Sunday, October 21, 2012

Tazkirah Facebook 31 (Oktober 6, 2012)


Mata kita kecil, tapi boleh melihat benda yang besar, yang tidak sepadan dengan saiz dirinya. Gunung, langit, lautan…
Mata kita hitam dan putih, tapi boleh melihat dan mentafsir ribuan jenis warna. Merah, biru, kuning, campuran antara ketiga-tiganya…
Mata kita tiada perasaan, tapi boleh membawa pelbagai perasaan ke dalam diri kita melalui apa yang ia lihat. Kagum, seronok, sedih, terkejut, marah, malu, risau…

Selain itu, ada lagi keistimewaan-keistimewaan mata yang jarang-jarang kita fikirkan.
Mata kita bersifat penyayang. Apabila ia tahu yang diri tuannya sudah letih, ia memberikan isyarat supaya tuannya berehat melalui rasa mengantuk. Ia mahu tuannya kembali segar dan bertenaga.
Mata kita bersifat penyelamat. Ia pengesan utama (dan biasanya yang pertama) kepada bahaya-bahaya yang jauh, agar tuannya mengambil langkah yang sewajarnya sesegera mungkin. Api di kaki langit, ribut di hujung lautan, hentaman dari angkasa… yang telinga, kulit, lidah dan hidung tidak sampai ke sana kerana jauhnya.

Baru satu nikmat kita fikir dan kita syukuri, iaitu nikmat mata, sudah sedemikian hebat terasa.
Benarlah, sudah banyak jasa mata kepada kita.
Apa pula balasan kita kepada mata?

Mata mahukan makanan, mata mahukan hiburan, dan mata juga perlukan servis pembersihan. Adakah kita menyediakan dan memberikannya?

Antara makanan mata ialah ayat-ayat Al-Quran, wajah orang-orang soleh, tempat sujud, berjaga pada jalan Allah…
Antara hiburan mata ialah langit, gunung-ganang, tumbuh-tumbuhan, sungai, tasik, sungai, haiwan-haiwan…
Antara servis yang diperlukan mata ialah menangis kerana Allah, memandang yang hijau-hijau, air mengalir, bercelak…

Benarlah, sudah banyak jasa mata kepada kita.
Sudahkah kita membalas jasanya?
Lebih benar lagi, sudah banyak jasa Tuan Punya Mata itu kepada kita.
Apa balasan kita kepada-Nya?

Mari kita tambah masa penggunaan mata kita untuk kerja-kerja pada jalan Allah.

No comments: