Monday, July 11, 2011

Nabi Muhammad Seorang Ummiy

Benarkah Nabi Muhammad saw seorang yang ummiy, iaitu tidak tahu membaca dan menulis?

Ya.

Adakah sifat ummiy itu menunjukkan kelemahan buat diri Nabi saw?

Tidak, bahkan ia suatu keistimewaan yang sangat luar biasa?

Mengapa begitu?

Kerana jika Nabi Muhammad tahu menulis dan membaca, pasti ramai orang akan mengatakan Al Quran itu dikarang oleh Nabi Muhammad. Mereka akan menuduh Nabi Muhammad membaca kitab-kitab Yahudi dan Nasrani lalu meniru dan menyusunnya semula. Namun kerana Nabi Muhammad tidak boleh membaca dan menulis, ia menjadi salah satu bukti bahawa Al Quran itu tidak direka atau disusun semula oleh Nabi Muhammad, melainkan Al-Quran ialah wahyu daripada Allah SWT. Matilah hujah para penuduh itu.

“Dan engkau (Muhammad) tidak pernah membaca sesuatu kitab sebelum (diturunkan Al-Quran), dan engkau tidak (pernah) menulis suatu kitab dengan tangan kananmu, sekiranya (engkau pernah membaca dan menulis), nescaya ragu orang-orang yang mengengkarinya.” (Al-‘Ankabut : 48)

Selain itu, ilmu pengetahuan Rasululah saw banyak datang terus daripada Tuhan melalui wahyu ataupun hikmah. Ringkasnya baginda tidak perlu kepada membaca dan menulis kerana dirinya penuh dengan pelbagai ilmu walaupun tanpa melalui jalan membaca dan menulis. Orang yang boleh melintas sungai dengan berjalan di atas air, tidak perlulah kepada dia untuk mencari sampan dan mendayungnya.

Bukankah Nabi Muhammad kenal beberapa kalimat berhuruf, yang membawa maksud baginda boleh membaca?

Kalimat-kalimat itu dikenalnya sebagai simbol, sebagimana anak-anak kecil yang masih belum boleh membaca tahu maksud perkataan-perkataan tertentu, kerana mereka melihatnya sebagai simbol.

No comments: