Sifat2
mazmumah (yang keji pada syarak) itu ada banyak. Contohnya boros,
bakhil (kedekut), terpesona dengan dunia (cinta dunia), ujub, riak,
buruk makan minum, kotor lidah, sombong bongkak, pemarah, melampau
sensitif, gilakan pujian, dan bermacam-macam lagi. Tapi arwah mursyid
saya dulu lebih kerap tekankan tentang satu sifat mazmumah iaitu
hasad (dengki, iri hati) dalam pengajaran dan kata-katanya. Ketika
itu saya pun berasa pelik juga memandangkan sifat2 mazmumah yang lain
pun sangat berbahaya dan mungkin lebih berbahaya. Lalu mengapa sifat
hasad itu pula yang seolah-olah lebih ditekankan? Ketika itu usia
saya 20-an. Maka saya pun berusahalah agar sifat ini jika tidak
hilang pun daripada diri, sekurang2nya ia terhenyak dan jadi sangat
minima. Sebagai manusia biasa, memanglah sifat2 mazmumah sentiasa
cuba memikat jiwa kita.
Suatu
ketika sampailah
saya ke usia 40-an. Pada masa itu barulah amat jelas lagi yakin
betapa sifat dengki itu memang antara yang paling berbahaya.
Saya
tafakurkan pengalaman2
diri sendiri, pengalaman orang2 lain, dan peristiwa2 sejarah,
bolehlah jika mahu dikatakan bahawa sifat iri hati itulah yang paling
banyak berperanan menimbulkan masalah. Terlalu
banyak hal
buruk yang
bermula dengan hasad (dengki, iri hati).
Bermula
dengan kisah Iblis dan Adam, seterusnya kisah Habil dan Qabil, Yahudi
menolak kerasulan Nabi Muhammad, Hang Tuah difitnah, dan sebagainya.
Terlalu banyak. Ditambah dengan pengalaman2 yang dialami sendiri yang
memang cukup banyak, juga dengan mengambil iktibar daripada
pengalaman orang2 lain. Jelas sangat betapa berbahayanya sifat hasad
dengki ini dan betapa besar kesan buruknya. Terkena ‘ain atau
penyakit ‘ain juga berkait rapat dengan dengki.
Akan
selalu ada orang2 yang hasad (dengki, iri hati) akan kita, tetapi
kita jangan ada hasad terhadap orang lain. Segala rezeki dan
kelebihan yang diperoleh oleh orang lain itu, Allah yang kurniakan.
Adakah kita tidak berpuas hati dengan Allah? Sepatutnya kita turut
ada rasa suka dan mempunyai hati yang meraikan apabila orang2 lain
mendapat sesuatu rezeki, kegembiraan, kelebihan, kelepasan,
keselesaan dan sebagainya.
Marilah
kita melapangkan kepala dan hati qalbu kita dengan cara menghilangkan
dan menjauhkan diri daripada sifat mazmumah hasad (dengki, iri hati)
itu. Insya-Allah akan berasa lapang, tenang, bahagia, selesa dan
sukacita.
*Hendak
menundukkan sifat hasad itu, kenalah kenal apa itu hasad, apakah
bahaya2nya, apakah tanda2 kita sudah terkena, bagaimanakah cara
menghilangkannya, apakah tanda2 ia sudah menghilang dan seumpamanya?
Dalam kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin ada. Jika disyarahkan lagilah
bermanfaat.
12/2/24