Thursday, November 5, 2015

Syariat dan Hakikat Cinta



Dalam pelajaran cinta Allah ini, apakah had paling bawah bagi orang-orang awam, yakni orang-orang yang hanya ada ilmu syariat (yang belum belajar ilmu hakikat)?

Mesti (wajib) mencintai Allah nombor 1. Mesti (wajib) mencintai Allah melebihi yang lain-lain. Tidak boleh mencintai sesuatu lebih daripada mencintai Allah. Bahkan tidak boleh mencintai sesuatu setara dengan mencintai Allah. Dalam ranking kecintaan, Allah mestilah nombor satu.

Itulah had paling bawah yang mesti dicapai.

*Rata-rata ahli masyarakat kita berada dalam golongan ini.
*Majoriti umat Islam pun berada dalam golongan ini.
*Bahkan sebahagian orang yang bergelar ilmuwan agama pun berada dalam golongan ini.

Apakah had paling bawah bagi orang-orang syariat yang belajar dan sudah ada ilmu hakikat pula?
Selain yang di atas tadi, mereka mesti meyakini bahawa pada hakikatnya Yang Mencinta hanyalah Allah, dan Yang Dicinta juga ialah Allah. Yang Mencinta dan Yang Dicinta adalah sama, adalah satu. Hanya ada satu cinta, iaitu CINTA ALLAH. Begitulah dari segi hakikatnya.

Yang ada hanyalah pekerjaan Allah, tidak ada sebarang pekerjaan makhluk, pada hakikatnya.

Keindahan Zahir, Keindahan Batin



Keindahan zahir dapat dikesan oleh mata zahir. Sebab itulah mata zahir mencintai keindahan-keindahan yang zahir. Contohnya kecantikan rupa paras manusia, keindahan pemandangan, kebagusan rekabentuk kenderaan dan sebagainya.

Keindahan batin pula dapat dikesan oleh mata batin (mata hati/deria keenam/sayap kerohanian). Sebab itulah mata batin berupaya mencintai keindahan-keindahan yang batin. Contohnya kecantikan sifat sabar, keindahan sifat ikhlas, kehebatan sifat berilmu, dan sebagainya.

Apabila kita mencintai orang-orang soleh, kita bukanlah mencintai fizikal mereka tetapi mencintai kerohanian mereka yang cantik/bagus. Kerohanian yang bagus ini kita mengesannya menggunakan mata rohani kita.

Namun pada hakikatnya, ketika kita mencintai orang-orang soleh itu, sebenarnya kita sedang mencintai Allah (sama ada secara sedar ataupun tidak sedar). Hal ini kerana segala kecantikan rohani orang-orang soleh itu sebenarnya datang daripada Allah, dirancang oleh Allah, ditentukan oleh Allah, dilakukan oleh Allah, digerakkan oleh Allah, dan ditetapkan oleh Allah.

Orang yang tahu akan hal ini, maksudnya dia ada pengetahuan tentang hakikat hal tersebut.
Orang yang tidak tahu akan hal ini, maksudnya dia belum ada pengetahuan tentang hakikat hal tersebut, tetapi masih di maqam syari’at.