Sunday, November 25, 2012

Tazkirah Facebook 41 (Oktober 17, 2012)


Tubuh kita satu kenderaan. Siapakah pemandunya?
Pemandunya ialah hati.

Hati yang mana? Hati yang dagingkah ataupun hati yang batin?
Hati yang batin.

Ke mana destinasi pemandunya?
Ke syurga.

Apa akan berlaku sekiranya si pemandu tidak tahu jalan ke destinasi ataupun tersilap jalan?
Si pemandu dan kenderaannya tidak akan sampai ke destinasi.

Apa pula yang akan berlaku sekiranya si pemandu tahu jalannya tetapi dia lalai atau main-main?
Si pemandu mungkin berjaya membawa kenderaannya ke destinasi tetapi dalam jangka masa yang saaangat lama. Dan kenderaannya akan mengalami banyak kerosakan dan kecacatan sebelum sampai ke destinasi.

Apa berlaku sekiranya si pemandu memang bagus?
Pemandu akan berjaya membawa kenderaannya ke destinasi dengan selesa, selamat dan cepat.

Kita sudah punya kenderaan masing-masing, pemandu yang bagaimana yang kita mahukan? Masing-masing tentukan dan usahakan sendiri kerana diri kita yang batin itulah pemandunya, iaitu hati kita.

Belajar Ilmu Tinggi, Baru Ilmu Rendah?


Dalam salah satu kuliah kitab Ihya’ ‘Ulumiddin, saya mengatakan ada orang mencari ilmu-ilmu agama yang tinggi-tinggi terlebih dahulu (contohnya ilmu hakikat), kemudian baru hendak cari ilmu-ilmu yang lebih rendah (contohnya ilmu fiqh). Mereka mendalami agama secara melawan arus, menyebabkan akhirnya nanti mereka sukar hendak turun ke ilmu-ilmu yang lebih rendah sedangkan ilmu-ilmu yang lebih rendah ini ada yang sangat penting. Seorang hamba Allah menyatakan pandangan sebaliknya…

HAMBA ALLAH :
llmu yang tinggi-tinggi tu ilmu fekah, ilmu yang bawah-bawah ni ilmu hakikat. Ramai yang mula dengan fekah yang kemudiaannya susah sangat nak faham ilmu yang bawah.

ABU ZULFIQAR :
Nampaknya berbeza dengan ajaran Imam Al-Ghazali khususnya dalam Ihya' 'Ulumiddin dan umumnya dalam kitab-kitabnya yang lain, kerana baginya ilmu hakikat itu termasuk dalam ilmu-ilmu yang tinggi-tinggi dan ilmu fiqh itu ilmu yang biasa-biasa. Wallahua'lam.

HAMBA ALLAH :
Wallahua'lam.
Saya ada satu persoalan, bukankah Nabi Muhammad mengajar dulu bab-bab aqidah sebelum hal-hal fiqh?

ABU ZULFIQAR :
Benar, tetapi bukan ilmu hakikat. Ilmu Tauhid Sifat 20 belum mencapai ilmu hakikat lagi. Sebab itu dalam sistem pengajian pondok/pesantren, Sifat 20 diajar awal, tapi kitab-kitab ilmu hakikat seperti Durrun Nafis dan Kasyful Asrar diajar hujung-hujung, dan adakalanya kepada murid-murid yng layak sahaja.

Ilmu tauhid itu ada beberapa peringkat.
1. Tahap lulus - dengan mengakui 2 Kalimah Syahadah.
2. Tahap memuaskan - dengan memahami Sifat 20.
3. Tahap baik - dengan ilmu hakikat.
4. Tahap cemerlang - dengan ilmu mukasyafah.
(*Pembahagian di atas hanyalah huraian yang sangat ringkas dan umum)

Rasulullah tak ajar semua tahap aqidah itu sekaligus. Sebab itu ilmu hakikat itu termasuk ilmu yng tinggi-tinggi. Wallahua’lam.

Suka saya menyarankan, agar tuan mengikuti kuliah kitab Ihya' 'Ulumiddin ini dari awal, supaya lebih jelas dan lebih memahami, sebab isi kitab ini berkesinambungan dan saling berkait.