
viii.             Yakin bahawa Allah memang mengutuskan nabi-nabi.
ix.                 Yakin bahawa Nabi Muhammad saw memang benar utusan Allah.

Rukun Keempat – Mengimani Perkara-perkara Sam’iyyat.
i.                    Meyakini  bahawa kita semua akan dihidupkan semula selepas kita mati nanti.
ii.                  Percaya bahawa kita akan berhadapan dengan malaikat Mungkar dan Nakir nanti.
iii.                Percaya bahawa azab kubur itu memang ada.
iv.                 Yakin bahawa segala amalan kita akan ditimbang di akhirat nanti.
v.                   Yakin bahawa kita akan melalui titian di akhirat nanti.
vi.                 Percaya bahawa syurga dan neraka itu memang ada, dan kedua-duanya adalah makhluk Allah.
vii.               Yakin bahawa imam-imam yang benar selepas Rasulullah saw mengikut turutannya  ialah Saiyidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali.
viii.             Meyakini bahawa keutamaan 4 orang khalifah itu adalah mengikut susunan kekhalifahan mereka.
ix.                 Yakin bahawa syarat-syarat untuk menjadi imam umat Islam ialah muslim, taklif (sudah dewasa dan berakal), lelaki, wara’, berilmu agama, berkemampuan dan daripada suku Quraisy.
x.                   Meyakini bahawa atas kemaslahatan dan darurat, bolehlah dilantik sesiapa sahaja yang paling layak ketika itu.


BAHAGIAN KEEMPAT KITAB TAUHID – 3 Permasalahan Berkaitan Iman dan Islam

Adakah Islam dan iman itu sama? Adakah muslim dan mukmin itu sama?
Tidak sama, tetapi saling punya perkaitan.
Antara hujahnya ialah Rukun Islam dan Rukun Iman ternyata berbeza.

Bolehkah iman bertambah dan berkurang?
Boleh.

Adakah seseorang itu sedang ragu-ragu tentang keimanannya apabila dia berkata : “Saya beriman, insya-Allah”?
Tidak. Sebenarnya ada maksud tertentu yang membuatkan dia berkata begitu. Dan begitulah sepatutnya adab kita.


ANTARA HURAIAN-HURAIAN YANG KITA SENTUH

Kepercayaan animisme
·         Kepercayaan2 asli yang disebut animisme umumnya adalah agama-agama yang tersendiri. Mereka ada Tuhan masing-masing dan banyak juga yang berkaita dengan Tuhan Yang Esa.
·         Agama Hindu di Indonesia hari ini sebenarnya adalah gabungan pelbagai agama dan kepercayaan lama. Agama Hindu hanyalah salah satu daripadanya.
·         Kita ada menyentuh agama-agama di Nusantara ini seperti Parmalim, agama Sunda Wiwitan, agama Kaharingan, agama Marapu, agama Kinorohingan, agama Aki Kopuno, agama Aluk Todolo, agama La Galigo, dan agama Kapitayan. Semuanya agama yang tersendiri.

Bolehkah orang-orang bukan Islam menggunakan nama Allah?
Ada dua keadaan :
i.                    Boleh – Jika mereka tujukan nama itu kepada Tuhan yang sebenar.
ii.                  Tidka boleh – Jika mereka tujukan nama itu kepada selain Tuhan sebenar seperti kepada Jesus, Ruh Kudus, Dewa Krishna, Dewi Kuan Yin, Dewa Zeus dan sebagainya.

Mengapakah dalil aqal juga penting?
·         Kerana boleh digunakan untuk menerang atau menangkis orang-orang yang tidak percaya mana-mana kitab suci dan nabi-nabi. Maka sebagai permulaannya, kita gunakan apa yang mereka boleh terima sebagai kayu ukurnya iaitu dalil-dalil akal.
·         Untuk mengukuhkan lagi pemahaman kita. Sebagai pengkayaan.

Apakah bukti akal bahawa Tuhan memang ada?
i.                    Alam ini (contoh yang pernah kita guna seperti rumah di Kutub Utara, bendera Malaysia di atas bukit, kasut sekolah kotor jadi bersih).
ii.                  Hukum berat sebelah (contohnya mengapa al mini berat sebelah nak jadi?)
iii.                Makhluk berakal (manusia dan jin). Yang jadikan makhluk berilmu mestilah yang ada ilmu juga.

Tentang hijab (dinding/tabir) antara makhluk dengan Khaliq.
Antara kita dengan Allah ada sangat banyak hijab.
Pelajaran tentang hijab ini banyak kita ambil daripada kitab Misykat-al-Anwar.
Hijab kita umumnya berbeza-beza. Ada orang yang lebih dekat kepada Allah dan ada yang lebih jauh daripada Allah.
Pelajaran tauhid kita ini sebenarnya sudah menipiskan hijab-hijab itu insya-Allah.

Bagaimanakah pembahagian hijab-hijab itu?
Imam Al-Ghazali bahagikan kepada 3 kelompok besar iaitu :
i.                    Orang-orang yang dihijab oleh kegelapan.
ii.                  Orang-orang yang dihijab oleh campuran gelap dan cerah.
iii.                Orang-orang yang terhijab dengan kecerahan.

Apakah kepentingan kedudukan dalam hijab-hijab ini?
Umumnya, sebagaimana maqam kita di dunia ini, sebegitulah maqam kita di akhirat nanti. Jika di dunia ini kita terhijab jauh daripada Allah, pada hari akhirat nanti sejauh itulah kita terhijab daripada Dia. Oleh itu, kita mestilah berusaha untuk menipiskan hijab-hijab ini.

Siapakah sebenar-benar cahaya?
Allah.

Adakah fahaman Syiah dan Salafiyyah Wahhabiyyah itu benar atau salah?
1.      Ada fahaman mereka yang benar, dan ada fahaman mereka yang salah.
2.      Kita tidak boleh mengatakan keseluruhannya benar, dan tidak boleh juga mengatakan keseluruhannya salah.
3.      Baik Syiah ataupun Salafi Wahhabi, kedua-duanya terpecah kepada banyak aliran.
4.      Ringkasnya kedua-dua fahaman ini dipecahkan kepada 3 golongan besar iaitu :
                                                              i.      Golongan pertama - Mereka yang masih tergolong dalam Ahli Sunnah wal Jamaah, sama dengan kita (perbezaan antara kita dengan mereka hanya dalam beberapa hal dan hal-hal itu pula bukanlah perkara dasar dalam agama Islam).
                                                            ii.      Golongan pertengahan – Banyak perbezaan antara kepercayaan mereka dengan kepercayaan kita tetapi para ulama berkhilaf (berbeza pandangan). Ada ulama yang mengatakan mereka masih ASWJ, dan ada pula ulama yang mengatakan mereka sudah terkeluar daripada ASWJ.
                                                          iii.      Golongan ektrem – Kepercayaan kita dengan kepercayaan mereka terlalu jauh beza. Maka mereka bukan ASWJ lagi.

Qiblat (*arah) pengabdian kita :
1.      Qiblat tubuh badan dalam solat dan ibadah haji ialah ke Ka’abah (tapi bukan bermaksud Allah berada di dalam Ka’abah dan sekitarnya).
2.      Qiblat tangan ketika berdoa ialah ke atas (tapi bukan bermaksud Allah berada/bertempat/berarah di atas, di awan, di kahyangan, di angkasa lepas, di langit dan sebagainya.
3.      Qiblat hati ialah Allah (tapi bukan bermaksud Allah berada di dalam daging jantung atau daging hati atau dalam otak).

Kata orang tua-tua :
Sesiapa yang hendak mengenal Allah, hendaklah mengenal diri (sekalipun diri kita bukanlah Allah).
Sesiapa yang sudah mengenal dirinya, maka insya-Allah kenallah Allah.
Sesiapa yang sudah mengenal Allah, maka “binasalah” dirinya.
(*Orang yang tidak belajar, umumnya tidak akan faham erti sebenar “binasa” itu dan akan tersalah faham)

Antara perbezaan antara Allah dengan makhluk :
1.      Allah ada. Allah ada tanpa memerlukan mana-mana makhluk. Makhluk ada, tapi makhluk memerlukan Allah untuk ada.
2.      Allah sudah sedia ada sejak azali. Makhluk pula pada mulanya tidak ada, selepas diadakan oleh Allah barulah makhluk ada.
3.      Allah sudah sedia ada, makhluk pula daripada tiada kepada ada.
4.      Allah tiada permulaan, makhluk ada permulaan.
5.      Allah tidak diciptakan, makhluk diciptakan.
6.      Allah tidak dipengaruhi oleh mana-mana makhluk termasuklah tempat, ruang, arah, posisi, cerah gelap, sempadan/had/batas/tepi, rupa, warna, jernih, langit, bumi dan semuanya. Makhluklah yang dipengaruhi oleh semua itu.
7.      Allah tidak pernah mengalami sebarang perubahan, makhluk pula sentiasa berubah.

Ramai juga orang yang hendak belajar dan mengamalkan ilmu agama, tapi tidak ramai yang mahu belajar ilmu tentang yang dalam-dalam (ilmu tentang hati) sebaliknya terkejar-kejar ilmu-ilmu yang luaran (zahir). Soal amalan zahir, soal perbuatan, ramai yang mahu. Tapi soal amalan hati, ramai yang tak berapa nak endah, rasa tak berapa penting, tidak terkejar-kejar. Mengapa?
1.      Kerana amalan zahir itu mudah, sedangkan amalan batin itu rumit.
2.      Kerana amalan zahir itu boleh dipertontonkan dan diperdengarkan, sedangkan amalan batin itu sukar hendak dipertonton dan diperdengarkan.

Bagaimana keadaan zat Allah dengan makhluk, bersentuhkah atau bercerai? Bersekutukah atau terpisah?
Tidak bersentuh dan tidak bercerai. Tidak bersekutu dan tidak terpisah. KeadaanNya (kifiatNya) tidak mampu untuk kita ketahui dan fahami.

Pelajaran tentang jauhar dan ‘aradh

Apa itu jauhar?
Ringkasnya benda.
Contohnya pokok, batu, gunung, kereta, laut dsb.

Apa itu ‘aradh?
Ringkasnya sifat atau keadaan.
Contohnya ada bentuk, ada rupa, ada warna, ada bertempat, ada pihak/posisi, ada gerak atau diam, ada berhubung atau bercerai, ada ringan berat, ada masa, ada berbunyi atau senyap dsb.

Setiap sesuatu itu sangat banyak ‘aradhnya.

Contoh : bendera Malaysia.
Kain bendera itu jauhar.
Warna-warna bendera itu ‘aradh.
Bentuk empat segi bendera itu ‘aradh.
Berkibarnya bendera itu ‘aradh.

Contoh : batu.
Batu itu jauhar.
Kerasnya batu itu ‘aradh.
Warna batu itu ‘aradh.
Bentuk batu itu ‘aradh.
Kasar atau licinnya batu itu ‘aradh.

Contoh : angin
Angin itu jauhar.
Sejuk atau panasnya angin itu ‘aradh.
Lajunya angin itu ‘aradh.
Bunyi angin itu ‘aradh.

Oleh itu Allah bukan jauhar.
Dan tidak ada apa-apa jauhar yang bertempat, melekat, bersentuh, berada di dalam Allah.

Oleh itu Allah bukan ‘aradh.
Zat Allah tidak berkait dengan bentuk, warna, jernih keruh, arah, rupa, langit bumi, gerak diam, posisi/pihak, tempat, ruang, sempadan/had/batas/tepi, berhubung, bercerai, ringan berat, masa/waktu, berbunyi/diam dsb.

Apakah itu syai’ atau syai’un?
Segala sesuatu selain daripada zat Allah.

