Wednesday, October 5, 2016

Tasawwuf & Tarekat : Antara Ketulenan dan Kepalsuan Orang Yang Mahu Berbicara Tentangnya

YANG BERPOTENSI TULEN :

Dia memang mengambil tarekat, mengamalkan tarekat, memahami dan menguasai tarekat itu sehingga sampai ke had minima yang layak untuk membicarakannya dan berkongsi tentangnya dengan orang lain. Maksudnya dia seorang yang “ahli” (berkemahiran) bukannya sekadar ahli biasa (bukannya sekadar peserta tarekat). Dia boleh menghuraikan dengan baik sekurang-kurangnya selok-belok satu tarekat yang dipegangnya sekalipun tidak sampai ke peringkat cemerlang. Hal ini dapat menjadi salah satu bukti yang dia memang ahli dalam tarekat.

Selain itu, selama ini umumnya dia memang sedia dimaklumi oleh orang-orang tarekat dan orang lain sebagai seorang ahli tarekat. Jika secara tiba-tiba dia muncul entah dari mana dan mahu berbicara lantang tentang tarekat, kita kena meletakkan tahap berjaga-jaga peringkat tertinggi dengan orang jenis ini.

Selama ini dia memang dimaklumi sebagai seorang yang tidak menolak, menentang dan memusuhi tarekat sama ada secara jelas ataupun secara tidak langsung.


YANG BERPOTENSI PALSU :

Orang yang tidak mengambil mana-mana tarekat tetapi mahu berbicara juga tentang hal ehwal tarekat. Sudah tentu akan banyak maklumat yang salah dan yang terkeliru dalam peti simpanan akalnya, dan itulah yang akan dikeluarkan dan hidangkan dalam bicaranya nanti.

Orang yang pernah mengambil tarekat tetapi tidak mengamalkannya. Maka bagaimana dia boleh tahu, faham dan menghayati sesuatu yang dia tidak amalkan? Bagaimana kita hendak mempercayai seseorang yang mahu membicarakan tentang sesuatu yang dia tidak tahu, tidak faham dan tidak kuasai? Sangat besar potensi palsunya.

Orang yang pernah mengambil tarekat tetapi sudah tidak mengamalkan tarekat lagi. Maksudnya dia sebenarnya sudah gagal untuk mencapai had minima dalam bertariqat untuk berkongsi tentang tariqat kepada orang lain. Hanya untuk tahu dan amal sendiri, mungkinlah dia pernah sampai. Sebenarnya dia hanya berada di peringkat tahu, tidak berjaya sampai ke peringkat faham pun. Apatah lagi untuk mencapai peringkat menghayati. (Elok kalau kita tanya dia, guru atau perkumpulan tarekat yang mana yang ada mengesahkan yang dia memang betul-betul ahli dalam tarekat, bukan sekadar ahli biasa atau peserta).

Orang yang mengamalkan tarekat tetapi tidak sampai ke peringkat memahami dan menguasai hal ehwal tarekat itu. Maksudnya dia tidak disahkan sebagai ahli (berkemahiran) tetapi sekadar ahli biasa (peserta). Pengetahuan ahli biasa/peserta sangatlah terbatas, apatah lagi pemahaman dan penghayatannya. Ibaratlah seorang murid darjah satu yang tiba-tiba mahu mengadakan seminar tentang ilmu matematik tambahan yang tidak pernah dilalui dan dikuasainya pun. Sudah tentu dalam seminar itu dia hanya akan berbiacara tentang ilmu matematik sekolah rendah yang disangkakannya sebagai ilmu matematik tambahan. Orang-orang yang tidak tahu akan menganggapnya hebat kerana sampai mampu seminarkan ilmunya, tetapi bagi orang-orang yang tahu pula, mereka akan tertawa di dalam hati kerana jelas terpampang kepalsuannya

Orang yang pernah melihat, membaca, mendengar, menonton atau mengikut mana-mana perkumpulan atau ajaran yang bermasalah yang mengaku sebagai tarekat lalu diyakininya betullah itu tarekat. Berapa banyak ajaran dan perkumpulan yang bukan tarekat tetapi mengaku tarekat atau disangka tarekat? Sangat banyak! Padahal itu semua bukan perkumpulan atau ajaran tarekat. Tarekat yang salah bukanlah tarekat walaupun kita menyebutnya sebagai tarekat. Samalah dengan hadis palsu yang bukannya hadis walaupun kita menyebutnya sebagai hadis (iaitu disebut hadis palsu). Orang yang hanya berpengalaman dengan tarekat sesat tetapi tidak ada pengalaman yang memadai dengan tarekat yang benar, mana mungkin dia boleh berbicara tentang tarekat. Sudah tentu dia akan berbicara tentang tarekat sesat tetapi disangkanya sebagai itulah tarekat. Sangat besar potensi palsunya.

Orang yang selama hari ini orang-orang tarekat sendiri umumnya tak pernah tahu pun yang dia seorang ahli tarekat, tiba-tiba sahaja dia mahu terus berbicara lantang tentang tarekat bahkan sehingga ke peringkat kritis. Kemungkinan besar palsu.

Orang yang tidak mampu untuk menghuraikan sekurang-kurangnya selok-belok satu tarekat (sekurang-kurangnya tentang tarekat yang dipegangnya) dengan baik, yang dapat menunjukkan yang dia memang ahli dalam tarekat tersebut. Yang teragak-agak, tercari-cari, tersangka-sangka.... sudah tentu bukan ahli dalam tarekat tetapi berlagak tahu melainkan seorang yang berpotensi besar palsu.

Orang yang selama ini yang kita maklumi sebagai penolak, penentang dan memusuhi dunia tarekat sama ada secara jelas tau secara tidak langsung, tiba-tiba terus mahu berbicara lantang tentang tarekat. Kemungkinan besar dia seorang yang palsu dalam hal ini.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, kita mestilah sedari awal lagi berusaha untuk mengambil langkah yang memadai dalam memastikan antara ketulenan dan kepalsuan orang yang mahu berbicara tentang tasawwuf dan tarekat, lebih-lebih lagi yang mahu berbicara di depan orang ramai.

Wallahualam.

(*Jika dalam hal yang betul-betul "basic" dalam tarekat pun boleh salah, macam mana kita hendak meyakini bicara hal yang sederhana dan yang mendalam tentang tarekat? Antara kesalahan yang sangat tidak sepatutnya terjadi http://alexanderwathern.blogspot.my/2016/09/maulana-asri-bicara-tariqat-tasawuf.html .
Nilailah dengan hati yang jernih dan ikhlas, bukan dengan ketaksuban)

Abu Zulfiqar
4 Oktober 2016

No comments: