SOALAN :
Kenapa saya tak ada rasa yang ikhlas dan jujur kepada Allah? Saya solat,saya percaya kepada Allah...tapi saya tak dapat nak cari ilmu yang lebih mendalam kerana saya bukan dari kalangan yang bijak dari segi akademik...Allah terima tak doa orang yang bodoh dan lemah dalam segala hal ni? Kenapa Allah lahirkan saya dalam keluarga yang jauh dari agama. Kekadang saya cemburu tengok ustaz-ustaz ustazah-ustazah yang berpeluang mendekati agama sebab keluarga keturunan yang baik dari segi agama. Kenapa saya terasa disisih Allah dalam hal ni. Saya akan dihukum kerana sesuatu semulajadi yang Allah dah berikan pada saya. Kenapa saya tak dapat kecerahan sepertimana saudara, kenapa saya tak dapat lihat keindahan Islam seperti Tuan......doa saya tak laku kah? Solat saya tak cukup baik untuk Allah?
JAWAPAN :
“Kenapa saya tak ada rasa yang ikhlas dan jujur kepada Allah?”
Rasa jujur dan ikhlas itu ialah sesuatu yang DIBINA. Ia tidak datang secara tiba-tiba kepada kita (tapi tidak mustahil jika Tuhan mahu menganugerahkannya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki walau dalam masa sesaat). Sifat jujur dan ikhlas ini termasuk dalam SIFAT-SIFAT MAHMUDAH, iaitu sifat-sifat yang terpuji pada syarak. Imam Al-Ghazali menghuraikan dengan panjang lebar tentang sifat-sifat mahmudah ini dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin. Jadi, untuk membina sifat jujur dan ikhlas ini, antara usaha yang boleh dilakukan ialah:
1. Berdoa minta Tuhan jadikan kita seorang yang jujur dan ikhlas. Hanya Dia yang berkuasa menjadikan kita jujur dan ikhlas. Berdoalah pada bila-bila masa pun. Lebih baik jika dapat berdoa selepas solat tahajjud. Bangun mengerjakan solat tahajjud itu sendiri sebenarnya mendidik kita untuk jujur dan ikhlas, kerana ibadah itu tidak disaksikan/diketahui oleh orang lain. Kita tidak dapat menunjuk-nunjuk kepada sesiapa pun, hanya diri kita dengan Kekasih kita (Tuhan) sahaja. Cubalah.
2. Banyakkan bergaul dengan orang yang baik-baik, terutamanya yang cenderung ke arah keagamaan. Jika tidak punya rakan-rakan sebegini, rapat-rapatkanlah diri dengan golongan ini, cari kawan-kawan baru. Pergaulan dan interaksi kita dengan orang yang baik-baik banyak mempengaruhi peribadi kita termasuklah pembinaan sifat jujur dan ikhlas.
3. Carilah kelas-kelas agama terutamanya guru-guru yang mengajarkan tasawuf. Dari situ kita akan mengetahui tentang sifat jujur dan ikhlas, ciri-cirinya, punca-puncanya, cara-cara ke arahnya dan sebagainya. Memang sukar untuk mendapatkan jujur dan ikhlas sekiranya kita sendiri belum mengenal apa itu jujur dna ikhlas menurut pandangan agama. Begitulah antara pesanan Imam Al-Ghazali. Duduklah dalam majlis-majlis pengajian tersebut.
“Saya solat,saya percaya kepada Allah...tapi saya tak dapat nak cari ilmu yang lebih mendalam kerana saya bukan dari kalangan yang bijak dari segi akademik...”
Alangkah besarnya NIKMAT SOLAT dan NIKMAT PERCAYA KEPADA ALLAH yang anda perolehi selama ini... Sebenarnya di luar sana sangat ramai orang di seluruh dunia yang tidak mengerjakan solat malah ramai lagi yang tidak percaya kepada Allah. Anda mungkin tidak menyedari bahawa selama ini anda sudah pun diletakkan Tuhan di tempat yang baik berbanding ratusan juta orang lain, kerana anda seorang yang mengerjakan solat dan percaya kepada Allah!
Bahkan, perasaan ingin jujur dan ikhlas yang anda ingini itu sebenarnya satu nikmat yang cukup besar! Berapa ramai orang di dunia ini yang ada terfikir untuk memperolehi jujur dan ikhlas? Bahkan dalam kalangan ilmuwan agama termasuklah ustaz ustazah pun ada yang buat tidak endah perihal jujur dan ikhlas ini! Mereka hanya belajar ilmu, menyampaikan ilmu dan melakukan amal ibadah. Itu sahaja kerja mereka. Jujur dan ikhlas tidak diusahakannya pun, malah tidak dikenalinya pun.
Oleh itu, tidak perlulah anda keterlaluan menyesali perjalanan hidup anda, kerana anda sudah pun berada di laluan/ landasan yang betul. Tugas anda sekarang ialah untuk memperbaiki lagi apa yang sudah anda miliki. Berusahalah sekadar termampu untuk menambahkan ilmu-ilmu agama, meningkatkan keimanan dan menambah amal-amal soleh.
Selain itu, Tuhan juga tidak memberatkan seseorang itu di luar daripada kemampuan dirinya. Setakat mana beban yang mampu kita tanggung, seberat itu sahajalah yang Tuhan bebankan buat kita, tidak lebih. Tuhan tahu beban yang termampu kita tanggung ialah beban seorang insan biasa, maka setakat itu sahajalah beban yang diberi-Nya dan perlu kita tanggung, tidak lebih. Sebab itulah kita tidak dijadikannya ustaz, ulama, khalifah dan lain-lain. Tuhan tahu beban yang termampu untuk orang lain tanggung ialah beban seorang ustaz, ulama, khalifah dan lain-lain, maka seberat itulah beban yang diberi-Nya kepada mereka dan mesti mereka tanggung. Begitulah adilnya pekerjaan Allah SWT.
Kiat dimasukkan ke dalam syurga kerana rahmat Allah, bukannya kerana akademik. Akademik hanyalah salah satu usaha yang mesti kita lakukan sebagai menyahut perintah Allah, tapi ia bukan tiket untuk mendapatkan kejayaan. Kan ramai ahli akademik dan orang yang punya akademik tinggi tetapi jahil dan jauh dari agama? Oleh itu anda tidak perlu terlalu risau. Risau itu boleh, tetapi biarlah berpada-pada risaunya. Jangan sampai terlalu memberatkan akal fikiran.
“Allah terima tak doa orang yang bodoh dan lemah dalam segala hal ni?”
Tuhan Maha Pemurah. Dia juga Maha Penyayang. Tidak ada yang lebih pemurah dan lebih penyayang selain Allah. Dengan sikap Pemurah dan PenyayangNya itu, pasti saja Dia menerima doa hamba-hamba-Nya tanpa mengira bodoh pandai atau lemah gagah. Tugas kita ialah berdoa dan terus berdoa. Selebihnya urusan Tuhan. Allah memang memerintahkan kita berdoa. Apabila kita berdoa sahaja, bertambahlah kasih sayang Allah kepada kita.
“Kenapa Allah lahirkan saya dalam keluarga yang jauh dari agama. . kekadang saya cemburu tengok ustaz2 ustazah2 yang berpeluang mendekati agama sebab keluarga keturunan yang baik dari segi agama.
”
Allah mengetahui rahsia yang tidak kita ketahui. Kebanyakan para rasul dan nabi pun lahir dalam kalangan keluarga dan masyarakat yang jauh dari agama. Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Lut, Nabi Yunus, Nabi Muhammad dan lain-lain kan menerima nasib seperti itu? Maksudnya, lahir dalam keluarga yang jauh dari agama pastinya punya hikmah tersendiri, kerana Allah Maha Adil dan Maha Bijaksana. Boleh jadi, jika anda lahir dalam keluarga yang ustaz ustazah, anda tidak punya kesedaran untuk meningkatkan ikhlas dan jujur sebagaimana sekarang.
Terlalu ramai ilmuwan agama dan orang biasa yang soleh serta para pendakwah yang saya temui, berasal dari keluarga yang jauh dari agama. Saya sendiri datang dari keluarga, saudara-mara, kejiranan dan masyarakat yang jauh dari agama. Ketika kecil dan remaja, saya langsung tidak pernah terfikir untuk mengambil tahu hal ehwal agama, apatah lagi untuk mengajar dan mendakwahkannya kepada orang lain. Tidak ada minat. Namun perancangan Allah begitu ajaib, saya dipilihnya untuk mengalami perubahan drastik suatu ketika dahulu.
Orang yang datang dari keluarga yang baik-baik pun adakalanya jauh dari Tuhan. Contohnya salah seorang anak Nabi Adam, salah seorang anak Nabi Nuh, isteri Nabi Lut dna lain-lain. Ada pula orang yang datang dari keluarga yang jauh dari Tuhan, tetapi dia menjadi orang yang soleh. Contohnya isteri Fir’aun, anak Abu Jahal, Nabi Ibrahim sendiri dan lain-lain.
Oleh itu, janganlah disesali kelahiran kita dari keluarga yang jauh dari agama. Itu perancangan Tuhan yang sudah berlaku. Tugas kita sekarang ialah untuk berusaha sekadar yang termampu (jangan melebihi kemampuan) untuk menambahkan ilmu-ilmu agama, meningkatkan keimanan dan mempertingkatkan amal-amal soleh. Yang sudah berlalu itu, memang kita kena kenang juga dan ambil iktibar. Niatkan (contohnya) : “Aku mahu diri aku dan keluarga aku sekarang lebih baik daripada diri dan keluarga aku ketika kecil dahulu.” Dan kita usahakan matlamat itu.
“Kenapa saya terasa disisih Allah dalam hal ni? Saya akan dihukum kerana sesuatu semulajadi yang Allah dah berikan pada saya. Kenapa saya tak dapat kecerahan sepertimana saudara, kenapa saya tak dapat lihat keindahan Islam seperti Tuan......doa saya tak laku kah? Solat saya tak cukup baik untuk Allah?”
Sebenarnya Allah Maha Penyayang. Dia tidak pernah menyisihkan anda sebagaimana yang anda rasai. Kita renung kembali nikmat yang Allah kurniakan kepada kita baik-baik...
Dalam jutaan ekor sperma yang mengalir ke rahim ibu kita, kan Dia memilih kita untuk disenyawakan? Jutaan sperma lagi (iaitu adik-beradik kita) tidak terpilih pun. Mereka tidak berpeluang pun untuk lahir melihat kecerahan alam dan isi kandungan alam yang ajaib-ajaib ini. Bahkan mereka tidak sempat pun menikmati syariat Nabi Akhir Zaman, penghulu sekelian nabi. Mereka tidak sempat merasai makanan yang lazat-lazat, nikmat oksigen, nikmat memandang, nikmat mengerjakan solat dan sebagainya. Bagaimana kita boleh mengatakan yang Allah menyisihkan kita?
Selama hari ini juga, sama ada kita langgar perintah Allah (melakukan dosa) atau tidak, Tuhan masih berterusan mengurniakan nikmat-nikmat-Nya kepada kita. Sepatutnya, setiap kali kita melakukan kesalahan/ dosa, teruslah kita dihukum. Tapi, atas kasih sayangNya Dia tak menyekat pun makanan kita, penglihatan kita, oksigen kita dan sebagainya.
Katakanlah kalau kita tidak menunaikan satu waktu solat, sebelah tangan akan hilang diambil oleh Tuhan. Tapi Tuhan tak buat begitu. Katakanlah sekali kita tinggalkan solat Subuh, Tuhan kunci mulut kita sampai waktu Zohor, tidak boleh makan dan minum. Tapi Tuhan tak buat begitu. Pendek kata, Tuhan tidak pernah menyisihkan kita.
Kesimpulannya, yang perlu anda lakukan sekarang ialah dengan meneruskan doa dan usaha ke arah yang dikehendaki, dengan lebih gigih. Di akhirat nanti, ada jauh lebih banyak nikmat-nikmat Allah yang menanti kita berbanding dalam kehidupan di dunia ini. WaAllahua’lam.
Abu Zulfiqar
27 JULAI 2011
1 comment:
Sungguh terharu dengan artikel ini..Ada kaitan dengan diri saya...
Post a Comment