Datang pula soalan kepada sahaya bertanyakan tentang pegangan Imam Al-Ghazali tentang Zat Allah dan tempat. Maka sahaya pun menulis jawapan ringkas dengan memetik daripada Imam Al-Ghazali (dengan sedikit penjelasan ringkas) sekiranya dirasakan perlu.
Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali menyatakan dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin pada Kitab Aqidah :
“Tidaklah Dia (Allah) itu jauhar dan tidaklah Dia ditempati oleh jauhar-jauhar. Tidaklah Dia itu aradh dan tidaklah Dia ditempati oleh aradh-aradh.”
“Bahkan Dia tidak serupa dengan yang maujud dan tidak suatu pun yang maujud yang serupa dengan Dia. Tiadalah seperti-Nya sesuatu dan tidaklah Dia seperti sesuatu.”
*Maksudnya Zat Allah langsung tidak sama dengan suatu apa pun.
“Dia istiwa’ atas ‘Arasy menurut firmanNya dan menurut erti yang dikehendakiNya, istiwa’ yang suci daripada tersentuh dengan sesuatu, suci daripada tetap dan tenang, suci daripada BERTEMPAT dan berpindah.”
“Dia TIDAK BERTEMPAT pada sesuatu dan tidak ada sesuatu BERTEMPAT padaNya.”
*Yang BERTEMPAT ialah makhluk. Zat Allah tidak terlibat dengan tempat, lokasi atau terlibat dengan ruang. Yang bertempat, berlokasi dan beruang adalah makhluk.
“Maha Suci Dia daripada dipengaruhi oleh TEMPAT, sebagaimana Maha Suci Dia daripada dibataskan oleh waktu/masa/zaman. Tetapi adalah Dia sebelum dijadikan waktu/masa/zaman dan TEMPAT. Dia sekarang menurut apa yang Dia ada.”
*Masa dan TEMPAT adalah makhluk. Sebelum adanya masa dan TEMPAT, Zat Allah sudah sedia ada. Pada azali, yang ada hanyalah Allah. Oleh itu, Dia qadim. Pada azali, selain Allah, belum ada. Kemudian, barulah Allah menjadikan masa dan TEMPAT. Selepas Allah menjadikan masa dan TEMPAT, ZatNya tetap seperti pada azali juga, langsung tidak mengalami sebarang perubahan kerana Dia baqa’. Apa sahaja yang mengalami perubahan, adalah makhluk. Jangan kita tersembah makhluk. Jika pada azali ZatNya TIDKA BERTEMPAT, selepas azali sampailah bila-bila pun, ZatNya tetap kebal daripada TERKENA TEMPAT.
“Kerana pada azali yang ada hanyalah Dia Yang Maha Esa sedangkan selain Dia tidak ada.”
“Allah Taala itu qadim, senantiasa, azali, tidak ada bagi wujudNya permulaan.”
“Tidaklah Allah Taala itu jauhar yang terbatas di SESUATU TEMPAT.”
“Bagaimanakah adanya Dia BERTEMPAT pada jisim sedangkan Dia sudah maujud pada azali sendirinya dan tidak ada beserta Dia yang lain-lain (termasuklah TEMPAT, ruang, lokasi).”
“Maha Suci ZatNya daripada ketentuan arah. Arah itu adakalanya di atas atau di bawah, di kanan atau di kiri, di hadapan atau di belakang.”
“Tentang mengangkat kedua-dua belah tangan ketika berdoa kepada Allah ke arah langit adalah kerana langit itu qiblat doa.”
*Bukan kerana Zat Allah berada di udara, di sebalik awan, di kahyangan, di atmosfera, di angkasa lepas, di Sistem Suria, di Galaksi Bima Sakti, di alam semesta, di langit ketiga atau sebagainya yang seumpamanya.
“Demikianlah dengan hal istiwa’. Jika dibiarkan ertinya sebagai menentap dan BERTEMPAT, tentulah yang BERTEMPAT itu jisim yang bersnentuh dengan ‘Arasy. Adakalanya seperti ‘Arasy ataupun lebih besar atau lebih kecil daripadanya.. Yang demikian itu adalah mustahil.”
MAKLUMAT TAMBAHAN
Siapakah antara golongan yang meyakini bahawa Zat Tuhan bertempat?
Antara yang berpegang bahawa Zat Tuhan itu bertempat ialah beberapa golongan daripada ahli-ahli falsafah Yunani/Greek.
Ahli-ahli falsafah Yunani terdiri daripada banyak golongan. Untuk memudahkan pembicaraan dalam menolak apa yang salah dan apa yang lemah daripada ajaran kaum falsafah itu, Imam Al-Ghazali membahagikan mereka kepada 3 kelompok besar iaitu golongan Dahriyyun, golongan Tabi’iyyun dan golongan Ilahiyyun. Padahal jumlah golongan mereka adalah lebih lagi.
Dalam banyak-banyak golongan itu, ada golongan daripada golongan Ilahiyyun yang meyakini bahawa Zat Tuhan qadim dan zat makhluk juga qadim. Maksudnya Tuhan dan makhluk sudah sedia ada serentak sejak azali. Oleh itu, Zat Tuhan dan tempat sudah sedia wujud serentak. Mereka percaya Tuhan perlukan tempat untuk Dia ada. Oleh itu, Tuhan bertempat. Mereka tidak dapat menerima jika dikatakan Zat Tuhan tidak bertempat.
Imam Al-Ghazali menulis dalam kitabnya Tahafut Al-Falasifah : “Umumnya ahli-ahli falsafah bersepakat mengatakan bahawa alam ini qadim.”
Semoga kita tidak berpegang dengan i’tiqad salah kaum falsafah itu. Wallahua’lam.
Abu Zulfiqar
8 Oktober 2016
No comments:
Post a Comment