Sunday, November 25, 2012

Tazkirah Facebook 43 (Oktober 18, 2012)


Zaman dahulu…

Anak kita hendak pergi merantau jauh, entah kembali entah tidak. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, kita bekalkan anak kita dengan peta, kompas dan teropong. Sekalipun dia tidak mahu benda-benda itu, kita tetap masukkan ke dalam begnya. Sekalipun dia keberatan, kita ajarkan juga cara-cara menggunakan alat-alat itu.

Dalam perjalanan meredah hutan belantara dan lautan, anak kita tersalah jalan. Sekali pun tersesat jalan, dia tetap meneruskan perjalanannya. Hinggalah pada suatu hari, dia sedar yang dia perlu berpatah balik ke pangkal jalan, iaitu ke negeri asalnya. Dapatkah dia berpatah balik?

Kemungkinan besar dia berjaya kembali ke pangkal jalan kerana di dalam begnya ada peta untuk pulang ke negerinya, ada kompas sebagai penunjuk arah dan ada teropong untuk melihat benda-benda yang jauh. Tapi bagaimana kalau ibu bapanya tidak memasukkan peta, kompas dan teropong serta tidak mengajarkannya cara-cara menggunakannya? Kemungkinan besar dia gagal berpatah balik.

Begitulah halnya dengan ilmu dan pemahaman agama. Dari anak-anak masih kecil, ibu bapa mestilah berusaha keras menerapkan ilmu-ilmu dan pemahaman agama, sekalipun anak-anak tidak menggemarinya. Hal ini kerana, sekiranya anak-anak tersalah haluan hidup apabila dewasa kelak, dan kemudiannya dia terfikir untuk berubah ke arah kebaikan (hidup beragama), dengan mudah dia dapat berpatah balik kerana dia sudah tahu membaca Al-Quran, ilmu bersuci, cara solat, ilmu berpuasa, cara berinteraksi dengan hadis-hadis dan sebagainya.

Tapi kalau insaf ketika sudah berumur sudah 50 tahun (sekadar contoh), ada jawatan dan kedudukan (dipandang tinggi oleh orang-orang), kesihatan semakin menurun…… baru hendak belajar alif ba ta, cara mandi wajib, cara mendirikan solat….. memang susah untuk dia hendak berpatah balik.

Orang yang sudah ada ‘alat’ untuk pulang dan tahu cara menggunakannya, biasanya berjaya pulang dengan segera dan selamat.
Orang yang tidak ada ‘alat’ untuk pulang, biasanya sangat sukar untuk pulang, ataupun mungkin tidak sempat pulang, ataupun dia berputus asa lalu membatalkan hasratnya untuk pulang.

Kepada ibu bapa, sediakan ‘alat’ untuk anak-anak sekalipun mereka tidak minat, sekalipun kita sendiri mungkin tidak minat.
Kepada individu, sediakan ‘alat’ yang sewajarnya untuk diri masing-masing.

Tazkirah Facebook 42 (Oktober 18, 2012)


Di dunia ada nikmat  pasangan, pelayan, makanan, minuman, pemandangan, sungai-sungai, istana, kebun-kebun, pakaian serba mewah, haruman, perhiasan…….
Di syurga pun ada nikmat pasangan, pelayan, makanan, minuman, pemandangan, sungai-sungai, istana, kebun-kebun, pakaian serba mewah, haruman, perhiasan…….

Namun begitu di syurga tidak ada nikmat berjuang, berkorban dan bersusah-payah pada jalan Allah. Nikmat berjuang, berkorban dan bersusah-payah pada jalan Allah hanya ada di dunia. Sebab itulah para pencinta Allah dan Rasul-Nya berebut-rebut untuk mengecap nikmat berjuang, berkorban dan bersusah-payah pada jalan Allah itu.

Namun bagi para pencinta dunia, di dunia ini mereka HANYA menyibukkan diri berjuang, berkorban dan bersusah-payah untuk pasangan (berkahwin/berumahtangga, pelayan (orang gaji/suruhan/pekerja), makanan, minuman, pemandangan (hiasan rumah dan melancong), sungai-sungai, rumah-rumah cantik lagi mewah, ladang-ladang, pakaiaan, haruman, perhiasan….. kata orang, berjuang bersungguh-sungguh untuk ‘perut’ dan ‘bawah perut’ tetapi meninggalkan berjuang bersungguh-sungguh untuk agama Allah.

Padahal segala nikmat-nikmat itu ada disediakan di dalam syurga, bahkan jauh lebih hebat. Bersabar sahajalah menantikannya. Dan sepatutnya di dunia ini kita mengejar nikmat-nikmat yang tidak terdapat di dalam syurga…… iaitu berjuang, berkorban dan bersusah-payah untuk Islam. Maka semestinyalah di dunia ini kita tidak gentar dan ragu-ragu untuk berjuang, berkorban dan bersusah-payah pada jalan Allah.

Memakan buah rambutan yang diberi orang memang nikmat, tapi lebih nikmat lagi jika kita berusaha pergi ke pokoknya, memetiknya dengan tangan sendiri lalu memakannya.

Persoalan : Adakah kita termasuk dalam golongan para pejuang itu?