Berikut adalah sedikit jawapan kepada isu ini (sahaja). Antara usaha (daripada pelbagai jalan usaha lagi) untuk mengetahui hal tersebut adalah dengan bertanyakan soalan secara terus kepada bakal-bakal pembicara itu. Jika tidak dapat secara terus, bolehlah secara mencari maklumat melalui orang lain atau media lain (seperti tulisan-tulisan mereka, audio video mereka, orang-orang yang rapat dengan mereka, anak-anak murid mereka dan sebagainya) sebelum majlis berlangsung. Sebaik-baiknya soalan-soalan ini ditanya sebelum majlis atau pada awal majlis kerana jika terbukti yang mereka tidak ada kelayakan untuk berbicara tentang tarekat sebegitu, kita tidak perlulah hadir atau kita bolehlah angkat kaki awal.
SOALAN 1 : Apa tarekat yang anda ambil?
Jika dia menjawab yang dia tidak mengambil apa-apa tarekat, maka sesiapa yang mahu bolehlah terus meninggalkan dia dan majlisnya. Hal ini kerana terang-terang dia seorang yang tidak ada ilmu, pengalaman, pemahaman dan penghayatan tentang tarekat melainkan selama hari ini dia hanya main cedok-cedok daripada kata-kata dan penulisan orang lain. Sudah tentu akan ada kesalahan dan kekeliruan maklumat dalam bicaranya tentang tarekat. Orang yang tidak ada ilmu, pengalaman, pemahaman dan penghayatan tentang enjin tiba-tiba hendak buat seminar (atau seumpamanya) tentang enjin. Bolehkah dipercayakah orang jenis ini?
Sekiranya dia menjawab yang dia PERNAH mengambil tarekat, tukang bicara jenis ini juga bolehlah ditinggalkan. Hal ini memberi petunjuk bahawa dia mungkin sekali seorang yang gagal mencapai had minima (had yang memadai) yang sepatutnya dicapai oleh orang yang bertarekat. Orang yang sudah mencapai peringkat yang memadai, ringkas kata tidak akan meninggalkan tarekat lagi. Jika sekadar PERNAH, maka dia belum layak untuk berbicara tentang tarekat. Jika dia memang PERNAH bertarekat, peringkat tertinggi yang dicapainya kemungkinan besar hanyalah sebagai ahli biasa atau peserta sahaja. Orang di peringkat ini keupayaan mereka terhad kepada mengamalkan tarekat untuk dirinya sendiri sahaja, belum layak untuk memperkatakan tentang tarekat kepada orang ramai, apatah lagi buat seminar (dan seumpama) tentangnya. Misalannya, seorang yang PERNAH beragama Islam tiba-tiba hendak berseminar tentang agama Islam. Bolehkah dipercaya?
Tetapi sekiranya dia menjawab yang dia ada mengambil tarekat sekian sekian (maksudnya dia memang sedang mengamal), maka bolehlah berpindah ke soalan seterusnya.
SOALAN 2 : Bila anda ambil tarekat itu?
Soalan ini boleh dijawab dengan mudah sama ada secara jujur ataupun secara mereka-reka maklumat, namun maklumat ini ada gunanya untuk kita nanti.
SOALAN 3 : Di mana anda ambil tarekat itu?
Soalan ini juga dengan mudah boleh dijawab secara jujur atau secara mereka-reka maklumat. Ada gunanya untuk kita nanti.
SOALAN 4 : Siapa nama mursyid atau wakil mursyid yang membimbing anda dalam tarekat itu?
Jawapan kepada soalan ini (dicampur pula dengan jawapan kepada soalan no.2 dan no.3 di atas) sangat penting kerana maklumat ini membolehkan orang lain membuat kajian dan penelitian tentang kesahihan tarekat itu, kebenaran perkumpulan yang disertainya, kebenaran ajaran-ajarannya, kredibiliti guru atau pembimbingnya dan sebagainya. Dari situ kita boleh mengetahui sama ada dia memang bertarekat atau tidak, dan sama ada dia mengikut tarekat yang betul ataupun tarekat yang salah yang disangkakannya itulah tarekat.
Jika dia menjawab tidak mempunyai mursyid atau pembimbing, maka bolehlah hadirin bangun dan tinggalkan majlis tersebut. Dalam bertarekat kenalah ada penunjuk tarekat (penunjuk jalan). Yang tidak punya penunjuk jalan tiba-tiba mahu seminarkan tarekat? Ke mana dia hendak membawa manusia sebenarnya? Seorang yang tidak pernah ada guru ilmu-ilmu hadis, tiba-tiba hendak seminarkan ilmu-ilmu hadis. Macam mana? Elok sangatlah dihentikan kerana risiko tersalah dan terkeliru maklumat sangatlah tinggi.
Namun sekiranya dia menjawab bahawa nama pembimbingnya sekian-sekian, maka boleh saja diteruskan. Maklumat tentang tarekat dan pembimbingnya itu akan kita selidiki dan cari kebenarannya kemudian.
SOALAN 5 : Berapa lama anda aktif (dari segi istiqamah amalnya dan menghadiri majlis-majlis tarbiyyahnya) dalam tarekat yang anda ambil itu? Boleh berikan purata lebih kuranglah kekerapan anda menghadiri majlis-majlis tarbiyyah tarekat itu dalam setahun?
Jika jawapannya dia hanya mengambil, menyertai, mengamal dan menghadiri program-program tarekat itu 2-3 hari, 3-4 minggu, 5-6 bulan, kemudian sudah tidak aktif, menurut adatnya memang tak ke mana pun tahunya. Orang yang badannya biasa-biasa (bukan bodybuilder, tak pernah main besi dll) tetapi tiba-tiba mahu masuk pertandingan bina badan peringkat kebangsaan, bolehkah badannya berubah jadi sasa dalam masa sesingkat itu? Walaupun sudah bertarekat selama 10 tahun tetapi kehadiran ke majlis-majlis pentarbiyyahan ilmu-ilmu dan amal-amal tarekat hanya 5-6 kali setahun, sangatlah tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk buat seminar (atau seumpamanya). Eloklah kita angkat kaki dari situ.
Jika dijawabnya (sebagai contoh) : “Saya memang istiqamah hadir majlis zikir kuat beramai-ramai setiap minggu selama dua tahun.” Jelas dia tidak tahu yang mana satu majlis-majlis pentarbiyyahan ilmu-ilmu tarekat. Maka bolehlah ditinggalkan dia dan majlisnya.
Jika jawapannya menunjukkan dia sudah aktif bertahun-tahun dan sering ke majlis pentarbiyahan ilmu-ilmu tarekat, maka sesuailah diteruskan ke soalan berikutnya.
SOALAN 6 : Setakat mana pencapaian anda dalam tarekat itu? Ahli biasa/peserta sahaja? Ahli aktif? Diangkat sebagai pembimbing peringkat bawahan? Dilantik sebagai pembimbing peringkat yang lebih tinggi? Wakil mursyid? Khalifah? Mursyid? Lain-lain?
Kalau setakat ahli biasa atau ahli aktif sahaja, eloklah jangan buat seminar (dan seumpamanya) tentang tarekat. Umpama budak sekolah Tingkatan 1 hendak seminarkan isu-isu pendidikan peringkat kebangsaan. Kan kacau jadinya? Dikhuatiri nanti pembicara akan memalukan diri sendiri sahaja pada pandangan mata hati orang-orang yang tahu tentang tarekat. Lebih malang lagi jika para hadirinnya ialah orang-orang yang tak ada pengalaman dengan tarekat. Sudah tentu ramai yang akan percaya bulat-bulat segala kesalahan dan kekeliruan maklumat si pembicara. Maka lebih baiklah hadirin beredar sahaja daripada majlis tersebut.
Bagaimana jika dia menjawab pencapaiannya sekian-sekian? Kita dahulukan snagka baik dan bolehlah beralih ke soalan seterusnya.
SOALAN 7 : Siapa atau perkumpulan mana dalam tarekat itu yang boleh mengesahkan pencapaian anda itu?
Kita mahu nama, bukannya dolak-dalik. Sekiranya dia gagal ataupun tercari-cari hendak beri nama guru dan halaqah/zawiyah yang boleh diminta pertanggungjawaban mereka ke atas dakwaan-dakwaan si pembicara, eloklah hadirin angkat kaki dari majlis tersebut. Sudah tentu dia ada agenda yang tidak baik sebenarnya.
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang ENGKAU TIDAK ADA PENGETAHUAN TENTANGNYA. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya.” (Al-Isra’ : 36)
SOALAN 8 (*soalan tambahan) : (*Soalan ini sesuai ditanyakan oleh orang-orang yang sudah ada ilmu dan amal tarekat) Cuba anda huraikan serba-sedikit tentang sukatan pelajaran peringkat sederhana (tak perlu peringkat tinggi pun) dalam tarekat yang anda sertai itu.
Jawapannya nanti akan memberikan gambaran sejauhmana kelayakan dia untuk berbicara tentang tarekat. Benar atau palsunya boleh dikenalpasti, insya-Allah.
PENGHUJUNG BICARA
Sekiranya ada soalan-soalan yang tersangkut atau tidak beres, ternyatalah para pembicara yang disyaki membawa atau cenderung fahaman V6-4 itu tidak punya kelayakan pun untuk berbicara tentang tarekat. Jika benar sebegitu, eloklah kita jangan menghadiri majlis itu dan sekiranya telah hadir, bolehlah beransur pulang ketika itu juga. Janganlah kita bersubahat dalam perkara yang kita tidak ada pengetahuan yang memadai tentangnya.
Bahkan bukankah sepatutnya pada awal majlis, sudah diperkenalkan terlebih dahulu latar belakang para pembicara beserta maklumat-maklumat penting berikut sekurang-kurangnya :
1. Tarekat apa yang sedang diamalnya sekarang?
2. Sejak bila dia berpegang dengan tarekat itu (untuk hadirin mengagak keluasan pengalamannya).
3. Di mana diambilnya tarekat itu?
4. Siapa nama mursyid, atau wakil mursyid, atau sesiapa sahaja yang membimbingnya dalam tarekat itu?
5. Di mana lokasi atau halaqah tempat dia aktif dengan tarekat itu sekarang?
Sekiranya tidak ada maklumat-maklumat ini, berwaspadalah!
Akhir kata, nasihat kita - biarlah orang yang berkeahlian yang berbicara tentang bidangnya. Umumnya, sangat berisiko tinggi jika seorang mekanik motosikal tiba-tiba hendak seminarkan ilmu-ilmu dan isu-isu dunia kedoktoran moden. Kesannya boleh jadi sangat berbahaya kepada orang ramai. Wallahu’lam.
“Dan tiadalah yang dapat mengambil pelajaran melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.” (Al-Baqarah : 269)
Memberi ingat itu tandanya sayang.
Abu Zulfiqar
5 Oktober 2016
*Mesti baca!
Tasawwuf & Tarekat : Antara Ketulenan dan Kepalsuan Orang Yang Mahu Berbicara Tentangnya http://alexanderwathern.blogspot.my/2016/10/tasawwuf-tarekat-antara-ketulenan-dan.html
Maulana Asri, Bicara Tariqat Tasawuf http://alexanderwathern.blogspot.my/2016/09/maulana-asri-bicara-tariqat-tasawuf.html
No comments:
Post a Comment