Friday, November 7, 2014

Pakaian Diri Ikhwan Tariqat Ghazaliyyah



“Pakaian” utama bagi ikhwan Tariqat Al-Ghazaliyyah tidak lain ialah kitab Ihya’ ‘Ulumuddin karangan Al-Imam sendiri (Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali). Oleh itu, ikhwan yang berjauhan dengan mursyid hendaklah berusaha mencari majlis pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumuddin. Oleh kerana majlis kitab Ihya’ sukar didapati di negara ini, maka hendaklah para ikhwan berusaha untuk sekurang-kurangnya duduk dalam majlis pengajian kitab Minhaj al-‘Abidin (satu lagi karya Imam). Lebih-lebih lagi kepada ikhwan yang kurang keupayaan untuk menghayati kitab Minhaj secara sendiri-sendiri.

Kitab Minhajul ‘Abidin ini dikarang oleh Imam kemudian daripada kitab Ihya’. Isi kandungannya merupakan petikan dan ringkasan kepada kitab Ihya’. Apabila seseorang itu sudah pernah melalui keseluruhan kitab Ihya’ sekurang-kurangnya sekali, maka memadailah kitab Minhaj sebagai pakaiannya. Begitulah maksud Imam. Tidak perlulah kita mengulanglalu keseluruhan kitab Ihya’ memandangkan sedemikian tebalnya dan halusnya kupasan kitab Ihya’. Jadi peranan kitab Minhaj ialah sebagai kit ulangkaji kepada mereka yang sudah pernah melalui kitab Ihya’. Kitab Minhaj agak mudah untuk dibawa bersama ke mana-mana berbanding kitab Ihya’ yang sangat tebal, maka hubungan diri/jiwa dengan manhaj Tariqat Ghazaliyyah tidaklah terputus, dan supaya “pakaian” tidak terlucut.

Selain itu, oleh kerana untuk melalui kitab Ihya’ ini memakan masa yang panjang dan sukar pula didapati majlisnya, ramai orang khususnya ikhwan Al-Ghazaliyyah sendiri yang tidak atau belum berpeluang melalui kitab Ihya’. Dalam kes sebegini, kitab Minhaj bolehlah dijadikan pakaian sekalipun “tidak cukup tebal kainnya” dan “kurang kemas sulaman benangnya”, sekalipun belum pernah atau belum habis melalui kitab Ihya’. Kata orang, tak dapat rotan, akar pun memadailah.

Sekiranya tidak dapat juga, paling kurang pun di rantau Nusantara ini, carilah majlis kitab Siyarus Salikin (oleh Syeikh Abdus Samad al-Falimbani). Hal ini kerana kitab Siyarus Salikin bolehlah dikatakan sebagai petikan dan ringkasan kitab Ihya’ di Alam Melayu.

Sekiranya tidak ada juga, kemungkinan besar kita memang jenis yang tidak berusaha mencari. Majlis-majlis kitab Minhaj dan Siayarus Salikin ada di serata pelusuk negeri. Insya-Allah kita sedang mengumpulkan maklumat tentang majlis-majlis kitab Minhaj dan Siyarus Salikin di seluruh negara untuk disebarkan maklumat tentangnya.

Berhati-hati wahai teman! Tidak memadai untuk para ikhwan Tariqat Ghazaliyyah berpakaian dengan kitab atau majlis kitab Bidayatul Hidayah (sebuah lagi karangan Imam) dan kitab Hidayatus Salikin (ringkasan Bidayatul Hidayah oleh Syeikh Abdus Samad al-Falimbani) kerana tidak mencapai had minimum maksud (matlamat/objektif) kitab Ihya’ sebagai pakaian ahli-ahli Tariqat Ghazaliyyah. Untuk pengajian umum memang sesuai.

Tidak memadai juga dengan kitab atau majlis kitab Tazkiyyatun Nafs (Syeikh Sa’id Hawa), Mau’izatul Mu’minin (Syeikh Jamaluddin al-Qasimi ad-Dimasyqi), Bimbingan Mu’min (terjemahan Mau’izatul Mu’minin), Buku Putih Ihya’, Mutiara Ihya’ ‘Ulumuddin, Minhaj al-Qasidin (Ibnul Jauzi & Ibnu Qudamah) dan seumpamanya, kerana semua kitab ini sekalipun ada sedikit-sebanyak kaitan dengan Ihya’ tetapi tidak mencapai had minimum maksud kitab Ihya’ sebagaimana yang dimaksudkan oleh Imam. Jika tahap lulus sesuatu kertas peperiksaan untuk ikhwah ialah 40 markah daripada 100 markah, maka isi kandungan kitab-kitab di atas tadi tidak mencapai pun 40 markah. Semua itu memang bagus diajarkan kepada umum tetapi tidak memadai sebagai pakaian ikhwan Tariqat Al-Ghazaliyyah.

Hendaklah difaham hal ini baik-baik.

Wallahua’lam.

No comments: