Sunday, August 11, 2024

Sejarah Ringkas Sultan Muhammad Tapar

 

Sultan Muhammad Tapar dilahirkan pada tahun 1082 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 1118 Masihi. Baginda meninggal dunia dalam usia yang masih muda iaitu 36 tahun. Baginda merupakan sultan kerajaan Seljuk menggantikan bapanya Sultan Malik Shah yang masyhur itu. Sultan Malik Shah sendiri meninggal dunia dalam usia 37 tahun.


Pewaris kepada Sultan Muhammad Tapar iaitu anaknya yang bernama Sultan Mahmud II pula meninggal dunia dalam usia 27 tahun sahaja. Sebagai raja2, pastinya mereka mempunyai perancangan untuk jangka masa panjang bagi kerajaan dan keduniaan mereka serta kelangsungan hidup umat Islam walaupun mereka mangkat dalam usia yang masih muda.


Iktibar yang mesti kita ambil di sini – kita hendaklah merancang dan berusaha untuk keduniaan seolah2 kita akan hidup lama, tetapi kita mestilah merancang dan berusaha untuk keakhiratan seolah2 kita akan meninggal dunia tidak lama lagi. Pada bila2 masa sahaja Malakul Maut boleh menjadi tetamu kita. Maka tuntutlah ilmu2 agama sesegera mungkin dan sebanyak mungkin, dan amalkanlah ilmu2 yang diperolehi itu sesegera mungkin dan sebanyak mungkin.



Hubungan Sultan Muhammad Tapar dan Imam al-Ghazali


Mursyid kepada Sultan Muhammad Tapar dalam Tariqah Ghazaliyah tidak lain ialah Imam al-Ghazali sendiri. Walaupun tidak selalu dapat bersama-sama dengan gurunya itu, tetapi mereka sering berutus surat. Sultan Muhammad Tapar selalu meminta nasihat daripada Imam al-Ghazali. Nasihat2 yang dipohon bukan sahaja dalam hal ehwal agama tetapi juga dalam urusan2 pemerintahan.


Sedemikian akrabnya mereka sehinggakan Imam al-Ghazali sendiri sanggup menulis satu kitab yang khas untuk baginda yang berisi panduan2 dalam keagamaan dan panduan2 dalam pemerintahan.


Kitab yang terkenal ini bertajuk Nasihatul Muluk atau Peringatan Buat Raja2. Kitab ini ditulis dalam bahasa Parsi. Kitab ini berisi ilmu al-iman atau ilmu ‘aqidah untuk dipegang oleh raja2, 10 prinsip keadilan raja2, ma’rifah akan dunia dan dan ma’rifah akan akhirat, serta ilmu politik raja2 dan pegawai2nya.


Jelaslah di sini akan keilmuwan dan kebolehan Hujatul Islam Imam al-Ghazali.


Antara pengajarannya di sini :

i) Marilah kita sama2 berusaha untuk mencontohi Imam al-Ghazali dan Sultan Muhammad Tapar.

ii) Kita hendaklah membina hubungan yang baik dengan guru2 serta mengikut nasihat2 dan panduan2 yang mereka berikan.








Perjuangan dan Pengorbanan Sultan Muhammad Tapar


Wilayah pengaruh kerajaan Seljuk terbentang luas dari Khurasan di timur hingga ke sempadan Turki di barat. Wilayah Khurasan pada hari ini meliputi wilayah2 dalam negara Afghan, Uzbek, Iran, Tajik, Kyrgyz dan Kazakhstan.


Selepas kemangkatan Sultan Malik Shah, kerajaan Seljuk terbahagi kepada dua pentadbiran besar. Pihak yang berkuasa di Iraq dan Syam (atau Syria) ialah Sultan Muhammad Tapar. Sementara pihak yang berkuasa di Parsi dan Khurasan ialah adiknya iaitu Sultan Ahmad Sanjar. Adiknya juga merupakan murid kepada Imam al-Ghazali dan bertariqah Ghazaliyah. Kisah adiknya akan dikongsikan oleh sahabat kita selepas ini.


Sejak zaman bapa mereka iaitu Sultan Malik Shah, sebenarnya kerajaan Seljuk adalah lebih berpengaruh berbanding kerajaan khalifah Abbasiyah sendiri. Ketika itu kekhalifahan Abbasiyah sedang lemah dan banyak bergantung kepada tindakan2 dan kejayaan2 kerajaan Seljuk. Namun kerajaan Seljuk tetap berkhidmat dengan baik di bawah kekhalifahan Abbasiyah.


Sepanjang pemerintahannya, Sultan Muhammad Tapar banyak berjuang menentang pengaruh Syiah Ismailiyah, pertubuhan gelap golongan Syiah Batiniyah iaitu Hasyasyin atau Assassins, musuh2 politiknya, tentera salib, intelijen tentera Salib, ajaran falsafah Yunani, dan lain-lain. Bahkan sewaktu bapanya iaitu Sultan Malik Shah masih hidup lagi, Muhammad Tapar sudah aktif dalam perjuangan2 tersebut. Sultan2 kerajaan Seljuk memang terkenal handal dalam peperangan, siasah, urusan2 intelijen dan perang saraf.



Kesimpulannya


Anak murid Imam al-Ghazali ini sememangnya seorang tokoh yang hebat. Kebaikan2 yang sangat bagus untuk kita contohi daripada Sultan Muhammad Tapar ialah betapa baginda sangat mementingkan keagamaan, baginda seorang pejuang, berani, mahir dalam beladiri dan peperangan, berpandangan jauh, sentiasa ada fikir umat, menghormati dan mematuhi guru, sangat peka dan sensitif dengan masalah semasa yang melibatkan umat dan agama, cepat bertindak atau mengambil respon, dan sentiasa aktif bertindak ke atas ajaran2 yang bermasalah.




No comments: