Monday, January 6, 2014

Kitab Kifaayatul Muhtaaj dalam Tulisan Rumi

Alhamdulillah, syukur… sahabat kita Ustaz Muhamad Rauf bin Minhat dari Melaka sudah berjaya menghasilkan pemindahan tulisan kitab Kifaayatul Muhtaaj karya Syeikh Daud Al-Fatoni dari tulisan jawi ke tulisan rumi. Dia menghadiahkan sebuah kitab itu kepada saya bersama-sama sebuah lagi kitab iaitu Badrut Tamaam karya Syeikh Wan Ahmad Al-Fatoni, yang turut dirumikan. Baru tadi siang sampai. Ribuan terima kasih diucapkan. Semoga mendapat keberkatan daripada Allah SWT.



Antara keistimewaan naskah yang dihasilkan oleh Ustaz Muhammad Rauf ini ialah :
1.       Cantik, kemas, tersusun, mudah dibaca.
2.       Disertakan sanad kitab ini sampai kepada Ustaz Muhammad Rauf.
3.       Disertakan riwayat ringkas Syeikh Daud Al-Fatoni.
4.       Disertakan scan keseluruhan kitab Kifaayatul Muhtaaj bertulisan jawi di bahagian belakangnya.

Buku ini diterbitkan oleh Menuju Puncak Supply & Services, Melaka. Sesiapa yang berminat bolehlah berhubung dengan Ustaz Muhammad Rauf di blognya Dalail Khairat http://alraufi.blogspot.com/ . Kitab-kitab lain yang turut tersedia ialah Dalail Khairat, Faridatul Faraid, Qasidah Burdah, dan pelbagai lagi.

Kitab Kifaayatul Muhtaaj ini pernah saya syarahkan suatu ketika dahulu, tamat dalam 23 kali kuliah. Kesemua rakaman audionya masih boleh didengar di Kembara ke Sidratul Muntaha http://syarahisrakmikraj.blogspot.com/ . Dengan adanya naskah bertulisan rumi ini, akan lebih mudahlah kita mengulangkaji.

Semoga bermanfaat buat semua.

Abu Zulfiqar

6 Januari 2014

Saturday, January 4, 2014

Tajdid Sebenar dalam BerTabligh

PERSOALAN :
Salam,
Mohon pandangan terhadap jemaah Tabligh.
Saya ada baca beberapa artikel yang memburukkan jemaah ni….
Saya berminat nak join diorang untuk cari ilmu…


JAWAPAN :

PENDAHULUAN

“Kita terima apa sahaja yang benar daripada sesiapa pun, dan kita tolak apa sahaja yang salah dan apa sahaja yang melemahkan (agama dan umat Islam) daripada sesiapa pun.”

“Kewarasan menghapuskan ketaksuban, ketaksuban menghapuskan kewarasan.”

“Bukan aku yang terbaik, bukan kami yang terbaik, tetapi KITA yang terbaik.”

“Setiap jemaah atau perkumpulan ada kekuatan dan ada kelemahan. Tidak ada satu jemaah atau perkumpulan pun yang tidak punya kelemahan. Oleh itu kita hendaklah berusaha untuk saling isi-mengisi dan bergerak sebagai satu umat.”

“Kebenaran tetap kebenaran tidak kira siapa pun yang menyatakannya. Hal-hal yang nampak hebat atau memang hebat (seperti panjangnya janggut, ramainya pengikut, banyaknya sanjungan, banyaknya jasa, besarnya serban, hebatnya pakaian dan perhiasan, tingginya kelulusan, tingginya martabat dan pangkat, besarnya jemaah, luasnya medan dakwah, mulianya keturunan, besarnya jawatan agama, banyaknya menghafal, bertimbunnya kitab karangan, banyaknya link, jutaannya zikir dan sebagainya) bukanlah bukti kepada kebenaran dalam sesuatu isu.”

Ini lima saranan Dakwah Tajdid Sebenar yang sangat cantik untuk dikaitkan dengan persoalan yang diajukan.


TABLIGH

“Tabligh” ada banyak erti, tetapi tabligh yang kita maksudkan dalam konteks bicara kita ini (sebagaimana yang ditanyakan) ialah satu perkumpulan umat Islam yang bergerak sebagai satu jemaah, diasaskan oleh Maulana Muhammad Ilyas dan begitu sinonim dengan majlis ijtima’ di Tongi, Bangladesh. Apabila ia datang datang bentuk organisasi dan dalam bentuk pakej (ada peraturan, adab dan gerak kerja tertentu) maka jelaslah bahawa perkumpulan Tabligh ini ialah salah satu daripada sekian banyak jemaah gerak kerja umat Islam di dunia ini.

Jemaah Tabligh satu perkumpulan yang bagus (*saya sendiri mula “kenal agama” melalui jemaah Tabligh lebih 20 tahun yang lalu dan sehingga kini masih membacakan kitab Fadhail ‘Amal selepas solat fardhu ‘Asar dan Maghrib jika saya menjadi imam). Sekiranya anda berminat untuk menyertai jemaah Tabligh dan aktiviti-aktivitinya, saya memang menggalakkan. Ada kekuatan tertentu yang ada pada jemaah ini tetapi tidak ada pada jemaah lain yang boleh kita dan umat Islam manfaatkan.

Namun begitu kita sedia maklum bahawa semua perkumpulan termasuklah jemaah Tabligh tidak terlepas daripada kesilapan dan kelemahan. Cuma janganlah kerana beberapa kesilapan dan kelemahan itu kita jadikan kayu ukur untuk menghukum jemaah Tabligh sebagai negatif dan tidak wajar untuk disertai. Jemaah Tabligh sangat bagus untuk disertai. Carilah ilmu, iman dan amal melalui jemaah ini tetapi jangan sampai terikat ketat dan jangan sampai taksub.

Dalam saranan Dakwah Tajdid Sebenar, melibatkan diri dengan jemaah Tabligh dan aktivitinya memang digalakkan, tetapi hanya sebagai salah satu daripada juzuk tarbiyyah, dan bukan satu-satunya ruang untuk perjuangan hidup mati kita. Banyak lagi juzuk-juzuk tarbiyyah yang perlu dilalui oleh seorang yang berminda tajdid sebenar. Maksudnya tidak digalakkan untuk menjadikan Tabligh sebagai jemaah kita seumur hidup. Hal ini kerana ada banyak lagi perkara yang perlu kita ketahui, alami dan kita usahakan sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah saw dan para sahabatnya.

Namun begitu tidaklah menjadi kesalahan sekiranya  seseorang itu mahu menjadikan Tabligh sebagai jemaahnya seumur hidup asalkan mindanya berminda dakwah tajdid sebenar. Lebih-lebih lagi jika dirasakannya melalui jemaah Tablighlah ilmu, iman dan amal-amal solehnya paling meningkat berbanding jika dia menyertai jemaah-jemaah lain ataupun jika dia tidak menyertai mana-mana jemaah.

Sebab itu dalam halaqah-halaqah usrah Dakwah Tajdid Sebenar, para naqib/naqibah tidak memestikan peserta halaqah usrah itu bergabung dengan jemaah/perkumpulan yang dianggotai oleh naqib/naqibah. Sebaliknya para naqib/naqibah memerhatikan keadaan si peserta dan membuat saranan untuk si peserta menyertai jemaah yang paling sesuai dengan diri dan keadaan si peserta.

Bukan semua orang paling meningkat ilmu, iman dan amal-amalnya melalui jemaah kita sahaja. Ada orang yang lebih baik ilmu, iman dan amal-amalnya jika dia menyertai jemaah lain. Kita tidak boleh bersikap mementingkan diri dan pihak kita sahaja. Tidak sesuai untuk kita memaksa peserta masuk ke dalam jemaah kita. Tidak ada pemahaman bahawa : “Jemaah/perkumpulan kamilah yang terbaik, tersunnah, yang sunnah, paling afdhal, paling benar dan sebagainya.” Dakwaan-dakwaan sebegini sangat bertentangan dengan prinsip-prinsip tasauf.


PANDUAN UNTUK BERJEMAAH MENURUT DAKWAH TAJDID SEBENAR

1.       Silakan sertai jemaah-jemaah umat Islam dan aktivitinya (termasuklah jemaah Tabligh).

2.       Cintai dan taatilah pimpinan dan jemaah pilihan kita, tetapi jangan sampai terikat ketat dan taksub dengan pimpinan dan jemaah itu. 

“Kewarasan menghapuskan ketaksuban, ketaksuban menghapuskan kewarasan.”

3.       Ambil tahu juga aktiviti dan peranan tokoh-tokoh dan jemaah-jemaah Islam yang lain, dan jika berpeluang sesekali sertailah aktiviti-aktiviti mereka juga, asalkan janganlah sampai mengganggu peranan kita dalam jemaah yang sedang kita anggotai. Menambah ilmu, pengalaman, keimanan dan amal-amal soleh BUKAN HANYA ADA melalui jemaah/perkumpulan yang sedang kita anggotai sahaja.

4.       Teruslah meneliti dan mengkaji pandangan, pegangan dan aktiviti jemaah yang sedang kita anggotai. Tidak ada salahnya berfikiran kreatif dan kritis asalkan bersesuaian dengan keadaan. Apabila kita menyertai sesuatu perkumpulan, bukan bermaksud kita menjadi hamba abdi, robot atau lembu yang dicucuk hidung yang 100% menurut sahaja tanpa pertimbangan dan soal-soal lagi.

5.       Berusahalah untuk mewujudkan hubungan baik lagi mesra dengan jemaah atau perkumpulan umat Islam yang lain dan cuba wujudkan usaha dan kerjasama dalam hal-hal yang disepakati.

Umat Islam ibarat satu tentera. Tidak boleh hanya mengharapkan jemaah askar marin sahaja untuk berjuang dan menang. Tidak boleh jemaah askar berkereta kebal mendakwa merekalah yang terbaik. Tidak boleh jemaah askar perisikan mengatakan jemaah-jemaah askar yang lain mesti menyertai mereka. Tidak boleh jemaah askar pejalan kaki mendakwa “kamilah yang mengikut sunnah (maksudnya yang lain-lain tidak mengikut sunnahlah)”. Tidak boleh jemaah askar yang memandu jet pejuang mengakui bahawa merekalah yang paling berjasa. Begitulah seterusnya.

Sebaliknya, usaha sama antara kesemua jemaah askar itulah  yang akan menjadi gerombolan tentera pejuang yang terbaik. Memanglah kesemua jemaah itu tidak dapat bekerjasama dalam segala bidang, tetapi dalam hal-hal dan keadaan yang disepakati, mereka boleh bergerak bersama-sama. Malangnya hal ini tidak diambil berat.

“Bukan aku yang terbaik, bukan kami yang terbaik, tetapi kita yang terbaik.”
“Bukan (jemaah/perkumpulan/usaha/method/kaedah) aku yang terbaik, bukan (jemaah/perkumpulan/usaha/method/kaedah)kami yang terbaik, tetapi (usaha sama antara jemaah-jemaah umat Islam) kita yang terbaik.”

“Setiap jemaah atau perkumpulan ada kekuatan dan ada kelemahan. Tidak ada satu jemaah atau perkumpulan pun yang tidak punya kelemahan. Oleh itu kita hendaklah berusaha untuk bergerak sebagai satu umat.”

6.       Kita dan jemaah kita tidak semestinya sentiasa benar dan tidak semestinya sentiasa lebih benar berbanding orang atau jemaah lain. Maksudnya kenalah bijak dalam membuat pertimbangan dan penilaian, bukan hanya “terima dan patuh” (kecualilah jika melibatkan bidang intelligence/perisikan yang dalam keadaan-keadaan tertentu para da’i hendaklah “terima dan patuh” tanpa soal, tetapi yang terlibat dalam bidang ini pada mana-mana jemaah pun jumlahnya hanya sedikit).

7.       Jemaah atau perkumpulan mana pun yang kita sertai, jangan sibuk dengan gerak kerja fardhu kifayah sahaja sehingga terabai atau kurang ambil berat dengan yang lebih utama bagi setiap manusia dan jin iaitu ilmu-ilmu yang fardhu ‘ain, iaitu ilmu mukasyafah dan ilmu mu’amalah.  Inilah yang biasa terjadi. Puluhan tahun sibuk dengan gerak kerja mengajak orang masuk jemaah kita, berdakwah, buat kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan, anjur program, jayakan kem-kem tarbiyyah, berkempen, buat perhimpunan, majlis motivasi, ceramah dan sebagainya, tetapi jauh tertinggal dalam hal-hal fardhu ‘ain khususnya ilmu mukasyafah dan ilmu mu’amalah. Keadaannya seperti orang yang berusaha keras mahu menaikkan orang ramai yang kelemasan ke atas kapal, tetapi dirinya sendiri masih berada di dalam air.

PENUTUP

Begitulah jawapan yang agak ringkas kepada persoalan yang diajukan. Kesimpulannya, sertailah mana-mana jemaah atau perkumpulan pun, tetapi dalam keadaan kita berminda tajdid sebenar. Semoga bermanfaat.

“Kebenaran tetap kebenaran tidak kira siapa pun yang menyatakannya. Hal-hal yang nampak hebat atau memang hebat (seperti panjangnya janggut, ramainya pengikut, banyaknya sanjungan, banyaknya jasa, besarnya serban, hebatnya pakaian dan perhiasan, tingginya kelulusan, tingginya martabat dan pangkat, besarnya jemaah, luasnya medan dakwah, mulianya keturunan, besarnya jawatan agama, banyaknya menghafal, bertimbunnya kitab karangan, banyaknya link, jutaannya zikir dan sebagainya) bukanlah bukti kepada kebenaran dalam sesuatu isu.”

“BerTuhankan Allah, Bersyari’atkan Syari’at Muhammad Rasulullah”
“Pandang Global, Bergerak Sebagai Satu Umat”

Abu Zulfiqar

4 Januari 2014