Sudah lapan atau sembilan tahun saya membacakan khutbah
Aidil Fitri dan Aidil Adha yang disediakan oleh Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Perak, dan teks kali ini memang terbaik sehingga mendapat
pujian dan diperkatakan di serata pelusuk negeri Perak Darul Ridzuan tempoh
hari. Berikut dikongsikan antara petikan teks hebat tersebut :
@@@@@@@@@@
Gema takbir dan tahmid bagi menandakan kemenangan tidak
akan cukup sekadar kita hanya berjaya mendirikan ibadah fardhu sahaja seperti
solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain sedangkan kita tidak pernah diberi
peluang untuk merasai betapa nikmatnya keadilan perundangan Islam, untungnya menggunakan
sistem ekonomi Islam, dan terjaminnya hak orang Islam dan bukan Islam di bawah
naungan perlembagaan negara Islam.
Bermula dari penjajahan sehingga kini, kita hanya mampu
melihat sistem Islam di dalam kitab-kitab fekah sahaja tanpa mampu dilihat ia
terlaksana di atas bumi yang nyata walaupun kegagalan demi kegagalan ideologi dan
sistem ciptaan manusia dalam menyelesaikan pelbagai masalah sosial terutama
yang semakin berat seperti penagihan dadah, kecurian, perzinaan, perkosaan,
rasuah, pecah amanah, namun para pemimpin lebih rela mencari sistem yang rapuh
dan reput seperti sarang labah-labah daripada memberi peluang kepada Islam
untuk dilaksanakan.
Benarlah firman Allah dalam ayat 41 Surah Al-Ankabut : “Perumpamaan
orang-orang yang mengambil pelindung selain daripada Allah adalah seperti
labah-labah yang membuat rumah dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah
rumah labah-labah jika mereka mengetahuinya.”
Muslimin muslimat yang diberkati Allah,
Gema takbir dan tahmid yang berkumandang ini juga
menunjukkan bahawa kita begitu menginginkan agar kebajikan, kepentingan serta
kekayaan hasil pendapatan negara dapat diagihkan secara menyeluruh, bukannya
berkisar dalam kalangan sesetengah golongan sahaja.
Suatu peristiwa untuk renungan bersama di mana ketika
Damsyik dan Syria diancam serangan tentera Tatar, maka pemerintah memutuskan
untuk mengenakan cukai tambahan ke atas rakyat bagi membiayai peperangan. Di
tengah-tengah keresahan rakyat yang tidak mampu membayar cukai itu maka
tampillah Asy-Syeikh ‘Izzuddin ‘Abdussalam yang terkenal dengan gelaran
Sultanul ‘Ulama menentang perkara itu dan meminta agar dijual terlebih dahulu
kesemua barangan mewah milik pemerintah dan milik peribadi kakitangan
pemerintah, sehingga tidak ada lagi perbezaan antara pemerintah dan rakyat.
Sesudah itu barulah boleh dikutip cukai jika kewangan masih tidak mencukupi
untuk membiayai peperangan itu.
Inilah keindahan dan keadilan Islam yang menekankan susah
dan senangnya sesebuah negara merupakan tanggungjawab bersama antara pemimpin
dan rakyat, bukannya ketika negara senang hanya sesetengah golongan yang
menikmatinya tetapi apabila negara ditimpa kesusahan amaka hanya rakyat yang
menanggungnya.
Dalam memastikan keharmonian dan kemajuan yang stabil
antara kebendaan dan kerohanian, maka kerjasama antara pemimpin dan ulama
amatlah penting kerana mereka menjadi tunjang utama keutuhan negara. Jika
rosaklah pemimpin maka akan binasalah negara. Begitu juga apabila rosaknya
ulama maka akan huru-haralah negara.
Oleh itu pemimpin mesti bersifat terbuka apabila ditegur
kerana tersalah dan ulama pula mesti berani dalam memberi nasihat. Janganlah
pula pemimpin terpedaya dengan kata-kata ulama dunia yang mengampu di mana
peringatan mengenainya pernah dicatat dalam Kanun Acheh Darussalam oleh Sultan
Iskandar Muda Mahkota Alam, seorang pemerintah Kesultana Melayu Islam Acheh di
mana antara katanya : “Dan hendaklah raja-raja itu menjauhkan diri daripada
bersahabat dengan ulama jahat dan ulama jahil dan ulama tamak iaitu ulama yang
suka memuji raja dan perbuatannya mengharap keredhaan raja. Maka ulama itu
tamak, yakni tamak kepada dunia. Maka ulama itulah yang membuat negeri
huru-hara dan memecah-belahkan rakyat seperti Dajjal…”
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillahilhamd.
Kita begitu mengharapkan agar laungan tahmid tanda kesyukuran
dan takbir tanda membesarkan Allah ini bukan hanya disebut di bibir sahaja,
tetapi insya-Allah ia turut memberi kesan kepada hati dan kelakuan kita dalam
menyatakan kesungguhan dan keaykina kepada seluruh ajaran islam dari segi
ibadah, perundangan, perlembagaan dan cara hidup Islam.
Keadilan dan kehebatan perlembagaan serta perundangan
Islam pernah dirasa oleh masyarakat China, India dan melayu ketika islam menguasai
negara-negara ini selama beratus tahun (dahulu). Oleh itu, jika kita satukan semua bangsa di
negara ini dengan semangat kebangsaan, maka ia adalah berbahaya kerana setiap
bangsa akan menjaga kepentingan dan menuntut hak masing-masing sebagai
warganegara. Setiap bangsa sama ada Melayu, Cina dan India akan bersaing sesame
mereka dalam mencari kuasa politik dan ekonomi di mana bangsa yang berjaya
menguasai perkara tersebut akan berjaya menguasai bangsa lain.
Jumlah umat Islam makin bertambah tetapi pada hakikatnya
tidak berperanan sebagai seorang muslim, ditambah lagi (dengan) tipisnya
pegangan agama, maka kedudukan kita berdasarkan bangsa adalah semakin lemah.
Sebelum terlambat maka yakinlah kita bahawa dengan
menjadikan islam sebagai asas perpaduan maka kita akan aman di mana islam boleh
dianuti oleh semua bangsa (sedangkan bangsa seseorang tidak boleh bertukar atau
dianut). Manakala orang bukan Islam yang tidak mahu memeluk Islam turut dapat
merasai keadilan dan keindahan Islam di mana perkara ini tidak terdapat dalam
agama mereka. Dengan ini lama-kelamaan mereka juga akan tertarik kepada Islam
sama ada mereka memeluk Islam ataupun sekurang-kurangnya mereka tidak melawan
Islam setelah merasai keindahan Islam sebenar.
Ingatlah, bahawa kita bangsa Melayu dimuliakan oleh Allah
dengan Islam dan bangsa Melayu akan hina kerana meninggalkan cara hidup Islam.
@@@@@@@@@
No comments:
Post a Comment