Berdasarkan penjelasan Al-Quran sendiri, apakah “syai’” itu?
-          Segala sesuatu termasuklah tempat, ruang, posisi, langit, atas bawah, arah, ‘arasy dsb.
-          Segala yang binasa termasuklah tempat, ruang, posisi, langit, atas bawah, arah dsb.
-          Maksudnya SEGALA SESUATU SELAIN DARIPADA ZAT ALLAH ialah syai’ termasuklah tempat, ruang, posisi, langit, atas bawah, arah.

Kita juga telah melihat konsep keTuhanan dalam agama-agama :
·         Tao.
·         Confucious (Kung Fu Tze/Kong Hu Chu).
·         Yunani.
·         Hindu (Veda).
·         Buddha.
·         Agama Mesir kuno dan agama Akhenaton.
·         Agama Sikh.

Konsep dewa-dewi. Siapakah yang dijadikan dewa oleh penganut agama-agama itu?
i.                    Tuhan itu sendiri.
ii.                  Alam sekeliling dan apa yang berlaku ke atasnya.
iii.                Utusan Tuhan sama ada malaikat ataupun nabi.
iv.                 Makhluk-makhluk halus.
v.                   Golongan makhluk tertentu.
vi.                 Keadaan atau peristiwa.
vii.               Manusia seperti tokoh-tokoh.

Ilmu Syariat dan Hakikat.

Apakah cabang ilmu yang membicarakan tentang syariat dan hakikat?
1.      Ilmu tentang PERJALANAN KEROHANIAN - yang terdiri daripada 4 peringkat (4 maqam) iaitu syariat, tariqat, haqiqat dan ma’rifat.
2.      Ilmu tentang PEKERJAAN, PERLAKUAN & PERBUATAN yang terdiri daripada 2 perkara sahaja iaitu syariat dan haqiqat.

*Cabang ilmu yang kita bicarakan dalam tajuk “Af’aal” ini ialah JENIS YANG KEDUA.

Apa itu ilmu syariat dan apa itu ilmu hakikat?
1.      Ilmu Syariat – Kita melihat semua yang berlaku dari sudut pandangan pekerjaan makhluk. Yang baik atau yang buruk semuanya dilakukan oleh makhluk.
2.      Ilmu Haqiqat – Kita melihat semua yang berlaku dari sudut pandang pekerjaan Tuhan. Yang baik atau yang buruk semuanya dilakukan oleh Allah.

Apakah faedah setelah berjaya “menyeimbangkan” antara pandangan syariat dan hakikat?
1.      Kita yakin semuanya daripada Allah, semua yang berlaku atas kehendak Allah, dan pada masa yang sama kita jadi seorang muslim yang gigih berusaha.
2.      Aqidah kita selamat kerana menyembah Allah Yang Maha Mengetahui, Maha Merancang/Mengatur, Maha Adil, Maha Berkuasa, Maha Mengetahui dan sebagainya. Kita tidak termasuk ke dalam golongan qadariyyah ataupun jabbariyyah.
3.      Kita akan jadi seorang yang redha, rajin, merendah diri, banyak bersyukur, berani, sabar, qanaah dan sebagainya. Maksudnya diri kita penuh dengan sifat-sifat mahmudah.
4.      Kita berjaya menaikkan maqam kita dan menipiskan hijab.

Apakah jenis-jenis syirik?
1.      Syirik jali.
2.      Syirik khafi.

1.      Syirik jali (syirik terang-terangan) – contohnya menyembah berhala, menyembah manusia, menyembah alam semesta dll.
2.      Syirik khafi (terselindung) – contohnya mengatakan hukum Allah itu tidak adil,
3.      Syirik khafi (jenis halus, yakni dari segi hakikat) – contohnya mengatakan ada selain Allah yang berkuasa melakukan sesuatu.

Apa itu “bahasa dalam”?
·         “Bahasa dalam” ialah bahasa yang khusus yang digunakan sesama ahli ilmu kerohanian dalam hal-hal tertentu.
·         Istilah2 dan kalimah2 bahasa dalam ini tidak sama maksudnya dengan  istilah2 dan kalimah2 yang kita gunakan sehari-hari sekalipun bunyinya sama.

Salah faham atau keliru akan bahasa dalam dan perumpamaan yang digunakan oleh ahli tasawuf adalah kerana :
1.      Tidak pernah belajar tatacara memahami dan menggunakannya (sekalipun orang itu tinggi kelulusannya dalam pelajaran agama).
2.      Kurang berbakat dalam seni dan kesusasteraan.
3.      Belajar daripada sumber yang salah.
  
Apakah antara tanggungjawab para ahli hakikat?
i.        Tidak boleh melakukan sesuatu yang dilarang oleh Tuhan. Jika dibuat, bermakna sudah menghina Tuhan dan syirik kepada Tuhan. Maksudnya melakukan dosa besar walaupun kesalahannya kecil.
ii.      Pada hakikatnya, mesti berpegang bahawa yang wujud hanya ada satu kuasa, tidak boleh lebih. Jika kita berik’tiqad bahawa yang ada kuasa itu lebih daripada satu, kita sudah syirik kepada Allah. Maksudnya sudah menduakan/mentigakan Tuhan.
iii.    Tidak boleh menolak apa yang sudah Tuhan tetapkan. Jika kita tolak, maksdunya kita sudah mengiktiraf dua kuasa. Maka jadilah syirik.
iv.     Semua hal terlibat dengan aqidah. Tidak boleh kita mengiktiraf selain satu kuasa sahaja.

Tentang para ahli hakikat, kita mestilah sedar dan faham bahawa :
1.      Mereka selalu menggunakan “bahasa dalam”, yang maksud perkata-perkataan mereka itu tidak sama dengan maksud yang kita guna dalam kehidupan harian.
2.      Kita tidak boleh menghukum kata-kata mereka jika kita tidak tahu maksud sebenar kata-kata mereka itu. Lebih baiklah kita serahkan kepada orang yang ahli dalam hal itu untuk menghukum.
3.      Mereka banyak menggunakan contoh, perumpamaan, tamsilan, simile, kiasan dan seumpamanya apabila membicarakan sesuatu yang berkaitan dengan Tuhan. Semua itu hanyalah untuk menghampirkan kepada faham. Semua itu bukanlah contoh sebenar kerana tidak ada satu contoh pun untuk Allah di alam makhluk ini.
4.      Mereka tidak pernah menyamakan antara Tuhan dengan makhluk, sebagaimana yang disangka oleh kebanyakan orang awam.
5.      Jika kita mahu menggunakan perumpamaan2 kaum sufi atau cuba memahaminya, kita mestilah ada kemahiran ma’rifah, iaitu kemahiran membezakan antara Tuhan dengan makhluk (Yang Qadim dengan yang baharu). Disebut juga “ilmu membeza”. Jika tidak ada ilmu ini, kita akan tersalah faham.
6.      Ilmu hakikat ialah ilmu yang membawa kita memandang segala yang berlaku itu dari sudut pandangan pekerjaan Tuhan. Ilmu syariat pula ialah ilmu yang membawa kita memandang segala yang berlaku dari sudut pandangan pekerjaan makhluk. Jangan tersalah faham antara kedua-duanya.
7.      Orang-orang yang berbakat dalam sastera dan seni lebih mudah memahami ilmu ini berbanding orang-orang yang minat dalam sains dan fakta.
8.      Orang yang mempunyai kelulusan yang tinggi dalam bidang agama belum tentu ada ilmu ini. Orang yang kelulusan rendah pula tidak semestinya tidak tahu ilmu ini.
9.      Ilmu ini tidak sesuai dibualkan di depan orang-orang yang tidak belajar, dikhuatiri akan menimbulkan fitnah.
10.  Tuntutan ilmu syariat pun sudah berat bagi kita, maka tuntutan ilmu hakikat adalah lebih lagi. Maksudnya tanggungjawab kita meningkat bersesuaian dengan taraf/maqam kita.
11.  Orang yang ada ilmu ini semestinyalah amal-amal syariatnya semakin kuat. Mereka yang sengaja meninggalkan syariat adalah golongan yang terpesong.
12.  Orang ada ilmu ini mesti mengiktiraf satu kuasa sahaja, satu peraturan sahaja, satu undang-undang sahaja. Jika sudah mengakui kewujudan dua kuasa atau lebih, maksudnya sudah menyekutukan Allah dan berlaku syirik.

Mengapa pemahaman tentang perkara-perkara di atas sangat penting?
·         Supaya kita tidak tersalah faham atau terkeliru.
·         Supaya mudah memahami pelajaran ilmu hakikat ini.

Mengapakah ada orang yang tersalah faham atau terkeliru apabila mereka cuba mengambil tahu tentang ilmu hakikat?
Mereka tidak sedar, tidak faham dan tidak mahu ambil tahu akan persediaan-persediaan awal sebelum mengambil tahu pelajaran ilmu hakikat.

Apakah antara tanggungjawab kita apabila sudah berilmu hakikat?
1.      Hendaklah bertambah amalan membaca Al-Quran dan membaca maknanya (tilawah dan tadabbur Al-Quran)
2.      Hendaklah mengamalkan wirid pagi dan wirid petang.
3.      Hendaklah melakukan amalan-amalan sebelum tidur.
4.      Hendaklah bertambah amalan solat sunat.
5.      Hendaklah banyak melakukan zikir khafi (zikir dalam hati/ zikir yang tersembunyi).
6.      Hendaklah semakin banyak mempraktikkan sunnah-sunnah Nabi sama ada sunnah2 yang besar, sunnah2 yang kecil dan sunnah2 yang seni-seni.
7.      Hendaklah selalu memasukkan ilmu-ilmu agama ke dalam diri.
8.      Hendaklah selalu mendakwahkan kepada orang lain.
9.      Hendaklah selalu memandang tauhidul af’al.
10.  Hendaklah mengamalkan rabitah (menghadirkan rupa seseorang atau sesuatu di dalam hati).
11.  Hendaklah menjadikan diri kita contoh yang baik kepada orang lain.

Kita sudah bicarakan juga alam akhirat menurut kepercayaan agama :
·         Confucious
·         Hindu
·         Buddha
·         Yunani Greek
·         Majusi
·         Norse (Viking/Scandinavian)
·         Kristian

Umumnya umat Islam berpegang dengan Mazhab Tauhid Asya’irah dan Maturudiyyah termasuklah kita. Padahal kedua-duanya dari ilmu kalam. Adakah tokoh-tokoh yang disebutkan tadi menolak mazhab Tauhid Asya’irah dan Maturudiyyah?
Tidak. Kerana selepas kematian mereka semualah baru disusun dan dizahirkan Mazhab Tauhid Asya’irah dan  Maturudiyyah.

Mari kita lihat zaman hidup para tokoh itu.
Imam Abu Hanifah (Hanafi) meninggal dunia pada 767 M.
Imam Malik bin Anas (Maliki) meninggal pada 800 M.
Imam Asy-Syafi’I (Syafi’i) meninggal dunia pada 820 M.
Imam Ahmad bin Hanbal (Hanbali) meninggal dunia pada 855 M.

Imam Abu Hasan Al-Asy’ari lahir pada 874 M. Maksudnya setelah kesemua 4 Imam Mazhab Fiqh meninggal dunia, barulah dia lahir. Bahkan fahamannya (Asya’irah) diasaskan ketika usianya dalam lingkungan 40 tahun.

Imam Abu Mansur Al-Maturudi pula dilahirkan pada tahun 853 M. Ketika Imam Ahmad meninggal, usia Abu Mansur baru 2-3 tahun.

Sufyan Ath-Thauri meninggal pada 778 M.
Abdullah bin Mubarak meninggal dunia pada 797 M.
Imam Bukhari meninggal 870 M.
Imam Muslim meninggal 875 M.

Jadi, aliran ilmu kalam yang manakah yang ditolak oleh tokoh-tokoh itu?
Aliran-aliran pada zaman mereka dan sebelumnya seperti aliran ilmu kalam Mu’tazilah, Qadariyyah, Jabbariyyah, Murjiah, Mujassimah dan sebagainya.

Jelaslah bahawa yang ditolak oleh 4 Imam Mazhab Fiqh itu dan yokoh-tokoh lain ialah fahaman Wasil bin Ata (meninggal 748 M) iaitu fahaman Mu’tazilah, fahaman Jahm bin Safwan (meninggal 746 M) iaitu fahaman Jabbariyyah dan fahaman-fahaman lain yang sebelum atau sezaman dengan mereka.

Kesimpulannya :
Sebelum tersusunnya Mazhab Tauhid Asya’irah dan Maturudiyyah, umumnya para ulama menolak semua aliran ilmu kalam. Tetapi selepas tersusunnya Mazhab Tauhid Asya’irah dan Maturudiyyah, umumnya para ulama menerima aliran ini.

Hanya terdapat segelintir golongan terasing yang masih menolak iaitu sebahagian pengikut Hanabilah dan golongan mujassimah yang berselindung di sebalik golongan Hanabilah. Mereka ini golongan minoriti dan sangat kecil jumlahnya.

Berhati-hatilah dengan Virus V6 (6 Virus Dalaman)
Agama dan umat Islam sentiasa diserang dan cuba dirosakkan sama ada dari luar ataupun dari dalam. Serangan dari luar dunia Islam contohnya dilakukan umumnya oleh Yahudi, Kristian, golongan atheis (mulhid) dan lain-lain.

Serangan dari dalam dunia Islam pula ialah dari 6 Virus Dalaman (Virus 6 Beradik/ Virus 6 Jahanam) yang ringkasnya disebut Virus V6 iaitu :
1.      V6-1   Golongan Anti-Hadith.
2.      V6-2   Ajaran Ahmadiyyah Qadiyyani
3.      V6-3   Syiah
4.      V6-4   Salafi Wahhabi (Wahabi)
5.      V6-5   Ajaran-ajaran Sesat
6.      V6-6   Fahaman SIPLIS (Sekularisme, Pluralisme, Liberalisme)

Bagaimana untuk mendapatkan kebahagiaan sejati?
Menurut Imam Al-Ghazali (dalam kitab Kimiya’ as-Sa’adah) kenalah :
i.                    Mengenal diri.
ii.                  Mengenal Allah.
iii.                Mengenal dunia.
iv.                 Mengenal akhirat.

3 sifat dalam diri kita.
i.                    Sifat malaikat.
ii.                  Sifat syaitan.
iii.                Sifat haiwan.

Kitab-kitab lain yang turut kita sentuh :
i.                    Kitab Durrun Nafis.
ii.                  Kitab Hikam Ibnu Ataillah.
iii.                Kitab Kasyful Asrar.

Kesemua rakaman kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini boleh didengar/ditonton semula di Youtube. Tuliskan “syarah ihya” pada carian Youtube.
Apa gunanya?
i.                    Supaya boleh diulang-ulang dengar atau tonton sehingga betul-betul faham.
ii.                  Supaya tidak terlepas sebarang pengisian walaupun tidak dapat hadir ke kuliah sebenar.

Apakah pelajaran kita baru kita selepas tamatnya Kitab Tauhid ini?
Kitab yang ke-36 iaitu Kitab Cinta.
Disebut oleh Imam Al-Ghazali sebagai Kitab Cinta, Rindu, Jinak Hati dan Redha.
Kitab Cinta berada pada jilid yang ke-7 (daripada 8 jilid Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin).

Akhirnya…
Sepanjang mengkuliahkan kitab ini, tentunya akan ada serba sedikit kesalahan dan banyak pula kekurangan dan kelemahan. Namun penelitian sudah dibuat sekadar yang termampu agar tidak ada sebarang kesilapan dan meminimumkan kelemahan.


- Abu Zulfiqar Al-Amsyari





No comments: