Thursday, June 21, 2012

Ada Ijazah Tapi Tak Dapat Kerja?


1.0  PENGENALAN

Ramainya graduan menganggur bukan lagi perkara aneh yang sering bergema di telinga kita. Segulung ijazah yang menjadi kebanggaan bukan lagi tiket untuk mendapatkan kerjaya yang baik dengan mudah. Sememangnya terdapat pelbagai faktor yang menyumbang ke arah situasi ini. Salah satunya ialah kerana graduan tidak punya elemen-elemen penting yang menjadi keutamaan pada pihak majikan terutamanya kemahiran-kemahiran tertentu ‘employability’.

Terdapat pelbagai kemahiran penting yang menjadi perhatian para majikan seperti yang dinyatakan oleh ‘Secretary’s Commission on Achieving Necessary Skill’ (SCANS, 1991). Tiga kemahiran utama yang dimaksudkan ialah kemahiran teknikal, kemahiran akademik dan kemahiran ‘employability’. SCANS telah menjalankan kajian dan berjaya mengenal pasti tujuh kompetensi utama kemahiran ‘employability’ yang diperlukan oleh majikan terutamanya pada peringkat awal kemasukan bekerja. Tujuh kemahiran tersebut ialah kemahiran asas, kemahiran berfikir, kemahiran sumber, kemahiran informasional, kemahiran interpersonal, kemahiran sistem dan teknologi, serta kualiti personal.

Tulisan ini akan menghuraikan beberapa kemahiran penting yang diteropong dan diperlukan oleh pihak majikan pada para graduan. Kemudian akan dibentangkan pula beberapa saranan kepada graduan masa depan, badan-badan kerajaan dan instistusi-institusi pendidikan untuk memastikan agar graduan masa depan dapat dilengkapkan dengan kemahiran-kemahiranyang disebutkan itu.

2.0 KEMAHIRAN-KEMAHIRAN YANG DICARI OLEH MAJIKAN PADA GRADUAN

2. 1 Kemahiran Interpesonal.

Antara kemahiran penting yang dicari oleh majikan pada graduan masa depan ialah kemahiran interpersonal. Majikan mahukan graduan yang boleh berkomunikasi dengan baik dengan orang-orang di sekeliling mereka sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung, sama ada secara berdepan ataupun melalui media perhubungan. Kemahiran ini dapat melancarkan kerja-kerja dan meningkatkan semangat berkumpulan. Kemahiran ini juga sangat penting untuk memimpin, mengurus dan berhubung secara berkesan dengan pekerja lain.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. Fong Chan Onn sebagaimana yang dipetik oleh Dewan Masyarakat keluaran Februari 2006 mengatakan bahawa kebanyakan graduan tidak aktif berinteraksi dalam kerja berpasukan dan kurang komitmen dalam pekerjaan mereka. Kata-kata ini menunjukkan betapa pentingnya kemahiran interpersonal pekerja pada kaca mata majikan. Situasi graduan yang sedemikian tentunya akan menurunkan kualiti dan kuantiti kerja.

Pengarah Prospect Consulting Sdn Bhd, Nina Adlan yang menyediakan khidmat nasihat kepada institusi pendidikan yang berhasrat menubuhkan kampus cawangan di Malaysia mengatakan : “Apalah gunanya mempunyai keputusan akademik yang baik apabila mereka tidak boleh berkomunikasi, tidak boleh berbual dengan lancar dan tidak mempunyai keyakinan?”

Jurnal pendidikan Malaysia 34(2)(2009): 67-69 dengan tajuk “Aspek Kemahiran ‘Employability’ yang Dikehendaki Majikan Industri Pembuatan Masa Kini” mengatakan bahawa antara kemahiran terpenting yang paling diutamakan oleh syarikat bersaiz besar ialah kemahiran interpersonal dalam melayan pelanggan, melakukan keupayaan kepimpinan dan melakukan perundingan.

Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 4 Mac 2012 pula melaporkan bahawa graduan yang lahir daripada sistem pendidikan Malaysia gagal memenuhi kehendak bakal majikan kerana kekurangan kemahiran berfikir secara kritis dan lemah dalam berkomunikasi.

Jelaslah kepada kita bahawa sememangnya graduan mestilah dilengkapkan dengan  kemahiran interpersonal untuk berjaya  di kemudian hari.

2. 2 Kemahiran Berbahasa Inggeris.

Kemahiran kedua yang semakin diambil kira oleh majikan ialah kemahiran berbahasa Inggeris, sekurang-kurangnya dalam perbualan dan penulisan asas. Hal ini kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa maklumat dunia hari ini di peringkat global. Banyak bahan rujukan dan maklumat terkini ditulis dalam bahasa Inggeris. Dunia tanpa sempadan semakin mewujudkan persekitaran interaksi yang lebih luas, tidak terhad kepada batas negara ini sahaja. Ketiadaan kemahiran ini akan menyebabkan kelembapan keupayaan mengakses maklumat dan menyukarkan komunikasi. Pihak majikan boleh mengalami kerugian.

Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 4 Mac 2012 memetik kata-kata Pengurus negara Manpower Staffing (M) Sdn Bhd, Sam Haggag yang mengatakan :

“Kurang pengetahuan dalam bahasa Inggeris menghadkan kebolehan mereka untuk berkomunikasi di luar sempadan Malaysia ini dan mengurangkan keyakinan mereka dan mengurangkan keupayaan  mereka untuk menambah nilai di tempat kerja.”

Beliau juga mengatakan :

“Dalam konteks tenaga kerja, kami dapati bahawa tujuh daripada 10 graduan yang datang untuk temuduga pengambilan, gagal ujian kecekapan Bahasa Inggeris yang ditetapkan oleh pelanggan kami.”

Kajian Pencapaian Akademik dan Kebolehgunaan Tenaga Siswazah di Institusi Pengajian Tinggi (Morshidi et al, 2004b) pula mendapati kemahiran berbahasa Inggeris mempunyai kesan yang signifikan terhadap kebarangkalian bekerja.

Oleh itu para graduan mestilah melengkapkan diri dengan kemahiran berbahasa Inggeris. Dengan cara ini kebarangkalian mereka untuk diterima bekerja adalah lebih tinggi.

2.3 Kemahiran Sistem dan Teknologi

Kemahiran seterusnya ialah kemahiran sistem dan teknologi khususnya yang berkaitan dengan komputer, internet, teknologi komunikasi dan seumpamanya. Hari ini banyak maklumat perlu diakses melalui internet, perisian computer, VCD, CD dan lain-lain. Apalah ertinya segulung ijazah tanpa pengetahuan tentang teknologi dan literasi komputer pada zaman ini?

Teknologi maklumat (IT) telah mengubah cara kita bekerja, berkomunikasi dan berfikir. Sungguhpun negara kita belum mencapai status masyarakat maklumat, kita sememangnya sudah dibahangi dan diserbu oleh zaman maklumat dari segala arah. Dengan menekan butang komputer dan mengakses maklumat sahaja tidaklah mencukupi, tetapi mestilah diiringi dengan kemahiran tentangnya. Kemahiran ini membolehkan kita menyelesaikan tugasan atau mencapai sesuatu objektif dengan pantas, mudah, punya kesahan dan berkesan.

Kajian yang dilakukan oleh National Association of Colleges and Employers (NACE) pada tahun 1997 menunjukkan kebanyakan  responden menitikberatkan kemahiran interpersonal, kejujuran, motivasi, kemahiran komunikasi, kemahiran analitik, kemahiran berpasukan, kemahiran komputer, kemahiran memimpin, pengubahsuaian, keyakinan diri, penmgalaman kerja dan etika kerja yang baik. Tertera di sana salah satu kemahiran yang perlu ialah kemahiran komputer.

Nampaknya mahu tidak mahu, graduan hendaklah berusaha melengkapkan diri mereka dengan kemahiran ini memandangkan tingginya nilai kemahiran ini di mata majikan.

2.4 Kemahiran Berfikir.

Kemahiran lain yang tidak kurang pentingnya ialah kemahiran berfikir, terutamanya kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Menurut Ketua Pegawai Sumber Manusia Hong Leong Bank, Ramon Chelvarajasingam, ramai graduan baru yang muncul daripada sistem pendidikan Malaysia tidak mempunyai kemahiran pemikiran kritikal yang diperlukan untuk bersaing dalam dunia yang sentiasa berubah dan menjadi semakin kompetitif.

Menurutnya kaedah dan teknologi-teknologi baharu memaksa orang ramai untuk beroperasi di luar zon selesa mereka. Di negara-negara pesaing kita, professional muda lebih maju dalam pemikiran kritikal, berinovasi, berfikir di luar kebiasaan dan mempunyai inisiatif pembangunan berterusan berbanding dalam Malaysia.” Kebanyakan majikan hari ini mencari graduan dengan tahap keyakinan yang tinggi yang terdedah kepada bidang khusus di luar pengajian akademik mereka.

Tambah beliau lagi, graduan baru ini tidak akan memberikan kita jawapan daripada buku teks, tetapi melalui jawapan mereka, mereka akan memaparkan pemikiran secara global dan menunjukkan pemahaman trend yang bergerak di dunia. Majikan biasanya bersedia untuk membayar gaji yang lebih tinggi bagi mendapatkan “sekutu global” dalam organisasi.

Ramon Chelvarajasingam juga menyarankan agar institusi pendidikan mewujudkan suasana pembelajaran yang menggabungkan pendekatan pengalaman dan pendedahan ilmu yang meluas di luar skop teori akademik. Para graduan perlu didedahkan dengan perubahan trend dan tingkah laku, dan perlu diajar kemahiran kreativiti, pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan penyesuaian.

Selain itu, jika kita perhatikan, soalan-soalan temuduga hari ini juga banyak yang memerlukan graduan berfikir di luar kebiasaan, yang memerlukan keupayaan pemikiran kritikal. Contoh soalannya : Apa yang anda cari dalam pekerjaan? Mengapa anda fikir kami perlu mengambil anda bekerja dengan kami? Sejauh manakah pendidikan anda menyiapkan anda untuk pekerjaan ini? Bolehkah pekerjaan ini memenuhi keperluan dan kehendak anda dalam kerjaya? Apa pandangan anda tentang masa depan syarikat ini?

Jelaslah di sini bahawa kemahiran berfikir sangat diperlukan oleh pihak majikan.

2.5 Kualiti Personal.

Seterusnya kita tidak boleh menafikan betapa pentingnya kualiti personal di mata majikan. Kualiti personal ialah kelakuan yang mencakupi perilaku dan nilai murni yang sedia terbina dalam diri. Menurut Linda Blake Smith, seorang professor Psikologi dan Sains Kognitif di Universiti Indiana, kualiti peribadi adalah ciri-ciri peribadi seseorang individu. Individu jenis ini dapat  membantu seseorang bersama-sama dalam situasi yang baru. Sebagai contoh, kewibawaan dan kesabaran kualiti ialah nilai yang majikan inginkan pada seseorang pekerja. Begitu juga dengan kejujuran, ketegasan, fleksibiliti, penyelesaian masalah, keramahan, kepintaran, kepimpinan, semangat, dan gurauan yang baik.

Oleh itu seseorang itu mestilah berusaha untuk menjadi seorang yang berperawakan baik dan berkesan. Sembunyikan apa yang sepatutnya disembunyikan, dan tonjolkan apa yang sepatutnya ditonjolkan. Pembawakan diri begini akan membuatkan orang berasa selesa dengan kita. Pergaulan dan percakapan kita hendaklah melambangkan identiti yang disenangi ramai. Tidak perlu menjadi terlalu ramah untuk memiliki kualiti personal yang baik.

Keyakinan diri mestilah kuat. Sikap berani bertempat tidak terkecuali. Kebolehan diri melakukan tugasan, kebijaksanaan berhadapan dengan masalah dan mempunyai ketahanan diri berurusan dengan cabaran dari segi mental dan fizikal merupakan ‘hidden criteria’ yang dinilai pada diri kita. Keupayaan mewujudkan kerjasama dalam kumpulan dan keupayaan menggerakkan kumpulan termasuklah dalam ruang lingkup ini.

Ringkasnya, walaupun kelulusan dan kemahiran itu penting namun majikan tetap memerhatikan kualiti peribadi seseorang untuk diambil bekerja.

Begitulah beberapa kemahiran penting yang dicari oleh pihak majikan pada diri graduan. Sudah semestinyalah para graduan melengkapkan diri mereka dengan kemahiran-kemahiran yang diteropong oleh pihak majikan ini untuk membolehan mereka mudah mendapat tempat dalam pasaran kerjaya.

3.0 SARANAN  KEPADA GRADUAN MASA DEPAN, BADAN-BADAN KERAJAAN ATAU INSTITUSI PENDIDIKAN DI MALAYSIA

Untuk memastikan para graduan masa depan dilengkapi dengan kemahiran-kemahiran yang dibincangkan sebelum ini, disarankan di sini beberapa langkah yang boleh diambil oleh graduan sendiri, badan-badan kerajaan dan instiusi pendidikan.

3. 1 Bahasa Inggeris di Sekolah-sekolah.

Untuk melengkapkan graduan dengan kemahiran berbahasa Inggeris, pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran tertentu boleh diajarkan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya di institusi pendidikan seperti sekolah. Mata pelajaran yang sesuai ialah mata pelajaran yang banyak melibatkan komunikasi dua hala antara guru dan pelajar seperti Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Pendidikan Seni Visual dan Kemahiran Hidup. Bahkan dalam aktiviti kokurikulum seperti ketika berlangsungnya aktiviti unit beruniform, sukan dan kelab.

Pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran yang dinyatakan di atas biasanya banyak melibatkan arahan oleh pihak guru dan maklum balas dari pihak murid. Arahan-arahan itu pula tidak lain berisi perkataan-perkataan dan ayat ringkas yang biasa digunakan sehari-hari dalam komunikasi bahasa Inggeris. Hal ini akan merangsang murid untuk mengulang dan menggunakan perkataan dan ayat yang digunakan guru kerana ia boleh digunakan selalu. Tambahan pula ia kurang melibatkan istilah yang kompleks seperti yang terdapat dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Murid-murid tentunya tidak akan menggunakan istilah-istilah Sains dan Matematik dengan keluarga mereka di rumah.

Sebaliknya arahan dan soal jawab harian melalui mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan contohnya seperti “berlari keliling padang dua pusingan”, “tepukkan tangan sambil melompat”, “ bergerak secara berpasangan”, “kami hendak bermain lagi”, “satu kumpulan berapa orang cikgu?” dan sebagainya dalam bahasa Inggeris memang melibatkan aktiviti harian mereka di rumah atau di luar sekolah. Begitu juga dalam aktiviti kokurikulum seperti arahan kawad “bergerak ke kanan”, “pandang depan”, “bergerak tiga langkah ke kanan” dan sebagainya.

3.2 Rombakan Objektif Kemahiran Bahasa

Di institusi pengajian tinggi pula, antara langkah yang boleh diusahakan ialah seperti merombak semula objektif program kemahiran bahasa Inggeris yang ditawarkan, malah sentiasa dinilai semula agar bersesuaian dengan keperluan semasa dan akan datang. Hasil pembelajaran program hendaklah merangkumi kompetens dan kemahiran bahasa yang membolehkan pelajar menguasai bahasa Inggeris bagi keperluan akademik, pekerjaan dan sosial.

Satu lagi, pihak institut pengajian tinggi juga sepatutnya mengadakan peperiksaan Bahasa Inggeris di penghujung semester akhir, sebagaimana peperiksaan kemasukan ke institut pengajian tinggi iaitu Malaysian University English Test (MUET). Untuk masuk ke institut pengajian tinggi perlu ada penilaian kemahiran bahasa Inggeris, maka pada penghujung tempoh belajar mereka di insitut pengajian tinggi, perlu juga ada satu penilaian kemahiran bahasa Inggeris. Hal ini supaya para graduan yang bakal keluar ke medan pekerjaan memiliki keupayaaan berbahasa Inggeris yang boleh diterima oleh pihak majikan.

Kajian oleh Zuraidah Mohd. Don et al. (2006) tentang pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di IPTA serta prestasi semasa kemahiran bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar IPTA turut mencadangkan kedua-dua langkah di atas.

3.3 Semakan Kurikulum

Kurikulum sekolah dan universiti juga mestilah disemak dan diperbaiki dengan lebih giat lagi dari semasa ke semasa agar selaras dengan perkembangan dunia terkini. Pihak universiti mestilah melakukan penyelidikan tentang jenis kemahiran terkini dan berada pada ranking atas yang diperlukan oleh majikan. Dapatan penyelidikan itu akan direalisasikan dalam bentuk kurikulum universiti. Melaui kurikulum inilah para graduan dapat dilatih dan dibentuk agar menjadi individu yang bersesuaian dengan pasaran pekerjaan apabila mereka keluar ke medan pekerjaan kelak.

Kurikulum universiti yang dibentuk untuk menyediakan pelajaran secukupnya dengan asas kemahiran dan ilmu bidang terpilih dapat membantu graduan ‘berfungsi’ dalam dunia sebenar. Keupayaan mereka ‘berfungsi’ dalam dunia sebenar itulah yang dicari-cari oleh pihak majikan.

3.4 Peranan Graduan.

Saranan kepada graduan masa depan pula, mereka hendaklah berusaha melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang belum mereka kuasai. Penuhkan ruang masa yang ada terutamanya sepanjang masa menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Empat lima bulan itu sangat bermakna dan perlu diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat.

Contohnya akhbar Utusan Malaysia 31 Mei 2011 menyiarkan maklumat tentang Institut Generasi yang menawarkan kursus pengaturcaraan komputer, pembangunan laman web, kesetiausahaan dan pentadbiran pejabat yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran pekerjaan. Kursus di Institut Generasi selama enam bulan itu berpandukan kepada Standard Piawaian Kemahiran Kebangsaan (NOSS).

Ruang-ruang seperti inilah yang mesti dimanfaatkan sebaiknya graduan masa depan agar dapat melengkapkan diri sendiri dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh majikan. Sikap hanya duduk menunggu diri sendiri dilatih program yang dirancang oleh pihak lain perlulah diketepikan pada hari ini. Kita sendiri mestilah berusaha melengkapkan diri walaupun sesuatu kemahiran itu tidak terdapat dalam program-program yang kita sertai di institusi pendidikan.

3.5 Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Seterusnya, badan-badan kerajaan hendaklah mewujudkan program-program latihan di luar waktu persekolahan. Contoh terbaik ialah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Hal ini kerana melalui program seperti inilah kualiti personel seseorang bakal graduan dapat dipertingkatkan. Laman web rasmi PLKN sendiri menjelaskan bahawa antara objektif PLKN ialah untuk membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni, menyemarakkan semangat kesukarelaan, dan melahirkan generasi muda yang lebih cergas, cerdas dan penuh keyakinan diri.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang sesi PLKN dimaklumi memang dapat membina sifat kepimpinan, bekerjasama, mengurus, semangat kekitaan, semangat persaingan dan kemahiran komunikasi.

4.0 KESIMPULAN

Dengan bekalan pelbagai kemahiran yang diteropong oleh pihak majikan kepada para graduan, peluang mereka untuk mengisi ruang kerjaya memang luas. Keadaan ini akan mengurangkan masalah graduan menganggur dan kebergantungan negara kepada tenaga luar.

Dalam usaha untuk memastikan graduan dilengkapi dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh majikan, kerjasama semua pihak amatlah diharapkan. Tanggungjawab ini bersifat kolektif, bukannya perseorangan. Oleh itu semua pihak mesti memainkan peranan masing-masing dengan sebaik mungkin.  


Abu Zulfiqar 2012
    

SENARAI RUJUKAN

Abd Hair Awang et al. (2008). Kompetensi Tenaga Kerja : Keseimbangan Antara Tuntutan Majikan dan Penguasaan Pelatih. Jurnal Pembangunan Belia Malaysia, 1, 135-164.

Khairol Mohd Salleh, Nur Lisa Sulaiman, & Khairul Nazry Talib. (2010). Globalisation’s Impact on Soft Skills Demand in the Malaysian Workforce anda Organisations : What makes graduates employable?

Hariati Azizan, & Lee Yen Mun (2011, August 11). Top jobs only for those who know the language well. The Star.

Mohamad Sattar Rasul et al. (2009). Aspek Kemahiran ‘Employability’ yang Dikehendaki Majikan Industri Pembuatan Masa Kini. Jurnal Pendidikan Malaysia, (34)2, 67-79.

Yahya Buntat. (2001, Disember). Kajian-kajian Berkaitan dengan Aspek-aspek Kemahiran ‘Empoyability’ yang Diperlukan oleh Para Majikan Universiti. Buletin Fakulti Pendidikan.











http://www.khidmatnegara.gov.my/?page_id=23

No comments: