Tuesday, May 12, 2015

Mencari Risalah Qudsiyyah Imam Al-Ghazali?



Sejak mensyarahkan Risalah Qudsiyyah karya Imam Al-Ghazali, ramai yang bertanya tentangnya dan mahu mendapatkan Risalah Qudsiyyah ini. Kepada yang berhajat, begini ceritanya…….

Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin terdiri daripada 40 buah kitab di dalamnya.
Kitab yang ke-2 ialah Kitab ‘Aqidah (Qawa’idul ‘Aqaid).
Kitab ‘Aqidah terdiri daripada 4 bahagian.
Bahagian yang ke-3… itulah Ar-Risalah Al-Qudsiyyah.

Setakat ini, saya belum terjumpa Risalah Qudsiyyah yang dicetak dan dijual berasingan dalam pasaran negara kita ini. Tak tahulah ada atau tidak. Dengar khabarnya, di Indonesia, Kitab ‘Aqidah (yang di dalamnya termasuklah Risalah Qudsiyyah) itu ada diterbitkan berasingan.
(*Sekiranya ada lebihan masa, mungkin saya boleh menyalin Risalah Qudsiyyah ini dan kongsikannya di internet. Tengoklah dulu macam mana)

Kata Imam pada penghujung Bahagian Ke-2 Kitab ‘Aqidah : “Dari itu, hendaklah kami bentangkan di dalam kitab (Ihya’ ‘Ulumuddin) ini dalil-dalil yang cemerlang itu. Dan hendaklah kami ringkaskan sekadar yang telah kami huraikan untuk ahli qudus (golongan yang mengquduskan Allah). Dan kami namakan “Risalah Qudsiyyah Tentang Qa’idah-qa’idah I’tiqad” (Ar-Risalah al-Qudsiyyah fi Qawa’id al-‘Aqaid) Dan semua itu tersimpan dalam bahagian ketiga kitab (Kitab ‘Aqidah) ini.”

Apakah kepentingan Risalah Qudsiyyah ini? Sebenarnya Risalah Qudsiyyah ialah sukatan pelajaran usuluddin Imam Al-Ghazali sendiri dan seterusnya ikhwan Tariqat Al-Ghazaliyyah. Imam Al-Ghazali dan ikhwan Tariqat Ghazaliyyah umumnya tidak menggunakan sukatan pelajaran usuluddin Sifat 20. Namun isi kandungannya lebih kurang sama sahaja dengan Sifat 20. Umumnya juga, jarang sangat ada orang selain ikhwan Tariqat Ghazaliyyah yang mengetahui hal ini.

Hasrat Imam Al-Ghazali untuk mengarang Risalah Qudsiyyah ini dinyatakannya dalam kitabnya At-Tahafut Al-Falasifah, ketika beliau menyanggah apa yang salah dan apa yang lemah dalam ajaran falsafah Plato, Aristotle, Al-Farabi, Ibnu Sina dan yang sewaktu dengan mereka. Dikhabarkan bahawa imam menyiapkan Risalah Qudsiyyah sebelum beliau mengarang kitab Ihya’. Apabila beliau mengarang kitab Ihya’, kitab Risalah Qudsiyyah pun dimasukkan sekali. Wallahua’alam.

Abu Zulfiqar
6 Mei 2015

Mentaati Pemimpin



“Setiap orang Islam itu wajib untuk mendengar dan mentaati (amir/ketua/pemimpinnya) dalam perkara-perkara yang dia sukai atau pun yang dia benci (tidak suka), tetapi jika dia diperintahkan untuk mengerjakan perbuatan maksiat, maka tidaklah boleh mendengar dan mentaati (amir tersebut).” (Muslim)

“Sesiapa sahaja yang membenci (tidak menyukai) suatu perintah dari amirnya (selagi perintah itu tidak bertentangan dengan agama), hendaklah dia bersabar.” (Bukhari)

“Sesiapa saja yang menyaksikan dari amirnya sesuatu, kemudian dia tidak menyukainya, maka hendaklah dia bersabar atas (perkara tersebut). Sebab, sesiapa sahaja yang memisahkan diri dari jamaah (dengan tidak mentaati amirnya) sejengkal saja, lalu dia mati, maka matinya adalah mati jahiliyyah.” (Bukhari)

 “Sesiapa sahaja yang taat kepada amir, bererti dia taat kepada aku. Dan sesiapa sahaja yang derhaka kepada amir, bererti dia derhaka kepada aku.” (Bukhari dan Muslim)

“Tidak halal bagi tiga orang yang berada di manapun di bumi ini, tanpa mengambil salah seorang di antara mereka sebagai amir.” (Ahmad).

“Aku mewasiatkan kepada kamu agar bertakwa kepada Allah, mendengar dan mentaati amir sekalipun dia dahulunya adalah seorang hamba dari Habsyah.” (Abu Dawud, Turmizi).

Wednesday, May 6, 2015

Nasihat Buat Para Isteri

Sabda Rasulullah saw : “Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah. Apabila kamu memandangnya, dia menyenangkan (hati) kamu. Apabila  engkau perintah (arahkan), dia taat kepada (perintah/arahan) kamu. Dan apabila engkau berpergian (ada urusan di luar) meninggalkannya, dia memelihara (kehormatan) dirinya dan menjaga harta kamu.” (Ahmad, An-Nasa’i)

Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi sebaik-baik perhiasan iaitu sebagai seorang wanita yang solehah, dengan berusaha untuk memenuhi ciri-cirinya sebagaimana yang disebutkan hadis di atas.

Jangan sampai suami berasa tidak senang hati apabila melihat kita. Jangan sampai kita mengengkari permintaan suami. Apabila suami tidak ada bersama-sama dengan kita, hendaklah kita menjaga maruah diri dan pergaulan. Harta dan barang-barang suami (rumah, kenderaan, pakaian, peralatan dan sebagainya), kita jagalah sebaik-baiknya.

Ditanyakan kepada Rasulullah saw : Wanita (isteri) yang bagaimanakah yang paling baik?
Baginda menjawab : Yang menyenangkan suaminya apabila suaminya memandangnya, yang mentaati suaminya apabila suaminya menyuruhnya, dan dia tidak menyanggahi suaminya dalam perkara dirinya dan tidak pula pada harta suaminya dengan apa yang tidak disukai oleh suaminya.” (Baihaqi)

Hendaklah kita tidak mudah-mudah menyanggah suami. Jangan sesekali buat perkara yang suami kita tidak suka. Inilah antara ciri wanita yang paling baik menurut agama Islam.

Wanita (isteri) manapun yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk syurga.” (Turmizi, Ibnu Majah)

Alangkah mudahnya untuk seseorang wanita itu mendapat syurga! Keredhaan suamilah kuncinya. Oleh itu, sama-samalah kita ingat-mengingati, janganlah sampai suami tidak redha kepada kita. Sangat besar bahayanya.

“Seandainya aku (Rasulullah saw) dibenarkan memerintahkan seseorang untuk sujud kepada orang lain, sudah tentu aku akan memerintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya.” (Turmizi, Ibnu Majah)

 Cuma Allah tidak membenarkan untuk sujud kepada sesama manusia. Namun hadis ini memberi maklumat penting untuk kita menghayatinya.

“Tidaklah boleh bagi seseorang manusia untuk sujud kepada manusia lain. Seandainyalah dibenarkan seseorang sujud kepada orang lain, sudah tentu aku perintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya, kerana besarnya hak suami ke atasnya. Demi Zat yang jiwaku berada di tanganNya, seandainyalah pada tapak kaki sehingga ke belahan rambut suaminya ada luka/kudis yang beserta nanah bercampur darah, lalu si isteri menghadap suaminya dan menjilat luka/kudis tersebut, nescaya dia belum sempurna menunaikan hak suaminya.” (Ahmad)

Alangkah besarnya hak Allah ke atas kita! Jangan pula kita terlupa akan hak suami ke atas isterinya.

“Seandainya aku boleh memerintahkan seseorang untuk sujud kepada seorang yang lain, sudah tentu aku akan memerintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya. Seandainya seorang suami memerintahkan isterinya untuk pindah dari gunung merah menuju gunung hitam, dan dari gunung hitam menuju gunung merah, si isteri mesti melakukannya.” (Ahmad, Ibnu Majah)

Apa-apa perintah suami, selagi tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam, hendaklah kita berusaha mematuhinya.

Tatkala Mu’az pulang dari Syam, dia sujud kepada Nabi saw. Maka baginda menegur Mu’az : “Apa yang kamu lakukan ini wahai Mu’az?”
Mu’az menjawab : “Aku ke Syam, aku lihat mereka (penduduk Syam) sujud kepada paderi mereka. Jadi aku berkeinginan dalam hatiku untuk melakukannya kepada kamu ya Rasulullah.”
Rasulullah saw bersabda : “Jangan engkau lakukan hal itu, kerana senadainya aku boleh memerintahkan seseornag untuk sujud kepada selain Allah, sudah tentu aku perintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tanganNya, seorang isteri tidak (belum) menunaikan hak Tuhannya sehinggalah dia menunaikan hak suaminya. Seandainya si suami meminta dirinya (mengajak berjimak) dalam keadaan dia berada di atas pelana (atas kenderaan), maka dia tidak boleh menolaknya.” (Ahmad , Ibnu Majah)

“Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidurnya tetapi si isteri enggan datang, lalu si suami bermalam (tidur) dalam keadaan marah kepada isteri itu, nescaya para malaikat melaknat si siteri hingga ke pagi.” (Bukhari)

“Mana-mana wanita yang meminta cerai kepada suaminya tanpa ada apa-apa (sebab yang layak untuk itu), maka diharamkan untuknya mencium wanginya syurga.” (Turmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban)

Semoga bermanfaat.

Abu Zulfiqar
6 Mei 2015