Monday, July 18, 2011

Teks Kuliah Syarah Ihya' 9

http://www.youtube.com/watch?v=au9bM01hmAc


Kemudian kata Imam Al-Ghazali... sebagaimana dalam nota itu saya tulis ‘Hikmah Al-Ghazali 1’. Hikmah-hikmah Al-Ghazali ini saya kumpul-kumpul supaya boleh dijadikan satu buku ringkas, sebagaimana mencontohi kitab Hikam Ibnu ‘Ataillah.

Kata Imam Al-Ghazali : “Akhirat itu di hadapan, dunia itu di belakang. Ajal itu dekat. Perjalanan itu jauh. Perbekalan itu sedikit. Bahaya itu besar. Dan jalan itu tertutup.” Ini kata Imam Al-Ghazali. Jadi, apa maksud kata-katanya ini?

Dia kata akhirat itu di depan, dunia ini di belakang. Ajal, maksudnya mati itu, dekat. Sedangkan perjalanan itu jauh. Bekal pula sedikit. Bahaya pula besar dan jalan itu pula tertutup. Yang ini kita kena hurai. Nampak ringkas, nampak mudah, tapi sebenarnya ada banyak benda di dalamnya.

Yang pertama Imam Ghazali kata : “Akhirat itu di hadapan.” Sebab apa akhirat itu di depan? Akhirat itu di depan sebab kita sekarang sedang menuju ke akhirat, tapi kita tidak perasan. Akhirat itu di depan kita, kita sedang pergi, pergi, pergi, pergi... kerana kita sedang menuju kepada kematian. Kita bukannya berpatah balik. Kita lahir-lahir sahaja, kita (secara) automatik sedang menuju ke akhirat. Lahir sahaja, (maksudnya) sedang menuju ke akhirat. Sebab itulah dikatakan akhirat itu di hadapan. Dunia ini kita makin tinggalkan di belakang.

Contohnya macam kita dari bumi hendak pergi ke bulan. Kita naik roket. Sungguhpun kita masih berada dalam ruang angkasa bumi, tapi sebenarnya kita sedang meninggalkan bumi. Bumi sudah di belakang, bulan nun di hadapan. Jadi matlamat kita itu (bulan) yang mesti diutamakan, bukannya (utamakan) benda yang hendak kita tinggalkan. Sebab itulah dia kata : “Akhirat itu di hadapan.”

Kenapa dunia ini di belakang? Ingat tadi kata Imam Al-Ghazali : “Akhirat itu di hadapan, dunia itu di belakang”? Mengapa dia cakap begitu?

Dunia di belakang, macam yang kita cakap tadilah, sebab semakin lama ia semakin kita tinggalkan. Makin tinggal, makin tinggal, makin tinggal... bukan makin dekat dengan dunia, makin ditinggal. Hari (kita) akan mati itu, semakin dekat. Hari kita dilahirkan, semakin lama semakin menjauh. Walaupun kita baru lahir semalam, tapi kita (tetap sedang) bergerak menuju hari mati. Begitu ceritanya.

Jadi apabila kita sudah faham seperti ini, tentulah kita ada tindakan. Antara tindakannya kita hendaklah selalu zikrul maut – ingat mati. Sebelum tidur malam itu kita ingat : “Malam ini matikah aku?” Dengan cara mengingati mati ini kita bersemangat hendak tambah keimanan, tambah ilmu, tambah amal. Itu yang dikatakan : “Cukuplah mati sebagai peringatan.”

Masalahnya sekarang, kita ini takut untuk mengingati mati. Tahu tahu... mati. Itu lagi bahaya. Lebih baik kita selalu ingat : “Matikah aku?” Yang itu lebih menolong.

Kemudian Imam Al-Ghazali kata : “Ajal itu dekat.” Kenapa dikatakan ajal itu dekat? Sebab mati ini sedang mendatang, datang, datang. Ia bukannya pergi, pergi, pergi. Yang pergi, pergi, pergi ialah dunia. Yang datang, datang, datang ialah mati. Makin lama makin dekat. Kemudian dikatakan ajal itu dekat kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa. (Berlaku pada) masa yang kita tidak sangka-sangka. Dan ia berlaku pula cukup cepat, kalau Tuhan hendak bagi cepat.

Kemudian ajal itu dekat kerana malaikat maut sampai itu sekejap (cepat). Dia dekat sangat dengan kita, kita tidak boleh hendak menghalang. Kita duduklah dalam ketul ais ke, dalam peti ais ke, duduk dalam peti besi ke, di mana-mana sekalipun, dia (tetap) boleh lepas, malaikat maut ini. Sebab itu dikatakan ajal itu dekat.

Jadi kita kena renung-renung selalulah. Bila agaknya aku ni mati? Sekejap lagikah? Tidak mustahil! Ataupun sekarang, tidak mustahil juga. Tengah-tengah mengajar tiba-tiba pengsan! Orang raba nadi, tengok-tengok ‘sudah tidak ada’. “Oh mati dah ustaz yang mengajar ni.” Boleh jadi.

Masa kita tidur malam nantikah mati? Boleh jadi. Besok pagi? Boleh jadi. Dalam perjalanan balik (dari majlis kuliah) nantikah? Boleh jadi. Itu yang dikatakan mati ini dekat. Ia tidak jauh. Kita tidak boleh mencium baunya, tapi ia sangat dekat. Itulah kata Imam Ghazali.

Ada sebuah lagu yang bercerita tentang mati, yang saya ubahsuai dari lagu lain. Lagunya ringkas sahaja, beginilah bunyinya... hayati dia punya lirik.


Setiap yang bernyawa pasti mati.

Itu sudah dijanji Ilahi.

Pasti nanti kita kan bertemu mati.

Mungkin esok, mungkin juga hari ini.


Dan pasti bila nanti kita kan bertemu mati

Bertemu dengan Tuhan yang menjadikan kita semua

Mengira dosa pahala

Menuju tempat abadi

Syurga ataupun neraka.


Jadi mati ini boleh berlaku bila-bila masa. Dalam lagu itu dikata “pasti!”. Bila? Tak tahu! Matlamat akhir kita – syurga ataupun neraka.

Hadirin yang dirahmati Allah sekelian,

Seterusnya Imam Al-Ghazali kata : “Perjalanan itu jauh.”

“Akhirat itu depan, dunia itu di belakang. Ajal itu dekat. Perjalanan itu jauh.”

Kenapa dia cakap : “Perjalanan itu jauh?” Kita tengok di dunia ini, kita hendak dapatkan satu-satu pekerjaan yang selesa apabila dewasa pun susah. Dari kecil emak kita menjaga kita, kemudian masuk sekolah tadika (pra-sekolah), masuk sekolah rendah, masuk pula sekolah menengah, amsuk universiti pula, hadiri temuduga pula... barulah dapat kerja. Berapa tahun tu? Berbelas tahun, berpuluh tahun.

Ini hendak menuju alam akhirat, matlamat yang terakhir iaitu syurga ataupun neraka, ada banyak alam. Antaranya alam sakaratul maut – masa kita hendak mati itu. Nampak macam sekejap, tapi Tuhan boleh bagi panjang. Kita kata : “Dia itu (hendak) mati sekejap sahaja.” Tercungap-cungap 3 saat... mati. Tapi (walaupun) kita nampak 3 saat, Tuhan boleh bagi panjang (lama masanya) – 24 jam, 2 tahun, 1,000 tahun? Kita tak tahu. Orang yang mengalaminya itu sahaja yang tahu. Itu alam sakaratul maut.


No comments:

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails