Monday, October 7, 2024

Perkataan Hu Itu Nama Allah yang Diulang?

 

Pertanyaan : Saya merujuk kepada dua penulisan ustaz di blog ustaz yang bertajuk “Lafaz Zikrullah Hu Hu Hu Diajar oleh Imam Ghazali?” dan “Imam Ghazali Ada Bahas Tentang Zikir Hu Hu Hu?”. Insya-Allah saya faham segala isi kandungannya dan rumusannya iaitu dalam Tarekat Ghazaliyah tidak ada penganjuran amalan berlafaz zikrullah Hu. Terima kasih ustaz.


Cuma di sini saya ingin bertanya tentang dakwaan pihak tertentu yang mengatakan bahawa perkataan “Hu” itu bukannya kata ganti nama (*yang berrmaksud “Dia”) tetapi merupakan salah satu daripada nama Allah, yang mereka menggunakan kalam Imam al-Ghazali dalam kitabnya tentang dua ayat Al-Quran yang mengandungi ismul a’zham itu, lalu dikaitkan dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi yang mengatakan ada nama Allah yang berulang dalam kedua2 ayat tersebut iaitu “Hu”.


Mohon pencerahan ustaz.


Jawapannya :

Imam al-Ghazali dalam kitabnya al-Maqsidul Asna mengatakan bahwa ismul ‘a’zham (nama Allah yang Agung) itu ada pada dua tempat dalam Al-Quran iaitu pada ayat “Wa ilaahukum ilahuw waahidul laailahailla huwarrahmanur rahiim” dan dua ayat permulaan surah Ali Imran iaitu “Alif laam miim. Allaahu laailaahailla huwal hayyul qayyuum” (sebagaimana dalam hadith riwayat Imam Turmizi).


Pada tempat pertama, ada nama AR-RAHMAAN dan AR-RAHIIM.

Pada tempat kedua ada nama AL-HAYYU dan AL-QAYYUM.

Maka inilah 4 nama ismul a’zham yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw dan Imam al-Ghazali.


Selepas itu Imam al-Ghazali tidak ada menyambung dengan hadith lain atau hadis yang sama yang dikatakan diriwayatkan oleh Imam Turmizi yang mengatakan ada nama Allah yang diulang2 atau berulang dalam kedua2 tempat itu, kerana Imam al-Ghazali terus bercerita tentang fadhilat. Tamatlah penulisan Imam al-Ghazali pada bahagian tersebut.


Di luar daripada penulisan Imam al-Ghazali, dikatakan ada satu hadith riwayat Imam Turmizi yang mengatakan bahawa ada nama Alllah yang Agung iaitu ismul a’zham yang DIKATAKAN diulang atau berulang dalam kedua2 tempat tersebut. Nama Ar-Rahmaan, Ar-Rahiim, Al-Hayyu dan Al-Qayyum tidak diulang atau berulang kerana disebutkan sekali sahaja. Maka yang berulang ialah perkataan “HU”. Oleh sebab itu, “HU” itulah nama Allah yang diulang atau berulang dalam kedua2 tempat tersebut. Maka perkataan “HU” itu bukanlah ganti nama tetapi nama Allah sendiri. Begitulah dakwaan mereka.


Namun apabila kita meneliti hadith riwayat Turmizi yang dimaksudkan, tidak ada cerita tentang nama Allah yang BERULANG atau DIULANG pada kedua2 tempat tersebut. Perkataan “HU” pada kedua-dua tempat adalah kata ganti nama yang bermaksud “Dia”, bukannya nama Allah.


Wallahua’lam.


29/9/24

No comments: